Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Rabu, 20 Mei 2020

Kalau Nak Khianat Saya Dah Terima Jawatan Jadi PM PN Kata Tun.

POLITIK | Pergaduhan dua kem utama dalam PPBM nampaknya semakin memuncak apabila Tun Mahathir membuat cabaran terbuka kepada pihak yang mendedahkan sebahagian kandungan perbincangan Ahli Majlis Tertinggi PPBM yang berlangsung pada 24 Feb 2020 yang lalu.


Rakaman itu yang didedahkan semalam menjadi tular dan menimbulkan kemarahan penyokong PH terutamanya dikalangan pro DAP dan Anwar.

Ini kerana suara yang dipercayai Tun Mahathir dipetik sebagai berkata,"cumanya, saya pun tak suka kepada DAP. Tak suka kepada Anwar," telah menyebabkan penyokong PH berasa tertipu dan seperti diperdayakan oleh bekas Perdana Menteri ke 7 itu.

Sementara itu, Tun yang memberikan kenyataan berhubung rakaman viral itu juga tidak menafikan kesahihan audio itu melainkan hanya menegaskan ia adalah versi yang telah disunting atas alasan ada pihak yang mempunyai niat jahat terhadapnya.

"Ada yang berniat jahat menyebarkan klip audio saya yang jelas disunting.‬

‪Saya cabar mereka keluarkan rakaman penuh mesyuarat MPT.‬

‪Saya kekal setia bersama rakan rakan yang berjuang dengan saya sebelum PRU-14.‬

Kalau betul saya mahu mengkhianati mandat rakyat, saya boleh lakukan dahulu apabila dicalonkan sebagai Perdana Menteri Perikatan Nasional.‬

‪Saya tolak. Susah & senang, kita bersama," katanya dalam satu kenyataan hari ini. - 20 Mei 2020.

Selasa, 19 Mei 2020

Beberapa Senario Yang Mungkin Berlaku Andai Muhyiddin Pecat Keahlian Mahathir.

Ulasan | PENYINGKIRAN TUN M DARIPADA BERSATU TIDAK BERI KEUNTUNGAN KEPADA MUHYIDDIN

Walaupun penyingkiran Tun Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Bersatu melalui keputusan yang dibuat oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan atau RoS masih boleh dipertikaikan, tetapi itulah sebenarnya satu-satunya pilihan yang ada di tangan Muhyiddin Yassin untuk menguasai parti itu.

Memang benar Tun Mahathir ada meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Bersatu pada 24 Februari lalu tetapi mesyuarat tergempar MPT Bersatu pada 25 Februari yang dipengerukan oleh Muhyiddin kemudiannya menolak perletakan itu serta merayu agar beliau kembali semula memegang jawatan tersebut.

Susulan itu, pada 27 Februari, sebagaimana yang diumumkan oleh Setiausaha Agung Bersatu, Marzuki Yahya, Tun Mahathir disahkan kembali semula menjadi Pengerusi Bersatu.

Kenapa sekarang RoS hanya menerima perletakan jawatan Tun Mahathir saja, tetapi tidak mengambil kira penolakan MPT Bersatu dan setujunya beliau untuk kembali memimpin Bersatu?

Jawabnya mudah saja iaitu RoS ialah sebuah jabatan yang terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri di mana menterinya, Hamzah Zainuddin adalah bekas pemimpin UMNO yang melompat kepada Bersatu selepas PRU14 lalu dan baru-baru ini dilantik oleh Muhyiddin menjadi Setiausaha Agung Bersatu yang memihak kepadanya.

Berdasarkan itu, tentulah tidak menghairankan jika RoS yang terletak dibawah pengawasan Hamzah akan berbuat sesuatu yang memihak kepada Muhyiddin.

Penyingkiran Tun Mahathir ini tidak lain adalah bertujuan agar kedudukan Muhyiddin sebagai Pemangku Pengerusi Bersatu berikutan kekosongan yang ditinggalkan oleh bekas Perdana Menteri itu dapat disahkan.

Bermakna sekarang, selain sebagai Presiden, Muhyiddin juga adalah Pemangku Pengerusi Bersatu sehingga pemilihan parti diadakan tidak lama lagi.

Tetapi, dengan kedua-dua jawatan itu dalam pegangannya, Muhyiddin bukan saja sudah boleh mengurus perjalanan parti untuk mengadakan permilihan, tetapi juga memanggil mesyuarat MPT.

Dengan yang demikian, dalam mesyuarat MPT Bersatu selepas ini atau sebelum berlangsungnya pemilihan parti, Muhyiddin sudah hampir pasti akan memecat Tun Mahathir sebagai ahli parti itu.

Ini bermakna, walaupun Tun Mahathir sudah diumumkan menang tanpa bertanding sebagai Pengerusi Bersatu bagi sessi 2020-2023, kemenangan itu tidak akan bermakna kerana beliau akan dipecat terlebih dahulu sebelum pemilihan diadakan.

Di sinilah memperlihatkan bagaimana Muhyiddin tidak melepaskan peluang memanfaatkan kuasa yang ada melalui Hamzah yang dilantiknya sebagai Menteri Dalam Negeri dan Setiausaha Agung Bersatu bagi membolehkannya menguasai parti itu secara mutlak.

Namun demikian, kejayaan Muhyiddin menguasai parti itu melalui kuasa RoS ini tidak memberi apa-apa kelebihan kepadanya untuk menghadapi cabaran yang boleh menjatuhkannya sebagai Perdana Menteri.

Cabaran yang lebih utama dan bahaya yang harus dihadapi oleh Muhyiddin ialah usul undi tidak percaya terhadapnya di Parlimen yang akan dibawa oleh Tun Mahathir pada Julai akan datang dan bukannya pemilihan dalam Bersatu di mana beliau akan dicabar oleh Mukhriz bagi jawatan Presiden.

Meskipun Muhyiddin berjaya menguasai Bersatu dan memecat Tun Mahathir misalnya, jumlah Ahli Parlimen yang menyokongnya tidak akan bertambah sama sekali.

Mereka yang menyokong Tun Mahathir daripada Bersatu tetap juga akan bersama dengan bekas Perdana Menteri itu.

Sekaligus ini bermakna, dalam kedudukan majoritinya di Parlimen hanya dua, menyingkirkan Tun Mahathir daripada Bersatu tidak akan menjadikan Muhyiddin bertambah kuat atau bertambahnya jumlah undi untuknya dalam usul tidak percaya itu nanti.

Dengan tersingkirnya Tun Mahathir secara sebegitu rupa daripada Bersatu, selain simpati terhadapnya boleh jadi bertambah, beliau juga boleh menyertai mana-mana parti selepas ini.

