Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Sabtu, 2 September 2017

Melayu Juga Yang Menjahanamkan Melayu..

Oleh : Tun Fiqa Muhammad
MELAYU JUGA YANG MENJAHANAMKAN FELDA
Suami saya adalah bekas pegawai FELDA yang pernah dibayar gaji mahal..
Tapi perkara itu tidaklah bertahan lama, selepas beberapa ketika bersama FELDA, dia seringkali berkata kepada saya bahawanya tahap kesedarannya (hati nurani) tidak jelas kerana dia sudah tahu terlalu banyak (rahsia). Anda tahu, Saif ialah seorang yang tidak faham kawasan kelabu. Baginya apa yang ada hanyalah betul dan salah. Hitam dan putih. Jahat dan baik. Salah dan betul.
Dia asyik memberitahu saya, "Sayang, ini semua duit peneroka..duit orang kampung..duit peneroka, mengapakah mereka tergamak membelanjakan secara boros seperti ini.." sampaikan satu tahap, saya melihat matanya seperti mahu mengalirkan air mata kerana berasa putus asa, hilang harapan dan dia terus berkata, "melayu yang menjatuhkan melayu.. Islam tapi tak macam Islam"..
Satu hari tu, sesuatu telah dicetak secara salah, di tempatnya (pejabat Saif), dan dia menjadi marah melihat perkara itu dan ia membuatkan dia (Saif) mempersoalkan ketuanya tentang hal itu, saya agak itulah puncanya Saif menjadi sasaran oleh ketuanya kerana mempersoalkan apa ke mana, dan sebagainya..
Sejak dari saat itu, dia tidak boleh lagi menerimanya, dia tidak mampu lagi untuk meneruskan, dari pejabat besar ke pejabat kecil, kemudiannya ke pejabat yang lebih kecil di bangunan yang berbeza, pada ketika itu saya merasakan dia seperti telah kehilangan persona..
Untuk beberapa bulan seterusnya, setiap hari dia pulang dengan rasa sakit di belakang leher. Saya sedar pada ketika itu ia ada kaitan dengan tekanan darah tinggi. Saya tidak mahu nantinya suami saya pengsan dan kemudiannya terus meninggal dunia begitu sahaja, jadi itulah perkara yang membuatkan saya nekad.
Pada satu hari saya memeluknya dan berkata, "hey sayang, apa kata awak tinggalkan aje kerjaya awak tu, jangan fikirkan sangat soal kewangan, jangan fikirkan sangat soal kedudukan, tak usah memaksa diri untuk membetulkan perkara yang salah, tinggalkan sahaja kerja tu, saya kan ada. Saya pun kerja, saya akan berusaha untuk memastikan kita akan baik-baik sahaja, saya ada awak, awak ada saya, itulah sahaja yang kita perlukan, tinggalkan aje kerjaya awak tu.."
Jadi dia pun berhenti (meletak jawatan) walaupun ketika itu dia belum pun mendapat pekerjaan yang lain..
Ia adalah masa-masa yang sukar bagi kami. Ketika itu kami ada beberapa komitmen berat yang perlu dipenuhi setiap bulan tambahan pula kami baru sahaja membeli tanah disamping hutang rumah yang perlu dibayar bulan-bulan. Dia (Saif) ketika itu baru berusia 31 tahun dan saya pula berusia 27 tahun. Bohonglah kalau saya katakan saya tidak risau, tidak bimbang. Saya pernah meluahkan perasaan kepada kawan baik juga dan menangis. Saya tidak boleh mengatakan perkara ini kepada Saif. Saya tidak mahu menekan dirinya tambahan pula saya juga tidak mahu bimbangkan keluarga kami berdua.
Ia adalah masa-masa yang membimbangkan bagaimanapun saya ialah seorang rakan yang sangat kuat menyokong, kami okay sekarang, ia mengambil masa untuk pulih, kurang dari setengah tahun namun ia adalah antara pengalaman terburuk yang pernah dilalui oleh saya sebagaimana ia antara pengalaman terburuk suami saya (yang ke sekolah jenis kebangsaan cina) tentang sikap kebanyakan orang melayu.. (terlibat rasuah, korup).
Apa yang dia (Saif) fikir sekarang ialah, mana-mana melayu berkuasa dan berkedudukan ialah melayu yang terlibat dengan perbuatan korupsi ataupun bakal terlibat dengan penyelewengan. Disebabkan itu dia bersumpah untuk tidak terlibat dengan politik sehinggala dia bebas dari masalah kewangan jika tidak, prinsip dan jiwa terpaksa digadaikan demi wang dan kuasa. Walaupun agak menyedihkan untuk mengatakan seperti itu, namun ia sememangnya benar..
Saya percaya, sudah sampai ke tahap ini, lebih ramai pihak yang sepatutnya dibawa ke muka pengadilan. Mana yang pergi LA kononnya nak buka kedai supplement, yang pergi ke luar negara atas nama urusan perniagaan, berbelanja beratus juta tapi produknya satu, sudahlah satu, suam-suam kuku pula tu. Yang bayar perunding hantu, buat keputusan perniagaan menggunakan kepala lutut dan atas kertas mendakwa ia adalah ketirisan..
Mana semua orang tu? Semua salah laku mereka tersebar di media-media antarabangsa, ada yang kena CBT dan ada yang belum kena lagi saya fikir..
Saya berharap dapat melihat kesemua mereka dalam pakaian oren SPRM.. kerana ia benar-benar menghentak jiwa saya ketika saya mengimbas kembali wajah dan kata-kata suami saya pada setiap kali dia mengatakan, "sayang.. ini semua duit peneroka.."
Malahan sampai ke hari ini pun, anda tahu apa yang Saif impikan? Dia sentiasa mengatakan kepada saya, suatu hari nanti dia mahu kembali ke FELDA, sebagai seseorang yang berkuasa untuk memperbetulkan FELDA, kerana dia sangat sayangkan FELDA. Baginya, satu-satunya cara untuk menyelamatkan dan membetulkan FELDA ialah dengan menaikkan anak-anak FELDA sendiri yang ada rasa cinta dan setia. Itulah impiannya. Untuk berkhidmat dan membina kembali perniagaan yang sangat dekat di hatinya. Tetapi jika anda semua bertanyakan kepada saya, saya akan katakan, apa lagi yang tinggal di dalam FELDA?
FELDA suatu ketika dahulu adalah GERGASI (perniagaan yang gah).. 
 ** Ini adalah pandangan oleh Tun Fiqa Muhammad yang ditulis dalam bahasa inggeris, dialihbahasa oleh Amenoworld untuk siaran blog.

