Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Sabtu, 14 Oktober 2017

Dituduh Terima 7 Juta, Anina Saman 6 Individu Termasuk Kepimpinan PPBM.

Bekas Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin memfailkan saman fitnah terhadap enam individu termasuk Ahli Majlis Tertinggi (AMT) parti tersebut di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada kelmarin. 

Menurut Anina, langkah itu diambil menerusi Tetuan Abdul Aziz & Yazmin bagi membersihkan diri dan namanya yang dituduh menerima wang sejumlah RM7 juta daripada UMNO. 

"Saya menfailkan tuntutan fitnah ini di mahkamah setelah berpuas hati bahawa semua proses dalaman parti telah dilakukan oleh pihak saya. Saya telah menghantar aduan ke jawatankuasa disiplin PPBM pada 2 Ogos 2017, tetapi tiada sebarang siasatan dan tindakan diambil," katanya dalam satu sidang media.

"Terdahulu dari itu, saya juga telah membuat laporan kepada pihak PDRM, SKMM dan SPRM. Malangnya fitnah tersebut masih berlegar di media sosial, dan masyarakat umum malah masih berterusan sehingga sidang media saudara Syed Saddiq nama saya turut dipalitkan sekali lagi. 

Saya percaya sehingga ke saat ini  Syed Saddiq mahupun mana-mana pihak PPBM masih lagi belum membuat laporan kepada SPRM tentang dakwaan berkaitan usaha sebagai rangkaian dedak rancang tersebut. Kenapa ia tidak dilaporkan? Buktinya ada bukan? Tidakkah menyembunyikan bukti jenayah juga merupakan satu kesalahan," katanya lagi.

Beliau yang enggan mendedahkan nama enam individu berkenaan turut memberitahu, dua daripada mereka merupakan ahli biasa manakala empat lagi adalah barisan kepimpinan PPBM Bahagian Langkawi, Kedah yang diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad. 

“Saya memfailkan tuntutan fitnah ini selepas memberi peluang beberapa kali terhadap enam individu terbabit sejak Jun lalu supaya memohon maaf, seterusnya membuat beberapa laporan kepada polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Julai lalu,” ujarnya.

Jumaat, 13 Oktober 2017

Masjid Taknak Urus Jenazah Kassim Ahmad? Ini Penjelasan Dari Anak Angkat Arwah!

Tiada isu Unit Amal PAS tolong kebumikan arwah. Keluarga arwah membayar rm1,500 untuk proses menguruskan pengebumiannya, itulah kenyataan yang dikeluarkan oleh anak didik yang juga dianggap sebagai anak angkat kepada tokoh sasterawan terkenal, Kassim Ahmad.

"Saya dan keluarga agak rapat dengan arwah dan keluarga arwah. Ayah saya yang bantu keluarga arwah uruskan soal pengebumian. Apa yang dicerita tu tak lebih macam plot untuk raih undi, konon PAS dah terbuka. Hakikatnya, itu perbuatan yang paling munafiq. Menangguk di air keruh. Tiada isu konon PAS Amal bantu tolong kebumi. Keluarga arwah terpaksa bayar RM1500 (diminta oleh orang tertentu yan katanya AJK Masjid) untuk uruskan pengebumian," katanya ketika dihubungi oleh wakil kami yang bertanyakan penjelasan lanjut berikutan penyebaran isu ini di sosial media.

Beliau turut menulis perihal penyebaran cerita berkenaan di akaun facebook miliknya bagi memberikan pencerahan kepada orang ramai.


"Dalam kes ini, keluarga arwah telah membayar sejumlah wang tertentu kepada seseorang agar kesemua urusan berkaitan pengebumian dapat berjalan dengan lancar.

Terserahlah kepada individu (yang terima wang pembayaran) tersebut untuk mengupah Ahmad ke, Jusoh ke, Mat Deris ke untuk menjalankan tugas mereka walaupun ianya dari UMNO, PKR mahupun PPBM sekalipun! Oleh itu, apa yang didakwa dalam penyebaran gambar-gambar tersebut adalah karut dan tidak benar," katanya di post berkenaan.

Malahan cerita seorang paderi yang kononnya mahu menguruskan pengebumian jenazah Kassim Ahmad juga merupakan cerita fitnah.

