Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Sabtu, 4 November 2017

PAS Tak Sokong Sebaran Klip Video Jijik Untuk Jatuhkan Aib KP SPRM.

Kenyataan Media.

SIAR KLIP VIDEO PERIBADI PENJAWAT AWAM TINDAKAN TIDAK BERMARUAH

1. Pendedahan terbaharu klip video peribadi melibatkan Tan Sri Dzulkifli bin Ahmad, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah tindakan bacul, keji dan tidak bermaruah. Ia jelas melambangkan sikap terdesak golongan tertentu sehingga sanggup mengugut dan mengancam Tan Sri Dzulkifli dengan serangan peribadi. 



2. Kemunculan klip video peribadi kononnya skandal beliau tanpa sumber ini menunjukkan bahawa SPRM berada di landasan tepat bagi memerangi rasuah sebagai musuh nombor satu negara. Bagi golongan tertentu, tindakan SPRM dilihat ‘agak melampau’ termasuk pelbagai siri tangkapan yang dilakukan oleh sejak kebelakangan ini. Mereka umpama ‘cacing kepanasan’ kerana semakin banyak kemungkaran rasuah terdedah dan demi survival golongan perasuah ini, klip vido ini terhasil sebagai usaha menyinggirkan Tan Sri Dzulkifli Ahmad dari kedudukannya. 

3. Sikap agresif SPRM sejak akhir-akhir ini amat diperlukan tatkala dilanda wabak rasuah yang kronik. Kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2016, Malaysia merosot daripada tangga 54 kepada 55 daripada 176 buah negara. Malah, diperingkat ASEAN, Malaysia berada jauh di belakang berbanding Singapura yang berada pada kedudukan ke-7 dan Brunei di tangga ke 41. Ini menunjukkan bahawa tahap rasuah di Malaysia semakin teruk dan membimbangkan. 

4. Rasuah menjadi penyakit yang memusnahkan institusi masyarakat dan negara. Golongan tamak dan gila harta telah mengaut sebanyak mungkin khazanah negara demi memuaskan nafsu sendiri, tanpa melihat kesan kepada negara. Akibatnya, ketirisan, kerugian, pembaziran, pembolotan projek, kronisma dan lain-lain menguasai pelbagai agensi kerajaan. Golongan yang tidak layak diangkat sebagai teraju utama projek mega serta diberi pelbagai kedudukan istimewa sedangkan orang yang layak terus dikesampingkan. Pegawai tinggi dan penguatkuasa pula bersekongkol dengan mendapat habuan mewah dan lumayan, menjadi kaya raya dengan segera dan berbelanja mewah di luar kemampuan. Berpuluh tahun perasuah ini hidup senang lenang tanpa gangguan kerana luasnya ruang mereka menyelamatkan diri. 

5. Usaha Tan Sri Dzulifli Ahmad yang diangkat sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM mulai 1 Ogos 2016 dalam memerangi rasuah perlu diberikan sokongan berterusan. Pelantikan beliau disusuli dengan pelbagai tangkapan mega dari Johor hingga ke Sabah, dengan jumlah ratusan juta ringgit didedahkan termasuk melibatkan 1.5 bilion ringgit di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW). Mangsa yang ditangkap termasuk pegawai kerajaan, Exco kerajaan dan bekas menteri. 

6. Namun demikian, usaha mematikan langkah dan kerjaya Tan Sri Dzulkifli Ahmad melalui klip video amat memalukan. Ia mengulangi skrip klip video lelaki mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi tujuan menjatuhkan dan mengaibkannya. Malah, pemimpin PAS pernah terpalit dengan video serupa. Nampaknya trend memalukan dan menjatuhkan tokoh negara melalui klip video masih diulangi tanpa rasa takut balasan dosa akibat perbuatan mereka ini. Budaya jijik sebegini sepatutnya tidak diterima oleh masyarakat Malaysia kerana ia mencerminkan golongan tidak bertanggungjawab dan bermaruah. 

7. Sepatutnya kerajaan bertindak tegas dalam memastikan keselamatan penjawat awam dijaga sepenuhnya. Usaha agresif Tan Sri Dzulkifli Ahmad perlu disokong, bukan disekat. Jika benar beliau terpalit dengan skandal peribadi itu, pihak terbabit sepatutnya melaporkan kepada pihak polis. Biarkan PDRM siasat dan ambil tindakan, kerana ia lebih adil dan bertanggungjawab. Tidak ada faedah mencalarkan maruah seseorang, yang kemudiannya didapati pendedahan itu tidak benar. 

DR Ustaz Riduan Mohd Nor 
Ahli jawatankuasa PAS Pusat

Dakwaan Pemimpin PAS Miliki Aset Mewah Hasil 90 Juta Adalah Fitnah Kata AJK PAS.