Syarikat Mana Dapat Projek Jual Tiket Sukan SEA, KBS? Soal MP Pembangkang.

Oleh : Zairil Khir Johari
Pertama sekali saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah atas kejayaan kontinjen negara menjangkaui sasaran 111 pingat emas dalam Sukan SEA, lantas menjadikan temasya kali ini sebagai yang terbaik dalam sejarah penyertaan Malaysia dalam kejohanan serantau ini.
Walaupun tidak berjaya menjuarai acara bola sepak, namun prestasi pasukan Harimau Malaya kita amat mengagumkan dan menonjolkan potensi yang baik buat masa depan.
Namun begitu, tampaknya misi untuk menjuarai temasya ini sedikit terganggu dengan insiden kekecohan semasa penjualan tiket perlawanan akhir bola sepak antara Malaysia dengan Thailand yang telah berlangsung.
Suasana ketika penyokong beratur beli tiket
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin telah memutuskan untuk tidak menjual tiket perlawanan akhir secara atas talian setelah mendapati berlakunya kelemahan yang ketara dalam penjualan tiket bagi perlawanan-perlawanan sebelumnya – termasuk semasa perlawanan yang membabitkan negara Myanmar apabila ramai penyokong negara tersebut gagal membeli tiket sedangkan tempat duduk di dalam stadium masih banyak yang kosong.
Selain itu, terlalu banyak masalah teknikal yang membelenggu pengurusan tiket perlawanan, daripada rungutan laman web yang tidak berfungsi, pembelian tiket yang tidak direkodkan, hinggalah kepada kegagalan pengimbasan di kaunter masuk. Akhirnya, berkelam-kabutlah apabila orang ramai menghadapi masalah memperolehi tiket.
Jelas, sistem penjualan dan pengurusan tiket yang diguna pakai mempunyai terlalu banyak kelemahan asas sehingga menjejaskan perjalanan beberapa acara.
Paling malangnya, kebanyakan masalah yang berlaku sepatutnya boleh dielak. Justeru, timbul beberapa persoalan mengenai kecekapan dan kemampuan syarikat yang dipertanggungjawabkan bagi menguruskan penjualan tiket.
Syarikat konsesi jelas tidak berkemampuan
Pertamanya, kementerian harus menjelaskan syarikat manakah yang diberi konsesi penjualan dan pengurusan tiket?
Adakah tender terbuka dilakukan, dan apakah asas pemilihan syarikat tersebut apabila jelas mereka kurang berpengalaman dalam acara besar-besaran dan tidak membuat persediaan yang mencukupi.
Alasan trafik atas talian yang terlalu tinggi adalah tidak munasabah. Hal ini kerana banyak acara lain yang jauh lebih besar, termasuk konsert Ed Sheeran yang bakal berlangsung pada 14 November ini, langsung tidak mengalami masalah walaupun sejumlah 12,000 tiket telah dijual dalam masa 30 minit.
Platform atas talian yang cekap sepatutnya mampu menampung trafik dan permintaan yang besar dan mendadak.
Maka, timbullah pertanyaan mengapa syarikat-syarikat yang lebih berpengalaman tidak dipilih untuk menyediakan perkhidmatan jualan tiket atas talian bagi temasya Sukan SEA yang jelas akan menjana permintaan besar?
Selaku pihak yang bertanggungjawab, Kementerian Belia dan Sukan harus menjelaskan soalan-soalan mengenai syarikat konsesi.
Dalam pada itu, kementerian juga harus menjawab sama ada konsesi pengurusan tiket bagi kota sukan bersepadu KL Sports City di Bukit Jalil telah pun dianugerahkan, dan jika ya, kepada syarikat mana.
Langkah-langkah harus diambil untuk memastikan kegagalan yang sama tidak berulang.
Walaupun dicemari oleh permasalahan pengurusan tiket, khususnya bagi acara bola sepak, namun syabas tetap diucapkan kepada semua warga sukan dan para atlet kebangsaan yang telah mengharumkan nama negara di persada Sukan SEA kali ini.

