Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Jumaat, 27 November 2020

SU DAPSY Saran Kaji Semula Hubungan DAP Dengan PKR, Bubar PH.

Kenyataan Media | DAP perlu bertimbang untuk berpisah dengan PKR sekiranya DSAI enggan meminta maaf.


Pakatan Harapan secara terkejutnya tidak menyokong usul undi belah bahagian bagi peringkat Bacaan Kedua Belanjawan 2021 di Parlimen. Datuk Sei Anwar Ibrahim (“DSAI”) perlu meminta maaf secara terbuka kepada rakyat serta rakan sekutuya atas kesilapannya, jika tidak, Democratic Action Party (“DAP”) harus berpisah dengan Parti Keadilan Rakyat (“PKR”), membubarkan Pakatan Harapan dan menyusun semula barisan pembangkang di Malaysia.

1. Belanjawan ini bukan belanjawan yang biasa, ia mempunyai makna dan tanda yang sangat penting sebagai usul tidak percaya terhadap kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin (“TSMY”). Sejak langkah Sheraton, barisan pemimpin Pakatan Harapan berulang kali menekankan bahawa kabinet TSMY perlu diuji dengan usul tidak percaya dalam dewan Parlimen. Pakatan Harapan juga mempunyai beberapa percubaan untuk “counter-coups” untuk mengembalikan mandat rakyat. Oleh demikian, rakyat mempunyai hasrat yang kuat supaya barisan pembangkang boleh menolak belanjawan tersebut untuk membuktikan kerajaan pintu belakang yang dipimpin oleh TSMY adalah tidak sah (illegitimate).

2. Sebelum ini, Ahli Parlimen Pakatan Harapan telah mengkritik Belanjawan 2021 dengan sekeras-kerasnya, ia adalah tidak adil malah ia tidak mampu menyelesaikan krisis kesihatan awam dan ekonomi negara sekarang. Ramai Ahli Parlimen Pakatan Harapan menyatakan bahawa mereka akan menentangnya secara habis-habisan serta memberi isyarat bahawa ada Ahli Parlimen daripada pihak yang lain turut akan menentang Belanjawan tersebut, makalah rakyat menaruh semua harapan terhadap pihak pembangkang supaya Belanjawan tersebut tidak diluluskan.

Tidak sangka pula, kata-kata Pakatan Harapan tidak konsisten dengan perbuatan mereka. Pihak pembangkang bukan sahaja tidak dapat menghantar 15 Ahli Parlimen untuk mencapai syarat minimum undi belah bahagian, malah terus memberi laluan kepada kerajaan TSMY untuk melepasi halangan dengan mudah. Hal ini mengecewakan penyokong Pakatan Harapan. DSAI selaku ketua pembangkang juga mengarahkan semua Ahli Parlimen DAP mengikut jejak beliau dan melakukan kesalahan ini. Hanya satu daripada 42 orang Ahli Parlimen yang berdiri dan meminta undi belah bahagian. Ini adalah saat yang paling memalukan dalam sejarah perjuangan DAP di Parlimen sejak penubuhan parti.

3. Apa yang lagi mengejutkan merupakan sebilangan ahli parlimen Pakatan Harapan hanya memberikan penjelasan mereka di laman sosial masing-masing selepas insiden tersebut. Mereka maka memberi alasan bahawa mereka akan menyokong usul undi belah bahagi di peringkat jawatankuasa serta bacaan ketiga. Penjelasan seperti ini adalah tidak bertanggungjawab sekali. Bacaan kedua merupakan peringkat di mana Ahli Parlimen menyatakan pendirian mereka berdasarkan prinsip-prinsip. Sekiranya belanjawan ditolak di bacaan kedua, maka bacaan ketiga kehilangan keperluannya. Pemimpin Pakatan Harapan telah mengelakkan undi belah bahagi di peringkat bacaan kedua, bagaimanakah kami mampu menyakinkan penyokong bahawa kami akan memandang serius dalam peringkat yang seterusnya? Sekiranya undian di bacaan ketiga boleh diadakan melalui undian belah bahagi, kenapa ia tidak boleh dilakukan di peringkat bacaan kedua?

4. Seandainya Pakatan Harapan memilih cara undian belah bahagi dalam peringkat bacaan kedua, rakyat sebenarnya tidak akan menyalahkan Pakatan Harapan walaupun tidak mempunyai bilangan yang mencukupi untuk menggagalkan Belanjawan tersebut, lagipun Pakatan Harapan telah mencuba yang sebaik mungkin dalam dewan Parlimen. Keinginan rakyat adalah untuk melihat sikap Pakatan Harapan yang cukup tegas bagi menentang kerajaan pintu belakang, dan bukanlah Pakatan Harapan yang cepat menyerah kalah dengan malu.