Di dalam PH, kalau pun bukan menyertai PKR atau DAP, mungkin Tun Mahathir akan memilih untuk masuk Amanah sebagai platform barunya meneruskan perjuangan.

Lebih daripada itu, dengan Tun Mahathir menyertai mana-mana parti selepas ini, berdasarkan tinjauan rambang dengan beberapa pihak dalam Bersatu, dijangka sekitar 60 peratus daripada ahli Bersatu akan turut keluar parti untuk bersama dengan bekas Perdana Menteri itu.

Akhirnya, apa yang tinggal dalam Bersatu dan apa untungnya kepada Muhyiddin dengan dapat menguasai Bersatu?

Di ketika yang sama, undi tidak percaya di Parlimen tetap jalan seperti biasa, malah bersama mood rakyat menolak “kerajaan pasir dua butir” Muhyiddin yang begitu amat ketara sekali ketika ini, kejatuhannya ternampak sukar ditahan lagi. (Shahbudindotcom 19/05/2020)

Didakwa Hina Ucapan Agong, Astro Awani Minta Maaf Tetapi Netizens Tak Terima.

Sosmed | Astro Awani tampil membuat permohonan maaf terbuka selepas stesen penyiaran itu didakwa menghina titah Agong dalam ucapan pembukaan di Parlimen pada Isnin.

"Astro AWANI ingin memaklumkan, rerayap Terkini yang terpampang ketika siaran ulangan Titah Diraja , Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 tiada kena mengena dengan siaran berkenaan. 

Sebaliknya ia adalah rerayap yang merujuk kepada Sidang Media Tun Dr Mahathir Mohamad yang berlangsung sebelum itu. Astro AWANI ingin memohon maaf sekiranya timbul kekeliruan atas apa yang berlaku dan rerayap berkenaan bukan bertujuan menghina mana-mana pihak," kata wakil penyiaran itu dalam satu kenyataan yang dipetik dari halaman rasmi Astro Awani.


Terdahulu, seorang individu yang dikenali sebagai Fadly Bahktiar Othman mengecam Astro Awani dan mendakwa stesen itu sengaja menghina Agong.

"Pada saat YDPA memberi titah kepada Ahli YB, si Astro Awani buat perangai dengan menyiarkan nota menentang arus seperti apa yang YDPA titahkan.

Kelihatan seperti cubaan melagakan rakyat dengan YDPA. Mohon pihak kerajaan tarik lesen penyiaran dan menghukum kepada mereka yang cuba derhaka kepada YDPA," tulisnya dalam kenyataan itu.

Hantaran itu mendapat perhatian netizens dan beberapa pihak turut mendesak agar kerajaan menarik balik lesen penyiaran stesen itu.

Di halaman rasmi Awani pula, meskipun pihak Astro telah meminta maaf dan membuat penjelasan, rata-rata netizens tidak mahu menerima permohonan maaf itu.




Setakat ini dengan lebih dari 4,700 komen, boleh dikatakan majoriti komen adalah menghentam agensi itu dan mendesak kepada satu tindakan tegas ke atas Astro. - 19 Mei 2020.

Ada CEO GLC Yang Dapat Gaji RM900k Sebulan..

The Malaysia Insight | KITA kerap mendengar ahli politik menipu rakyat, dan mencuri wang negara. Terdapat banyak contoh pada masa ini bagaimana ramai ahli Parlimen yang sedang menghadapi kes rasuah di mahkamah dilantik sebagai menteri mahupun sebagai pengerusi syarikat kerajaan. Mereka ini dapat diibaratkan seperti ular sawa menjaga reban ayam.


Namun ramai yang tidak sedar bahawa terdapat juga CEO GLC yang mengambil kesempatan di atas keringat rakyat. Mereka tanpa segan silu tidak mempedulikan kesengsaraan rakyat yang makin ditindih kesempitan.

Mereka ini bagaikan dewa-dewa di kayangan yang tidak mengendahkan nasib anak bangsa.

Semua maklumat yang saya kupas di bawah adalah dalam pengetahuan umum, dilaporkan dalam penyata kewangan tahunan syarikat berkenaan. Rakyat boleh semak penyata berkenaan.

Biar saya berikan contoh.

Pada tahun 2018 selepas PRU14, ahli lembaga pengarah Tabung Haji yang baharu terpaksa berhempas pulas membawa institusi keramat itu ke landasan yang betul. Institusi itu telah dirompak berkali-kali ketika zaman BN, kerugiannya berbilion ringgit.

Beberapa laporan kepada pihak polis dan SPRM juga sudah dibuat, hanya menunggu perbicaraan di mahkamah.

Akibat kerakusan perompak ketika itu, rakyat terpaksa menerima padah. Hasilnya, hibah untuk pencarum Tabung Haji untuk tahun 2018 hanyalah 1.25%, yakni terburuk dalam sejarah negara.

Rakyat Malaysia, baik Melayu, Cina, India, Kadazan mahupun Iban dan semuanya terpaksa “bail-out” Tabung Haji sebanyak RM19 bilion.

Tetapi, pada masa yang sama, gaji CEO anak syarikat Tabung Haji tidak terjejas, tidak sejajar dengan apa yang berlaku. Malah, CEO makin tamak dan rakus terutamanya syarikat milik Tabung Haji seperti Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad, dan Bank Islam Holdings Berhad.

Ketika seorang mak cik di kampung mendapat hibah 1.25% dan terpaksa menunggu berpuluh tahun untuk menabung RM10,000 untuk menunaikan haji, pendapatan CEO syarikat Takaful Malaysia iaitu Mohamed Hassan Kamil adalah bersamaan dengan RM903,000 sebulan ataupun RM10.84 juta setahun.

Kegilaan apakah ini? Bertahun-tahun beliau menerima imbuhan tak masuk akal ini?

Yang lebih menjijikkan, pendapatan beliau pada tahun 2019 naik hampir 17%, menjadikan purata pendapatan bulanan beliau tahun lepas adalah RM1.05 juta SEBULAN!

Ini menyamai pendapatan bersamaan RM30,000 sehari, manakala majoriti simpanan penabung haji yang menabung berpuluh tahun tidak pun sampai RM700! Gaji CEO ini untuk satu hari adalah bersamaan dengan tabungan seumur hidup penabung.

Kenapa ini dibiarkan berlaku?