Syukur Alhamdullilah, PAS Tidak Bekerjasama Dengan PH Kata Menteri BN.

Oleh : Bernama
Keputusan Pakatan Harapan (PH) untuk tidak bekerjasama dengan PAS akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya umum ke-14 nanti, kata Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Tengku Adnan Mansor
“PAS merupakan sebuah parti politik yang berstruktur dan mempunyai keanggotaan yang ramai. PAS tidak sama dengan parti lain dalam Pakatan Harapan yang tiada struktur.
“Apabila PAS sudah sedar (tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan) syukur alhamdulilah, kita berharap bahawa mereka (PAS) akan bersama kita.
“Itu adalah harapan kita,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Aidiladha dan Hari Keluarga Parlimen Putrajaya di sini hari ini.
Pada 29 Ogos lepas, majlis presiden Pakatan Harapan mengumumkan bahawa empat parti komponen dalam pakatan itu tidak akan bekerjasama dengan PAS bagi mengelak pertandingan tiga penjuru dalam PRU14.
Sementara itu, mengenai laluan khas basikal di Kuala Lumpur, Tengku Adnan, yang juga menteri Wilayah Persekutuan, berkata penyelenggaraan secara berkala akan dibuat di laluan sepanjang 5.5 kilometer dari Dataran Merdeka ke Mid Valley untuk memastikan ia sentiasa selamat untuk pengguna.
“Saya akan berbincang dengan pihak DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) untuk mencontohi idea laluan basikal yang dilaksanakan Perbadanan Putrajaya, di mana ia tidak menggunakan garisan sebaliknya laluan yang dicat merah,” katanya.
Selain itu, Tengku Adnan berkata laluan basikal di Kolam Biru, daya penarik baharu bandaraya Kuala Lumpur, dijangka siap sepenuhnya menjelang pertengahan tahun depan.

Fitnah Hospital Sultanah Aminah, Exco Johor Cadang KKM Ambil Tindakan Terhadap Portal Singapura.

Oleh : Bernama
Kementerian Kesihatan diminta menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah portal berita Singapura yang melaporkan artikel tidak berasas mengenai kematian seorang rakyat negara itu di sini, baru-baru ini.
Brandon Yeo (kiri) bergambar bersama Justinian Tan. Mereka menjadi mangsa kes langgar lari di Johor Baru pada awal pagi 25 Ogos lalu
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri Datuk Ayub Rahmat berkata pihaknya kesal dengan penyiaran berita terbabit yang tanpa fakta benar kerana ia memberi tekanan terhadap motivasi warga kerja Jabatan Kesihatan di negeri ini.
“Saya kesal dengan penyiaran berita seperti ini. Sehubungan itu, saya menyeru semua pihak agar menghormati profesyen sektor kesihatan terutama di Johor dengan tidak memberi gambaran negatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau merujuk artikel The Independent semalam yang menyebut ambulans Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini lewat memberikan respon sehingga 30 minit terhadap laporan kemalangan membabitkan seorang rakyat Singapura pada 25 Ogos lepas.
Artikel itu mendakwa kelewatan itu menjejaskan usaha untuk membawa mangsa berusia 25 tahun itu mendapatkan rawatan di hospital pada kadar segera.
Selain itu, artikel berkenaan mendakwa pihak HSA menuntut sejumlah wang deposit daripada keluarga mangsa sebelum membenarkan sebarang rawatan dijalankan.
Ayub berkata pada dasarnya, petugas Jabatan Kecemasan di semua hospital kerajaan tidak memohon pembayaran lebih awal sebelum apa-apa rawatan dijalankan untuk kes-kes kritikal termasuk yang melibatkan warga asing.
“Saya menafikan kes ini disebabkan kelewatan ambulans atau masalah pembayaran. Pihak hospital akan sedaya upaya melakukan yang terbaik untuk semua pesakit yang mendapatkan rawatan,” katanya.

Jumaat, 1 September 2017

Penjelasan Peguam Tentang Dakwaan Sarawak Report Gagal Kemuka Penyata Pembelaan.

PENJELASAN UNDANG-UNDANG BERHUBUNG KEDUDUKAN KES FITNAH HADI AWANG (PAS) vs CLARE REWCASTLE-BROWN (SARAWAK REPORT) DI LONDON, UNITED KINGDOM !!!

1. Sebenarnya, sebelum ini, saya telah diminta untuk memberi pandangan saya berhubung kesan dan efek Perintah 02.08.2017 yang dibuat oleh MAHKAMAH TINGGI di United Kingdom itu, selepas pendengaran permohonan bertarikh 16.06.2017, seperti yang dilaporkan oleh MALAYSIAN INSIGHT bertarikh 06.08.2017 bertajuk "Pengarang Sarawak Report diperintah bayar RM84,000 kepada Hadi", yang mana saya telah berikan pandangan saya melalui Siri : 1005 bertarikh 07.08.2017, sebelum ini.

