Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.
Memaparkan catatan dengan label Rakan Blogger. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Rakan Blogger. Papar semua catatan

Jumaat, 18 Disember 2020

Lim Guan Eng, Mat Sabu Pilih Tun Mahathir Dan Mahu Singkirkan Anwar. - Shahbuddin Husin.

Shahbudin Husin | MAT SABU, GUAN ENG MAHU SINGKIR ANWAR KETUAI BLOK PEMBANGKANG?

Berselindung di sebalik gesaan perlunya PH melakukan anjakan politik baharu dengan mengangkat PH Plus sebagai wadah perjuangan blok pembangkang, kenyataan bersama Lim Guan Eng bersama Mohamad Sabu kali ini adalah jelas bertujuan untuk menyingkirkan Anwar Ibrahim.


Anwar sebenarnya mahu disingkir secara serentak sebagai Pengerusi PH dan juga Ketua Pembangkang.

Sudah tentu dengan penyingkiran Anwar itu, tujuan utamanya ialah untuk membawa Tun Mahathir Mohamad mengetuai PH Plus.

Dengan hujah bahawa PH mesti segera melakukan anjakan politik dengan menyatukan seluruh pembangkang menghadapi PRU akan datang dan melupakan kerjasama dengan Ahli Parlimen kerajaan bagi mendapatkan semula mandat rakyat, kenyataan Setiausaha Agung DAP dan Presiden Amanah itu adalah suatu benuk kata dua terhadap Anwar.

Mereka seolah-olah memberi amaran tentang usaha Anwar mahu mengambil alih kerajaan dengan sokongan segelintir Ahli Parlimen kerajaan adalah kerja sia-sia dan tak lebih seperti mengejar bayang-bayang saja.

Untuk itu, kata Mohamad Sabu dan Guan Eng lagi, masa dan sumber yang ada harus digunakan untuk mencari persamaan dalam kalangan rakan dan sekutu PH untuk menggerakkan perjuangan bersama rakyat berdasarkan nilai demokrasi yang utuh, tadbir urus yang baik, anti rasuah, kemajuan ekonomi dan keadilan sosial.

“PH harus berdepan dengan realiti ini dan perlu ada suatu anjakan politik semula dengan tumpuan kepada menyatukan rakan-rakan kita di kalangan Ahli Parlimen pembangkang yang berdiri bersama dalam pengundian menolak Belanjawan 2021 pada Selasa baru-baru ini.

“PH seharusnya tidak membuang masa dengan Ahli Parlimen kerajaan oportunis yang hanya memperalatkan PH demi kepentingan peribadi mereka sendiri agar memperolehi tawaran yang lebih lumayan daripada kerajaan PN,” tambah mereka.

Apa yang harus disedari, kenyataan bersama Guan Eng dan Mohamad Sabu ini dikeluarkan tidak lama selepas Parti Pejuang dan Warisan menyuarakan perlunya blok pembangkang membentuk gabungan baharu serta PH harus menukar kepimpinannya.

Timbalan Presiden Pejuang, Marzuki Yahya berkata, gabungan baharu itu tidak harus terhad kepada parti politik semata-mata, tetapi mesti turut merangkumi Ahli Parlimen dan Adun lain yang tidak boleh menerima kerajaan yang ada sekarang.

Beliau berkata, kredibilti Anwar dan beberapa Ahli Parlimen PH juga telah tercalar teruk apabila tidak meminta undi belah bahagi pada pengundian peringkat dasar Belanjawan 2021.

Presiden Warisan, Shafie Apdal pula tanpa berselindung menegaskan tentang perlunya PH menukar kepimpinan jika mahu memenangi PRU akan datang.

Beliau berkata, PH sebagai pembangkang akan gagal pada PRU akan datang jika masih diketuai oleh kepimpinan yang sama.

Sehubungan itu, kata bekas Ketua Menteri Sabah itu, perubahan perlu dilakukan secara menyeluruh terhadap kepimpinan PH yang ketika ini tidak menyatukan dan tiada arah tuju.

Bersekali dengan saranan tersebut, Shafie turut mengumumkan bahawa Warisan akan berubah menjadi parti nasional, tidak lagi semata-mata untuk Sabah seperti sekarang ini.