5. DSAI kerap menegaskan bahawa beliau mempunyai bilang yang mencukupi dalam dewan Parlimen dan mungkin menyumbang kepada perubahan kerajaan sekali lagi. Namun demikian, beliau masih tidak dapat memberi bukti ataupun senarai sehingga hari ini. DSAI pada awalnya mempunyai peluang untuk mengembalikan semangat Pakatan Harapan dalam Parlimen, tetapi beliau gagal lagi semalam. Hal ini juga mengakibatkan krisis perhubungan awam (public relation crisis), menghancurkan kredibiliti Pakatan Harapan dan memadamkan api reformasi di kalangan rakyat.

6. DSAI telah mengakui bahawa beliau memberi arahan supaya DAP dan PKR agar tidak menyokong usul undi belah bahagi Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat. Jadi, beliau perlu bertanggungjawab dengan sepenuhnya atas kesilapan beliau dan meminta maaf terhadap penyokong Pakatan Harapan. Sekiranya DSAI masih menegaskan bahawa penilaiannya adalah betul dan tepat, maka pemimpin pusat DAP harus berpisah dengan PKR, tidak lagi bersekutu dengan PKR, biarlah Pakatan Harapan dibubarkan dan menjalinkan hubungan kerjasama yang paling minimum dengan parti-parti pembangkang yang lain.

7. Sebagai parti yang terbesar di Parlimen, DAP tidak patut berulang kali berkompromi dengan nilai-nilai teras dan ideologi parti kita, kononnya demi “big picture”. Saya berpendapat bahawa DAP patut menggunakan logo parti kita untuk bertanding di pilihan raya pada masa depan. Saya bercadang agar kita hanya berunding dengan pihak-pihak lain sama ada untuk membentuk pakatan sebagai parti-parti komponen kerajaan selepas pilihan raya. Mana-mana parti politik yang ingin bergabung dengan DAP sebagai kerajaan mesti mematuhi prinsip-prinsip perjuangan demokrasi sosial. Hanya dengan cara ini, DAP dapat mengelakkan diri daripada manipulasi parti-parti lain. Kita harus kembali ke landasan demokrasi sosial yang betul, dan terus memperjuangkan nilai-nilai pluralisme, kesaksamaan, keadilan, nilai sekular, dan merealisasikan impian ‘Malaysian’s Malaysia’.

ERIC TEH HOONG KEAT
Setiausaha Kebangsaan DAPSY

#Belanjawan2021 : Salahuddin Ayub Minta Maaf Pada Semua Ahli Amanah Kerana Tak Bangun..

POLITIK | Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub meminta maaf kepada semua ahli Amanah hari ini kerana tidak bangun semasa Mahfuz Omar memohon undi berbelah bahagi ketika membahas Belanjawan 2021 di Parlimen semalam.


Kenyataan maaf ringkas itu kini tersebar meluas dikalangan penyokong Amanah dan Pakatan Harapan selepas dilaporkan Awani siang tadi.

“Saya minta maaf pada parti dan ahli-ahli Amanah. Saya salah kerana bangun dan duduk semula setelah Presiden Abang Mat (Mohamad Sabu) minta saya dan MP Amanah yang lain duduk.

“Abang Mat terima arahan last minit dari Ketua Pembangkang.

“Saya tak sanggup dan tergamak berlawan dengan presiden sendiri dalam parlimen.

Saya akui saya salah. Saya menunggu dan bersedia untuk menerima hukuman dari parti .

Ahad ini Amanah Nasional akan ada mesyuarat khas,” katanya dalam kenyataan maaf itu. - 27 November 2020.

Nurul Akui Bersedia Tolak Belanjawan 2021 Tetapi Tukar Keputusan Kerana Akur Arahan Pimpinan.

KENYATAAN MEDIA | Penubuhan Kaukus Reformasi Ekonomi, Sosial dan Kebajikan.

Arahan yang dikeluarkan semalam oleh Pimpinan Pembangkang bagi meluluskan peringkat dasar Belanjawan 2021 amat mengecewakan banyak pihak. Kami sudahpun bersedia untuk menolak Belanjawan tersebut sehinggalah arahan di minit akhir yang mengikat ahli parlimen Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengikut kepatuhan disiplin parti.


Pun demikian, para penyokong kami dengan jelas menyuarakan keperluan membulat tekad dan Istiqamah dalam mempertahan kebajikan, kepentingan rakyat dan negara. Jelas bahawa selaku wakil rakyat pembangkang yang bertanggungjawab, kepercayaan rakyat bukan sahaja harus dihormati tetapi dilunaskan menerusi tindakan sewajarnya.

