Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Isnin, 22 November 2021

PASCA PRN Melaka, Apa Yang Patut PH Jadikan Iktibar.

NURUL ASYIKIN |  Apa Yang Perlu PH Belajar.

𝐋𝐎𝐆𝐎

Logo bukan punca. Kelihatannya penyokong PH menyalahkan logo dan bergaduh sesama sendiri kerananya. Kalau pun logo menjadi punca, bukan kerana ia tidak dikenali, tetapi kerana ia dikenali. Pemimpin PH sudah memutuskan menggunakan logo tersebut, ini bermakna mereka sudah membuat satu ketetapan, jika bergaduh isu logo, maka anda semua berpatah balik ke belakang, bergaduh mengenai hal yang sudah diselesaikan. 

Bergaduh isu logo juga dilihat seperti mengabaikan punca sebenar kekalahan PRK Melaka. Kenapa nak buang masa? Benar, anda perlu membersihkan imej Pakatan Harapan tetapi proses pembersihan perlu bermula dari isi ke kulit, bukan dengan menukar kulit semata-mata dan mengekalkan isi yang sama. Ini bermakna, aspirasi dan prinsip Pakatan Harapan yang perlu diperbaharui, kaedah dan strategi perlawanan yang perlu dibetulkan dan ditambahbaik terlebih dahulu, apabila anda kembali dapatkan keyakinan pengundi, anda guna logo pokok pun, orang undi. 

Ada banyak parti yang jatuh bangun dalam dunia ini masih menggunakan logo yang sama ketika di persada kuasa dan hilang kuasa, tak perlu pergi jauh, di Malaysia kita ada Barisan Nasional, kita ada DAP, malah kita ada PKR juga. PKR pernah menang 1 kerusi, dengan logo yang sama mereka berjaya memenangi pilihanraya. Kenapa? Pengundi tidak menilai bersandarkan logo semata-mata, ia lebih dari itu. Apakah 'itu' yang dimaksudkan? 'Itu' lah yang Pakatan Harapan perlu cari kembali.

𝐏𝐄𝐑𝐀𝐓𝐔𝐒𝐀𝐍 𝐔𝐍𝐃𝐈 𝐂𝐀𝐋𝐎𝐍 𝐁𝐄𝐁𝐀𝐒 𝐌𝐄𝐍𝐈𝐍𝐆𝐊𝐀𝐓

Satu perkara yang perlu diperhatikan ialah undian kepada calon bebas meningkat. Kenapa ini berlaku? Mereka guna logo pokok, daun, buku dan sebagainya. Ini memberikan bayangan, sudah ada kumpulan yang lelah dengan perangai parti politik. Sentimen anti parti politik arus perdana boleh meningkat dari tahun ke tahun jika perlakuan-perlakuan dan cara ahli politik bergaduh ini tidak berubah.

𝐏𝐄𝐑𝐈𝐊𝐀𝐓𝐀𝐍 𝐍𝐀𝐒𝐈𝐎𝐍𝐀𝐋 𝐃𝐀𝐏𝐀𝐓 𝐊𝐄𝐏𝐄𝐑𝐂𝐀𝐘𝐀𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐍𝐉𝐀𝐖𝐀𝐓 𝐀𝐖𝐀𝐌 𝐃𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐔𝐍𝐃𝐈 𝐌𝐄𝐋𝐀𝐘𝐔

Undi awal dilihat ramai yang memangkah PN berbanding PH. Ini bermakna doktrinisasi bahawanya PH anti penjawat awam itu berjaya ditanamkan ke minda mereka. PH dan BEBAS masih menerima undi polis dan tentera tetapi dalam julat yang kecil. BEBAS di Kem Terendak mendapat sehingga 82 undi. Ini angka yang tinggi. 82 undi boleh sahaja kepada PH tetapi mereka rela memilih BEBAS, kenapa? Nasihat saya;

- Untuk semua fitnah yang dipalitkan bagi memburukkan imej Pakatan Harapan kononnya anti penjawat awam, lakukan pembetulan samada dengan tindakan saman ataupun laporan polis serta penjelasan.