Sama seperti Marzuki dan Shafie yang diketahui merupakan penyokong setia Tun Mahathir, Mohamad Sabu dan Guan Eng juga bukan rahsia lagi lebih terlekat hatinya kepada bekas Perdana Menteri itu, khususnya selepas diberikan jawatan menteri kanan dalam kerajaan era PH.

Selain itu, kes mahkamah Guan Eng juga digugurkan tidak lama selepas Tun Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 2018 lalu.

Melalui gesaan agar PH perlu melakukan anjakan politik baharu dengan menggabungkan seluruh parti pembangkang, ini bermakna Pejuang, Warisan, Muda dan sebagainya akan berada di bawah satu bumbung atau lebih tepatnya di bawah PH Plus.

Ia dengan sendirinya bermakna PH tidak lagi berperanan sebagai blok pembangkang yang sebenar, sebaliknya digantikan dengan PH Plus.

Fasa kedua anjakan poliitik baharu yang seterusnya selepas PH Plus diwujudkan tidak lain ialah melantik siapa yang harus mengetuai gabungan tersebut.

Dengan Pejuang dan Warisan sudah berada dalam PH Plus, ditambah dengan Mohamad Sabu dan Guan Eng sendiri yang menyarankan anjakan politik baharu dilakukan, Anwar tidak mungkin terpilih lagi untuk mengetuai gabungan tersebut, walaupun beliau Pengerusi PH sebelumnya.

Sebagaimana Pejuang dan Warisan menolak Anwar sebagai calon Perdana sebelum ini, mereka juga pasti tidak akan setuju Presiden PKR itu untuk mengetuai PH Plus.

Dengan demikian, tambahan lagi Amanah dan DAP juga pasti senada serta bersatu hati dengan Pejuang dan Warisan, Tun Mahathir, kalau pun dibuat undian, secara majoritinya akan dipilih mengisi kedudukan sebagai Pengerusi PH Plus atau mengetuai blok pembangkang yang baharu.

Selepas itu, Tun Mahathir juga dengan sendirinya akan dicadangkan oleh PH Plus untuk mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang menggantikan Anwar.

Akhirnya, tercapailah agenda bersama yang dirancang sekian lama untuk menyingkir dan membenam masa depan politik Anwar.

Soal sama ada PH Plus mampu menang atau tidak pada PRU15 akan datang, ia bukan lagi persoalan utama kerana perkara yang lebih penting ialah Anwar sudah berjaya diketepikan dan tidak lagi dalam posisi untuk menjadi Perdana Menteri. - 18 Disember 2020.

Ahad, 2 Ogos 2020

Mungkinkah Blok PPBM Punca Musa Aman Gagal Merampas Sabah..

Shahbudin Husin | Jika diperhati sejak awal, usaha menumbangkan kerajaan Sabah melalui gerakan yang dilakukan oleh Musa Aman untuk kembali memimpin negeri itu adalah suatu perkara yang dalam pengetahuan serta restu Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.
 


Ini berikutan ketika Musa Aman mengadakan sidang media memaklumkan beliau telah mempunyai sokongan majoriti mudah untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada Shafie Apdal, turut disebutnya ialah Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin dan Setiausaha Politik Muhyiddin, Mohd Nardin Awang telah pun melakukan kunjungan hormat kepada TYT Sabah bagi memaklumkan perkembangan tersebut.

Hamzah yang merupakan Menteri Dalam Negeri adalah juga Setiausaha Agung Bersatu dan kini dikenali sebagai orang kanan Muhyiddin.

Sebelum ini, Hamzah yang melompat daripada UMNO kepada Bersatu diketahui sebagai penyokong kuat Tun Mahathir Mohamad dan memainkan peranan utama untuk menghalang peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim.

Selepas Langkah Sheraton yang menumbangkan PH, Hamzah telah menukar kiblat politiknya kepada Muhyiddin, sehingga kemudiannya diberikan jawatan kanan dalam kerajaan sebagai Menteri Dalam Negeri serta dilantik Setiausaha Agung Bersatu menggantikan Marzuki Yahya yang telah dipecat.

Kata Musa dalam sidang media itu, kunjungan hormat kedua-dua orang kanan Muhyiddin terhadap TYT Sabah itu adalah untuk memaklumkan bahawa kerajaan negeri baru yang bakal dibentuk nanti adalah menyokong kerajaan PN di peringkat pusat.