PEMIMPIN PAS BUKAN MUSUH HARTA, ASALKAN JALANNYA HENDAKLAH SUCI DAN BERSIH!
Alhamdulillah atas segalanya. Saya membaca Dokumen Pembelaan & Dakwaan Balas Clare Rewcastle-Brown (CRB) setebal 55 mukasurat yang tersebar dalam kes Saman Fitnah Isu RM90 juta oleh YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ke atas Editor Sarawak Report (SR) tersebut. Apa yang menarik ialah semakin banyak fitnah yang ditabur oleh CRB SR untuk mempertahankan fitnah terdahulu!
Saya tersenyum membaca perengggan 26.11 apabila Pimpinan-Pimpinan Tertinggi PAS disenaraikan mempunyai aset-aset mewah termasuk rumah, kereta dan motorsikal mewah yang kononnya dibeli hasil sebahagian dedak RM90juta dari Dato' Seri Najib Razak dan Umno yang difitnah telah diberi kepada PAS.
Antara fitnah yang paling lucu ialah tuduhan bahawa Ketua Pemuda PAS Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi memiliki motorsikal mewah BMW! Saya kenali beliau secara rapat, beliau tiada motorsikal berkuasa tinggi tersebut! Sangat keji lagi memalukan bila kenyataan-kenyataan tuduhan tidak berasas cybertroopers berpenyakit hasad, dengki dan pembenci ulama' diangkat menjadi bukti pembelaan untuk dibawa ke mahkamah!
Malah jika benar sekalipun mereka yang dinamakan memiliki aset tersebut, sepanjang mengenali mereka, saya boleh katakan bahawa harta-harta tersebut mereka perolehi secara sah dengan sebahagian besarnya melalui kerjaya dan perniagaan yang mereka atau keluarga mereka usahakan.
Pemimpin PAS juga manusia yang berkehendakkan rumah yang selesa dan kenderaan yang baik untuk digunakan bagi melangsungkan perjuangan dan menjalani kehidupan. Pemimpin PAS juga punya keluarga - isteri yang dikasihi dan anak-anak yang disayangi yang ingin hidup bahagia dan mencapai impian seperti insan lain.
Bahkan bagi saya ia bukan satu kesalahan asalkan sahaja sumbernya dari hasil yang halal, di dalam batas kemampuan dan bersederhana. Jangan pandang rendah pada Pimpinan PAS meski diakui ramai yang saya kenali dalam kalangan mereka yang sangat merendah diri, tawadhuk dan tinggi pengorbanannya.
Dalam Saff AJK PAS Pusat dan Dewan-Dewan, kita ada ramai peguam, doktor, jurutera, akauntan, pensyarah, usahawan berjaya, mantan pensyarah, mantan guru, mantan eksekutif, mantan pegawai kerajaan dan bahkan sebahagian pasangan mereka juga mempunyai kerjaya lumayan. Mantan-mantan ini sebahagian besarnya kerana terpaksa meletak jawatan demi keterlibatan langsung dengan jamaah.
Mereka ini berganding bahu dan saling melengkapi bersama murobitun sepenuh masa yang bekerja bersama parti (murobitun inilah insan hebat yang tidak didendang), selain 'ulamak mulia yang siang malam menabur bakti mengajar demi memandaikan masyarakat. Sebahagian 'ulamak ini juga mengusahakan Pondok dan Pusat Tahfiz masing-masing liridhalLah. Semoga Allah merahmati kita semua.
Lebih menghairan dan mencelarukan Dokumen Pembelaan & Dakwaan tersebut yang mengundang senyum saat membacanya ialah pada perenggan 26.7. PAS dituduh menganjurkan program-program besar seperti Muktamar, Himpunan PIHAK, Himpunan FASTAQIM, Himpunan HAMASAH, Himpunan Bantah TPPA, Himpunan RUU355, IJTIMA' Alami dan lain-lain dengan dibiayai menggunakan dana rahsia yang PAS terima dari Umno. Ini memang fitnah sangat jahat bagi yang mengenali secara dekat perjuangan dan gerak kerja PAS. Senyum, tak perlu kata apa-apa!
Sebagai salah seorang yang terlibat sedikit sebanyak dengan program-program mega ini, saya sahkan kenyataan-kenyataan ini adalah rekayasa bohong CRB SR. Sesungguhnya duit infaq ahli dan penyokong serta sumbangan orang ramailah yang membiayai program-program tersebut! Inilah perkara 'ajaib' yang mungkin sukar dimengerti apatah lagi dipercayai oleh Sarawak Report dan sekutunya. Inilah beza Parti Islam yang menyebut redha Allah menjadi matlamat dan syahid cita-cita tertinggi menjadi idaman ahli-ahlinya berbanding para pendokong parti sekular dan konvensional yang hanya mampu berprogram dan bergerak jika ada habuan wang ringgit!
Apapun, kami AJK PAS Pusat telah dinasihati untuk tidak mengulas lebih lanjut atas nasihat peguam Tuan Guru Presiden di London supaya tidak mengganggu proses mahkamah. In shaa Allah maklumat yang kita ada menunjukkan perkembangan sangat positif memihak kepada Tuan Guru sebagai plaintif dalam kes saman ini. Kita berdiri teguh di belakang Tuan Guru.
Berbalik kepada tajuk posting ini. Selepas membaca Dokumen Pembelaan & Dakwaan Balas tersebut, saya tiba-tiba teringat lagu "Aku Bukan Musuh Harta" yang liriknya ditulis oleh Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan dinyanyikan oleh Kopratasa/ Algebra.
Lagu ini menjadi kontroversi pada tahun 2008. Lagu puisi "Aku Bukan Musuh Harta" ini telah diharamkan penyiarannya oleh RTM kerana liriknya yang dikatakan menyindir para sang penguasa. Berikut lirik lagu tersebut:
Mereka kata:
Mengapa kita tidak kaya raya?
Tengoklah si fulan itu, bermewahan saja..
Aku bertanya: apakah caranya untuk aku kaya?
Tapi secara mulia dan tanpa berdusta.
Bukan kita tidak tahu
Jalan, denai dan liku
Agar harta ditemu dan disapu
Tapi semuanya cara palsu dan tipu..
Bukan kita tidak mahu,
Tapi kita tidak mampu,
Takut dan terkedu,
Mengenangkan Yang Maha Satu,
Yang Tiada BagiNya sekutu..
Ya, telah kaya para pengkhianat,
Dengan harta yang sarat,
Tapi mereka lupa Akhirat,
Balasan yang berat,
Di dunia, jiwa bertukar menjadi keparat.
Ya, telah kaya para pendusta,
Syarat mereka : lupakan Yang Esa,
Harta rakyat semua disebat,
Harta awam semua dibekam,
Hukum syaitan, mereka bertuhan.
Kita pun ingin kaya,
Ada harta, ada kereta yang istimewa,
Ada rumah mewah yang melimpah,
Ada hidangan yang bukan sebarangan,
Ada duit yang bukan sedikit.
Tapi, jalannya hendaklah suci,
Bukan seperti seorang pencuri,
Jika ada jalan yang mulia,
Di hujungnya ada harta,
Tunjukkan kita, di mana saja.
Kita bukan musuh harta,
Kita cuma musuh pengkhianat bangsa dan negara,
Apatah lagi pengkhianat agama..
Suka juga dikongsikan petikan posting sebelum ini seperti berikut:
Ini rumah kami di Pujut, Miri. Rumah ini telah saya beli pada tahun 2010 dan kemudian diubahsuai dan dibesarkan, siap sepenuhnya pada tahun 2012. Rumah ini dikenali oleh sahabat-sahabat sebagai Rumah Hijau kerana warnanya luar dan dalam hijau. Pemiliknya juga berjiwa Hijau. 😊💚
Niat ubahsuai ialah agar rumah ini mampu menjadi pusat aktiviti jamaah @ markaz. Alhamdulillah, sudah banyak program-program parti sama ada aktiviti siasah, dakwah dan tarbiyah dibuat di rumah ini. Semasa Pilihanraya Negeri Sarawak, rumah ini juga dijadikan salah sebuah Bilik Gerakan PAS.
Mungkin juga saya perlu isytiharkan (agar tidak menjadi bahan fitnah cybertroopers di kemudian hari) bahawa saya mempunyai 3 buah kereta atas nama saya: Toyota Fortuner 4WD, Toyota Hilux 4WD dan Perodua Alza. Saya sebenarnya ada keinginan membeli kereta sedan, namun akhirnya membuat keputusan membeli kereta jenis pacuan 4 roda agar mudah digunakan oleh jamaah termasuk program-program dakwah di pedalaman. Toyota Hilux rasanya sudah pusing seantero Sarawak, manakala Toyota Fortuner tersebut dibawa masuk ke pedalaman melalui jalan balak tanah merah berbukit-bukau dan melalui alur sungai menuju Ulu Pakan hanya seminggu selepas dibeli!
Posting ini bukan posting untuk riak, nauzubillahi min dzalik. Posting ini posting untuk mengajak kita semua untuk menginfakkan diri dan mempergunakan harta kita semaksimanya untuk perjuangan Islam. Bagaimana seluruh apa yang kita ada dilaburkan untuk saham Akhirat kerana Allah.
Firman Allah Ta'ala di dalam Surah At-Taubah, ayat 41:
"Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berjuang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan HARTA benda dan JIWA kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui."
Siiru 'ala barakatillah, teruskan perjuangan! 👍💚