- Ketika PH memerintah dahulu, pembubaran mendadak beberapa agensi sebenarnya menyebabkan mereka hilang kerja dan tidak bersedia dipindahkan dan ditukarkan secara tiba-tiba. Ini merupakan satu kesilapan. Betul, anda boleh menuduh mereka bekerja itu ini, tetapi itulah rezeki mereka membayar kereta, dan rumah, menyara anak bini. Dibayar secara sah oleh kerajaan dan bukanlah mencuri. Menyalahkan kumpulan ini adalah tindakan dangkal. Atasan dan elit yang membuat keputusan. Sepatutnya anda kena realistik memahami keadaan dan mengubahsuai dengan tidak mencederakan emosi sekaligus menakutkan mereka. Demikian juga apabila bertindak dan membatalkan projek. Pada anda penjimatan, tetapi bagi mereka, ia bermakna HILANG KERJA. Anda tahu apa itu HILANG KERJA? Apa perasaan HILANG KERJA? HILANG KERJA secara tiba-tiba? Oleh itu jangan diulangi lagi kesilapan-kesilapan sebegini. Berikan keyakinan baharu. Ketika buat manifesto, bukan sahaja PH perlu pastikan ia boleh ditunaikan, malah perlu pastikan adanya jaminan yang menyakinkan institusi penjawat awam. Namun, golongan pekerja swasta dan sendiri tidak boleh diabaikan jua. Manifesto untuk golongan ini juga perlu ada.

Pengundi melayu sudah menunjukkan kecenderungan kepada Perikatan Nasional. BN pilihan pertama, PN pilihan kedua, tetapi kenapa PN? Jika BN dan PN bergabung, mereka menguasai undi orang melayu.

Apakah nak kata mereka suka pemimpin rasuah dan penuh skandal? Jika inilah tafsiran anda, maka anda silap, ini kerana terdapat juga pemimpin PH yang didakwa di mahkamah dan terpalit skandal. Tolonglah realistik.

Sentimen kaum dan agama mendominasi, oleh yang demikian PH terlebih dahulu perlu keluar sepenuhnya dari lingkaran ini.

Bagaimana mahu keluar?

Pertama, jangan meloncat dan tergopoh gapah nak mengulas apa-apa sahaja isu yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama tanpa mendapatkan maklumat jelas dan tepat.

Kedua, fahami trend masa ketika isu-isu sebegini dibawa, lihat siapa dapat keuntungan.

Ketiga, jangan beri lawan ruang dan peluang dapatkan millage politik setiap kali isu kaum dan agama dimainkan.

Keempat, jangan buat pengucapan dan post berbaur perkauman, tak kira bahasa dan lokasi, tak kira masa dan hari, ini zaman bukan hanya orang cina dan india sahaja boleh berbahasa Mandarin dan Tamil.

Kelima, didik penyokong-penyokong anda dengan diri anda sekali dengan slogan Bangsa Malaysia, kita semua adalah Bangsa Malaysia. Kita harus berkasih sayang dan saling hormat menghormati.

Keenam, PH harus menonjolkan parti mereka adalah mewakili semua segmen kaum dan agama, tidak mengenepikan dan mengecilkan mana-mana pihak, adapun PH memang tidak mengenepikan mana-mana kaum, tetapi sudah terpalit persepsi bahawa PH tidak peduli kepada sentimen melayu, hal inilah perlu diberikan penekanan bagi membetulkan semula persepsi negatif.

𝐏𝐄𝐑𝐀𝐓𝐔𝐒𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐋𝐔𝐀𝐑 𝐔𝐍𝐃𝐈 𝐌𝐄𝐍𝐔𝐑𝐔𝐍

Antara faktor kenapa PH kalah ialah jumlah yang keluar mengundi merundum dengan banyaknya. Selain undi PH berpindah kepada PN. Tiga penjuru yang memecahkan undi PH adalah tidak menguntungkan calon.