“Kami akan mengadap TYT selepas ini,” kata Musa Aman dalam sidang medianya.

Gambarannya seolah-olah selepas Hamzah dan Nardin melakukan kunjungan hormat terhadap TYT Sabah, ia adalah bagi memudahkan proses Musa Aman mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah yang baru.

Tetapi, apa jadi kemudiannya?

Bukan saja Shafie diberi perkenan oleh TYT Sabah untuk membubarkan Dun negeri bagi membolehkan pilihanraya baru diadakan, bahkan hasrat Musa Aman mengadap TYT juga tidak dibenarkan.

Lebih daripada itu, rombongan Musa Aman untuk pergi ke Istana Negeri telah dihalang oleh pihak polis?

Bagaimana semua itu boleh berlaku?

Bukankah Hamzah dan Nardin telah mengadap TYT Sabah sebelum itu?

Tidakkah sepatutnya Musa Aman tiada masalah untuk mengadap TYT Sabah bagi proses angkat sumpahnya kerana Hamzah dan Nardin telah melakukan kunjung hormat lebih dulu?

Bukankah juga Hamzah adalah Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab terhadap pasukan polis, tetapi mengapa Musa Aman sendiri dihalang memasuki Istana Negeri?

Apa sebenarnya permainan dalam kemelut politik Sabah ini?

Apakah ini merupakan misi Hamzah dan Nardin di Sabah yang dalam pengetahuan Muhyiddin telah mengalami kegagalan?

Atau mungkinkah Muhyiddin melalui Hamzah dan Nardin ada perancangan lain untuk memalukan UMNO, sekaligus menaikkan nama Bersatu di Sabah dalam gerakan yang kononnya untuk menaikkan semula Musa Aman itu?

Selasa, 19 Mei 2020

Beberapa Senario Yang Mungkin Berlaku Andai Muhyiddin Pecat Keahlian Mahathir.

Ulasan | PENYINGKIRAN TUN M DARIPADA BERSATU TIDAK BERI KEUNTUNGAN KEPADA MUHYIDDIN

Walaupun penyingkiran Tun Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Bersatu melalui keputusan yang dibuat oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan atau RoS masih boleh dipertikaikan, tetapi itulah sebenarnya satu-satunya pilihan yang ada di tangan Muhyiddin Yassin untuk menguasai parti itu.

Memang benar Tun Mahathir ada meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Bersatu pada 24 Februari lalu tetapi mesyuarat tergempar MPT Bersatu pada 25 Februari yang dipengerukan oleh Muhyiddin kemudiannya menolak perletakan itu serta merayu agar beliau kembali semula memegang jawatan tersebut.

Susulan itu, pada 27 Februari, sebagaimana yang diumumkan oleh Setiausaha Agung Bersatu, Marzuki Yahya, Tun Mahathir disahkan kembali semula menjadi Pengerusi Bersatu.

Kenapa sekarang RoS hanya menerima perletakan jawatan Tun Mahathir saja, tetapi tidak mengambil kira penolakan MPT Bersatu dan setujunya beliau untuk kembali memimpin Bersatu?

Jawabnya mudah saja iaitu RoS ialah sebuah jabatan yang terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri di mana menterinya, Hamzah Zainuddin adalah bekas pemimpin UMNO yang melompat kepada Bersatu selepas PRU14 lalu dan baru-baru ini dilantik oleh Muhyiddin menjadi Setiausaha Agung Bersatu yang memihak kepadanya.

Berdasarkan itu, tentulah tidak menghairankan jika RoS yang terletak dibawah pengawasan Hamzah akan berbuat sesuatu yang memihak kepada Muhyiddin.

Penyingkiran Tun Mahathir ini tidak lain adalah bertujuan agar kedudukan Muhyiddin sebagai Pemangku Pengerusi Bersatu berikutan kekosongan yang ditinggalkan oleh bekas Perdana Menteri itu dapat disahkan.

Bermakna sekarang, selain sebagai Presiden, Muhyiddin juga adalah Pemangku Pengerusi Bersatu sehingga pemilihan parti diadakan tidak lama lagi.

Tetapi, dengan kedua-dua jawatan itu dalam pegangannya, Muhyiddin bukan saja sudah boleh mengurus perjalanan parti untuk mengadakan permilihan, tetapi juga memanggil mesyuarat MPT.