Senarai Pemimpin PAS Yang Dituduh Menerima Sogokan 90 Juta Dakwa Sarawak Report.

Dokumen pembelaan editor Sarawak Report, Claire Rewcastle Brown, yang telah difailkan dalam prosiding saman fitnah oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Mahkamah Tinggi London viral di laman sosial sejak tiga hari lepas.

Dalam kenyataan pembelaannya, Sarawak Report telah menyenaraikan beberapa nama pemimpin PAS yang didakwanya telah menerima hasil dari wang sogokan 90 juta.

PAS sebelum ini berkali-kali menafikan menerima wang sogokan tersebut dan tindakan saman diambil bagi membuktikan ketegasan PAS untuk menghentikan fitnah yang tersebar.


Berikut adalah sebahagian yang disebut oleh Claire Rewcastle Brown dalam penghujahan balasnya tentang PAS seperti yang terkandung dalam dokumen tersebut;

Mukasurat 46; subtopik - Ulama kaya mula menguasai kepimpinan PAS.

1. Muktamar 2015 menyaksikan bagaimana kumpulan konservatif dalam PAS memenangi kesemua kedudukan tertinggi parti dan mengenepikan kesemua golongan profesional dan moderate di dalam PAS.

2. Kempen untuk memenangkan kumpulan ulama konservatif ini turut menggunakan 'senarai chai', yang mana tidak pernah menjadi kebiasaan di dalam PAS. Malahan turut disebarkan di page Dewan Ulama PAS.