Mari kita lihat pula sebuah lagi anak syarikat Tabung Haji iaitu BIMB Holdings Berhad. CEOnya adalah Mohd Muazzam Mohamed. Berapakah pendapatan beliau pada tahun 2018 ketika Tabung Haji membayar 1.25% hibah kepada orang Melayu yang miskin? RM3.12 juta setahun. Naik 2.7 kali ganda dari pendapatan beliau pada tahun 2017 iaitu RM855,000. Ketika Tabung Haji sudah hampir runtuh, CEO anak syarikat mendapat kenaikan gaji berganda-ganda!

Mereka ini mendapat gaji hasil dari titik peluh nelayan petani pesawah yang bersusah payah menyimpan sikit demi sedikit untuk menunaikah haji.

Harus diingatkan, untung Tabung Haji pada tahun 2018 jatuh 50% dari tahun sebelumnya, namun mereka ini tanpa segan silu masih menerima gaji yang amat tinggi. Adakah masuk akal pendapatan RM900,000 sebulan! Tidak bukan?

Tidakkah ini satu yang sepatutnya memalukan?

Kenapakah pihak ahli Lembaga Pengarah tidak bersuara? Melihat kepada laporan tahun BIMB, jawapannya jelas: mereka juga mendapat habuan yang menggiurkan. Jumlah imbuhan untuk ahli lembaga pengarah di Syarikat Takaful adalah hampir RM1.5 juta, manakala untuk BIMB Holdings mendapat RM4.1 juta.

Pengerusi BIMB Holdings mendapat RM375,000, manakala ahli Lembaga Pengarah yang lain masing-masing mendapat di antara RM375,000 hingga RM768,000 setahun. Mereka bersuka ria dengan habuan yang tidak masuk akal.

Bagaimanakah caranya untuk menaikkan hibah untuk makcik penoreh getah, pakcik pesawah padi yang begitu ciput sekali? Arghhh, persetankan! Yang penting aku sebagai CEO dapat habuan hampir RM1 juta sebulan.

Inilah barah yang sedang meresapi tubuh ahli profesional Melayu di GLC. Rata-rata mereka ini kluster di kayangan.

Lihat pula anak syarikat Perbadanan Nasional Berhad (PNB). Majoriti penyimpan di Amanah Saham Bumiputera (ASB) hanya mempunyai simpanan tidak sampai RM1,000 tetapi CEO anak syarikat mendapat habuan yang melampau. Contohnya, CEO Maybank, milik PNB.

CEO Maybank adalah Farid Alias, yakni CEO sejak 2013. Beliau ini juga adalah pengerusi Persatuan Bank-Bank Malaysia yang mengeluarkan kenyataan bahawa faedah ketika monotarium harus dikenakan. Pendapatan beliau tahun 2019? Hampir RM7.6 juta setahun ataupun RM630,000 sebulan!

Majoriti penyimpan di ASB hanya ada RM1,000 dalam simpanan, bermakna mereka harus menyimpan RM1,000 setahun selama 630 tahun baru bersamaan dengan gaji beliau sebulan.

Bagaimana pula dengan syarikat Sime Darby milik PNB? Laporan tahunan Sime Darby Plantation (SDP) ada menunjukkan imbuhan kepada CEOnya iaitu Mohd Bakke Salleh, bekas Pengerusi 1MDB, yang baru mendapat habuan menjadi Pengerusi Telekom.

Ketika beliau menjawat kedudukan sebagai CEO di Sime Darby Plantations (SDP) pendapatan tahunan beliau hampir RM8 juta setahun. Pendapatan beliau selama menjadi CEO di situ dari tahun 2011 hingga 2017 adalah RM64 juta!

Yang menghairankan, ketika beliau menjadi CEO pada tahun 2011, simpanan tunai di SDP adalah hampir RM5 bilion, tetapi ia merosot kepada 500 juta pada 2018, manakala hutang naik kepada RM15 bilion!

Tidakkah ini sesuatu yang memalukan? Tidakkah ini namanya tamak? Harus diingatkan, dividen ASB pada tahun lepas adalah yang terburuk dalam sejarah. Adakah CEO ini semua peduli? Argghh, persetankan saja.

Syarikat milik kerajaan iaitu Khazanah Nasional juga sama. Dua kali lima. CEO anak syarikat mereka mendapat habuan melimpah ruah. Akhbar The Star pernah melaporkan bahawa pada tahun 2018, pendapatan CEO syarikat IHH Berhad adalah RM33 juta setahun! 

https://www.thestar.com.my/business/business-news/2019/05/07/five-glcs-among-20-listed-firms-with-highestpaid-ceos/

Kegilaan apakah ini? Yang menariknya, CEO itu adalah warganegara Singapura. Harus diingatkan juga, Khazanah melaporkan kerugian RM6.27 bilion pada tahun 2018. Adakah CEO peduli? Argghh, persetankan sekali lagi!

Salah sebuah syarikat milik Khazanah ialah CIMB Bank. CEO pada tahun 2018 tidak lain dan tidak bukan adalah Menteri Kewangan kerajaan Perikatan Nasional iaitu Tengku Zafrul Aziz. Beliau bangga berkata di stesen TV Astro Awani bahawa Mak Cik Kiah tidak perlu membayar faedah (selepas itu beliau u-turn dan menyalahkan Bank Negara Malaysia). Pendapatan beliau pada tahun 2018 adalah RM8.6 juta setahun ataupun RM717,000 sebulan.

Adakah mereka ini faham apa yang dihadapi oleh rakyat marhaen seperti Mak Cik Kiah?

Apabila kita meneliti laporan tahunan yang lain, jelas yang kaya terus kaya atas keringat rakyat. Pendapatan CEO Khazanah sebelum ini dikatakan hampir RM650,000 sebulan. Pendapatan CEO syarikat milik Khazanah juga mengila, CEO Axiata Berhad mendapat hampir RM 7 juta setahun, sedangkan pada tahun yang sama Axiata Berhad melaporkan kerugian RM7.64 bilion.

Ramai lagi CEO yang rata-rata orang Melayu tidak mahu berkongsi kesusahan rakyat. Tiada seorang pun yang menawarkan potongan gaji mereka.

Ketika pekerja hilang mata pencarian, bergelut mencari nasi dan susu untuk keluarga, dan wang simpanan makin susut, CEO KWSP masih boleh senyum gembira setiap hujung bulan.

Berdasarkan laporan tahunan KWSP terkini, gaji CEO dan timbalannya mencecah RM6.1 juta tahun lepas, ataupun purata hampir RM130,000 seorang ataupun RM4,300 sehari. Bandingkan gaji mereka dengan fakta bahawa 1 dalam 5 penabung di KWSP mempunyai simpanan untuk hari tua hanya RM7,000 sahaja!