"Paderi Tan Sri Emeritus Joseph Murphy Pakiam datang dari Kuala Lumpur untuk memberikan penghormatan terakhir pada kawan baiknya, (Kassim Ahmad) dan tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan mahu menguruskan jenazah arwah di perkuburan kristian seperti yang disebarkan oleh sesetengah pihak," katanya lagi. 


Kami tidak pasti siapakah individu pertama yang menyebarkan cerita ini dan apakah tujuannya tetapi setakat ini Mufti Kedah pihak yang dinamakan dalam cerita yang tular itu dan PAS Kedah belum lagi mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi berkenaan dakwaan yang tular itu.

Hasil tinjauan yang pihak kami jalankan, kenalan rapat Kassim Ahmad pada pagi pemergian arwah memaklumkan jenazah akan dikebumikan di Masjid Al-Huda Kelang Lama, Kulim, Kedah dan sememangnya arwah dikebumikan disitu jadi kami kurang faham apakah yang dimaksudkan oleh pihak tertentu terdapat masjid yang enggan menguruskan jenazah.

Maklumbalas yang diterima kami menerusi halaman facebook Ameno World pula terdapat respon yang ditulis oleh Abd Shukor Abd Hamid yang memaklumkan sebenarnya unit jenazah ada meminta pandangan dari pihak yang berauthoriti termasuklah pimpinan bagi menguruskan jenazah Kassim Ahmad.



"For info min ..urusan jenazah ni libatkan banyak pihak. Hospital, pdrm, ajk masjid, majlis fatwa negeri, kadhi dan pejabat agama daerah. Begitu juga komunikasi ahli keluarga dengan unit urusan jenazah masjid. Bebetulan semua sukarelawan unit jenazah itu aktivis pas. Depa tak pakai baju parti semasa mandi, kafan dan sembahyang (imam pun org pas) cuma penggali kubur yang pakai. Kalau semua pakat pakai, lagi banyak fitnah timbul. Saya ada di masjid dari mula jenazah tiba hingga kebumi," katanya.

Beliau turut meluahkan kekesalan meskipun telah buat persediaan secukupnya untuk elakkan fitnah dan aib namun perkara itu masih terjadi dan hanya mampu perhatikan sahaja fitnah yang berleluasa, tambahnya.

"Unit jenazah telah minta pandangan dari pihak authoriti (termasuk pimpinan parti) sejak terima berita kematian seawal jam 10.00 pagi dan buat persediaan secukupnya untuk hindarkan pekara aib dan fitnah. Benda tu tetap terjadi dan kami disini hanya perhati fitnah yang tersebar itu. Nasihat untuk admin, tak payah up anything berkaitan isu ini," katanya lagi.

Mufti Perlis Puji Unit Amal PAS Kerana Uruskan Jenazah Kassim Ahmad.

Ustaz Asri Zainal Abidin yang juga mufti Perlis atau dikenali sebagai MAZA hari ini memuji tindakan Unit Amal PAS Kedah kerana menguruskan jenazah Kassim Ahmad. 

Menulis di facebook beliau, Ustaz Asri menyifatkan tindakan PAS menguruskan jenazah Kassim Ahmad wajar dipuji dan satu tindakan yang terhormat. Pujian yang sama turut diberikan kepada Mufti Kedah. 


"Walaupun apa pun perbezaan pendapat, namun tindakan Unit Amal PAS Negeri Kedah semalam menguruskan jenazah tokoh sastera dan penulis yang ternama Kassim Ahmad wajar dipuji. Jika benar seperti yang parti itu sebarkan. Ia satu tindakan terhormat. Kepujian utama patut diberikan SS Dato Mufti Negeri Kedah. 

"Pandangan dan keputusan beliau yang menyelesaikan masalah. Kita tidak bersetuju dengan Kassim Ahmad dan mengkritik pandangan beliau khususnya berkaitan hadis, namun kita tidak boleh memutuskan hakikat kedudukan beliau di sisi Allah. Hanya Allah Yang Maha Tahu," katanya di status Facebook.

MAZA turut menulis bahawanya beliau pernah mengajak tokoh terkenal itu untuk berdebat bagi membincangkan pandangannya dalam isu tertentu.