3. Apabila kumpulan konservatif PAS menguasai kepimpinan parti, maka usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP diluluskan.

4. Bagi Najib dan UMNO ia merupakan berita baik kerana Pakatan berpecah.

5. Dipercayai wang daripada Najib dan UMNO digunakan untuk membiayai kumpulan konservatif PAS bagi meningkatkan pengaruh dan memenangi kedudukan dalam parti.

Mukasurat 47; subtopik - biayai sekolah agama kelolaan PAS

6. Bagi membeli sokongan, Najib memberikan sumbangan kepada sekolah agama kendalian PAS. Beberapa sumbangan dibuat sedangkan dasar UMNO adalah menentang sekolah aliran agama kerana ia membiakkan kumpulan radikal. Najib berterusan membantu sekolah aliran agama dengan peruntukan 80 juta pada April 2017, 30 juta lagi untuk membina sistem baru sekolah tahfiz, dan 21 juta untuk sekolah di Kelantan.

Mukasurat 48; subtopik - memanjangkan jangka hayat hudud

7. RUU355 digunakan secara politik bagi memecahkan lagi hubungan di antara PAS dan DAP. Usul persendirian yang dibawakan oleh pembangkang tak pernah berjaya dibawa untuk dibahas tetapi usul RUU355 bukan sahaja berjaya dibawa untuk dibahas malahan disokong oleh menteri. 

Mukasurat 49; subtopic - PAS semakin senyap

8. Sejak kumpulan konservatif mengambilalih tampuk kepimpinan PAS, parti itu dilihat cenderung ke UMNO. Memecahkan hubungan dengan DAP, namun berkerjasama dengan PKR. Seringkali membela Najib dan tidak mengkritik Najib dalam isu penyelewengan dan salah guna kuasa serta 1MDB.

9. Semasa pilihanraya kecil di Sungai Besar, Mahathir mendakwa PAS dibayar Najib untuk bekerjasama politik dengan UMNO dan dirinya.

10. Menjelang Julai 2016, hampir kesemua pihak difahamkan bahawanya Najib telah menyalurkan wang kepada PAS untuk memecahkan pembangkang dan mendiamkan PAS.

Mukasurat 50 - subtopik 90 juta

11. Ambiga menyatakan bahawanya PAS telah dibayar 90 juta berdasarkan kepada sumbernya yang diyakininya boleh dipercayai.

12. Pendekatan Najib ialah menggunakan wang dan pendekatan politik untuk membeli sokongan PAS. UMNO menyokong polisi agama yang dibawa PAS dan dalam masa yang sama memberikan wang kepada PAS.

Mukasurat 51; subtopik - rujukan, maklumat

13. Nasharuddin Mat Isa ialah sekutu Tuan Guru Hadi Awang dan adalah pendokong utama kerjasama PAS - UMNO. Pada tahun 2013, Nasharudin dipecat dari Majlis Ulama Syura kerana menganjurkan dan terlibat secara aktif membawa Najib ke GAZA sebelum pilihanraya umum ke 13. Meskipun hilang jawatan, Nasharudin tidak pernah dipecat dari ahli PAS.

14. Sejak 2014, jutaan ringgit dibayar kepada Nasharudin untuk diberikan kepada PAS. Tujuan pembayaran adalah untuk mempromosikan, membina pengaruh dan sokongan ulama konservatif di dalam PAS; membiayai beberapa pertemuan di Selangor, Kelantan, Kedah supaya pro konservatif yang juga kumpulan pro UMNO di dalam PAS mengambilalih kepimpinan parti pada 2015; 

i) memberikan Tuan Guru Hadi Awang kedudukan sebagai Naib Presiden Persatuan Ulama Sedunia;

ii) 10 juta dibelanjakan untuk menganjurkan pertemuan majlis ulama sedunia di Rusila pada mac 2015;

15. Pembiayaian rahsia itu diteruskan termasuklah untuk membiayai muktamar 2015; Himpunan Istiqomah Sampai Menuju Kemenangan; Himpunan Fastaqim; Himpunan Anak Muda Istiqomah; Himpunan Bantah TPPA; Himpunan pro RUU355; dan menganjurkan International Conference Of Muslims Unity di Kota Bharu.

16. Pemimpin PAS yang turut menerima bayaran selain dari Nasharuddin ialah;

i) Takiyuddin Bin Hassan - MP Kota Bharu

ii) Nik Muhammad Abduh - MP Pasir MAS

iii) Ahmad Samsuri Mokthar - Setiausaha Politik TGHH

17. Nasharudin telah menunjukkan kekayaan luar biasanya apabila membeli;

i) BMW 525 berharga 388,000 pada harga 230,000

ii) Toyota Vellfire pada harga 290,000

iii) Toyota Camry pada 150,000

iv) Toyota Fortuner pada 200,000

v) Rumah di Bangi yang bernilai 3,000,000

Kesemua pembelian dibuat secara tunai.

18. Beberapa pemimpin PAS yang lain didakwa membeli rumah, kereta mewah dan berkahwin dua, tiga; mereka membelanjakan wang secara bermewahan melebihi dari gaji mereka.

19. Nik Amar mempunyai rangkaian kenderaan mewah antaranya;

i) Range Rover
ii) Audi
iii) Toyota Vellfire
iv) Toyota Attis

Dan didakwa membina beberapa buah rumah untuk keluarganya.