Ketika harga minyak jatuh dan keuntungan Petronas makin turun, pihak atasan di Petronas masih di kayangan. Gaji CEO Petronas juta hampir RM8 juta, malah dengan imbuhan yang menarik. Pernah dilaporkan bahawa antara imbuhan CEO adalah Petronas membayar setiap tahun kos percutian CEO dan keluarga ke mana sahaja di dalam dunia sebanyak RM300,000 setahun. Wow!

Ini berbeza dengan 10 tahun yang lalu. Dalam satu wawancara dengan Mingguan Malaysia pada Oktober 2004, bekas presiden Petronas berkata ketika zaman beliau, elaun ahli lembaga pengarah RM3,000 sebulan. Kini dikatakan keseluruhan secara purata mencecah RM40,000 sebulan!

http://www.alumniuitm.org.my/site/?p=10755

Sebagai perbandingan, gaji CEO bank terbesar dunia iaitu Industrial and Commercial Bank of China Ltd (ICBC) hanyalah RM380,000 setahun, ataupun RM32,500 sebulan! Bandingkan dengan CEO Maybank, CIMB, Bank Islam dan yang lain.

Syarikat GLC Malaysia jauh lebih kecil dari ICBC, tetapi anehnya gaji mereka jauh lebih tinggi. Hairan bin ajaib.

Tiada seorang pun antara mereka yang dengan sukarela memotong gaji. Tidak ada langsung sifat menolong yang susah. Inikah sifat orang Islam?

Ada yang berkata, usahlah dengki. Mereka ini layak. Mereka ini Melayu Islam. Kau rakyat apa tahu?

Kalau kau tiada wang, pergi saja pajak gadai. Alhamdulilah, walaupun rakyat berbaris panjang berjela memajak emas perak untuk membeli makanan untuk anak isteri, menteri berkata ini benda positif kerana orang Islam celik fasal kewangan Islam. Aduh, beginikah, tuan mufti?

Difahamkan bahawa Dr Mahathir telah memotong elaun pengerusi dan ahli lembaga pengarah badan-badan berkanun pada hujung 2019, dan CEO GLC yang dilantik oleh Lim Guan Eng ketika itu menerima gaji dan imbuhan yang lebih kecil dari apa yang mantan-mantan CEO terdahulu terima.

Namun, usaha Kementerian Kewangan untuk memotong gaji dan elaun pengerusi, ahli lembaga pengarah dan CEO di GLC menerima tentangan hebat dari mereka yang dilantik oleh rejim Najib, terutamanya GLC yang tersenarai di Bursa Saham.

Mereka mahu imbuhan yang lebih besar. Jika dipotong, bagaimana mahu ke London ketika musim sejuk nanti? Mana ada “kelas” bercuti di Malaysia tanpa salji?

Ya, aku CEO, aku “chairman”, maka aku hebat.

Amat jijik apabila mendengar mereka ini bertempik bahawa mereka berkhidmat bersama GLC kerana niat murni “national service”, tetapi tidak mahu gaji dan imbuhan dipotong langsung. Hipokrit, bukan? Cakap tak serupa bikin.

Kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kesemua mereka ini haruslah diberi gaji yang lebih kecil, dan simpanan dari pengurangan gaji mereka boleh disalurkan kepada anggota polis, tentera, bomba, jururawat dan doktor yang bertungkus lumus menyelamatkan negara. Ini lebih baik.

Tetapi rakyat usah berhajat tinggi, sekarang ini, apabila ahli politik menjadi pengerusi lantikan dan menteri kewangan seperti lebih menjaga bank, usah mimpi gaji mereka ini semua akan dipotong.

Nasib kau lah rakyat sekalian.

Isnin, 18 Mei 2020

Keputusan Melepaskan Riza Aziz Dari Pendakwaan Adalah Tidak Wajar & Ini Adalah Sebabnya.

Aidil Khalid | Saya mohon untuk berbeza pendapat.

Seperti yang telah saya katakan sebelum ini, soal siapa yang putuskan untuk melepaskan Riza Aziz — sama ada peguam negara terdahulu atau peguam negara baharu — adalah tidak relevan, dan bukan isu yang wajar dibincang.


Sebab kalaupun ia dibuat oleh Tommy Thomas sekali pun, itu tidak menjadikan perkara yang dibuat itu betul dan wajar dengan sendirinya. Sebab Tommy Thomas juga memutuskan bahawa Adib tidak mati dibunuh, tetapi kemalangan dilanggar. Tommy Thomas juga memutuskan untuk melepaskan Guan Eng. Tommy Thomas juga memutuskan untuk melepaskan suspek pengganas LTTE. Justeru persoalannya adakah kita hendak bersetuju dengan semua perkara tersebut, sebab kesemuanya diputuskan oleh Tommy Thomas juga?

Persoalan mengenai Peguam Negara mana yang memutuskan untuk melepaskan Riza Aziz hanya dibangkitkan untuk mengaburi isu sebenar: iaitu saspek jenayah melibatkan RM1.25 bilion dilepaskan begitu saja, kerana dia mampu bayar, dan (mungkin) kerana (kebetulan) kerajaan baru sudah berkuasa.

Harus kita ingat, pertuduhan terhadap Riza Aziz di bawah seksyen 4(1) Akta AMLAA memperuntukkan hukuman maksimum 15 tahun penjara bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan. Riza didakwa dengan 5 pertuduhan, jadi hukuman maksimum jika sabit bagi kelima-limanya adalah 15 x 5 = 75 tahun merengkok di penjara.

Memang berat, amat berat, tetapi demikianlah perundangan memandang serius salah laku kewangan.

Pihak pendakwaan sepatutnya memohon hukuman setimpal, dan bukannya meminta pelakunya dilepaskan hanya sekadar dengan membayar kerana dia berkemampuan. Berdasarkan rentetan fakta kes — wang korupsi yang sepatutnya adalah duit rakyat Malaysia telah digunakan untuk bikin filem tidak bermoral — seharusnya dijadikan hujah dan alasan yang ampuh untuk mendapatkan hukuman berat, sebagai satu mesej betapa rakyat Malaysia menolak tingkah laku sedemikian.

Tingkah laku Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun juga tidak wajar, apabila beliau melepas tangan dan mengatakan peguam negara terdahulu telah bersetuju. Hakikatnya, di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, kuasa dan budibicara adalah terletak kepada Peguam Negara yang memegang jawatan, jadi dia tidak terikat dengan (kononnya) “keputusan” peguam negara terdahulu.