Ahli Parlimen telah dipilih oleh Rakyat untuk mewakili kepentingan mereka; dan sepanjang menggalas tanggungjawab, jelas bahawa kami tidak sempurna; tetapi perlu terus berusaha memenuhi harapan ramai. Oleh itu, izinkan kami berusaha memperbaiki prestasi menerusi pembentukan kaukus ini.

Setelah semalaman merenung peristiwa Belanjawan, kami telah memutuskan untuk bersama-sama memperjuangkan dan menekuni perincian dasar alternatif yang bertumpu kepada peranan kami selaku wakil-wakil rakyat dari pihak pembangkang.

Belanjawan 2021 gagal menyediakan jaring keselamatan sosial yang mencukupi untuk warga pekerja di Malaysia.

Dengan hanya bertumpu kepada langkah populis gesaan ramai ahli politik berkisar pengeluaran awal KWSP, kerajaan hanya memudahkan laluan penabung menggunakan dana simpanan masa depan, bukannya melakukan sedaya upaya untuk membantu rakyat menabung.

43% daripada senarai pencarum di bawah umur 55 tahun, mempunyai simpanan kurang daripada RM 10 ribu melalui Akaun 1. Dengan simpanan yang tidak bertambah, pihak Kerajaan lebih rela membiarkan rakyat menikmati kehidupan persaraan dengan pendapatan yang tidak lebih daripada RM 41 sebulan selama dua puluh tahun yang mendatang. Sebaiknya kerajaan dahulukan dana, selamatkan simpanan rakyat.

Terdapat juga kekurangan fokus kepada penjanaan peluang pekerjaan yang kalis masa depan, termasuk kalis pandemik COVID-19 dan krisis ekonomi berikutnya. Keadaan ekonomi dijangka bertambah buruk menjelang 2021.

Belanjawan yang hanya menabur janji- janji melalui hasil pendapatan dan memotong sebegitu banyak kemudahan penting yang pastinya tidak memenuhi keperluan Rakyat. Ini menjurus ke arah permasalahan yang lebih besar apabila terus dimainkan seperti kesan terhadap perang pemerdagangan global dan komitmen dalam menangani cabaran perubahan iklim.

Kaukus ini percaya bahawa Kerajaan pada masa ini mesti memberi tumpuan kepada kesiap-siagaan dasar yang konkrit dan terperinci mengenai isu-isu utama semasa:

- Peluang Pekerjaan yang Menepati Keperluan Masa Depan

- Perjanjian Baharu yang Hijau

- Perluasan Jaringan Keselamatan Sosial

Sebagai Ahli Parlimen, semestinya mewakili komponen koalisi di dalam Dewan Rakyat. Bahkan, sebagai anggota Pembangkang dalam demokrasi berparlimen, Ahli Parlimen bertanggungjawab dalam menyediakan asas sistem semak dan imbang yang secukupnya dalam mengekang keboborokan pihak kerajaan.

Kita juga tidak boleh mengkesampingkan isu keadilan sosial dan anti rasuah yang dijuarai oleh KEADILAN, yakni selama ini banyak diangkat oleh para penyokong kita. Inilah prinsip-prinsip yang akan terus diperjuangkan sebagai pembuat dasar pembangkang yang teguh, untuk menjulang bakti dan kesetiaan kepada Raja dan negara.

Akmal Nasir, Ahli Parlimen Johor Bahru (KEADILAN)

Hassan Karim, Ahli Parlimen Pasir Gudang (KEADILAN)

Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Permatang Pauh (KEADILAN)

Khamis, 26 November 2020

Tun Mahathir Kritik PH Kerana Tak Bantah Belanjawan 2021.

Tun Mahathir | 1. Apabila Cuma 13 ahli Parlimen bukan Kerajaan bangun untuk tolak belanjawan 2021, undi belah bahagi tidak dapat dilakukan kerana ia memerlukan 15 ahli.

2. Apabila ini berlaku, ia bermakna bahawa Kerajaan yang dipilih rakyat boleh dijatuhkan di tengah jalan dan diganti dengan Kerajaan pintu belakang. Pilihanraya tidak bermakna lagi.


3. Kerajaan yang didiri melalui rasuah dan sogokan pada Ahli Parlimen, dan Kerajaan yang korup boleh pula disokong oleh Ahli Parlimen pembangkang tanpa sedikitpun berasa bersalah kerana mungkir janji kepada rakyat.

4. Inilah apa yang telah berlaku di Dewan Rakyat hari ini.

5. Bagi saya dan semua ahli Parti Pejuang, serta beberapa ahli Parlimen yang lain, kami tetap berpegang kepada janji kami untuk menolak belanjawan seperti yang dinyatakan sebelum ini.

6. Apabila kami mengambil pendirian, kami tidak berganjak atas dasar amanah dan tanggungjawab kami sebagai wakil kepada rakyat.