20. Hashim Jasin pula didakwa membeli Porche Cayman; Khairuddin Aman Ghazali hadiahkan isteri keduanya kereta Audi Q7 yang berharga 500,000; Nasarudin Tantawi membeli Toyota Vellfire bernilai 300,000; Nik Muhammad Zawawi membeli kereta Mercedes dengan nombor plat PAS 9 yang bernilai 100,000 dan sebuah Audi; Takiyudin Bin Hassan membeli beberapa jenama kereta mewah termasuk motor antaranya Volkswagen Passat bernilai 160,000 dengan nombor plat TAK 11 yang bernilai 100,000; Muhammad Khalil membeli motor BMW; Mokthar Senik membeli Mercedes dan Toyota.

Kesemua hujah pembelaan Sarawak Report boleh diakses secara online di laman ini.

Untuk rekod, beberapa pemimpin PAS yang dinamakan dalam hujah pembelaan tersebut belum lagi mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi tentang hal ini.

Bagaimanapun PAS sejak dari dulu lagi secara konsistennya menafikan menerima bayaran tertentu dari Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak bagi membeli sokongan parti itu. Malahan, mereka mendesak agar pihak-pihak yang menuduh mendedahkan bukti konkrit bagi membenarkan dakwaan yang dibuat ke atas PAS.

Mahathir Punca ADUN DAP Tanjung Bungah Mahu Keluar Parti.

Faktor kemasukan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke dalam Pakatan Harapan mendorong Adun Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu memperkuatkan tekadnya keluar parti lapor Sinar Harian pada semalam.

Teh Yee Cheu
Menurut Yee Cheu, beliau tidak dapat menerima kenyataan bahawa bekas perdana menteri itu menyertai pakatan pembangkang, yang membuktikan beliau adalah pemimpin tidak mempunyai pendirian.

"Masalah yang kita alami pada hari ini adalah disebabkan Mahathir. Beliau tidak mohon maaf segala kesalahan yang telah dilakukannya.

"Beliau menggunakan parti pembangkang demi kepentingan dirinya sendiri," kata Yee Cheu seperti dipetik dalam portal Sinar Harian.

ADUN DAP Yang Sudah Berkahwin Didakwa Memukul Teman Wanitanya..

Seorang Adun DAP dari Perak didakwa menumbuk dan menipu teman wanitanya seperti ditularkan dalam satu blog, pada isnin lepas. 

Blog tersebut, yang menggunakan nama 'Dr MiM' menulis dalam bahasa Melayu bertajuk Skandal! Adun Pukul Teman Wanitanya mendedahkan, ADUN tersebut yang telah berkahwin dan memiliki anak, didakwa terlibat melakukan penipuan dan menumbuk teman wanitanya.

"Yang inklusif dan utamakan rakyat, kita dikejutkan dengan tindakan seorang Adun yang berlaku zalim dengan menumbuk teman wanitanya," demikian petikan perenggan pertama dalam blog berkenaan.


Seterusnya, blog itu menulis lagi, "Kita difahamkan Adun DAP di negeri Perak ini telah membuat laporan polis pada 30 Oktober lalu. Beliau mendakwa telah pergi ke rumah teman wanitanya untuk berbincang, tetapi berlaku salah faham dan beliau memaki teman wanitanya. Beliau keluar rumah tersebut selepas itu.

"Bagaimanapun, laporan polis Adun DAP itu berlainan dengan laporan polis yang dibuat oleh teman wanitanya. Wanita itu menjelaskan, Adun DAP itu telah datang ke rumah untuk berbincang tapi beliau  ditipu oleh Adun tersebut. Malah, Adun DAP itu telah mencederakannya dengan menumbuk pipi wanita tersebut.

"Wanita itu juga melaporkan bahawa beberapa barangan miliknya telah hilang termasuk dokumen-dokumen penting dan juga wang tunai," tulis blog itu.

Walaupun blog tersebut tidak menyebut identiti sebenar Adun terbabit, ramai pihak yang mendakwa Adun yang dimaksudkan ialah Adun Bercham, Cheong Chee Khing.

Bagaimanapun, ketika dihubungi oleh Oriental Daily, Chee Khing menafikan dakwaan itu kerana sekiranya beliau terbabit dengan kes memukul dan menipu wanita, sudah lama beliau ditahan pihak polis.

Sementara itu, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming enggan mengulas kes tersebut apabila dihubungi wartawan akhbar tersebut, memetik laporan Sinar Harian.

Tanah 190 Juta, FELDA Kantoi Lagi, Ini Bukti Penyata & Geran Hak Milik Dedah Rafizi.