Adakah selepas ini Tan Sri Idrus Harun juga akan mengguna-pakai alasan sama, dan mengatakan, bahawa beliau juga bersetuju dengan segala tindak-tanduk Tommy Thomas dalam kes Adib, dalam kes Guan Eng, dalam kes Siti Kasim, dalam kes LTTE, hanya sebab Tommy Thomas telah putuskan, maka ia perlu dianggap betul dan tidak boleh dipersoalkan? Tommy Thomas juga sebelum ini memutuskan untuk menandatangani ICERD, jadi adakah Tan Sri Idrus Harun juga akan mengatakan dia bersetuju untuk Malaysia menandatangani konvensyen tersebut, sebab Tommy Thomas telah bersetuju?

Ayuhlah, keluar dari belenggu kepartian sempit yang membinasakan. - 18 Mei 2020.

Ahad, 17 Mei 2020

Khalid Samad Sahkan SU Politiknya Ditahan Bagi Membantu Siasatan Dakwaan Rasuah.

POLITIK | Bekas Menteri Wilayah, Khalid Samad mengesahkan bekas Setiausaha Politiknya ditahan bagi membantu siasatan satu kes yang dikatakan dakwaan rasuah.


Menurut Khalid, bekas pegawai yang ditahan itu ialah Haji Azli. 

Khalid juga berkata;

1. Syarikat arkitek yang membuat aduan kepada polis.

2. Syarikat itu diberikan DO palsu oleh seorang broker.

3. Broker itu menjual nama Haji Azli dan mendapat ganjaran.

4. Broker itu mendakwa DO itu didapatkan dari Haji Azli.

5. Broker turut disiasat.

6. Broker itu telah berjaya mendapatkan jutaan ringgit hasil dari menjual nama.

"Saya tidak boleh menceritakan lebih dari itu kerana kes ini masih dalam siasatan polis. Saya diberitahu 'broker' berkenaan telah menerima jutaan ringgit melalui kaedah jual nama ini.

Kepercayaan "cash is king" memungkinkan broker berjaya.

Broker kaya, yang nama dijual teraniaya," jelas Khalid dalam kenyataan itu lagi.

Petang tadi portal Free Malaysia Today mendedahkan Bukit Aman sedang menyiasat satu kes dakwaan rasuah membabitkan Setiausaha Politik bekas pegawai menteri. 

Bekas SU itu ditahan bagi membantu siasatan. Polis juga memaklumkan kepada wakil FMT bekas menteri Pakatan Harapan akan dipanggil bagi membantu siasatan namun tidak mendedahkan nama bekas menteri yang dimaksudkan. - 17 Mei 2020.

Lot Kedai Bernilai RM150j di Berjaya Times Square, Bekas Pegawai Khalid Jawab Budiman.

Kenyataan Media | BUDIMAN MENGATA DULANG.

Beberapa hari lepas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mengumumkan bahawa DBKL akan membuka ruang perniagaan kepada bumiputera berniaga di Kompleks Membeli Belah Berjaya Times Square yang dimilik oleh DBKL bernilai RM150 juta.

Pelbagai komen dan ulasan diberikan. Ramai yang terkejut bagaimana dan kenapa nilai sebanyak RM150 juta dibelanjakan dan dibayar kepada Berjaya tetapi tidak terus kepada peniaga.

Malam tadi sekitar jam 11.34 pm, Budiman Mohd Zohdi, mantan Ahli Parlimen Sungai Besar memuatnaik ulasan di laman facebook mengatakan bahawa lot-lot kedai tersebut sudah dimiliki oleh DBKL sebelum Tan Sri Annuar Musa menjadi Menteri Wilayah Persekutuan.

Budiman seterusnya menyatakan bahawa tindakan Tan Sri Annuar adalah menyelesaikan masalah bukan seperti pentadbiran PH sebelum ini.


Dimaklumkan bahawa selama kami mentadbir Kementerian Wilayah Persekutuan sebelum ini, DBKL tidak pernah sekali pun memaklumkan mereka memiliki lot-lot kedai bernilai RM150 juta ini. Isu ini tidak pernah dibawa ke peringkat Kementerian.

Selama pentadbiran kami juga, tiada sebarang arahan dikeluarkan kepada DBKL untuk mendapatkan lot-lot kedai di Berjaya Times Square dengan nilai RM150 juta tersebut.

Jika Budiman mengatakan ianya telah wujud sebelum Tan Sri Annuar menjadi Menteri Wilayah Persekutuan, ianya dilakukan di bawah pentadbiran Menteri sebelumnya iaitu Tengku Adnan Mansor.

Budiman menempelak PH yang kononnya hanya tahu menyalahkan pentadbiran terdahulu tetapi Budiman juga mengata dulang paku serpih.

Selama 22 bulan pentadbiran kami di Kementerian Wilayah Persekutuan, pelbagai isu dan masalah yang dilakukan pentadbiran terdahulu telah diambil perhatian dan diatasi.

Skandal penjualan tanah milik DBKL ditangani sepenuhnya sehingga DBKL berjaya mendapat hasil setengah bilion atau RM482 juta.

Saudara Budiman perlu kemukakan bukti, lot bernilai RM150 juta tersebut dimiliki oleh DBKL atas arahan siapa? Jangan hanya membaling batu sembunyi tangan.

Zulhazmi Shariff 
Mantan Pegawai Tugas-Tugas Khas II
Kepada Menteri Wilayah Persekutuan
17 Mei 2020
24 Ramadhan 1441

Setiausaha Politik Ditahan Atas Dakwaan Rasuah, Polis Akan Panggil Bekas Menteri Beri Keterangan.

LAPORAN | Portal Free Malaysia Today melaporkan penahanan seorang pembantu kepada bekas Menteri Pakatan Harapan atas dakwaan terlibat dalam rasuah.


Portal itu melaporkan;

1. Bukit Aman telah memulakan siasatan dakwaan rasuah ke atas seorang bekas menteri ketika berkhidmat dalam kerajaan Pakatan Harapan.

2. Siasatan sedang dijalankan oleh polis Brickfields dan Sentul atas 2 jenayah komersial.

3. Laporan SPRM atas kes tersebut juga telah dibuat.

4. Setiausaha politik menteri itu sudah ditahan Jabatan Siasatan Jenayah di Kuala Lumpur untuk disoal siasat atas dakwaan rasuah membabitkan beberapa pemaju di ibu negara.

Portal itu tidak menamakan bekas menteri yang akan dipanggil polis kerana mahu melakukan pengesahan dengan bekas menteri itu terlebih dahulu.

Bagaimanapun kebanyakan warganet telah mula membuat tekaan berkenaan bekas menteri yang dimaksudkan. - 17 Mei 2020.

Letak Jawatan MB Kedah, Ini Kenyataan Penuh Mukhriz Mahathir.