Sumber - KLXpress
2. Namun, pada hari Khamis, 31.08.2017, telah tertular pula satu lagi Laporan terbaru, yang diterbitkan oleh THE THIRD FORCE, seperti yang juga diterbitkan semula oleh MALAYSIATODAY pada 31.08.2017 dan bertajuk "SARAWAK REPORT GAGAL MENGEMUKAN PEMBELAAN", di mana antara lain dilaporkan :

"Pada jam 4.00 petang, masa United Kingdom (UK), Ketua Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown, gagal mengemukan bukti kepada Mahkamah di London bahawa Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak menyogok Presiden PAS Dato’ Seri Abdul Hadi Awang sebanyak RM90 juta. Kegagalan beliau untuk berbuat demikian melanggar perintah Mahkamah bertarikh 2 Ogos 2017 (lihat di bawah) yang memerlukan beliau untuk memfailkan serta mengemukan pembelaan beliau mengikut tarikh yang ditetapkan."

3. Ramai yang telah bertanyakan saya berhubung kandungan Laporan itu, yang menyebabkan saya memberi pandangan saya melalui tulisan saya di sini, setakat dan terhad cuma melalui maklumat yang tertera pada apa yang tampak seolah-olah satu PERINTAH MAHKAMAH TINGGI di United Kingdom bertarikh 02.08.2017, yang turut sama ditampilkan dalam Laporan itu. 

4. Dari segi undang-undang, menurut kandungan PERINTAH MAHKAMAH bertarikh 02.08.2017, jika Perintah itu adalah Perintah yang sah dan tidak disalahubah oleh mana-mana pihak ketiga :

(a) Pihak HADI AWANG (PAS) adalah dimestikan untuk membayar deposit kos sebanyak Pound Sterling 14,350 kepada Pejabat Dana Mahkamah (Courts Funds Office) pada atau sebelum jam 4 petang (waktu United Kingdom) pada 23.08.2017, dan

(b) Pihak CLARE REWCASTLE-BROWN (SARAWAK REPORT) pula adalah dimestikan, pada atau sebelum jam 4 petang (waktu United Kingdom) pada 23.08.2017, untuk :

(i)  membayar kos berkaitan pendengaran permohonan bertarikh 16.06.2017 terdahulu sebanyak Pound Sterling 15,000 kepada  pihak HADI AWANG (PAS), dan 

(ii) memfailkan ke Mahkamah  dan meyerahkan kepada pihak HADI AWANG (PAS) akan PENYATA PEMBELAAN dalam tindakan itu.

5. Saya tidak berhasrat untuk memberi komen berhubung isu kos yang sepatutnya diselesaikan oleh kedua-dua pihak, yakni pihak HADI AWANG (PAS) dan juga pihak CLARE REWCASTLE-BROWN (SARAWAK REPORT), kerana tiada maklumat daripada Laporan itu samada deposit kos, dan kos, masing-masing, melalui PERINTAH bertarikh 02.08.2017, seperti yang dirumuskan di Perenggan 4(a) dan (b)(i) di atas, telah dibayar ataupun tidak. 

6. Malahan saya percaya isu untuk perbincangan sebenar di sini adalah berkaitan pemfailan dan penyerahan PENYATA PEMBELAAN melalui PERINTAH bertarikh 02.08.2017, seperti yang dirumuskan di Perenggan 4(b)(ii) di atas, berhubung petikan-petikan di dalam kandungan Laporan THE THIRD FORCE , seperti yang juga diterbitkan semula oleh MALAYSIATODAY 31.08.2017 bertajuk "SARAWAK REPORT GAGAL MENGEMUKAN PEMBELAAN", yang mana adalah dipetik semula seperti berikut :

"Walaupun mempunyai masa yang mencukupi sejak setahun lalu untuk mengumpul bukti-bukti terhadap tuduhan beliau, Clare gagal untuk mengemukannya walau sedikit, bermakna segala dokumen yang di dakwa di miliki olehnya yang mengandungi pelbagai salah laku Najib adalah palsu semata-mata. Hakim mungkin tahu bahawa, maksud saya, jika memang dokumen tersebut tulen, mengapa beliau begitu keberatan untuk mengemukannya? Tidakkah dengan mengemukakan ‘bukti-bukti’ akan meyakinkan Hakim bahawa Najib adalah seorang yang tidak mulia yang mampu merasuah seseorang seperti Hadi ?", dan

"Kegagalan beliau untuk berbuat demikian sebenarnya menunjukkan bahawa dia mempunyai niat jahat untuk menjatuhkan pemimpin yang dipilih secara demokrasi bagi sebuah negara yang berdaulat. Dan sekarang, apabila arus berlawanan dengan kehendaknya, dia cuba untuk mengheret perbicaraan melepasi pilihanraya umum ke-14 dengan memohon lanjutan daripada Hakim. Tetapi Hakim dengan lebih atau kurang memberitahu beliau segalanya sudah berlalu."