Dengan yang demikian, dalam mesyuarat MPT Bersatu selepas ini atau sebelum berlangsungnya pemilihan parti, Muhyiddin sudah hampir pasti akan memecat Tun Mahathir sebagai ahli parti itu.

Ini bermakna, walaupun Tun Mahathir sudah diumumkan menang tanpa bertanding sebagai Pengerusi Bersatu bagi sessi 2020-2023, kemenangan itu tidak akan bermakna kerana beliau akan dipecat terlebih dahulu sebelum pemilihan diadakan.

Di sinilah memperlihatkan bagaimana Muhyiddin tidak melepaskan peluang memanfaatkan kuasa yang ada melalui Hamzah yang dilantiknya sebagai Menteri Dalam Negeri dan Setiausaha Agung Bersatu bagi membolehkannya menguasai parti itu secara mutlak.

Namun demikian, kejayaan Muhyiddin menguasai parti itu melalui kuasa RoS ini tidak memberi apa-apa kelebihan kepadanya untuk menghadapi cabaran yang boleh menjatuhkannya sebagai Perdana Menteri.

Cabaran yang lebih utama dan bahaya yang harus dihadapi oleh Muhyiddin ialah usul undi tidak percaya terhadapnya di Parlimen yang akan dibawa oleh Tun Mahathir pada Julai akan datang dan bukannya pemilihan dalam Bersatu di mana beliau akan dicabar oleh Mukhriz bagi jawatan Presiden.

Meskipun Muhyiddin berjaya menguasai Bersatu dan memecat Tun Mahathir misalnya, jumlah Ahli Parlimen yang menyokongnya tidak akan bertambah sama sekali.

Mereka yang menyokong Tun Mahathir daripada Bersatu tetap juga akan bersama dengan bekas Perdana Menteri itu.

Sekaligus ini bermakna, dalam kedudukan majoritinya di Parlimen hanya dua, menyingkirkan Tun Mahathir daripada Bersatu tidak akan menjadikan Muhyiddin bertambah kuat atau bertambahnya jumlah undi untuknya dalam usul tidak percaya itu nanti.

Dengan tersingkirnya Tun Mahathir secara sebegitu rupa daripada Bersatu, selain simpati terhadapnya boleh jadi bertambah, beliau juga boleh menyertai mana-mana parti selepas ini.

Di dalam PH, kalau pun bukan menyertai PKR atau DAP, mungkin Tun Mahathir akan memilih untuk masuk Amanah sebagai platform barunya meneruskan perjuangan.

Lebih daripada itu, dengan Tun Mahathir menyertai mana-mana parti selepas ini, berdasarkan tinjauan rambang dengan beberapa pihak dalam Bersatu, dijangka sekitar 60 peratus daripada ahli Bersatu akan turut keluar parti untuk bersama dengan bekas Perdana Menteri itu.

Akhirnya, apa yang tinggal dalam Bersatu dan apa untungnya kepada Muhyiddin dengan dapat menguasai Bersatu?

Di ketika yang sama, undi tidak percaya di Parlimen tetap jalan seperti biasa, malah bersama mood rakyat menolak “kerajaan pasir dua butir” Muhyiddin yang begitu amat ketara sekali ketika ini, kejatuhannya ternampak sukar ditahan lagi. (Shahbudindotcom 19/05/2020)

Sabtu, 7 Mac 2020

Pelobi Mahu Hishamuddin Jadi TPM Bukannya Zahid.

SHAHBUDIN HUSIN | RUNDINGAN UMNO DENGAN MUHYIDDIN TIADA KEPASTIAN, ZAHID HAMIDI SUKAR JADI TPM

Harapan UMNO untuk melihat Presiden parti itu, Zahid Hamidi dilantik sebagai TPM mungkin tidak kesampaian.

Beberapa siri rundingan antara UMNO dengan Muhyiddin Yassin bagi pembahagian jawatan untuk parti itu dilaporkan masih lagi tiada keputusan yang pasti.

Ketidakpastian itu bukan saja berkaitan jawatan TPM untuk Zahid Hamidi, bahkan juga jawatan menteri-menteri tertentu untuk UMNO.

Sebagai pemegang blok terbesar Ahli Parlimen dalam Perikatan Nasional atau PN, UMNO telah menyuarakan pandangan agar selain kerusi TPM, kementerian-kementerian kanan seperti Kewangan, Pendidikan, MITI dan lain-lainnya juga diserahkan kepada wakil daripada parti itu.