Kenyataan Media
Setelah hampir seminggu saya menimbulkan isu bagaimana bayaran yang diisytiharkan sebagai harga tanah di dalam penyata kewangan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) berbeza dengan harga di geran hakmilik tanah-tanah berkenaan, barulah FIC memberi jawapan.
Jawapan FIC bahawa £34 juta yang dibayar adalah bagi dua bidang tanah iaitu tanah bagi Felda House (di alamat 575 North End Road) dan tanah bagi Dexion/Howerine House (di alamat 2-4 Empire Way, Wembley) dilaporkan oleh Berita Harian dan The Star, seperti di bawah:
Semakan saya di laman-laman berita dan laman web FIC (http://fic.net.my/) tidak menunjukkan apa-apa dokumen yang disertakan bagi menyokong kenyataan yang dibuat oleh Lembaga Pengarah FIC itu.
Sudah tentu itu tidak membantu menenangkan orang ramai terutamanya keluarga peneroka Felda apabila maklumat-maklumat sahih di dalam dokumen-dokumen yang disediakan di bawah peruntukan undang-undang memberi gambaran yang berbeza.
Gambar - Rafizi
Persoalan bayaran £34 juta ini timbul kerana jumlah yang diisytiharkan di dalam penyata kewangan FIC yang diaudit oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) adalah berbeza dari jumlah yang diisytiharkan kepada Jabatan Pendaftaran Tanah Diraja UK (HM Land Registry) untuk didaftarkan di dalam geran-geran hakmilik tanah berkenaan.
Saya sertakan kembali petikan dokumen-dokumen berkenaan:
FIC Global - Note 37 FICorp 2014 FS
Nota 37 dari penyata kewangan FIC yang diaudit bagi tahun 2014 dengan secara jelas menyatakan bahawa nilai £34 juta itu adalah bayaran bagi tanah untuk pembangunan penginapan pelajar swasta di atas tapak yang sebelum itu dikenali sebagai Dexion House 1 dan Dexion House 2. Kedua-dua bangunan itu dirobohkan untuk membina sebuah bangunan baru yang bernama Grand Felda House. Penyata kewangan diaudit FIC langsung tidak menyebut bahawa £34 juta itu juga adalah untuk bayaran satu lagi tanah iaitu Felda House di alamat yang berlainan iaitu 575 North End Road, bukannya di Dexion House 1 dan Dexion House 2 (atau Howerine House) seperti yang dinyatakan di dalam penyata kewangan tersebut.
Lebih teruk lagi, penyata kewangan diaudit FIC secara jelas merujuk kepada perjanjian yang ditandatangan pada 13 Oktober 2014 yang ditandatangani di antara FIC Global dengan Town Estates Limited dan Tide Construction Limited. Maka, kos £34 juta yang diisytiharkan adalah merujuk kepada pembinaan Grand Felda House di atas tapak Dexion House 1 & 2, bukannya Felda House di 575 North End Road.
Ini disahkan oleh geran hakmilik Felda House di alamat 575 North End Road yang tidak mengisytiharkan baki £14 juta (yang dipersoalkan) sebagai harga pembelian oleh Felda, seperti lazimnya di dalam geran hakmilik tanah di United Kingdom (rujuk petikan geran hakmilik di bawah):
Title - Felda House - Price Not Available
Soalan-soalan yang saya tanya adalah berasaskan dokumen-dokumen rasmi yang diperakukan di bawah perakuan bersumpah oleh pengurusan FIC dan diaudit oleh PwC (iaitu penyata kewangan) dan merupakan geran rasmi di United Kingdom. Jika ada berlaku sebarang pengisytiharan palsu atau maklumat yang salah, pegawai-pegawai terbabit boleh didakwa kerana melanggar undang-undang di Malaysia dan United Kingdom.
Masalahnya, sedang saya memberikan dokumen yang lengkap dan terperinci, FIC hanya membuat penafian dan menyerang saya tanpa menunjukkan dokumen rasmi yang lain yang menunjukkan saya telah tersilap. Oleh itu, untuk memastikan rakyat mendapat maklumat yang tepat, saya mencabar FIC untuk mendedahkan dokumen-dokumen rasmi berikut:
i. Perjanjian jual beli di antara FIC Global Limited dan pihak yang menjual tanah-tanah yang digunakan untuk membangunkan Felda House dan Grand Felda House
ii. Dokumen-dokumen penubuhan syarikat yang membuktikan bahawa FIC Global Limited dimiliki oleh FIC
iii. Dokumen pendaftaran hakmilik tanah-tanah yang digunakan untuk membangunkan Felda House dan Grand Felda House untuk melihat sendiri maklumat yang diisytiharkan kepada Jabatan Pendaftaran Tanah Diraja UK untuk menukar hakmilik kepada FIC Global Limited
iv. Penyata kewangan diaudit FIC Global Limited bagi tahun 2014 dan 2015 untuk menunjukkan bahawa segala pengisytiharan FIC di dalam penyata kewangannya mengenai harga yang dibayar, nilaian harta dan pendapatan yang diterima adalah tepat
Jika FIC enggan untuk membuktikan penafian mereka dengan dokumen seperti yang saya senaraikan di atas, saya akan mengambil satu lagi tindakan undang-undang terhadap pegawai-pegawai FIC sendiri yang terlibat dalam penyediaan dokumen-dokumen ini.
RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Jumaat, 3 November 2017

Mahathir Tertekan, Menuduh Orang Melayu Berpecah Tapi Tak Suka UMNO & PAS Kerjasama Pula Kata Zuhdi.

Kritikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggambarkan beliau kini berada dalam tekanan politik. 

Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, ini kerana satu persatu kezaliman ketika era diktator beliau terbongkar pada hari ini lapor Sinar Harian hari ini. 


“Kita tidak boleh membayangkan apa racauan dia jika Bersatu kalah dalam PRU14 nanti. 20 perkara yang disebut dalam kenyataan beliau itu bercanggah antara satu lain, sehingga boleh menggambarkan rasa tertekannya atau kekuatan intelektual semakin lemah. 