7. Untuk fahaman mudah kesemua pembaca yang prihatin, kandungan petikan-petikan Laporan Laporan  THE THIRD FORCE 31.08.2017 itu, seperti yang dipetik di Perenggan 6 di atas, adalah SALAH dan TIDAK BENAR dari segi undang-undang kerana :

(a) PENYATA PEMBELAAN adalah cuma satu dokumen yang memberikan butiran fakta dan pengataan berhubung isu-isu yang akan dirujuk dan digunapakai oleh pihak Responden iaitu, pihak CLARE REWCASTLE-BROWN (SARAWAK REPORT) semasa PERBICARAAN tindakan SAMAN FITNAH oleh pihak HADI AWANG (PAS) kelak !!,

(b) PENYATA PEMBELAAN adalah dokumen undang-undang yang TIDAK MENGANDUNGI mana-mana BUKTI, kerana BUKTI tidak boleh ditampilkan melalui PENYATA PEMBELAAN !!,

(c) BUKTI seperti yang dirujuk di dalam petikan-petikan Laporan  THE THIRD FORCE 31.08.2017 itu, cuma akan ditampilkan selepas arahan-arahan lanjut semasa PENGURUSAN KES oleh Mahkamah terbabit, dan itupun melalui satu lagi dokumen Mahkamah yang berlainan yang dipanggil "BUNDLE OF DOCUMENTS", yang semestinya akan diarahkan kelak !! 

(d) Justeru, ianya adalah SALAH dan TIDAK BENAR untuk sesiapa membuat RUMUSAN dan KESIMPULAN bahawa kononnya pihak CLARE REWCASTLE-BROWN (SARAWAK REPORT) telah kononnya "gagal menampilkan bukti kenyataan beliau" yang menjadi asas tindakan saman pihak HADI AWANG (PAS), kerana UNDANG-UNDANG belum pun perlukan pihak CLARE REWCASTLE-BROWN (SARAWAK REPORT) untuk tampilkan sebarang BUKTI di tahap ini !!, dan

(e) Walhal, samada pihak CLARE REWCASTLE-BROWN (SARAWAK REPORT) telah failkan dan serahkan PENYATA PEMBELAAN ataupun memperolehi lanjutan masa bagi tujuan pemfailan dan penyerahan PENYATA PEMBELAAN juga tidak langsung dinyatakan di dalam  Laporan Laporan  THE THIRD FORCE 31.08.2017 itu sama sekali !!

8. Jawaban sebenar akan siapakah yang BETUL ataupun SALAH berhubung Laporan SARAWAK REPORT berkaitan perolehan dana 90 juta oleh PAS daripada Kerajaan NAJIB RAZAK itu akan cuma diketahui di hujung perbicaraan kes ini di MAHKAMAH TINGGI di United Kingdom itu, kelak !!

DEMI AGAMA DAN NEGARA TERCINTA !!!

(Tulisan di atas adalah pandangan peguam Haniff Khatri Abdullah yang dipetik daripada laman Facebook miliknya)

Jika Terus Burukkan Imej Parti, Rafizi Akan Dipecat Dari PKR.

Biro Politik PKR dilaporkan mengambil tindakan disiplin dengan memberi amaran kepada naib presidennya, Rafizi Ramli yang mendedahkan perbalahan dalaman parti itu lapor Sin Chew Daily. 
Sin Chew Daily memetik sumber sebagai berkata, Biro Politik PKR memutuskan untuk memberi amaran keras secara lisan kepada Rafizi kerana tindakan serta kenyataannya merosakkan nama baik parti itu.

Rafizi Ramli
“Berdasarkan nasihat (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, parti hanya memberi amaran lisan kepada Rafizi ketika ini. Jika beliau terus berdegil, tiada orang boleh menjamin beliau tidak akan dipecat kelak,” kata sumber yang dipetik akhbar itu.
Selasa lalu Rafizi mendedahkan wujudnya rundingan PKR dengan PAS menerusi satu kenyataan media yang dipetik menerusi laman blog pemimpin itu. Rafizi juga mendedahkan berikutan rundingan tersebut, PKR kini berhadapan dengan krisis dalaman yang serius kerana berpecahan di kalangan ahli Biro Politik PKR.
Menurut Rafizi lagi, ahli Biro Politik PKR berpecah kepada dua; sekumpulan mahu meneruskan dasar-dasar yang telah diputuskan oleh Pakatan Harapan manakala sebahagian yang lain, mahu meneruskan rundingan kerusi dengan PAS. Perpecahan di kalangan ahli Biro Politik PKR dilaporkan berlaku sejak Anwar dipenjarakan pada Februari 2015 yang lalu.
Selain satu lawan satu dengan PAS di Selangor, PKR juga dilaporkan akan melakukan rundingan dengan PSM di Selangor bagi memudahkan PKR menang mudah di kesemua kerusi yang ditandingi oleh parti itu.

Selasa, 29 Ogos 2017

YB DAP 'UNFRIEND' MP-MP PKR Di Facebook Kerana Isu Kerjasama Dengan PAS.