Bagaimanapun, Muhyiddin dilaporkan menolak pandangan itu dengan mengatakan adalah hak beliau sebagai Perdana Menteri menentukannya.

Muhyiddin dikatakan hanya mahu UMNO menyenaraikan nama-nama pemimpinnya yang difikirkan layak untuk dilantik sebagai menteri saja, tetapi penentuan kementerian adalah hak beliau untuk membuat keputusan.

Lantaran sikap Muhyiddin itulah Zahid Hamidi dikatakan seperti sudah tawar hati dengan semalam mengeluarkan kenyataan bahawa UMNO tidak pernah melobi untuk jawatan TPM.

Hakikatnya, memandangkan UMNO adalah kumpulan terbesar Ahli Parlimen dan Zahid Hamidi pula berjawatan Presiden, sepatutnya Muhyiddin tidak perlu beralasan lagi daripada menyerahkan jawatan nombor dua dalam kerajaan kepada Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Kekangan utama Muhyiddin untuk melantik Zahid Hamidi, bukan saja sebagai TPM, bahkan juga sebagai menteri, adalah kerana perbicaraan kes mahkamahnya sedang berjalan ketika ini.

Walaupun duluan sudah ada di mana Tun Mahathir pernah melantik Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan dan kemudian kes mahkamah beliau yang sedang dibicarakan digugurkan, Muhyiddin sebaliknya dilaporkan tiada keberanian untuk menuruti jejak langkah itu.

Kebimbangan Muhyiddin ialah jika beliau menuruti langkah Tun Mahathir dengan melantik Zahid Hamidi yang dianggapnya tidak cukup bersih sebagai anggota kabinetnya lantaran kesnya sedang dibicarakan, bukan saja serangan terhadapnya akan berlipat kali ganda, malah kes-kes lama yang pernah dikaitkan dengannya seperti Bestarinet dan pengambilan tanah ketika beliau menjadi Menteri Besar Johor dahulu akan turut diungkit semula.

Dalam keadaan kesihatannya yang tidak begitu mengizinkan, di samping perpecahan dalam Bersatu serta tekanan daripada PH dan Tun Mahathir selepas ini, Muhyiddin mungkin tidak cukup kekuatan untuk berhadapan semua cabaran itu.

Dikatakan, kecenderungan Muhyiddin lebih untuk menyerahkan jawatan TPM kepada Hishammuddin Hussein, walaupun anak Hussein Onn itu tiada jawatan dalam parti di peringkat pusat dan sama-sama berasal dari Johor.

Yang penting bagi Muhyiddin, melantik Hishammuddin membuatkannya kurang tertekan menguruskan kerajaan.

Untuk itu, beberapa pelobi UMNO yang dikenali sebagai “orang Muhyiddin” telah mengunjungi Zahid Hamidi dengan memintanya mengendurkan tekanan untuk mendapatkan jawatan TPM, sebaliknya memberi laluan kepada Hishammuddin untuk memegang jawatan nombor dua itu.

Pelobi-pelobi yang berjawatan di peringkat UMNO bahagian itu berpendapat hanya dengan Zahid Hamidi sedia memberi laluan secara sukarela kepada Hishammuddin saja akan memudahkan Muhyiddin melantik barisan kabinetnya dalam waktu terdekat ini.

Bagaimanapun, Zahid Hamidi dikatakan tidak memberi kata putus kepada tekanan pelobi-pelobi yang mengunjunginya itu dengan alasan soal kedudukan kabinet bukan boleh diputuskan olehnya secara sendirian, sebaliknya ia merupakan urusan UMNO secara kolektif.

Yang pasti, dengan kelewatan melantik kabinet sudah berlanjutan hampir seminggu dan pelobi-pelobi sudah dihantar untuk memujuk Zahid Hamidi, gambaran jelasnya ialah Muhyiddin sedaya upaya tidak mahu bergandingan dengan Presiden UMNO itu dalam menguruskan kerajaan pintu belakang yang sedang dipimpinnya.

Kecuali jika Muhyiddin benar-benar sudah tiada pilihan dan tidak mampu lagi untuk melawan, barangkali ketika itu barulah ada peluang Zahid Hamidi menduduki semula kerusi TPM, jawatan yang pernah disandangnya sebelum tumbangnya BN dalam PRU14 lalu - 7 Mac 2020.