7. Kami tetap dengan pendirian menentang apa sahaja bentuk rasuah dan kami berharap yang rakyat juga akan sedar dan menolak rasuah. Hanya dengan penolakan rasuah sahaja yang kehancuran negara dapat di elak.

8. Perasuah, penjenayah dan segala bentuk penyamun boleh bentuk Kerajaan hanya dengan mengguna wang untuk membeli undi dan wakil pilihan rakyat.

9. Apabila mereka yang tidak berprinsip, yang tidak berkualiti, yang sanggup menggadai amanah rakyat demi kepentingan peribadi mendiri Kerajaan, maka negara akan dijual untuk memenuhi ketamakan diri mereka.

10. Saya, Ahli Parlimen Langkawi, dan tiga lagi Ahli Parlimen Pejuang, Mukhriz Mahathir (Jerlun), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Shaharuddin Md Salleh (Sri Gading) tetap tidak berganjak dengan pendirian kami menolak Belanjawan 2021. - 26 November 2020.

Rabu, 25 November 2020

JASA Tukar Nama Jadi J-KOM.

BERNAMA | Kerajaan bersetuju untuk menjenamakan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dengan peranan dan fungsi berbeza, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Saifuddin Abdullah.


Beliau berkata, matlamat J-KOM adalah untuk mewujudkan komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat iaitu bagi menyampaikan maklumat kerajaan yang tepat, sahih dan bijaksana kepada rakyat selain mendengar suara dan maklum balas daripada rakyat.

"Kaedah yang digunakan ialah dengan cara membangunkan komuniti, khususnya di peringkat akar umbi, yang mengamalkan budaya ilmu, berkemahiran digital dan menghayati makna dan fokus patriotisme dengan menggunakan pendekatan 'penghakupayaan komuniti'," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Saifuddin turut memaklumkan bahawa fungsi J-KOM juga berbeza dengan Jabatan Penerangan (Japen) kerana tugas utama J-KOM pada waktu ini adalah melaksanakan komunikasi strategik membudayakan normal baharu susulan pandemik COVID-19.

Japen pula, katanya, bertujuan memberi kefahaman mengenai sesuatu dasar, program dan inisiatif kerajaan dengan memberi keutamaan kepada komunikasi.

Katanya, fungsi J-KOM juga tidak bersifat bertindan dengan agensi lain di bawah KKMM seperti Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang mempunyai kumpulan sasar, pendekatan program dan aktiviti berlainan.

Bagi menjawab celahan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mengenai dakwaan jabatan itu merupakan ejen penyebar propaganda, Saifuddin memberi jaminan J-KOM bukan mesin propaganda selain menegaskan ketua pengarah serta timbalannya tidak akan dilantik dalam kalangan orang politik.

"Saya bagi jaminan J-KOM bukan mesin propaganda. Proses (lantikan) mengikut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ada kriteria dan kriteria utama merupakan celik IT.

"Saya beri jaminan ketua pengarah dan timbalan (ketua) pengarah tidak akan dilantik daripada orang politik, ia harus kombinasi (golongan) profesional dan pegawai tadbir yang baik serta bersahsiah tinggi,"
katanya.

Beliau berkata lantikan itu harus melalui proses permohonan dan temu duga yang telus mengikut lunas peraturan yang ditetapkan JPA.

Mengulas mengenai peruntukan RM85.5 juta untuk jabatan itu yang disifatkan terlalu tinggi, Saifuddin tanpa mendedahkan jumlah itu memberi bayangan peruntukan itu akan dikurangkan.

Katanya, pengurangan peruntukan itu boleh dibuat berikutan peruntukan J-KOM berdasarkan jumlah daerah dan bukannya peruntukan mengikut jumlah Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti sebelum ini. - 25 November 2020.

Jika Belanjawan 2021 Gagal, TSMY Perlu Letak Jawatan Dan Ahli Parlimen Pilih PM Baru.. - Tun Mahathir.

Tun Mahathir | MENOLAK BELANJAWAN 2021

1. Kita telah melihat betapa mengecewakan proses perbahasan Belanjawan berjalan beberapa hari kebelakangan. Selain dari perbahasan yang terhad, tidak ada sebarang tanda dipihak Kerajaan untuk mendengar atau menerima pandangan yang telah diajukan oleh ahli-ahli parlimen mahupun kritikan rakyat yang boleh kita dengar rintihan mereka melalui laman-laman media sosial dan juga pemimpin-pemimpin masyarakat. 


2. Sebaliknya, pihak Kerajaan bertindak mengugut ahli-ahli Parlimen dengan naratif bahawa jika Belanjawan 2021 tertolak maka gaji, elaun dan pencen penjawat awam dan “frontliners” tidak dapat dibayar. Selain itu, ugutan juga menjurus kepada cubaan menimbul rasa kurang senang dikalangan rakyat bahawa jika Belanjawan tidak lulus maka bantuan-bantuan kewangan tidak akan sampai kepada rakyat yang amat memerlukannya pada ketika ini.