Jangan sesekali menyalahkan pengundi. Berterima kasih kepada mereka yang mengundi anda, tetapi jangan memperlekehkan mereka yang tidak memangkah anda.

Ilham Centre menyatakan political fatigue menyumbang kepada kejatuhan peratusan undi. Political fatigue ini bukan bermaksud mereka penat semata-mata dengan PH malah dengan semua pimpinan parti politik yang bercakaran sejak PRU14 berakhir. Ingin saya sebutkan disini, menafikan pengalaman BN sebagai kerajaan 60 tahun adalah satu kesilapan besar.

Sebagai parti yang kukuh dan apabila mereka kalah, ia tidak berakhir disitu. Inilah kecuaian PH sehingga terjadinya Langkah Sheraton dan akhirnya membawa kepada political fatigue.

Setiap pengundi telah membuat pilihan dan jangan sewenang-wenangnya mengherdik pilihan mereka. PH bukan nak bertanding sekali, PH akan bertanding berkali-kali, anda gagal dapat undi mereka kali ini tetapi senario ini boleh berubah di pilihanraya akan datang.

Baik pengundi Melaka atau luar Melaka, anda jangan sesekali mengecam keputusan pengundi. Pengundi datang dari pelbagai segmen masyarakat.

Anda tahu jika mereka tak punya wang untuk balik mengundi?
Anda tahu jika mereka sakit?
Anda tahu jika mereka kuarantin?
Anda tahu mereka kehilangan kerja?
Terjejas kerana covid19?
Tarikh sama pula dengan suntikan vaksin?
Anda tahu jika mereka punya kekangan masa?
Anda tahu jika mereka ada hal kecemasan yang tidak boleh dielakkan?

Sebab itulah tidak boleh sewenang-wenangnya mengadakan pilihanraya. Pengundi adalah manusia hidup. Bukannya robot. Yang anda boleh picit butang oi sila mai mengundi. Mereka terikat dengan faktor-faktor kehidupan yang lain.

Dengan menyalahkan pengundi di atas kekalahan anda, well pimpinan PH tidak menyalahkan, tetapi penyokong mereka ada yang frust, anda tidak rasional.

𝐄𝐋𝐀𝐊𝐊𝐀𝐍 𝐊𝐀𝐓𝐀𝐊 𝐃𝐀𝐍 𝐉𝐀𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐌𝐀𝐒𝐔𝐊 𝐂𝐀𝐌𝐏𝐔𝐑 𝐏𝐄𝐑𝐁𝐀𝐋𝐀𝐇𝐀𝐍 𝐁𝐍 & 𝐏𝐍

Selepas ini, BN vs BN ke, PN vs BN ke, PN vs PN ke, PH cukuplah sekadar pemerhati di luar pagar, usah biar diheret-heret dalam percakaran mereka.

Di Melaka puncanya kerana PH biarkan diri mereka terjebak dalam percakaran itu.

Jika mereka park tepi, tak rugi apa pun, takdelah kerusi tinggal sampai 5 jer. Jika DUN terbubar pun pengundi cuma faham BN vs BN, tetapi disebabkan adanya penglibatan PH siap bawa jadi calon, beban kesalahan itu dipikul PH.

Pengertian katak bagi penyokong BN, PN dan PH tidak sama. Time frame juga perlu diambilkira.

Oleh kerana baru lagi jatuhnya BN Melaka angkara 4 orang ADUN, maka kebencian itu meluap-luap, manakan nak sama dengan katak-katak yang jatuhkan PH pada tahun lepas, yang mana dengan masa perasaan itu beransur-ansur pudar. Kerana itu katak BN boleh memenangi undi dari penyokong BN.

Bagi PN yang semua tahu dalamnya majoriti katak diketuai katak, penyokong pun katak, ia adalah parti yang membina nama dengan imej katak, PN dah berulangkali cuci imej katak mereka dengan doktrin yang mewajarkan pengkhianatan sehingga boleh diterima oleh sebilangan rakyat, maka apa peliknya calon katak mereka mampu meraih undi?