Rabu, 4 Mac 2020

UMNO Mahukan Jawatan Timbalan Perdana Menteri Untuk Zahid Hamidi.

Shahbudin Husin | UMNO TERSINGGUNG DENGAN MUHYIDDIN, BERKERAS TETAP MAHU ZAHID HAMIDI SEBAGAI TPM

Sama ada disengajakan atau tidak, perutusan Muhyiddin Yassin yang menyebut hanya mahu melantik mereka yang bersih, berkaliber dan berintergiti sebagai anggota jemaah menterinya telah membuatkan UMNO mula tersinggung dan berkecil hati.


UMNO melihat kenyataan Muhyiddin itu sebagai isyarat beliau hampir pasti akan mengenepikan Presiden UMNO, Zahid Hamidi yang sedang berdepan perbicaraan di mahkamah dalam barisan kabinet yang bakal dilantiknya.

Hakikatnya, UMNO dengan sumbangan sebanyak 41 kerusi Parlimen untuk menyokong Muhyiddin melakukan rampasan kuasa menumbangkan PH, bukan saja mahukan Zahid Hamidi dilantik sebagai menteri, bahkan untuk menduduki kerusi TPM.

Beberapa sumber yang rapat dengan PWTC memberitahu, UMNO tidak ragu-ragu mengatakan Zahid Hamidi perlu diberikan jawatan TPM atas kapasitinya sebagai Presiden UMNO.

Mereka berhujah bahawa UMNO berpegang kepada prinsip seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah serta mahu Muhyiddin yang kini bersama dalam Perikatan Nasional turut berpegang kepada prinsip yang sama.

Jika Muhyiddin mengenepikan Zahid Hamidi, beliau dilihat bukan saja tidak berpegang kepada prinsip itu, malah menunjukkan sikap setujunya terhadap Tun Mahathir Mohamad yang sebelum ini telah mengenakan pendakwan ternadap Presiden UMNO itu.

Dalam hal ini, kata sumber itu, apakah Muhyiddin tidak meyakini kata-kata Zahid Hamidi yang bertegas mengatakan pendakwaan terhadapnya adalah palsu, bersifat politik dan terpilih atau beliau secara diam bersetuju dengan tindakan Tun Mahathir?

Lantaran itu, meski tersinggung, UMNO dilaporkan tidak berputus asa untuk terus memberi tekanan kepada Muhyiddin agar akhirnya akur untuk memberikan jawatan nombor dua dalam kerajaan kepada Zahid Hamidi.

Bagi tujuan itu, Zahid Hamidi bersama Presiden Pas, Hadi Awang telah mengadakan pertemuan di rumah Setiausaha Agung UMNO, Annuar Musa malam tadi.

Pertemuan itu yang turut disertai Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan, Bendahari BN, Tengku Adnan Tengku Mansor serta beberapa yang lain itu adalah dipercayai untuk membincangkan kedudukan kabinet Perikatan Nasional serta memohon sokongan Pas berhubung kewajaran Zahid Hamidi diletakkan sebagai TPM.

Berdasarkan kenyataan Hadi Awang dua hari lalu yang mengatakan PH juga pernah menggugurkan kes Lim Guan Eng selepas dilantik sebagai Menteri Kewangan oleh Tun Mahathir, parti itu bukan saja setuju Zahid Hamidi dilantik sebagai TPM, malah seperti memberi bayangan perlunya Muhyiddin melalui arahan kepada Peguam Negara yang bakal dilantiknya menggantikan Tommy Thomas selepas ini agar bertindak serupa menggugurkan kes terhadap Zahid Hamidi.

Dalam kes pembentukan kabinet, selain bertegas mahu Zahid Hamidi diberi jawatan TPM, UMNO juga dilaporkan ingin suara dan cadangan mereka diambil kira dalam perlantikan menteri daripada parti itu oleh Muhyiddin.

UMNO sama sekali tidak mahu Muhyiddin bertindak seperti Tun Mahathir ketika mengetuai PH yang melantik sesuka hati menteri-menteri daripada PKR dan membelakangkan cadangan nama yang diberikan oleh parti pimpinan Anwar Ibrahim.