"Taknak kawan dengan pemimpin yang suka bermuka-muka. Kita, Pakatan Harapan akan terus maju ke hadapan!", itulah kenyataan yang dikeluarkan oleh Adun Tebing Tinggi, Ong Boon Piow yang mewakili kerusi DAP di laman facebook milik beliau pada pagi tadi.

Pemimpin yang dimaksudkan oleh ADUN itu ialah Ahli Parlimen dari Batu, Tian Chua yang mewakili PKR dan Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar yang juga mewakili PKR. Kedua-dua wakil rakyat itu juga menduduki Majlis Kepimpinan PKR dalam parti yang diwakili.



Untuk rekod, perkara ini mula menjadi polemik apabila gambar Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali dan juga Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah bertemu dengan Presiden PAS, Tuan Guru Hadi Awang tersebar di laman sosial dan seterusnya mengundang pelbagai persoalan dan kritikan.

Azmin ketika diminta mengulas penyebaran gambar tersebut oleh media menyifatkan PKR sedang berusaha untuk berkerjasama secara politik dengan PAS di Selangor bagi mengelak perlawanan 3 penjuru di antara Pakatan Harapan, PAS dan Barisan Nasional dalam PRU ke 14 kelak. 

Ada kajian yang dijalankan mendapati jika berlakunya perlawanan 3 penjuru, Pakatan Harapan dan PAS akan kalah dan Selangor akan kembali ke tangan BN semula. Atas faktor inilah Azmin dan beberapa pimpinan PKR yang lain memilih mencari jalan untuk berdamai dengan PAS di Selangor.

Bagaimanapun pada 24 Ogos lalu, Pesuruhjaya PAS Selangor, Ustaz Sallehen menyatakan PAS sedia tanding 42 kerusi di Selangor yang menunjukkan seolah-olah perbincangan kerusi di antara PAS dan PKR menemui jalan buntu.

Baca : Kami Mahu Tanding 42 Kerusi, PAS Kepada PH.

Selepas itu, tersebar pula 2 gambar mesej WhatsApp yang dipercayai dituliskan oleh Rafizi di laman sosial;



Bagaimanapun kesahihannya tidak dapat dipastikan setakat ini.

Baca : Dia La Punca Perpecahan - Latheefa Sindir Rafizi
Baca : Saya Bukan Agent UMNO, Rafizi Jawab Pengkritik 

Sebelum ini, William Leong, Ahli Parlimen Selayang dan juga ahli Biro Politik PKR meletak jawatan berikutan protes kerjasama PKR dan PAS pada 23 Ogos lepas. Perkara itu dilaporkan secara besar-besaran oleh media pro BN dan ramai yang berspekulasi mengatakan PKR telah berpecah kepada dua kem.

Di saat PRU akan berlangsung pada bila-bila masa sahaja dari sekarang, Pakatan Harapan terus menunjukkan sikap gagal bersatu-padu di antara mereka manakala Barisan Nasional semakin mengukuh dari segi kerjasama di antara parti. Hish.. bagaimanakah ianya akan dinilai oleh bakal-bakal pengundi nanti ya.. sama-sama nantikan keputusan PRU ke 14 kelak.. 😂😂😂😂😂

Guna NGO Kutip Duit Untuk Pecahkan Parti - Latheefa Sindir Rafizi.

Ahli Majlis Pemimpin Pusat PKR, Latheefa Koya semalam memuat naik beberapa status di laman sosial, Facebook miliknya yang dipercayai ditujukan kepada seorang pemimpin kanan PKR.



"Sejak dia masuk-dia sudah bergaduh dengan hampir semua pimpinan utama. Dia lah krisis," tulisnya. Beliau berkata, parti itu hanya menyaksikan 'krisis selepas krisis' sejak itu akibat 'kerja jahatnya', menggesa para pembaca untuk mengingati bahawa dia adalah sebahagian daripada 'geng Ponorogo'.

Ponorogo adalah sebuah Daerah di Jawa Timur, Indonesia.
Peguam itu mendakwa, pemimpin terbabit menggunakan wang yang dikutipnya untuk memecahbelahkan cabang dalam PKR. 

"Yang marah-marah saya sebab 'posting' ini, sila lihat apa yang dibuat oleh barah ini sekarang. "Sekarang ni guna dia punya NGO- kutip duit pastu - dia guna duit ni untuk memecahbelahkan cabang. Bukan untuk memantapkan parti tapi sebaliknya bagi huru-hara sebagai strategi ponorogo," tulisnya.

Dakwanya lagi, pemimpin itu kini sedang mengaturkan agar PKR berpecah menjadi dua. "Dia sedang memaksa parti pecah dua. Dia tak hadir mesyuarat.Tetapi dia berani hanya bagi kata dua melalui media.

"Ini namanya tindakan bacul. Dia bertanding dulu dalam parti - bawa cerita palsu, minta pertolongan dari orang-orang berpengaruh- tetap kena tolak oleh anggota," katanya. Beliau berkata, pemimpin itu pernah mengugut partinya sendiri.

"Dia pernah ugut, kalau dia dipecatkah, disingkirkah, dia akan menang sebab media alternatif sembah dia. “Dia tak dapat kawal Selangor. Dia telah berjanji akan musnahkan dalam apa cara pun. Tengah kotakan janji itu," dakwanya.