"Di sana banyak persoalan ilmiah dalam bidang berkaitan yang seseorang perlu memahami dengan teliti. Perlu berlaku iqamah al-hujjah (penegakan hujah) sebelum seseorang dihukumkan akidahnya. Apakah penegakan itu telah berlaku? Apakah di sana ada persoalan-persoalan yang tidak diberikan kepadanya jawapan yang mencukupi? Pengalaman peribadi saya, saya pernah mengajak beliau berdialog terbuka tentang hadis di Sinar Harian," katanya.

"Beliau bersetuju. Sinar juga setuju. Namun ada pihak lain yang menggagalkannya. Dukacita. Apapun, semoga beliau ada keuzuran dan alasan di sisi Allah. Kita hanya mengetahui yang zahir dan membahaskannya, Allah mengetahui yang zahir dan batin. Penilaian Allah maha adil untuk semua hambaNYA," katanya lagi.

Wan Ji Kena Tangkap Selepas Solat Jumaat.

Pegawai Penerangan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Wan Ji Wan Hussin hari ini ditahan polis sejurus selepas menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Jalan Sembilang, Seberang Jaya, Pulau Pinang. 

Wan Ji
Berita penahanan Wan Ji itu tular di laman sosial kerana dilaporkan oleh beberapa pihak yang berada di lokasi. Ianya turut disahkan oleh Penasihat Strategik Ketua Menteri Pulau Pinang Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan yang disebarkan menerusi facebook beliau.

Wan Ji yang juga ketua Exco Agama Pemuda PKR itu dilaporkan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Tengah. Penahanan Wan Ji ini dipercayai ada kaitan dengan laporan polis yang dibuat oleh beberapa pihak yang pro kepada ASWAJA yang dipercayai tidak berpuas hati apabila Zamihan ditangkap dan disiasat dibawah akta hasutan kerana mengkritik monarki Johor.

Wan Ji sebenarnya pernah ditahan pada tahun 2014, atas isu mengkritik monarki dan mahu menjatuhkan institusi beraja yang sah dan kes berkenaan masih lagi dalam proses perbicaraan di mahkamah. 

Email dari Abu Aqif;

Alhamdulillah. Pegawai Penerangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Wan Ji yang terkenal dengan usahanya mahu menghapuskan Institusi Diraja ditahan di Masjid Sembilang Seberang Jaya.

Laporan awal;

1. Laporan polis telah dibuat di balai polis Chow kit.
2. Mungkin ditahan di bawah Akta Hasutan.

Nantikan berita terkini di media-media kerjaan yang sah.

Kredit: Mamu Muhsin Latheef​
 
Kenyataan Media Saifuddin
 
PENAHANAN USTAZ WAN JI WAN HUSIN

1. Pegawai Penerangan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Ustaz Wan Ji Wan Husin sebentar tadi telah ditahan oleh pihak polis.

2. Ustaz Wan Ji hari ini menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Jalan Sembilang, Seberang Jaya Pulau Pinang.

3. Sejurus selesai solat Jumaat sepasukan anggota polis telah menahan beliau.

4. Kini beliau dibawa ke IPD Seberang Perai Tengah. Belum lagi diketahui alasan penahanan beliau.

5. Satu kenyataan akan dikeluarkan sejurus pihak peguam yang berada bersama beliau mendapat maklumat sahih, mengapa Ustaz Wan Ji ditahan.

Saifuddin Nasution Ismail
Penasihat Strategik
Ketua Menteri Pulau Pinang
Parti Keadilan Rakyat
Pakatan Harapan
#BinaSemulaNegara

Isu Pengebumian Kassim Ahmad - Hanya PAS Je Sudi Tolong Uruskan, Betul Ke?

Pada semalam tularnya cerita kononnya pihak masjid dan pengurusan jenazah enggan terima dan menguruskan mayat cendekiawan terkenal, Kassim Ahmad. Kassim Ahmad meninggal dunia pada jam 10 pagi, 10 Oktober, selepas menghadapi masalah kesukaran untuk bernafas setelah koma sebelumnya.