Sentimen katak bagi pengundi PH adalah sesuatu yang berbeza. Katak ini menjatuhkan federal dan negeri. Ada hilang kerjaya. Bertahun-tahun mereka marahkan katak. Mereka kata pengkhianat. Dalam hati ada dendam. Tiba-tiba disuruh kempen katak. Undi katak. Apa neh? Otak mereka tak mampu hadam dan wajarkan perbuatan itu. Jadi akhirnya PH bukan sahaja gagal curi undi dari parti lawan, kamu hilang undi dari penyokong kamu.

𝐁𝐋𝐀𝐌𝐄 𝐆𝐀𝐌𝐄, 𝐇𝐄𝐍𝐓𝐈𝐊𝐀𝐍, 𝐉𝐈𝐊𝐀 𝐒𝐄𝐌𝐀𝐒𝐀 𝐏𝐄𝐍𝐘𝐎𝐊𝐎𝐍𝐆 𝐍𝐀𝐊 𝐁𝐄𝐑𝐀𝐃𝐔, 𝐁𝐈𝐀𝐑 𝐌𝐄𝐑𝐄𝐊𝐀 𝐋𝐄𝐏𝐀𝐒𝐊𝐀𝐍 𝐑𝐀𝐒𝐀 𝐌𝐀𝐑𝐀𝐇 𝐒𝐄𝐇𝐈𝐍𝐆𝐆𝐀 𝐏𝐔𝐀𝐒 𝐇𝐀𝐓𝐈

Di peringkat pemimpin janganlah ada blame game di hadapan media. Gaduhlah dalam mesyuarat. Keputusan masuk campur dalam pergolakan Melaka adalah keputusan bersama. Sama-sama dah fikir masak-masak, sama-sama dah buat ketetapan maka sama-sama lah tangung akibatnya like a boss.

Tidak cukup sekadar menerima kegagalan, ia perlu diperbaiki dengan langkah pembetulan, ambil iktibar dan pengajaran dari sini.

Di peringkat penyokong, kalau pun mereka nak bertekak bagai rak di sosial media ini, abaikan, biar mereka luahkan, dengan masa perbalahan itu akan berhenti juga.

Walaupun yang terkesan teruk dalam kekalahan ini adalah PH tetapi bagi penyokong mereka juga berasa sedih, jadi biarlah mereka menyampaikan perasaan mereka.

Dah nama pun penyokong PH, adakah anda tahu jika mereka mempertahankan PH ketika bertekak di WhatsApp, di sosial media, di ruangan komen, di Youtube, ketika bersembang dengan rakan dan keluarga, sekecil-kecil peranan mereka, ada jasanya. Oleh itu jangan diserang-serang mereka, biar mereka luahkan kekecewaan mereka.

𝐔𝐓𝐀𝐌𝐀𝐊𝐀𝐍 𝐂𝐀𝐋𝐎𝐍 𝐃𝐀𝐍 𝐈𝐒𝐔 𝐓𝐄𝐌𝐏𝐀𝐓𝐀𝐍

Pemilihan calon yang mewakili kawasan bertanding adalah cukup penting bagi akar umbi. Apabila ahli sendiri boikot yang rugi adalah parti. Oleh itu jangan abaikan suara-suara protes.

Calon yang bertanding perlu dikenali masyarakat setempat dan mempunyai rekod yang baik.

Calon muda merupakan suatu kelebihan. Yang tiada isu dan terpalit skandal. Mungkin 25 tahun ke atas. Calon juga perlu berwibawa dan bukannya tak tahu menjawab di hadapan media.

Walaupun isu nasional mampu mempengaruhi mood pengundi, tetapi isu tempatan lebih dekat di hati mereka. Seringkali saya katakan setiap parti perlu ada jentera yang mencakupi kajian lapangan yang mana anda perlu tahu apa masalah yang dihadapi penduduk tempatan, sentimen dan apa yang mampu membuatkan mereka undi PH. Dengan kajian ini, anda boleh memahami masalah yang dihadapi mereka dengan baik sekaligus menawarkan satu penyelesaian yang anda yakin anda boleh buat, elakkan beri satu janji yang anda tidak mampu tunaikan ye.