KENYATAAN MEDIA |  YAB DATO’ SERI UTAMA HAJI MUKHRIZ TUN MAHATHIR

AHAD, 17 MEI, 2020

WISMA DARUL AMAN
ALOR SETAR

Pada 9 Mei, 2020 genaplah dua tahun sejak Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14. Pada 11 Mei 2018 saya telah mengangkat sumpah kali kedua sebagai Menteri Besar Kedah yang ke-13. Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan atau Exco pula mengangkat sumpah jawatan pada 22 Mei, 2018.




Dalam hampir dua tahun Kerajaan PH memerintah Negeri Kedah ini, banyak kebaikan yang dilakukan walaupun persekitaran ekonomi sangat mencabar dan keadaan kewangan juga berkurangan. Maklumlah, sudah menjadi pengetahuan umum bahawa Kedah antara negeri yang tercorot dari segi pertumbuhan ekonomi, rizabnya sangat terhad, sumber pendapatan pun tidak melimpah ruah, sambil itu kita juga memikul tanggungjawab berat untuk menjamin bekalan makanan negara.

Berlatarbelakangkan itu, saya, rakan-rakan Exco serta seluruh jentera pentadbiran Kerajaan Kedah mengkaji keadaan sebenar di lapangan, memasang strategi jangka masa pendek, pertengahan dan panjang, dan mengatur gerak langkah mantap demi kemakmuran Rakyat dan negeri Kedah. Peluang pekerjaan bernilai tinggi dan peluang perniagaan yang datangnya dari pelaburan asing dan tempatan diberi keutamaan meskipun kita berhadapan saingan sengit dari dalam dan luar negara.

Namun dengan kesungguhan Kerajaan yang ditunjangi oleh Pakatan Harapan, kebanyakan projek-projek besar yang telah saya lancarkan kali pertama saya menjadi Menteri Besar sudah dimulakan. Litar Lumba Antarabangsa Kedah di Sungai Petani sudah memasuki Fasa Kedua pembinaan infrastruktur asas. Taman industri terunggul di Malaysia, iaitu Taman Teknologi Tinggi Kulim terus diperbesarkan lagi dan berjaya menarik pelaburan baru bernilai berbillion ringgit. Kerja-kerja tanah sudah dimulakan di Kedah Rubber City, Padang Terap. Projek Northern Gateway sudah diluluskan dengan pelabur tempatan dan asing mula mengusahakannya. Kerja-kerja menyediakan prasarana yang menepati permintaan pelabur sedang dimulakan di Taman Sains dan Teknologi Kedah, Bukit Kayu Hitam. Kelulusan untuk membangunkan Hub Pembuatan Logistik dan Aeroangkasa Sidam juga telah diperolehi. Dan yang paling dinanti-nantikan oleh Rakyat Kedah, projek pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim, atau KXP, menyaksikan Pelan Induknya yang hampir siap, dan juga telah diluluskan pinjaman modal awalan sebanyak lebih RM2.0 bilion oleh Kerajaan Persekutuan.

Hasil daripada usaha strategik Kerajaan Pakatan Harapan, Kedah telah mencapai jumlah pelaburan yang luar biasa, iaitu RM14.7 bilion untuk pelbagai sektor, manakala pelaburan untuk sektor pembuatan berjumlah RM11.5 bilion meletakkan Kedah di tangga ketiga teratas selepas Selangor dan Pulau Pinang. Ini adalah peningkatan sebanyak 400% dari pencapaian tahun 2018. Dari jumlah tersebut, RM8.09 bilion adalah pelaburan asing dari negara Amerika Syarikat, China, Jerman, Hong Kong dan Taiwan. Ternyata Kedah semakin terkenal dan diperakui oleh dunia sebagai destinasi pelaburan untuk industri berteknologi tinggi. Dan hasilnya ialah lebih 4,800 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk anak Kedah. Itulah objektif sebenar perancangan pembangunan Kerajaan PH Kedah. Iaitu untuk menawarkan peluang-peluang kerja bernilai tinggi kepada anak-anak Kedah agar mereka tidak perlu berhijrah ke negeri lain untuk mencari nafkah. Jika peluang itu ada dalam negeri sendiri, maka anak-anak kita ini tidaklah perlu meninggalkan emak bapa di kampung.

Kelestarian alam semulajadi juga telah diberi perhatian yang serius oleh Kerajaan PH Kedah. Aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda telah dihentikan sehinggalah satu dasar yang jelas diperkenalkan. Pada pembentangan Bajet Kedah 2020, saya telah mengumumkan bahawa Kawasan Tadahan Air di HS Ulu Muda telah ditambah sebanyak 209% kepada 123,855 ekar, manakala di Hutan Simpan Bukit Saiong pula diwartakan seluas 20,240 ekar sebagai kawasan tadahan air. 

Kelulusan untuk kuari batu di Gunung Pulai yang diluluskan oleh Kerajaan Barisan Nasional pada tahun 1996 yang menjejaskan gua-gua yang punyai potensi pelancongan telah kami batalkan. Ini juga manifestasi iltizam Kerajaan PH untuk melestarikan alam sekitar kita.

Saya senaraikan kejayaan-kejayaan ini selain banyak lagi yang tidak disebutkan di sini, semata-mata untuk memperingatkan kita semua bahawa Pakatan Harapan Kedah mencapai prestasi yang sangat luar biasa, memecah rekod dari pelbagai aspek yang membawa nikmat bagi Rakyat. Kalau tidak kerana kecekapan pentadbiran Kerajaan PH, serta kewibawaan dan ketekunan Pegawai Tadbir Negeri Kedah atau KCS, mana mungkin pelabur tempatan dan asing boleh kenal, jauh sekali yakin dengan negeri kita ini.

Lebih signifikan lagi ialah hakikat bahawa tidak timbul apa-apa masalah serius berkait dengan Kerajaan Negeri Kedah sepanjang pentadbiran PH. Tidak ada skandal melibatkan saya ataupun Exco mahupun Pegawai Kerajaan sepanjang dua tahun ini. Tidak ada krisis yang mencetus huru hara di kalangan Rakyat sehingga mengakibatkan Menteri Besar atau Kerajaan perlu ditukar. Yang ada hanya kepentingan politik peribadi di luar Kedah yang menjadikan Rakyat kita sebagai mangsa.

Satu lagi sebab saya bangkitkan perkara ini adalah untuk menyampaikan mesej jelas kepada Kerajaan Kedah yang baharu. Kami akan memantau setiap satu tindakan dan tingkah laku anda. Rakyat akan memerhati secara terperinci samada Kerajaan yang akan menggantikan kami nanti akan teruskan projek-projek yang telah mula diusahakan, dan pelaburan yang telah diluluskan oleh MITI. Rakyat juga akan memantau sekiranya hutan-hutan simpan Kedah akan menjadi mangsa pembalakan tak terkawal di bawah pentadbiran Kerajaan Baharu. Jangan bersifat pilih kasih dalam pentadbiran Kerajaan. Tanggungjawab anda adalah untuk keseluruhan Rakyat Kedah. Anggaplah ini satu amaran tegas kepada anda semua. Jangan libatkan Rakyat dan Perkhidmatan Tadbir Negeri dengan sepak terajang politik anda. 