Selepas berita kematiannya dilaporkan, pelbagai pihak tampil dengan pelbagai reaksi. Ada yang menyampaikan takziah dan ada yang mencaci maki arwah. Ada juga yang mahu buat perdebatan dan forum bagi membincangkan status keislaman Kassim Ahmad dan ada yang beranggapan arwah telah murtad dan kafir malahan haram untuk dikebumikan cara Islam.

Walaupun tidak menyebut nama, ramai percaya MAZA telah menyindir kematian arwah menerusi status facebooknya manakala Mufti Perak tampil menyeru agar kesemua pihak menghormati kematian tersebut - satu situasi yang pelik kerana selalunya MAZA dianggap berada di pihak yang rasional dan lebih berkompromi berbanding Harussani yang sering dilabel sebagai agamawan jumud dan kuno.

Kematian Kassim Ahmad juga menjadi topik pergaduhan netizens terutamanya dikalangan orang Islam. Antaranya mereka bergaduh kerana terdapat sesetengah pihak yang menyokong PAS menyebarkan cerita bahawanya pihak masjid enggan terima dan menguruskan jenazah.


"Mayat Kasim Ahmad ditanam oleh sukarelawan PAS di masjid Kelang Lama Kulim. Ada masjid yang tak mahu terima. Ada badan pengurusan mayat yang tak mahu terima. Petugas PAS terima setelah rujuk nasihat dari mufti Kedah.. 

Seorang paderi kristian datang ziarah mayat di kubur. Katanya sahabat Kasim Ahmad. Paderi akan ambil alih pengurusan mayat kalau semua pihak tak mahu terima... Tahniah Sukarelawan PAS !! Inilah sifat semula jadi kalian.. Walaupun...dihina dicaci oleh golongan anti hadis & penentang2nya... Tapi hati kalian terlalu mulia...," kata Wan Kamarul Wan Amir di dalam akaun facebook beliau.

Fakta kes

1. Kassim Ahmad meninggal pada pagi 10 Oktober dan keluarganya melaporkan arwah akan dikebumikan selepas Isyak dan urusan pengebumian sememangnya selesai dikebumikan pada hari yang sama bagaimanapun lebih awal dari yang dijadualkan iaitu selepas waktu mahgrib. Pada jam 7.32 urusan pengebumian jenazah selepas disempurnakan.


2. Ada petugas yang memakai baju PAS ketika menguruskan jenazah. Bagaimanapun setakat ini tiada apa-apa kenyataan rasmi dari PAS ataupun mufti Kedah berhubung insiden ini. Bagaimanapun pihak kami dimaklumkan kesemua mereka sememangnya adalah petugas di masjid berkenaan.

3. Kehadiran paderi di pengebumian Kassim Ahmad ialah untuk memberikan penghormatan terakhir dan bukannya untuk mengambilalih pengurusan jenazah. 



4. Paderi tersebut bernama Tan Sri Murphy Pakiam. Beliau hadir ke Masjid Al Huda di Kulim kerana dimaklumkan arwah berada disitu untuk disempurnakan jenazahnya. Murphy Pakiam adalah bekas archbishop Kuala Lumpur dan juga merupakan seseorang yang rapat dengan Kassim Ahmad. Mereka pernah hidup berjiran semasa tinggal di Bukit Gelugor, Pulau Pinang pada tahun 60 an.

5. Kesemua keluarga termasuk isteri, anak-anak dan cucu Kassim Ahmad berada di masjid dari awal hingga selesainya urusan pengebumian jenazah. Kecuali anak perempuan kedua arwah yang menetap di Perancis kerana tidak sempat pulang.

6. Beberapa individu, aktivis dan tokoh yang dikenali turut hadir ke majlis pengebumian tersebut antaranya; Adam Adli, Dr. Syed Husin Ali dan Mohideen Abdul Kader.

7. Untuk rekod, isu pengebumian Kassim Ahmad yang diviralkan ini ditulis selepas dua hari jenazahnya disempurnakan mengikut kematian orang Islam.

Rabu, 11 Oktober 2017

Jangan Gunakan Sekolah Untuk Berpolitik, Datuk Ayub Selar Amanah Yang Hantar Sumbangan Kertas A4..