Dalam pada itu, Latheefa mengingatkan pembaca bahawa pendedahannya itu, bukanlah bermakna berlaku perpecahan kem dalam PKR.

"Percayalah ini bukan isu dua kem dalam parti, ini isu seorang bertindak seperti barah dalam parti," tegasnya

Saya Bukannya Agent UMNO, Rafizi Jawab Pengkritik.

KETIDAKHADIRAN KE MESYUARAT BIRO POLITIK DAN TUDUHAN SEBAGAI EJEN UMNO

Saya berterima kasih kepada semua pandangan dari dalam dan luar parti mengenai cadangan saya supaya kebuntuan mengenai kerjasama dengan PAS diselesaikan melalui kaedah pengundian perwakilan akar umbi KEADILAN di Kongres Khas yang boleh dipanggil mengikut peruntukan Perlembagaan Fasal Fasal 19(1)(c).
Dari pelbagai pandangan itu, ada beberapa perkara yang ditimbulkan yang mengundang pelbagai soalan dari pihak media dan orang ramai.
Google - Rafizi Ramli
Pertama, isu ketidakhadiran saya ke mesyuarat Biro Politik KEADILAN yang digunakan sebagai alasan kononnya saya tidak mengetahui keputusan berunding dengan PAS itu adalah keputusan parti yang diputuskan oleh Biro Politik KEADILAN.
Saya telah membuat keputusan untuk tidak hadir ke mesyuarat Biro Politik sejak Ogos 2016 selepas jelas perbezaan pendapat di Biro Politik yang berpanjangan akan membantutkan persediaan parti menjelang PRU14.
Ia berikutan rentetan peristiwa-peristiwa berikut:
1. Pertembungan 3 penjuru di pilihanraya Sarawak (Mei 2016) walaupun keputusan Biro Politik adalah jelas mengekalkan persetujuan pembahagian kerusi yang diputuskan di peringkat Majlis Presiden PH pada ketika itu dan ditandatangani sendiri oleh Timbalan Presiden parti
2. Tindakan melengah-lengahkan penyertaan PH di dalam Pilihanraya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar sehingga ke saat akhir sehingga saya terpaksa mengeluarkan satu Pekeliling Setiausaha Agung mengarahkan jentera parti turun membantu jentera PH (dari AMANAH dan DAP ketika itu) tanpa menunggu keputusan Biro Politik yang tidak kunjung tiba
Sejak Dato’ Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan, keputusan di peringkat Biro Politik menjadi sukar untuk dicapai bila ada perbezaan pendapat. Jika pun telah ada persetujuan di peringkat Biro Politik, jika itu tidak disukai oleh seseorang maka keputusan itu tidak dihormati malah akan dibuka balik di dalam mesyuarat Biro Politik yang seterusnya untuk ditukar kembali (seperti yang berlaku dengan keputusan perletakan jawatan pimpinan parti di dalam Kerajaan Kelantan). Akibatnya mesyuarat Biro Politik menjadi tempat polemik politik yang berpanjangan tanpa menghasilkan gerakan yang berkesan di bawah.
Keadaan ini semakin menjadi-jadi dalam isu yang paling sensitif iaitu kerjasama dengan PAS kerana ia melibatkan Kerajaan Selangor. Oleh kerana pandangan Timbalan Presiden ialah untuk terus membuka pintu kepada PAS sehingga ke saat akhir untuk memastikan kemenangan di Selangor, sebarang langkah yang dilihat tidak disukai oleh PAS ditolak.
Maka keputusan untuk menubuhkan Pakatan Harapan (yang mana saya menjadi tulang belakangnya sebagai Setiausaha Agung pada ketika itu) melebarkan lagi perbezaan pendapat antara saya dan Timbalan Presiden. Peristiwa-peristiwa di Pilihanraya Sarawak dan Pilihanraya Kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar adalah berpunca dari pandangan yang mengaitkan sebarang inisiatif yang membabitkan Pakatan Harapan akan menguntungkan saya secara politik, maka ia tidak wajar disokong.
Menyedari hakikat ini, selepas kekalahan di Pilihanraya Sarawak dan Pilihanraya Kecil Sungai Besar/Kuala Kangsar, saya tahu bahawa masa dan tenaga saya lebih baik digunakan untuk berkempen di bawah daripada bertempur di dalam bilik mesyuarat yang tidak berkesudahan. Seawal Ogos 2016, saya tahu kemungkinan besar saya akan dijatuhkan hukuman penjara kerana saya didakwa di bawah Akta OSA pada April 2016, maka saya telah membuat keputusan untuk melepaskan jawatan Setiausaha Agung kepada Dato’ Saifuddin Nasution Ismail apabila dijatuhkan hukuman kerana pertukaran itu tidak menimbulkan kontroversi di mata rakyat.