3. Saya telah terangkan sebelum ini bahawa jika Belanjawan tidak lulus ia tidak akan menghalang penyaluran gaji, pencen dan elaun penjawat awam dan “frontliners”. Begitu juga dengan bantuan kewangan untuk keperluan rakyat tidak akan terjejas.

4. Penyaluran kewangan tanpa Belanjawan diluluskan telah berlaku pada tahun 1999 untuk sesi Belanjawan tahun 2000.

5. Selain itu, Kerajaan juga memilih tidak menerangkan bahawa segala perbelanjaan untuk penjawat awam dan “frontliners” sudah diperuntukkan sehingga akhir bulan Januari tahun 2021.

6. Yang kelihatan menjadi keutamaan Kerajaan ialah untuk memastikan Belanjawan yang tidak mementingkan rakyat tetapi mementingkan kelangsungan politik ini dilulus seberapa segera yang mungkin.

7. Kita dapat lihat bagaimana isu kuarantin ahli Parlimen dari Sabah yang menyokong Kerajaan mendapat layanan “double-standard”. Tiba-tiba sahaja, kuarantin 14 hari yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan kepada mereka yang terlibat di dalam pergerakan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak dan kembali tidak lagi menjadi satu ketetapan.

8. Kerana apa dasar atau ketetapan ini tidak berkuat-kuasa? Ia kerana undi ahli-ahli Parlimen ini perlu kepada Kerajaan untuk meluluskan Belanjawan. Setiap perlakuan dan pertukaran dasar dan ketetapan dibuat seperti menukar pakaian semata-mata untuk kepentingan politik.

9. Yang menjadi mangsa ialah rakyat. Apabila rakyat tidak mengikut peraturan atau ketetapan itu, mereka didenda dan dihukum. Jika ahli Parlimen dipihak Kerajaan melakukannya, peraturan ditukar dan mereka bebas dari sebarang hukuman.

10. Jadi, apakah yang akan berlaku jika Belanjawan 2021 tidak lulus?

11. Pertamanya, ia akan bukti bahawa Kerajaan telah hilang “legitimacy” kerana ia tidak mempunyai majoriti yang cukup untuk melulus Belanjawan.

12. Apabila ini berlaku, jika Perdana Menteri seorang yang bermaruah ia akan meletak jawatan.

13. Seterusnya, jika di dalam suasana biasa, ia boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Palimen.

14. Tetapi masa sekarang, ketika Negara dilanda pandemik COVID-19, keadaan adalah amat luar biasa dan pengalaman pilihanraya di Sabah baru-baru ini memperlihat bahawa mengadakan pilihanraya umum bukanlah satu pilihan malahan jika dipilih boleh membawa kemudaratan.

15. Kerana itu, proses yang mungkin boleh dipertimbang ialah memberi peluang kepada Parlimen untuk menentu siapakah dikalangan ahli-ahli Parlimen yang ada yang mempunyai sokongan majoriti.

16. Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa ahli Parlimen tersebut mempunyai sokongan majoriti, maka dia boleh dipilih untuk menjadi Perdana Menteri untuk menubuh Kerajaan yang baru dan berkhidmat sehingga tamat penggal pemerintahan dan tiba masa untuk pilihanraya umum ke-15 diadakan.

17. Ini akan dapat memastikan bahawa Kerajaan baharu ini mempunyai legitimacy dan tidak dipersoalkan seperti Kerajaan pintu belakang sekarang ini.

18. Setelah Kerajaan baharu dapat ditubuh, maka Kerajaan ini boleh memilih untuk membentangkan Belanjawan yang baru ataupun mengambil Belanjawan yang telah ditolak dan dilakukan pindaan-pindaan yang telah diminta dahulu.

19. Semua ini dapat dilakukan di dalam sidang Parlimen khas dan tidak akan mengambil masa yang begitu lama.

20. Kerana itu, saya dan rakan-rakan mengambil ketetapan menolak Belanjawan 2021 dan kami lakukan dengan penuh rasa tanggungjawab dan amanah yang kami pegang bagi pihak rakyat sehingga penggal perkhidmatan kami sebagai wakil rakyat tamat.

Terima kasih.

Najib Pertikaikan Tindakan Longgarkan SOP Kuarantin.

NAJIB RAZAK | Memandangkan jumlah kes baru Covid di Sabah masih tinggi, saya kurang senang dengan pengumuman mengejut petang tadi bahawa mereka yang pulang ke Semenanjung Malaysia dari Sabah tidak lagi perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari.

Saya harap Kementerian Kesihatan akan menjelaskan keputusan ini.