"Sebagai contoh beliau menuduh Abdul Hadi memecah orang Islam dalam kenyataan tersebut, di kenyataan-kenyataan yang lain dia tidak senang dengan kerjasama (taawun) baik antara Pas dan Umno hari ini,” katanya seperti di petik dari portal Sinar Harian

Mahathir menerusi blognya kelmarin memberi respons terhadap seruan Abdul Hadi supaya beliau bertaubat atas kesalahannya sepanjang mentadbir negara ini dengan mengatakan Presiden Pas itu sepatutnya bertaubat kerana memecahbelahkan orang Islam di negara ini. 

Mahathir sekali lagi membangkitkan kontroversi Amanat Hadi yang menurutnya menjadi punca utama perpecahan itu di Malaysia dan kesannya masih terasa sehingga kini. Beliau mendakwa, Abdul Hadi mengkafirkan orang Islam di negara ini dan kerana mengkafirkan pemerintah, empat anggota polis dibunuh pengikut Ibrahim Libya kerana mereka percaya sedang berjihad dan mati mereka apabila diserang balas polis adalah syahid. 

Mengulas lanjut, Mohd Zuhdi berkata, penentangan Mahathir terhadap kerjasama Pas dan Umno dalam perkara maaruf hari ini, menunjukkan beliau sendiri sebenarnya menyeru kepada perpecahan. 

“Dalam sejarah politik negara ini, Mahathir berseteru dengan semua orang tidak kira Pas atau Umno. 

"Antara seteru Mahathir ialah Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn, Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Musa Hitam, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan sekarang Datuk Seri Najib Tun Razak. 

“Lebih daripada itu, Mahathir berseteru juga dengan Raja-Raja Melayu, hakim-hakim dan mufti-mufti. Dari kalangan pimpinan Pas beliau berseteru dengan Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat, Allahyarham Datuk Dr Haron Din, Allahyarham Yusof Rawa, Allahyarham Fadzil Noor dan lain-lain. Jadi beliau adalah individu yang bermusuh dengan sesiapa sahaja yang tidak bersetuju dengannya,” katanya. 

Justeru katanya, seruan supaya Mahathir bertaubat itu adalah tepat. “Malah saya menyarankan Mahathir supaya menunaikan hasrat dia sewaktu nak bersara dari politik tahun 2003, iaitu beliau berhasrat untuk menghabiskan hari-hari tua di masjid. 

“Jadi sebagai tambahan kepada saranan bertaubat itu, saya sarankan juga Mahathir supaya habis banyak masanya di masjid sebagaimana disebut dahulu,” katanya.

Isu Lanun Bugis, Ini Surat Terbuka Untuk Sultan Selangor.

