Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Selasa, 9 Oktober 2018

Siti Hasmah Kongsi Kisah Abangnya Tanya Mana Dr. M Dapat Duit Beli Rumah..

BERNAMA | Walaupun dikenali ramai sebagai seorang yang amat tegas dan garang, tetapi, Gabenor Bank Negara Malaysia pertama Allahyarham Tun Ismail Ali sebenarnya adalah seorang insan yang berjiwa penyayang, berhemah tinggi dan budiman.​​

Dalam penghormatan kepada abangnya itu melalui buku berjudul Tun Ismail Ali – Paragon of Trust and Integrity, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Ali, mendedahkan sisi lain mengenai Ismail yang jarang diketahui umum.

Gambar - Jabatan Penerangan
Menurut beliau, sikap Ismail yang tegas dan tabah sebenarnya terbentuk hasil daripada asuhan keluarga.

“Saya ingin memberi jaminan kepada sesiapa sahaja yang pernah menjadi mangsa beliau bahawa apa yang dilakukan Ismail semasa beliau menyandang jawatan itu bertitik tolak daripada asuhan yang diterimanya dalam keluarga kami.

“Ibu bapa kami bersikap sangat tegas dan itulah yang membentuk keperibadiannya. Beliau terus memupuk keperibadian sendiri ketika melanjutkan pelajaran di England dan tinggal di sana untuk sekian lama,”
kata Dr Siti Hasmah pada majlis pelancaran buku tulisan beliau itu di Sasana Kijang, di Kuala Lumpur hari ini.

Buku bertujuan meraikan ulang tahun kelahiran ke-100 Ismail itu dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Siti Hasmah menceritakan bagaimana, apabila beliau lulus daripada kolej perubatan di Singapura pada 1955, Ismail, yang beliau panggil “Abang Ngah”, mengutuskan sepucuk telegaram kepadanya hanya dengan mesej bertulis: “Akhirnya, kita ada seorang doktor di dalam rumah".

Tentang rumah Dr M

Isteri perdana menteri itu juga berkongsi dengan pembaca satu lagi peristiwa menarik apabila beliau dipanggil menghadap Ismail secara mengejut di pejabatnya di Bank Negara.

“Belum pun saya sempat duduk, beliau bertanya : "Hasmah, Mahathir ambil duit dari mana untuk bina rumah itu? Saya tergamam, tetapi menjelaskan kepada beliau bahawa kami telah jual rumah kami di Alor Setar, dan oleh kerana Mahathir kini berkhidmat dengan kerajaan, maka beliau mendapat pinjaman kerajaan untuk membina rumah baru itu.

"Berpuas hati dengan penjelasan itu, beliau sekadar menyebut, “Mmm".
Lihatlah. Saya hanya dilepaskan dengan perkataan "Mmm” saja,” kata beliau.

Buku berkenaan mengandungi tiga bahagian yang menceritakan mengenai kehidupan Ismail pada zaman kanak-kanak, semasa Perang Dunia Kedua dan semasa beliau menyandang jawatan Gabenor Bank Negara hinggalah beliau dijemput menghadap Ilahi pada 1998 ketika berusia 79 tahun.

Dalam buku setebal 211 halaman ini, Dr Siti Hasmah juga menceritakan akan kegemaran Ismail terhadap cerut dan kesepian yang dialaminya selepas kematian isteri beliau, Toh Puan Maimunah Abdul Latif, pada 1996.

“Saya berani memberi jaminan bahawa walaupun beliau seorang yang tegas serta amat garang, namun dilubuk hatinya tersemat rasa kasih sayang terhadap anda semua. Beliau mahu agar Bank Negara diurus dengan sewajarnya dan menjadi bank terbaik di dunia seperti bank pusat di negara lain,”
jelas beliau.

Lahir pada 1918, Ismail adalah anak kedua daripada 10 adik-beradik. Beliau memulakan alam persekolahan di Victoria Institution, Kuala Lumpur sebelum melanjutkan pengajian di Cambrigde University dengan mendapat Queen's Scholarship.

Apabila Perang Dunia Kedua tercetus pada 1939, beliau bertugas sebagai penyampai dan pengulas berita di Bahagian Melayu BBC di London.

Pada 1946, Ismail pulang ke tanah air dan menyandang pelbagai jawatan dalam perkhidmatan awam, sebelum dilantik menjadi Gabenor Bank Negara pada 1962 bagi menggantikan Tan Sri W.H Wilcock, seorang warga Australia.

Ismail bersara pada 1980.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...