Walaupun jumlah kes baru Covid di Sabah menunjukkan trend menurun sejak minggu lepas tetapi jumlah kes yang dikesan dari kategori "lain-lain saringan" masih tinggi.


Pada saya "lain-lain saringan" ini yang paling bahaya kerana ia adalah kes yang tidak berkait dengan mana-mana kluster yang sudah dikenal pasti dan setiap kes dari kategori ini mampu melahirkan sebuah kluster baru.

Biasanya ianya terdiri dari saringan begejala di mana orang yang sakit setelah dijangkit meminta rawatan.

Ianya bukan hasil dari pengesanan secara aktif bagi kluster sedia ada atau untuk kontak hubungan rapat.

Kita tengok jumlah kes baru di Sabah sejak lima hari lalu.

19 Nov (Khamis): 660 kes baru (98 lain-lain saringan)

20 Nov: 512 kes baru (119 lain-lain saringan)

21 Nov: 346 kes baru (155 lain-lain saringan)

22 Nov: 311 kes baru (114 lain-lain saringan)

23 Nov: 289 kes baru (73 lain-lain saringan)

Sebagai contoh, biarpun Selangor mencatat jumlah kes baru yang sangat tinggi semalam berbanding Sabah, jumlah kes dari kategori "lain-lain saringan" adalah 27 berbanding 73 di Sabah.

Maka soalan paling asas ialah jika ianya wajar untuk melonggarkan SOP untuk tidak lagi memerlukan kuarantin wajib 14 hari bagi pelawat dari Sabah memandangkan Sabah masih mencatat jumlah paling tinggi dalam kategori lain-lain saringan?

Saya bersangka baik bahawa perubahan syarat hari ini adalah berasas dan tidak ada kena-mengena dengan kepentingan politik memandangkan ada ahli-ahli parlimen yang masih berada di Sabah yang mungkin dihalang untuk mengundi bagi bajet 2021.

Jika ianya benar, saya lebih rela hari mengundi bagi bajet 2021 ditunda.

Bagi saya, Malaysia tidak mampu lagi dijejaskan hanya kerana kepentingan politik dan kita tidak boleh mengulangi kesilapan-kesilapan dahulu di mana MKN tertunduk kepada kehendak BERSIH dan Teresa Kok dan membuat keputusan bahawa mereka yang pulang dari Sabah sebelum hari mengundi PRN Sabah tidak perlu disaring atau dikuarantin.

Akibatnya, gelombang ketiga tercetus di seluruh negara sehingga hari ini.

Setiap keputusan yang melibatkan kesihatan Rakyat dan ekonomi negara perlu berpandu pada sains - bukan berdasarkan kepentingan politik.

Saya amat harap Kementerian Kesihatan akan menjelaskan keputusan hari ini.

10K Komen Tun Pertahankan Diri Tak Bersalah Jatuhkan PH, Nak Jumpa 1 Komen Sokong Pun Susah..

POLITIK | Pada 21 November 2020, Tun Mahathir telah membuat sesi luahan perasaan di blognya yang turut disebarkan di page Facebook rasminya.


Tun menulis tentang jawatan Perdana Menteri dan Anwar. Dalam kenyataan itu Tun memperjelaskan beliau tak pernah menghalang Anwar dari menjadi Perdana Menteri.

Sebaliknya ia adalah perancangan Muhyiddin Yassin dan juga konco-konconya.

Tun juga dilihat tidak menyalahkan Azmin Ali. Sebaliknya selepas menyalahkan Muhyiddin Yassin, Pakatan Harapan, beliau menyalahkan Anwar Ibrahim kerana tidak menyokongnya menjadi Perdana Menteri 6 bulan.

Penulisan itu juga bertujuan untuk memperjelaskan kejatuhan PH bukanlah salah Tun Mahathir. Sebaliknya salah Muhyiddin Yassin kerana membawa PPBM keluar PH dan salah Anwar dan PH kerana tidak menyokong Tun menjadi PM ke 8.

Di Facebook, post itu mendapat 10,000 reaksi netizens.

Dalam 10,000 yang komen itu jika dibaca satu persatu, nak cari seorang yang percayakan dan sokong Tun Mahathir, adalah sukar. Kena scroll satu persatu. Mungkin akan jumpa beberapa komen yang mempercayai kenyataan Tun. Itupun ditulis oleh pro PEJUANG. Nak harapkan rakyat biasa non partisan memang takla.





Majoriti yang memberikan komen di post itu bukan sahaja tidak mempercayai Tun, malahan mengkritik negarawan itu. Sedangkan Tun dianggap legend di Malaysia. 

Reaksi di Facebook Tun selepas PH jatuh berubah 360 darjah. Ketika Tun menjadi PM7, meskipun ramai pengkritik, tetap juga ada penyokong. Ianya agak seimbang.