Oleh : Bernama

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor Datuk Ayub Rahmat memberi amaran kepada parti pembangkang supaya jangan menggunakan pihak sekolah untuk meraih publisiti murahan untuk mendapatkan kepentingan politik. 


Beliau berkata pihak pembangkang pada awalnya memberitahu guru-guru berkenaan kononnya sumbangan itu adalah sumbangan peribadi dan tidak berkaitan dengan mana-mana parti politik. 

“Bagaimanapun, perkara yang sebaliknya yang berlaku,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Anugerah Lestari dan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Johor sempena Ekspo Johor Berkemajuan di Kota Iskandar di sini, hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan sebuah parti pembangkang yang memanipulasikan gambar guru besar dari lima sekolah di Johor bagi tujuan politik selepas kononnya menyampaikan sumbangan peribadi berbentuk sekotak kertas A4. 

“Pejabat Pendidikan Negeri memang membekalkan sekolah dengan kelengkapan yang mencukupi, terutamanya kertas. Janganlah kita mempolitikkan sekolah terutamanya sekolah-sekolah di Johor. Pakatan Harapan bagi satu kotak kertas bersamaan 10 rim sedangkan keperluan sekolah-sekolah berkenaan adalah lebih daripada 1,000 rim. 

“Ahli Parlimen Tenggara Datuk Halimah Mohamed Sadique menyumbangkan 150 rim, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Raja Datuk Seri Dr Adham Baba sumbangkan 50 rim, dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kulai pula menyumbangkan 42 rim. 

“Oleh itu, saya mencabar parti Amanah untuk hantar lebih 150 rim setiap minggu, jangan hantar sekali, satu kotak, kemudian bergambar. Sepuluh rim nak bungkus tempe pun tak cukup,” katanya. 

Mengenai dakwaan parti pembangkang yang kononnya terdapat banyak kuarters guru terbiar di Johor tanpa diselenggarakan oleh kerajaan negeri, beliau berkata kuarters guru yang terletak di Tenang, Segamat, sememangnya tidak berpenghuni. 

“Kali terakhir ia diduduki adalah pada 2011. 

Sebenarnya, kuarters itu dibina sejak 10 tahun yang lalu tetapi kenapa tahun ini baru nak nyatakan terbengkalai? 

“Melainkan hanya sengaja mencari isu dan populariti bukannya jalan penyelesaian,” kata Ayub sambil memberitahu situasi itu turut berlaku di Kedah, Perak dan Selangor. 

Menurutnya pada Mesyuarat Tindakan Peringkat Daerah, Anggota Dewan Undangan Negeri Tenang Azhar Ibrahim mencadangkan untuk kuarters-kuarters guru yang tidak berpenghuni itu, digunakan atau diberikan kepada agensi lain. 

“Jadi, kita mengalu-alukan mana-mana agensi kerajaan yang memerlukan ruang pejabat atau premis sementara, mereka boleh membuat permohonan kepada Pejabat Pendidikan Negeri dan kita akan pertimbangkan. 

“Kita berpendapat kuarters ini sesuai dijadikan bangunan pelbagai guna oleh agensi-agensi lain dengan mendapatkan kebenaran Kementerian Pendidikan,” katanya. 

Ayub berkata kekosongan kuarters guru berkenaan juga berlaku kerana faktor kenaikan gaji dan elaun perumahan guru.

Adik Shafie Apdal Disiasat SPRM, Rumah Digeledah.

Adik bekas menteri persekutuan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana pembangunan luar bandar di Sabah bernilai RM1.5 bilion, lapor Bernama pada semalam.


Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi, Azam Baki turut mengesahkan bahawanya SPRM telah menahan adik kepada Shafie Afdal itu pada jam 9.30 pagi semalam ketika beliau hadir untuk memberikan keterangan kepada agensi berkenaan. 

Hamid Apdal ialah seorang ahli perniagaan yang berusia 52 tahun. Beliau juga merupakan ahli UMNO cawangan Semporna. Semalam SPRM juga turut mengeledah rumah beliau yang terletak di Putatan.