Pada hari ini sudah hampir dua bulan negara berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan. Yang terkini, PKP Bersyarat pula dijadualkan berakhir pada 9 Jun, 2020. Dalam tempoh beberapa bulan ini, 113 orang mangsa COVID-19 telah meninggal dunia dari 6,872 orang yang positif wabak itu, dengan kebanyakannya sudah sembuh. Rakyat sangat terkesan dengan pandemik ini. Tidak cukup dengan ketakutan dijangkiti penyakit, ramai juga yang terputus bekalan makanan, dan ada pula yang hilang mata pencarian. Dijangkakan lebih 2 juta orang akan kehilangan kerja, perniagaan akan gulung tikar, ekonomi negara akan kerugian ratusan billion ringgit.

Secara kebetulan pula, umat Islam ketika ini menjalani ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan al-Mubarak. Kita juga sedang membuat persiapan untuk meraikan Aidilfitri dalam masa seminggu lagi. Dalam keadaan di mana nyawa Rakyat terancam, petugas barisan hadapan bertungkus lumus bertarung nyawa untuk menyelamatkan pesakit, dan ditambah lagi dengan puasa, pihak Perikatan Nasional terus menebuk atap untuk merampas kuasa. Dinyatakan bahawa muslihat ini hendak diselesaikan sebelum 18 Mei, 2020, walhal tarikh itu tiada kena mengena dengan Kedah. Ianya hanya signifikan di Dewan Rakyat di mana diusulkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri. Itupun, Dewan Rakyat telah tidak membenarkan usul itu dibahas dan diundi pada hari tersebut. Maka tarikh itu tidak sepatutnya berbangkit dalam soal peralihan kuasa Kerajaan Kedah. Mungkinkah juga mereka bersifat gelojoh untuk menjatuhkan Menteri Besar Bersatu sebagai hadiah hari jadi Perdana Menteri pada 16 Mei?

Tidak ada sekelumit pun timbang rasa kepada Rakyat yang teruk menderita akibat COVID-19. Keadaan pasca-COVID pula sangat mencemaskan. Negara maju seperti Jerman kini menghadapi kemelesetan ekonomi. Bagaimana pula dengan Kedah?

Tidakkah lebih wajar untuk membenarkan Kerajaan PH Kedah teruskan dengan kerja-kerja baik dalam menangani wabak COVID-19 ini, atau membenarkan Umat Islam berpuasa dengan aman, dan bergembira menanti Hari Raya. Negara mengiktiraf bahawa dari segi jumlah penduduk, Kedah merupakan negeri yang terbaik dalam usaha membendung penularan jangkitan ini. Tahniah dan syabas kami ucapkan kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam usaha memerangi COVID-19. Anda adalah wira dan wirawati yang sebenar.

Setelah Kerajaan Pakatan Harapan Persekutuan jatuh kepada kerajaan baharu yang secara tidak rasminya digelar “Perikatan Nasional”, beberapa negeri juga menyaksikan perubahan kerajaan. Terawal, Kerajaan PH Johor telah tumbang apabila ADUN-ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia telah beralih sokongan kepada PN. Jawatan Menteri Besar yang disandang oleh wakil Bersatu telah dilepaskan kepada UMNO.

Di Kedah pula pada awalnya, saya telah mengambil pendirian untuk mengekalkan kerjasama politik Bersama PH Kedah, dan meneruskan Kerajaan Kedah yang sediada. Kepimpinan PAS Kedah telah memberi jaminan kepada saya bahawa mereka juga tidak akan mendesak ADUN-ADUN PH untuk melompat ke pihak mereka, dan bersetuju bahawa saya terus berkhidmat sebagai Menteri Besar hingga akhir penggal ke 14 ini.

Permohonan mereka adalah agar Kerajaan PH Kedah tidak memandang mereka semata-mata sebagai Pembangkang, dan sebaliknya memberikan peruntukan tambahan bagi Pusat-pusat Khidmat DUN PAS dan UMNO. Untuk rekod, Kerajaan PH Kedah adalah yang pertama menyediakan peruntukan untuk ADUN-ADUN Pembangkang. Saya sendiri telah mengesyorkan peruntukan tambahan itu dan ianya diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Kedah bagi menyahut permohonan pihak pembangkang itu. Jelas sifat timbang rasa kami untuk menunaikan permohonan PAS itu tidak langsung diambilkira apabila mereka terus melayan permohonan beberapa ADUN Kerajaan yang berhajat melompat ke pihak mereka.

Pergolakan politik kepartian telah menyebabkan dua ADUN-ADUN dari PKR meninggalkan parti mereka, sekaligus menyebabkan hilangnya majoriti yang ada pada gabungan Bersatu dan PH. Susulan itu, empat lagi ADUN Bersatu juga telah menerima arahan dari Presiden Bersatu untuk lompat kepada PN. Maka dengan itu, pihak lawan kini mempunyai 23 kerusi berbanding 13 dari PH termasuk dua dari Bersatu.

Umum mengetahui bahawa saya mendokong pendirian berprinsip tegas yang dipegang oleh YB Ayahanda Tun Mahathir – iaitu untuk menolak sebarang kerjasama dengan UMNO, khususnya kerana golongan kleptokrat masih menguasai parti itu. Oleh kerana PAS bekerjasama dengan UMNO melalui piagam Muafakat Nasional, maka saya memutuskan untuk tidak menerima pelawaan mereka untuk bersama dalam PN Kedah sambil terus menerajui negeri ini sebagai Menteri Besar. Lebih baik saya menjadi pembangkang dari menyertai satu gagasan politik yang dicemari dengan banyak skandal bertaraf antarabangsa. Saya juga tidak tergamak untuk mengkhianati mandat yang telah Rakyat Kedah berikan kepada PH pada PRU14. Dari hidup melutut, biar mati berdiri!

Seorang Menteri Besar harus meletak jawatan sekiranya terbukti kehilangan kepercayaan majoriti dikalangan ADUN. Namun dalam percaturan politik terkini, saya dimaklumkan bahawa tiada satupun ADUN-ADUN Bersatu mahupun PKR yang meninggalkan PH menyatakan bahawa wujud apa-apa masalah yang telah saya cetuskan sehingga menyebabkan mereka hilang kepercayaan kepada saya. Yang mereka menjawab apabila ditanya alasan di sebalik kehilangan kepercayaan itu adalah bahawa mereka telah mendapat arahan dari atas. Siapa yang dimaksudkan?