Jika itu berlaku, Muhyiddin bukan saja dianggap telah melukakan hati UMNO, malah mungkin berdepan tindakbalas daripada UMNO dan Pas yang memang sebelumnya telah bergabung dalam Muafakat Nasional yang memiliki 59 kerusi Parlimen dalam Perikatan Nasional.

Bagi UMNO, wakil parti itu yang mahu dilantik sebagai menteri oleh Muhyiddin mesti datang daripada cadangan Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO sahaja dan bukan daripada pihak-pihak lain.

Akhirnya, apakah Muhyiddin berani mengenepikan Zahid Hamidi dan cadangan nama yang bakal dibawa oleh Presiden UMNO itu atau beliau terpaksa akur kerana kedudukannya yang masih tidak menentu? - 4 Mac 2020.

Selasa, 4 Februari 2020

Pembentukan Kerajaan Baru, Apa Pendirian PH?

Shahbudin Husin | PEMBENTUKAN KERAJAAN BARU, APA PENDIRIAN PH?

Berikutan pendedahan Ahli MT UMNO, Lokman Noor Adam semalam berhubung keinginan Ahmad Zahid Hamidi untuk membawa UMNO bekerjasama dengan Tun Mahathir Mohamad bagi membentuk sebuah kerajaan baru yang dinamakan Pakatan Nasional, beberapa persoalan kini mula menarik perhatian.


Pertama, apakah dengan pendedahan Lokman itu, pembentukan kerajaan baru tersebut akan tetap menjadi kenyataan?

Ataukah rancangan menubuhkan Pakatan Nasional itu sudah terbatal dengan sendirinya?

Apakah dalam mesyuarat MT UMNO 7 Februari ini, agenda pembentukan kerajaan baru tetap akan menjadi tajuk perbincangan?

Yang kedua, apakah pendirian Tun Mahathir Mohamad berhubung pendedahan Lokman itu?

Sediakah Tun Mahathir mengakui memang beliau yang mahu menarik UMNO bersama-sama mewujudkan kerajaan baru itu?

Dari segi logik, jika tiada lampu hijau daripada pihak Tun Mahathir, mustahil Zahid Hamidi dan UMNO yang terhegeh-hegeh mahu mewujudkan kerajaan baru itu.

Ini kerana asas pengwujudan kerajaan baru itu ialah untuk mengekalkan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal dan meskipun Zahid Hamidi serta UMNO akan turut memperolehi manfaat daripadanya, manfaat terbesarnya ialah untuk Pengerusi Bersatu itu.

Dengan demikian, pelawaan atau usaha awal mesti datang daripada pihak Tun Mahathir.

Soalnya, apabila perkara ini terdedah lebih awal, apakah Tun Mahathir sedia mengakuinya?

Atau Tun Mahathir akan menafikannya untuk menyelamatkan kedudukannya bersama PH?

Ketiga, daripada sudut apa sekalipun, berikutan rancangan menubuhkan kerajaan baru itu bukan lagi rahsia dan sudah terdedah kepada umum, PH tidak boleh lagi sekadar berdiam diri begitu saja.

Apa sebenarnya pendirian PH berhubung perkembangan terbaru ini?

Oleh kerana yang dilibatkan secara langsung dalam pembentukan kerajaan Pakatan Nasional itu ialah Tun Mahathir dan Bersatu, salah satu ahli gabungan dalam PH, tidakkah ini sebetulnya memerlukan PH mengadakan mesyuarat tergempar dengan kadar segera?

Tidak mahukah PH mendengar sendiri penjelasan dan pengakuan sebenar daripada Tun Mahathir mengenai kerajaan baru itu?

Keempat, oleh kerana PKR, DAP dan Amanah serta PH nampaknya bakal ditinggalkan oleh Tun Mahathir untuk beralih kepada gabungan kekasih baru Pakatan Nasional yang merangkumi UMNO dan Pas, sedarkah mereka bahawa PH dalam diam-diam cuba dikhianati oleh Perdana Menteri sendiri?

Tidakkah, dalam kedaan ini, selain keikhlasan Tun Mahathir terhadap PH sangat-sangat dituntut, pembuktian keikhlasannya sepatutnya mesti diserlahkan dengan beliau bersetuju menetapkan tarikh peralihan kuasa dengan seberapa segera?

