Isnin, 8 Oktober 2018

Beria-Ria Kutuk Akhirnya Hishammudin Sendiri Nafikan Kerajaan Minta Tolong Perbaiki Hubungan Dengan Arab Saudi.

POLITIK | Sabtu lalu portal The Malaysian Insight melaporkan Putrajaya meminta bantuan bekas menteri tugas-tugas khas Hishammuddin Hussein untuk memulihkan semula hubungan Malaysia dengan Arab Saudi.

Sumber tersebut dilaporkan memberitahu portal itu, hubungan Malaysia - Arab Saudi terjejas kerana beberapa tindakan kerajaan Pakatan Harapan membatalkan keputusan pentadbiran Najib Razak melibatkan hubungan dengan Riyadh.


Hishammudin Hussien
Permintaan Putrajaya itu juga dibuat selepas Arab Saudi dilihat menunjukkan isyarat lebih mengutamakan pemimpin dalam pentadbiran Najib berbanding kerajaan sekarang, kata sumber.

“Selain (bekas perdana menteri) Najib Razak, Hishammuddin juga mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Arab Saudi.

“Tidak wajar untuk kita (Malaysia) bermusuhan dengan Arab Saudi kerana ia akan menjejaskan banyak perkara termasuk kuota haji,”
lapor portal itu lagi.


Menjawab kepada dakwaan itu, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata laporan yang menyatakan Putrajaya ada meminta bantuan bekas menteri tugas-tugas khas Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk membantu memulihkan hubungan diplomatik Malaysia dengan Arab Saudi adalah tidak benar.

Menurutnya, kesahihan berita di portal berita berkenaan diragui berikutan hanya memetik 'sumber dari Putrajaya' tanpa diketahui siapa dan kebenarannya.

"Saya tidak ada pertemuan dengan beliau (Hishammuddin) dan Wisma Putra tidak pernah minta bantuan daripada beliau dari segi hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi.

"Apa yang berlaku ialah perbincangan antara saya dan duta Arab Saudi ke Malaysia kira-kira sebulan selepas dilantik sebagai Menteri Luar yang telah menerangkan tindakan menarik kembali tentera Malaysia dalam peperangan pakatan negara Arab pimpinan Arab Saudi terhadap Yaman,"
katanya seperti dipetik Bernama.


Malahan Bekas Menteri Pertahanan dan Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang dinamakan dalam laporan itu juga bertindak menafikan dakwaan tersebut. 

"Tiada pun. Laporan itu memang tidak tepat. Setahu saya hubungan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan Putrajaya dengan semua negara-negara Timur Tengah termasuk Arab Saudi adalah baik," katanya seperti dilaporkan Bernama.


Hishammuddin berkata beliau tidak melihat hubungan Kuala Lumpur-Riyadh mempunyai masalah seperti dilaporkan portal terbabit.

"Saya tengok biasa sahaja. Cuma need a bit of time untuk kerajaan baharu settle down dengan negara-negara berkenaan. Insya Allah it should be okay. Yang penting apa jua hubungan mesti memanfaatkan negara dan rakyat kita," katanya lagi.


Awal sabtu, laporan The Malaysian Insight itu dijadikan bahan oleh anti Pakatan Harapan bagi mempersendakan kerajaan.

Kerajaan kemudiannya ditempelak tidak pandai membuat kerja dan 'tak malu' meminta bantuan daripada bekas menteri bagi memulihkan hubungan dengan Arab Saudi. - 8 Oktober 2018.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...