Lima pegawai dan anggota SPRM datang ke rumah adik Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal itu pada jam 3 petang semalam dan dilaporkan keluar pada jam 6 petang.
Difahamkan, pasukan SPRM datang bersama Hamid, yang hadir di pejabat SPRM Kota Kinabalu bagi memberi keterangan berhubung kes berkenaan.
Berdasarkan maklumat, beberapa barangan dan dokumen yang dipercayai bahan bukti untuk kes itu turut dirampas dalam operasi tiga jam itu, memetik laporan Berita Harian.
Setakat ini 6 yang ditahan ialah;
1. Naib Presiden Warisan - Peter Anthony
2. Ketua Pemuda Warisan - Mohd Azis Jamman
3. Bekas Timbalan Setiausaha KKLW
4. Ahli perniagaan yang berusia 54 tahun
5. Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar
6. Ketua Pemuda UMNO Tawau, Arrifin Kassim

Hamid ialah individu yang ketujuh ditahan dalam siasatan kes ini.
60 syarikat akan disiasat kerana dipercayai terlibat dengan skandal penyelewengan tersebut. SPRM akan turut memanggil 32 orang saksi bagi membantu siasatan.
Kes penyelewengan ini membabitkan peruntukan berjumlah 7.5b dari kerajaan persekutuan untuk Sabah bagi projek-projek menaiktaraf, pembangunan, penyediaan infrasktuktur, dan bantuan orang miskin.
Setakat ini 1.5b dikesan telah hilang dari peruntukan tersebut akibat 'disedut keluar' oleh pihak tertentu.
Penyelewengan ini dikatakan bermula dan berlaku di antara 2009 hingga 2015, ketika Shafie Apdal memegang jawatan sebagai menteri di Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah.


 

Selasa, 10 Oktober 2017

Jamal Mahu Jual Ikan Di Demo Pembangkang 14 Oktober..

Ketua Umno Sungai Besar dan pemimpin utama NGO pro UMNO, Gerakan Merah, Datuk Jamal Yunos hari ini berkata bahawanya beliau akan hadir ke tapak lokasi perhimpunan 'Sayangi Malaysia, Hapus Kleptorasi' bagi menjual ikan pada harga yang sangat murah berbanding harga yang ditetapkan pasaran pada ketika ini.

Memetik laporan BeritaDaily, Jamal dilaporkan berkata,"Betul, saya akan (hadir) menjual ikan seperti yang saya (pernah) lakukan sebelum-sebelum ini,".



Sebelum ini Jamal telah beberapa kali menjual ikan pada harga yang sangat murah dan dilaporkan jualannya itu mendapat sambutan orang ramai disebabkan harganya yang murah berbanding harga pasaran. Tindakan Jamal itu dipercayai untuk memerangi orang tengah yang menurutnya mengambil keuntungan keterlaluan.

Jamal turut dilaporkan akan membuka gerai jualannya pada waktu tengahari dan tidak akan memohon permit.

"Memang betul yang saya akan menjual ikan pada hari itu bersama ramai lagi peniaga-peniaga lain yang turut menjual barangan mereka di situ. Tidak ada sebabnya saya perlu memohon permit," katanya kepada portal itu. Menurut Jamal lagi, bekalan ikan mentah diperolehi dari Sungai Besar. 

"Saya akan berkemas sebaik sahaja kesemua ikan habis dijual," katanya.

Beliau juga memberikan jaminan bahawanya kehadiran beliau disitu adalah atas faktor mahu berniaga semata-mata.


"Tidak ada keperluan untuk kawalan keselamatan ke atas saya. Saya hanya akan menjual ikan sahaja pada hari itu. Pihak pembangkang boleh meneruskan perhimpunan mereka seperti yang dirancangkan. Saya tidak akan menggangu mereka. Biarlah mereka berhimpun sepertimana yang mereka inginkan," katanya lagi. 




14 Oktober ini, pembangkang akan mengadakan perhimpunan besar-besaran bagi mengkritik pentadbiran Najib Razak. Lokasi perhimpunan dijadualkan akan bertempat di Padang Timur MBPJ, Petaling Jaya. Perhimpunan akan bermula pada jam 4 petang.

Sebelum ini, Timbalan Pemuda Amanah Nasional menyuarakan kebimbangan berikutan kurangnya respon terhadap perhimpunan yang bakal berlangsung pada sabtu ini.