Tetapi selepas PH dijatuhkan, dalam kebanyakan masa, komen atas post politik di Facebook Tun adalah berbentuk kecaman, sindiran dan kritikan. Tak ada sokongan.

Melainkan atas post santai dan kritikan terhadap pihak luar. Selain dari itu, semua post politik dalam negara, Tun mendapat reaksi negatif.

Senang kata;

Penyokong PH
Penyokong Anwar
Penyokong PN
Penyokong Muhyiddin
Penyokong BN
Penyokong Najib

Telah menolak Tun Mahathir. Adakah beliau mampu memenangi PRU15 jika menyertai pilihanraya kelak?

Lawan Tun Mahathir jika berjaya mengalahkan Tun di pentas pilihanraya akan mencipta sejarah yang luar biasa hebatnya dan namanya akan dikenang oleh generasi kini.

PERDANA MENTERI

1. Ramai yang percaya bahawa sebabnya Anwar tidak dapat jadi Perdana Menteri ialah kerana saya menghalang.

2. Benar dahulu saya berpendapat bahawa kerana sebab tertentu dia hilang kelayakan untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia. Tetapi apabila Najib menjadi kleptokrat, saya sanggup bekerjasama dengan Anwar untuk jatuhkan Najib. Saya tidak menentang cadangan Pakatan Harapan (PH) bahawa Anwar akan mengganti saya apabila saya letak jawatan. Tetapi belum pun sampai masanya konco-konco Anwar mendesak supaya saya letak jawatan.

3. Pada 21hb Februari, 2020, saya diberitahu oleh Muhyiddin dan beberapa pemimpin Bersatu bahawa pada malam itu Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan akan mendesak supaya saya letak jawatan untuk Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri. Kononnya saya akan dipaksa lantik Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dengan segera.

4. Tujuan Muhyiddin ialah supaya saya setuju Bersatu keluar dari Pakatan Harapan untuk jatuhkan Kerajaan Pakatan Harapan. Muhyiddin, Azmin dan Hamzah sudah rancang untuk bekerjasama dengan Muafakat Nasional untuk tubuh Kerajaan baru mengganti PH.

5. Azmin Ali pula telah sahkan bahawa apabila cadangan yang tersebut di atas dibuat dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan, beliau akan walk out.

6. Tetapi pada malam itu mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, setelah berbincang dengan panjang lebar, bersetuju supaya saya diberi kuasa untuk letak jawatan bila-bila masa yang saya pilih. Ini bermakna Pakatan Harapan masih sokong saya. Pakatan jahat untuk tolak saya tidak menjadi kenyataan seperti yang didakwa oleh Muhyiddin dan konco-konconya. Saya berpendapat tidak ada sebab kenapa saya perlu bersetuju untuk Bersatu keluar dari PH.

7. Pada 23hb Februari saya telah beritahu kepada Muhyiddin bahawa perancangannya untuk Bersatu keluar dari Pakatan Harapan perlu ditangguh kerana PH masih sokong saya sebagai Perdana Menteri.

8. Apabila Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu bersidang selepas pertemuan saya dengan Muhyiddin dan rakan-rakannya, saya merayu supaya ditangguh cadangan Bersatu untuk keluar dari PH. Saya syor supaya Bersatu tunggu dan lihat akan perlakuan PH.

9. Pendek cerita Majlis tolak syor saya dan setuju Bersatu keluar dari Pakatan Harapan dengan serta-merta. Ada yang tumbuk meja dan dengan lantang sokong Muhyiddin untuk keluar dari PH.

10. Bagi saya ini adalah keputusan muktamad. Ia merupakan kepercayaan kepada saya sebagai Pengerusi parti sudah tidak ada. Keputusan itu juga bermakna Bersatu sudah keluar dari Pakatan Harapan dan Kerajaan PH sudah jatuh.

11. Sepanjang malam itu saya memikir akan kedudukan saya. Kehilangan kepercayaan kepada saya bermakna saya tidak lagi boleh menjadi Pengerusi Bersatu. Jika saya tidak lagi Pengerusi Bersatu dan PH tidak lagi Kerajaan, saya tidak lagi jadi Perdana Menteri.

12. Pada malam itu Muhyiddin Yasin bersama pemimpin-pemimpin UMNO dan PAS telah berada di Hotel Sheraton. Kesanggupan Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu berada bersama dengan musuh Pakatan Harapan bermakna bahawa rancangan menubuh Kerajaan Perikatan Nasional sudah jadi kenyataan.

13. Saya buat keputusan untuk isytihar bahawa saya sudah letak jawatan sebagai Pengerusi Bersatu dan Perdana Menteri. Walaupun ada ura-ura bahawa saya akan diterima oleh gabungan Muafakat dan Bersatu sebagai Perdana Menteri, saya tidak dapat terima kerana penjenayah-penjenayah UMNO akan menjadi sebahagian daripada Kerajaan yang saya akan pimpin.