Umum juga mengetahui bahawa saya mencabar jawatan Presiden yang disandang oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin di dalam pemilihan parti Bersatu. Selain itu, atas prinsip yang saya sebutkan tadi, Tun Mahathir pula telah mengfailkan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin di Dewan Rakyat. Tentunya dua tindakan kami inilah penyebab kenapa saya hendak dijatuhkan daripada jawatan Menteri Besar Kedah. Malah jelas sekali bahawa Muhyiddin telah membelakangi Bersatu untuk memihak kepada PAS dalam soal pelantikan Menteri Besar Kedah. Inilah kali kedua beliau lakukan begitu setelah menyebabkan jawatan Menteri Besar Johor dilepaskan oleh Bersatu dan diserah bulat-bulat kepada UMNO.

Sebenarnya jawatan Ketua Menteri Melaka juga dijanjikan oleh beliau untuk ADUN anak muda Bersatu. Tapi semua itu janji-janji kosong sahaja apabila ADUN Bersatu Melaka hilang arah kesana kesini, dan akhirnya jawatan tertinggi Kerajaan Melaka itu diserahkan juga kepada UMNO. Apa pula nasib Menteri Besar Perak? Dengan enam orang Exco dari UMNO, tentunya jawatan Menteri Besar itu juga dituntut oleh UMNO, dan MB Perak pula dalam keadaan nyawa-nyawa ikan – menanti masa untuk rebah saja.

Perkara yang sama telah saya alami pada tahun 2016. Kerana tidak puas hati dengan kritikan saya terhadap Perdana Menteri ketika itu, Dato’ Sri Najib Razak kerana penglibatannya dalam begitu banyak kes penyelewengan dan rasuah berkaitan 1MDB dan sebagainya, maka saya telah dipaksa undur apabila ADUN-ADUN BN diarah menarik sokongan daripada saya. Ketika itu, hanya saya seorang yang digulingkan, manakala BN terus kekal sebagai kerajaan.

Kali ini pula, bukan hanya saya sahaja, tapi seluruh Kerajaan PH Kedah dijatuhkan. Yang menerima tamparan sebenar ialah Rakyat Kedah yang telah memilih PH untuk mengganti BN pada PRU14 tahun 2018 dulu. Kini, yang menang menjadi pembangkang, dan yang kalah jadi Kerajaan. Itulah yang dimaksudkan sebagai Kerajaan Pintu Belakang atau Tebuk Atap. Dan walaupun arahan untuk menjatuhkan saya di Kedah datangnya dari Presiden Bersatu melalui Dato Seri Hamzah Zainuddin, tetapi protagonis sebenar masih orang yang sama dengan dulu – iaitu Dato Sri Najib Razak. Tujuannya tidak lain tidak bukan semata-mata untuk melepaskan dirinya dari tuduhan pecah amanah 1MDB, SRC International dan banyak lagi skandal-skandal mega yang mencemar nama baik Malaysia di persada dunia. 

Lihat saja apa sudah jadi kepada kes pengubahan wang haram yang melibatkan anak Rosmah Mansor, iaitu Reza Aziz yang dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pendakwaan jenayah itu. Mungkin pelepasan itu merupakan satu petanda kepada kes-kes jenayah yang dihadapi oleh Najib, Rosmah, Dato’ Sri Zahid Hamidi dan pihak-pihak tertuduh lain dari UMNO. Kita tunggu dan lihat. Hanya dengan satu kes di mana anak Rosmah dilepaskan, satu dunia sudah tahu apabila media melaporkan secara meluas. Malaysia kembali terkenal seantero dunia, angkara pihak yang PH tumbangkan dalam PRU14 dulu. Kini mereka kembali berkuasa apabila Muhyiddin buka pintu seluas-luasnya kerana mempertahankan kerusi empuk jawatan Perdana Menteri itu. Itulah nasib negara kita sekarang.

Saya redha dengan keadaan ini, dan dengan relahati bersedia melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar. Apa juga perkembangan politik yang mungkin atau tidak berlaku di peringkat Persekutuan, saya dan rakan-rakan PH serta YB Dato’ Wira Ir Amiruddin Hamzah bertekad untuk bergerak sebagai pembangkang sehingga Dewan Undangan Negeri Kedah dibubar – selewat-lewatnya pada bulan Mei 2023.

Kami tidak akan melayan mana-mana pihak dari kalangan ADUN-ADUN yang telah mengkhianati kepercayaan Rakyat Kedah, yang tiba-tiba hendak balik ke pangkuan kami. Kekallah mereka di sana bersama rakan-rakan subahat mereka, tiada maaf bagimu! Dan kekallah kami bersama rakan-rakan seperjuangan Pakatan Harapan yang telah menewaskan BN dulu.

Sejujurnya saya menyatakan bahawa saya dan seluruh Kerajaan Pakatan Harapan melaksanakan tugas dan tanggungjawab semata-mata untuk negeri yang kami sayangi, dan Rakyat yang kami sanjungi. Tidak ada kepentingan peribadi yang diberikan pertimbangan mengatasi Rakyat.

Saya ingin mengucapkan seikhlas-ikhlas terima kasih kerana pegawai dan kakitangan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan di Kedah yang telah memberikan kerjasama yang amat baik dalam merealisasikan dasar dan pendekatan kami. Terima kasih khas saya tujukan kepada seluruh Rakyat Kedah yang memberikan kepercayaan kepada kami untuk membentuk Kerajaan baru pada tahun 2018, dan menerima halatuju dan cara pentadbiran PH.

Dengan penuh hormat dan takzim, saya ingin menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada KDYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman yang sentiasa memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada saya pada bila-bila masa saya memerlukannya. Sesungguhnya Rakyat dan saya bertuah kerana berada di bawah naungan Tuanku yang sentiasa prihatin dan mengambil berat tentang keadaan Rakyat Baginda.

Pagi ini saya telah sembah maklum kepada KDYMM Tuanku Sultan bahawa atas sebab saya telah kehilangan kepercayaan majoriti di kalangan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, maka dengan ini saya melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Kedah Darul Aman berkuatkuasa serta merta.

Saya doakan mudah-mudahan Allah SWT terus mengekalkan keamanan dan memakmurkan Negeri dan Rakyat Kedah dengan penuh keberkatan, keredhaan dan kerahmatan hendaknya. Aamiin Ya Rabbal Alamiin.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...