Sebab utama keputusan itu (selain dari soal dijatuhkan hukuman) ialah kerana saya percaya tenaga dan masa saya lebih baik digunakan untuk memastikan kempen dan persediaan KEADILAN/PH di kerusi-kerusi penting (kerusi marginal yang kalah tipis) berjalan baik; daripada dihabiskan di dalam pertempuran politik di atas. Tambahan pula, Dato’ Saifuddin Nasution Ismail adalah orang kepercayaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Dato’ Seri Dr Wan Azizah Ismail dan juga diplomat KEADILAN di dalam Pakatan Harapan yang paling kanan (sejak Pakatan Rakyat lagi).
Maka saya membuat keputusan untuk mengambil tanggungjawab menyediakan jentera dan kempen pilihanraya di kerusi-kerusi marginal yang saya telah usahakan melalui INVOKE sejak Ogos 2016 lagi.
Sudah tentu semua keputusan ini dibincangkan dengan Dato’ Seri Anwar dan Dato’ Seri Dr Wan Azizah. Walaupun berat, mereka memahami keadaan pada ketika itu dan kami menyesuaikan aturan menguruskan parti dan memimpin kempen rakyat untuk memastikan kompromi itu membuahkan hasil kepada rakyat dan parti: iaitu sedang Timbalan Presiden diberikan peluang mengusahakan satu muafakat dengan PAS untuk mencari jalan satu lawan satu, saya pula diberikan peluang membina kempen di bawah di kerusi-kerusi marginal melalui INVOKE.
Saya memberikan laporan dan maklumbalas kepada Presiden dan Setiausaha Agung setiap minggu dalam mesyuarat mingguan kami. Saya juga adalah perunding yang mewakili KEADILAN dalam merundingkan kerusi di peringkat Pakatan Harapan.
Maka sementara saya mungkin tidak ke Biro Politik, itu tidak bermakna saya tidak tahu perkembangan parti kerana saya bermesyuarat dengan Presiden, Setiausaha Agung (dan Pengarah Pilihanraya Sdri Nurul Izzah, pada masa yang melibatkan pilihanraya) setiap minggu. Namun, saya juga tahu bahawa di saat akhir menjelang PRU14 ini, saya tidak nampak bagaimana Biro Politik atau Majlis Pimpinan Pusat boleh mencapai persetujuan yang mendamaikan semua pihak mengenai kerjasama dengan PAS. Sebab itu saya mengutarakan bahawa cara paling baik ialah dengan menyerahkannya kembali kepada akar umbi melalui Kongres Khas.
Mengenai tuduhan saya ialah seorang ejen Umno dan rujukan kepada “Ponorogo” seperti yang dituduh oleh Saudari Latheefa Koya (ahli Majlis Pimpinan Pusat), kempen mengaitkan saya sebagai ejen Umno bukanlah satu perkara yang baru. Saya sedia maklum sejak lebih setahun yang lepas ada cerita yang dibawa di bawah kononnya saya telah dibeli oleh Umno (melalui Dato’ Seri Zahid Hamidi, sebab itu nama jolokan disebut “Ponorogo”) untuk menghancurkan KEADILAN dari dalam sebagai pertukaran kepada tidak ke penjara (kerana saya ada banyak kes di mahkamah).
Saya berlapang dada dan tidak akan menjawab tuduhan-tuduhan itu kerana kita kesuntukan masa. Masa dan tenaga saya lebih baik ditumpukan kepada membina kempen di kerusi-kerusi marginal yang dibantu INVOKE dengan turun ke bawah berkempen setiap minggu.
Saya juga boleh mengesahkan bahawa saya tidak pernah berjumpa mana-mana menteri atau pimpinan kanan Umno/Barisan Nasional seumur hidup saya selain berselisih di Parlimen. Saya hanya bertemu Dato’ Seri Zahid Hamidi sekali sahaja di mahkamah dalam tahun 2012 untuk menyelesaikan kes saman beliau terhadap saya. Saya mengisytiharkan harta setiap tahun secara berkanun dan saya yakin rakyat tahu saya tidaklah ada kekayaan yang disyaki hasil dari sogokan.
Saya memaafkan Saudari Latheefa Koya dan semua yang membuat pelbagai tuduhan terhadap saya. Saya tahu pandangan politik selalunya penuh dengan emosi, namun kita semua mempunyai niat yang sama iaitu untuk menewaskan Dato’ Seri Najib Tun Razak dan kerajaan Umno/Barisan Nasional.
Saya tahu ramai yang sering merasakan saya mengancam kedudukan politik mereka. Sebenarnya saya telah dijatuhkan hukuman penjara dan besar kemungkinan akan dihalang dari bergiat di dalam politik untuk satu tempoh melebihi 7 tahun. Saya tidak pasti sama ada saya akan kekal di dalam politik selepas saya menjalani hukuman (jika rayuan ditolak) kerana saya tidak boleh membaca masa depan. Oleh itu, saya tidak sewajarnya dilihat sebagai satu ancaman politik kepada rakan-rakan; sekadar seorang yang sudah terbiasa bersuara apabila saya berbeza pendapat.
Saya mengajak kesemua anggota KEADILAN dan Pakatan Harapan untuk menumpukan tenaga dan masa kepada usaha menumpaskan Umno/BN selaras dengan keputusan Majlis Presiden semalam.
RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...