14. Peletakan jawatan Perdana Menteri oleh saya tidak ada kena mengena dengan cadangan Pakatan Harapan supaya Anwar ambil alih jawatan Perdana Menteri selepas saya letak jawatan. Dengan Bersatu dan puak Azmin Ali keluar dari Pakatan Harapan, Pakatan Harapan sudah tidak lagi jadi Kerajaan dan saya tidak lagi jadi Perdana Menteri.

15. Yang akan jadi Perdana Menteri ialah orang yang dapat majoriti apabila pengakuan oleh ahli Yang Berhormat dihadapan Yang di-Pertuan Agong diadakan.

16. Apabila pengakuan ini dibuat 92 ahli dari Keadilan, Amanah dan DAP menamakan Anwar sebagai pilihan mereka. PH sudah tolak saya sebagai Perdana Menteri.

17. Saya hanya dapat 66 ahli.

18. Jika ketiga-tiga parti dalam Pakatan Harapan menamakan saya sebagai calon mereka, saya akan dapat 158 undi setelah ditambah dengan 66 ahli yang sokong saya. Tetapi kerana mereka beri 92 kepada Anwar, saya kalah dan Anwar juga gagal.

19. Jika saya dapat 92 dari Pakatan Harapan dan dengan itu Kerajaan Pakatan Harapan dikekalkan saya akan kembali jadi Perdana Menteri Pakatan Harapan. Dan apabila saya letak jawatan Anwar akan jadi Perdana Menteri mengikut perancangan Pakatan Harapan.

20. Setelah pencalonan Anwar gagal, Pakatan Harapan ingin kembali sokong saya sebagai calon Perdana Menteri. Anwar juga bersetuju tetapi dengan syarat dia dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

21. Saya tidak bersetuju kerana ingin kekal kabinet lama.

22. Akhirnya Anwar bersetuju dan usaha dibuat untuk dapat jumlah yang cukup untuk Pakatan Harapan kembali jadi Kerajaan. Dengan sokongan dari ahli parti Sabah, jumlah meningkat kepada 114.

23. Malangnya Muhyiddin sudah berjaya mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong untuk dia dilantik sebagai Perdana Menteri.

24. Tetapi usaha untuk tumbangkan Kerajaan Perikatan Nasional diteruskan oleh Pakatan Harapan. Pihak saya dan penyokong saya bersetuju untuk menyertai usaha ini.

25. Tetapi Anwar tolak sama sekali penyertaan saya. Jika saya ditolak, penyokong saya tidak akan menyertai cadangan ini. Dan kita tidak akan dapat tiga orang ahli Dewan Rakyat (DR) untuk mencukupi bilangan.

26. Telah dicadangkan supaya saya akan pegang jawatan Perdana Menteri selama 6 bulan sebelum menyerah kepada Anwar. Amanah dan beberapa ahli DAP bersetuju.

27. Tetapi Anwar tolak. Anwar tidak mahu saya terlibat sama sekali. Tetapi jika saya tidak diberi tempat, penyokong saya tidak akan sokong cadangan Pakatan Harapan. Lagi pun agak sukar mencari tiga orang lagi untuk mendapat majoriti.

28. Pengakuan saya untuk serah jawatan kepada Anwar selepas 6 bulan tidak diterima atau dipercayai oleh Anwar.

29. Rancangan yang munasabah ialah apabila Dewan bersidang, jika Pakatan Harapan mempunyai cukup bilang, Muhyiddin boleh dikalahkan semasa belah bahagi dengan pembangkang mempunyai 114.

30. Apa yang berlaku ialah Muhyiddin masih dapat 112 dan tidak dapat dijatuhkan semasa perbahasan berkenaan perlucutan jawatan Yang di-Pertua Dewan. Ini bermakna Muhyiddin menang dan kekal sebagai PM. Anwar kalah dan tidak jadi PM.

31. Kemudian Anwar isytihar dia sudah dapat cukup bilang dan Muhyiddin sudah tidak jadi Perdana Menteri.

32. Saya dan kumpulan saya ditolak oleh Anwar kerana dia sudah dapat jumlah sokongan yang mencukupi.

33. Tetapi kita semua tahu bahawa Anwar masih tidak dapat jadi Perdana Menteri. Kenyataan Anwar bahawa dia mempunyai cukup bilang didapati tidak benar. Dalam perancangan Anwar saya tidak ada tempat. Jelas setelah ketepikan saya pun Anwar tidak menang.

34. Pada tahun 2008 pun, Anwar gagal. Apakah saya juga yang menghalang Anwar.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...