Tinjauan yang pernah dijalankan oleh krew Malaysiakini juga mengesahkan bahawanya rata-rata orang awam yang didekati tiada minat dan kesungguhan terdapat perhimpunan tersebut malahan ada yang tidak tahu kewujudannya.

Di laman sosial pula, aturcara perhimpunan lawan Najib itu juga disindir sebagai acara pesta dan sukaneka.

Oktoberfest - Orang Melayu Jaga Tepi Kain Sendiri Nasihat Mahathir.

Oleh : Chedet

1. Saya diberitahu ramai yang marah saya kerana tidak menyatakan sokongan saya terhadap bantahan perayaan beer (beer festival – Oktober Fest) oleh orang bukan Islam.

2. Bagi saya kalau orang bukan Islam yang tidak haramkan minum alkohol atau beer hendak minum beer sampai pengsan, itu masalah mereka. Yang penting mereka jangan timbul masalah kepada orang lain, atau memandu kereta di waktu mabuk.

3. Yang saya amat dukacita ialah penyalahgunaan dadah oleh anak orang Islam sehingga menyebabkan kematian 23 murid sekolah tahfiz apabila mereka membakar asrama sekolah.

4. Ternampak seolah-olah orang Islam menerima pembunuhan murid ini sebagai perkara biasa. Ya. Memang ada mereka yang berpendapat ini semua takdir. Oleh itu terima sahajalah. Seperti yang telah dinyatakan oleh guru tahfiz, anak yang mati setelah ke sekolah tahfiz akan menunggu ayah dan emak di pintu syurga kelak.

5. Tetapi bagi saya soal yang timbul ialah kenapa ada anak orang Melayu / Islam yang terlibat dengan dadah. Kenapa tidak didengar anak Cina dan India terlibat dengan dadah. Apakah ini juga takdir. Tidak adakah apa-apa yang boleh dibuat untuk menentu anak Melayu / Islam menolak dadah?

6. Allah SWT berfirman dalam Al Quran bahawa Allah tidak akan memperbaiki keburukan yang menimpa manusia melainkan manusia itu sendiri cuba memperbaikinya terlebih dahulu.

7. Penagihan dadah disebabkan kurang kawalan anak oleh ibu bapa di zaman ini. Tanggungjawab menyemai sikap menolak dadah sepatutnya diletak di bahu guru agama dalam sekolah.

8. Tetapi di sekolah, selain dari mengajar ibadat tertentu untuk pahala tidak ada tekanan yang cukup terhadap pengajaran budi pekerti Islam; terhadap dosa pahala, baik buruk, amalan hidup dalam Islam. Dengan itu anak mudah terjebak dengan yang tidak baik, termasuk penggunaan dadah.

9. Jika kerana disemai dengan kawalan diri mencegah yang buruk dan mengamal yang baik (amal ma’aruf nahi mungkar) sebagai sebahagian dari tuntutan agama Islam, kemungkinan perlakuan perkara-perkara yang dilarang akan berkurangan. Tetapi setakat yang saya tahu tidak ada latihan dan pengajaran secara sistematik dalam bidang ini di sekolah-sekolah.

10. Ilmu sahaja tidak berguna jika tidak dikawal oleh budaya yang baik. Saya amat malu membaca laporan berkali-kali akan perlakuan yang tidak baik oleh orang Islam, terutama anak muda. Saya berpendapat perkara ini perlu diberi perhatian lebih oleh orang Islam dan bukan melarang orang bukan Islam minum beer.

 
11. Ini adalah pendapat saya. Jika nak kecam dan nak marah saya kerana tidak memecah botol beer di hadapan pejabat MB, marahlah.

12. Oktober Fest, perayaan minum beer pada bulan Oktober adalah tradisi budaya orang Jerman.

13. Jerman menerima satu juta pelarian Islam dari Syria. Apakah balasan pelarian ini kepada orang Jerman sebagai tuan rumah ialah dengan melarang mereka dari minum beer dalam Oktober Fest mereka.

14. Orang Melayu berkata jaga tepi kain sendiri. Tentukan kita jangan minum beer dan kita tak makan dadah. Itu lebih baik dari pecah botol beer.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...