SURAT TERBUKA KEPADA SULTAN SELANGOR.
Ampun Tuanku.
Merafak sembah menjunjung kasih ke bawah DYMM Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah
Sesungguhnya patik memohon ampun limpah perkenan Tuanku mencemar duli membaca warkah ringkas patik dengan hati terbuka, ikhlas dari hati seorang rakyat.
DYMM Tuanku,
Pertamanya patik dengan sembah takzimnya ingin merakamkan setinggi tahniah ke bawah duli Tuanku, kerana di bawah naungan panji Tuanku ternyata Selangor terus berkembang pesat dan mahsyur ini terbukti sepertimana sumbangan Selangor kepada suku hasil pendapatan negara.
Malah gandingan kepimpinan Tuanku dalam pentadbiran negeri Selangor amatlah patik kagumi dengan hasil mahsul bumi Selangor kini terjaga dengan baik termasuk hasil rizab yang mana atas perkenan Tuanku, rakyat beroleh hasil yang membawa kesejahteraan kepada negeri Selangor dan seluruh isinya.
Selaku anak Johor, Tuanku persis Tuanku Sultan Johor yang begitu kasih dan kisahkan rakyat malah keterbukaan Tuanku Sultan Selangor dalam segenap hal membawa kepada kemajuan atau modernisasi secara wasatiyyah dalam kalangan rakyat. Tuanku ternyata lantang demi kesejahteraan rakyat semata. Maka bersyukurlah rakyat yang berada di bawah naungan duli Tuanku.
Ampun Tuanku,
Sesunggunya patik mohon ampun dalam izin menyatakan beza pendapat dan mengambil ruang ini untuk saling memperjelaskan kepada Tuanku Sultan Selangor berdasarkan titah Tuanku hari ini (2/11/2017) yang pada hemat patik adalah salah faham mengenai pernyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap keturunan Bugis.
Ampun Tuanku,
Menurut kenyataan media dari pihak DYMM Tuanku, pada akhir perenggan pertama ada dinyatakan bahawa kenyataan Tun Dr. Mahathir adalah “dilihat cuba menghasut rakyat Malaysia untuk membenci, menghina dan memandang serong terhadap bangsa Bugis” sehingga timbulnya saranan dari pihak Tuanku untuk Tun Dr. Mahathir Mohamad dikenakan Akta Hasutan.
DYMM Tuanku, dari kenyataan mewakili pihak Tuanku di atas ternyata hemat patik ada salah faham terhadap kenyataan Tun. Izinkan patik memperjelaskan isu yang jelas dipolitikkan pelbagai pihak sebelum ini sedang negara dihimpit pelbagai masalah yang lebih meruncing.
Telah lama dan banyak kali sebenarnya dalam ucapan Tun yang mengkritik kepimpinan Datuk Seri Najib Razak dan menggelarkan beliau sebagai pahlawan bugis yang 'merompak' dan juga 'lanun'. Sekiranya dinilai, setiap kali pernyataan itu dilontarkan bukanlah pernyataan itu ditujukan buat seluruh bangsa atau keturunan Bugis.
Pernyataan itu juga timbul susulan kenyataan Datuk Seri Najib Razak sendiri yang menggelarkan dirinya sebagai 'Pahlawan Bugis' dalam suatu program pada 4 Jun 2015 di Sarawak. Sejak itu Tun Dr. Mahathir sememangnya menyebut mengenai Pahlawan Bugis dalam naratif untuk menyedarkan tindak tanduk DS Najib Razak yang berselindung melalui keturunan untuk menghalalkan tindakan salah laku beliau khususnya dalam hal salah guna kuasa dan rasuah. Ini ternyata sebenarnya lebih memalukan seluruh keturunan Bugis.
Malah baru-baru ini, Tun Dr. Mahathir sendiri ada memperjelaskan mengenai tindak tanduknya yang menujukan pernyataan tersebut hanya kepada Najib Razak kerana beliau atas kredibilitinya selaku Perdana Menteri yang mengamalkan salah guna kuasa sebenarnya memalukan keturunan Bugis dan bukanlah ditujukan buat seluruh keturunan Bugis hakikatnya dan ini boleh didapati melalui penulisan beliau di laman 'blog' chedet.cc bertarikh 26 Oktober 2017. Berikut adalah pautan web: http://chedet.cc/?p=2653
Malah jelas pada perenggan tiga apabila Tun Dr. Mahathir menyatakan; “Ucapan saya dituju kepada Najib yang sering mendakwa ia adalah pahlawan Bugis. Pahlawan Bugis tidak mencuri. Najib pencuri besar dan dikenali sebagai penyamun oleh seluruh dunia.”
Sebelum itu pula, dalam ucapan Tun Dr. Mahathir bertarikh 18 Oktober 2017 di Kemaman, Terengganu. Dengan jelas Tun berkata (pada minit 2:25); “Orang Bugis tak semuanya lanun, Raja kita ada keturunan Bugis juga...” (lihat video: https://www.youtube.com/watch?v=yWK66Ddg4UM ). Ini jelas menunjukkan pendirian Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menujukan pernyataan dan menempelak Datuk Seri Najib Razak semata-mata atas salah laku beliau yang menggunakan keturunan Bugis sebagai perisai.
Ampun Tuanku,
Sesungguhnya patik amat kecewa apabila isu ini ditimbulkan apatah lagi dipolitikkan bagi mengalih pandangan terhadap isu besar lain seperti rasuah, kleptokrasi dan ketirisan yang berleluasa sekaligus menghalang kemajuan negara.
Patik risau Tuanku, sedang negara tercinta berada dalam kemelesetan kesan salah-laku pucuk pimpinan Malaysia yang membawa kepada himpitan hidup rakyat, isu ini lebih diutamakan sedang 1Juta tandatangan rakyat yang marah dan terkesan dengan kemunduran ekonomi dan mahukan perubahan demi Malaysia yang lebih baik namun diketepikan.
Saya sebagai orang Melayu amatlah berasa malu sekiranya menggunakan nama sebagai 'Pahlawan Melayu' sebagai jalan untuk menghalalkan perbuatan rasuah dan menjadikan medan bangsa mahupun keturunan untuk menghalalkan perbuatan sebagai perisai. Saya yakin sebegitulah juga untuk seluruh keturunan Bugis. Ini bukan isu bangsa mahupun keturunan, tidak kisah keturunan Melayu, Bugis, India, Cina, Sabah dan Sarawak, tetapi kalau mengamalkan rasuah saya akan berasa malu akan perbuatan sedemikian yang menggunakan bangsa sebagai perisai.
Sebagai salah seorang rakyat, patik sesungguhnya idamkan sepertimana kata-kata keramat 'Raja dan Rakyat Berpisah Tiada' kerana itulah 'Wa'adat' yang mana raja sentiasa memayungi rakyat akan keperluan dan kehendak demi kesejahteraan bukanlah sebaliknya.
Malah patik terkejut dengan gesaan dari pihak DYMM Tuanku dan nyata patik berbeza pendapat untuk Tun Dr. Mahathir Mohamad disiasat di bawah akta hasutan kerana pernyataan Tun juga boleh dikaitkan dengan isu kenyataan Zahid Hamidi yang menyerang keharmonian kaum apatah lagi melibatkan keturunan India yang juga merupakan warganegara di Malaysia.
Ampun Tuanku,
Patik berharap Tuanku bersama kami rakyat, seganding dengan kami demi kesejahteraan negara dan kesenangan rakyat tuanku.
“Fight For Us Tuanku, Fight For All Malaysians”.
Ampun Tuanku.
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Rakyat Malaysia.
(Kenyataan ini tidak mewakili parti, lebih kepada kenyataan peribadi dari seorang rakyat Malaysia)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...