Isu berkaitan Najib dan 1MBD sudah dimuktamakan mahkamah. Najib didapati bersalah. Jadi ulang main isu yang sudah ada penyelesaian pun tak ada gunanya.

Demikian juga isu Rosmah, dia sedang diadili di mahkamah, apa je pengundi nak ambil kira pasal dia?

Yang mereka peduli ialah bagaimana kau boleh selesaikan masalah aku kat tempat aku tinggal. Isu banjir ke, perparitan ke, peluang pekerjaan ke, apa ke itu yang perlu diberikan penekanan.

𝐏𝐄𝐑𝐁𝐀𝐈𝐊𝐈 𝐊𝐄𝐌𝐏𝐄𝐍 𝐁𝐄𝐑𝐒𝐄𝐌𝐔𝐊𝐀 𝐃𝐀𝐍 𝐎𝐍𝐋𝐈𝐍𝐄

PRN Sarawak sedang berlangsung. PH dan penyokong tidak boleh terlalu lama bersedih dan bercakaran atas apa yang berlaku di Melaka.

Antara yang menjadi punca apabila tiadanya command centre. Untuk PRN Sarawak, wujudkanlah command centre yang disertai oleh semua parti.

Command centre ini akan berperanan membincangkan isu berkaitan kempen online dan menangkis serangan serta hal-hal berbangkit.

Disebabkan pandemik, kempen bersemuka juga akan berhadapan kesulitan. Salah sikit kena kompaun, hilang duit pula. Yang berada di lapangan boleh buat kajian kempen cara apa yang terbaik yang mampu dilakukan mereka supaya maklumat sampai kepada pengundi.

Tolonglah bersepakat, wakil setiap parti perlu berkerjasama dan ada di setiap kawasan kempen. Maklumat juga perlu dikongsikan dan jangan ada perbalahan.

𝐁𝐍 𝐌𝐄𝐍𝐀𝐍𝐆 𝐓𝐄𝐓𝐀𝐏𝐈 𝐉𝐔𝐌𝐋𝐀𝐇 𝐔𝐍𝐃𝐈 𝐓𝐈𝐃𝐀𝐊 𝐉𝐀𝐔𝐇 𝐁𝐄𝐑𝐁𝐄𝐙𝐀 𝐃𝐄𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐏𝐇, 𝐓𝐀𝐊𝐄 𝐍𝐎𝐓𝐄 𝐃𝐄𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐏𝐍

Walaupun BN menang selesa dengan 2/3 kerusi tetapi jumlah undi tidak jauh berbeza dari PH.

PH juga perlu peduli dengan undi yang diraih PN. Mereka perlu dapatkan kepercayaan dari segmen masyarakat yang undi PN, anak muda dan atas pagar.

BN kini yakin tampil solo. BN ialah kerajaan. Mereka ada keupayaan masuk ke gelangang PRU15 dalam keadaan bersedia serba serbi dari segi kewangan, aset, media dan logistik.

Bagaimana PH boleh melawan mereka? Bergaduh sesama pimpinan tertinggi guna media?

Pertama, PH perlu tunjukkan mereka ialah gabungan stabil dan kukuh. Untuk itu elakkan percakaran terbuka.

Kedua, buat manifesto yang menyakinkan dan mampu dilaksanakan. PH perlu lancarkan manifesto dan perlu masa untuk mendapatkan kepercayaan pengundi.

Banner calon kat tepi-tepi jalan tak relevan. Banner polisi dan manifesto itu yang sepatutnya. Iklankan manifesto secara online.

Kuasai kempen media sosial. Di semua platform.

Jangan biarkan lawan membina naratif. PH kalah dengan media arus perdana, isu sudah pasti, tetapi cari jalan untuk kuasai media alternatif.

Adapun sebagus mana pun kempen anda, apa isi kempen, itu yang lebih penting.

Apa yang PH nak isi dalam manifesto mereka kali ini?
Tolong dapatkan pandangan awam.
Jangan syok sendiri.

Sekian.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...