Wahai Majlis Presiden PH, mahu tunggu apa lagi, janganlah jadi ular sawa kenyang terlalu lama? - 4 Februari 2020.

Isnin, 3 Februari 2020

Zahid Hamidi Diberikan Tempoh Sehingga 7 Februari Untuk Setuju Dengan Kerajaan Baru Dakwa Shahbudin.

SHAHBUDIN HUSIN | PEMBENTUKAN KERAJAAN BARU, BENARKAH ZAHID HAMIDI DIBERI MASA HINGGA 7 FEB UNTUK SETUJU?
Selain usul undi percaya kepada Tun Mahathir Mohamad bagi tujuan mengekalkannya sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal, isu lain yang turut menjadi bualan hangat ketika ini ialah pembentukan kerajaan baru yang menggabungkan Bersatu, Pas dan UMNO.






Dikatakan pembentukan kerajaan baru ini adalah usaha yang cuba dilakukan oleh Tun Mahathir untuk terus kekal berkuasa sehingga habis penggal, sekaligus mengengkari janji peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim.

Pembentukan kerajaan baru dengan sokongan UMNO dan Pas itu dengan sendirinya bermakna Tun Mahathir akan mengenepikan PKR, DAP dan Amanah sebagai rakan kongsi yang meletakkan dirinya sebagai Perdana Menteri melalui PH selepas kemenangan dalam PRU14 lalu.

Kerajaan baru yang diusahakan itu selain merupakan gabungan Bersatu, UMNO dan Pas, ia juga adalah melibatkan kumpulan Azmin Ali dalam PKR, Warisan serta sebahagian daripada GPS di Sarawak.

Sehingga ini Pas dikatakan sudah pun menyatakan persetujuan akan bersama gabungan baru itu, manakala lain-lain entiti masih lagi dijalankan usaha yang gigih bagi tujuan itu.

Tumpuan utama Tun Mahathir, selepas mendapat sokongan Pas ialah mendapatkan sokongan sepenuhnya daripada UMNO yang memiliki 39 jumlah Ahli Parlimen.

Keyakinan Tun Mahathir ialah jika blok UMNO berjaya dipautnya, memujuk yang lain-lain untuk turut bersama dalam kerajaan baru itu akan menjadi lebih mudah lagi.

Bagi tujuan tersebut, Presiden UMNO, Zahid Hamidi dan beberapa pemimpin kanan UMNO telah lebih awal dipujuk untuk bersetuju dengan usaha pembentukan kerajaan baru yang akan membawa balik parti itu ke persada kuasa semula.

Namun, yang lebih penting sebenarnya ialah dengan kembalinya UMNO berada dalam kuasa semula, kes-kes mahkamah yang dihadapi oleh beberapa pemimpin UMNO dengan sendirinya ada jalan penyelesaiannya yang mudah baginya.

Dalam erti kata lain, keinginan bersama dengan Tun Mahathir membentuk kerajaan baru ini bukan berdasarkan apa-apa asas perjuangan, sebaliknya hanya untuk menyelamatkan diri semata-mata.

Tun Mahathir ingin menyelamatkan dirinya agar dapat melahab kuasa dengan lebih lama lagi, manakala mereka yang ada kes mahkamah dapat mengelakkan daripada menjadi penghuni penjara.

Tugas Zahid Hamidi dikatakan adalah mendapatkan sokongan Ketua-Ketua UMNO Bahagian agar setuju memberi mandat sepenuhnya kepada pucuk pimpinan parti membuat sebarang keputusan berhubung pembentukan kerajaan baru itu.

Dengan adanya persetujuan itu, sebarang keputusan yang akan diputuskan oleh pucuk pimpinan UMNO untuk bekerjasama dengan Tun Mahathir akan menjadi keputusan parti.

Dalam hal ini, Zahid Hamidi diberitakan diberi masa sehingga 7 Februari ini untuk memaklumkan kepada Tun Mahathir sama ada berjaya memperolehi persetujuan tersebut atau sebaliknya.

Zahid Hamidi bersama beberapa pimpinan utama UMNO ketika ini difahamkan sedang giat menemui Ketua-Ketua UMNO Bahagian bagi mendapatkan persetujuan tersebut.

Tun Mahathir dikatakan memerlukan persetujuan itu selewat-lewatnya 7 Februari ini kerana beliau merancang untuk mengumumkan pembentukan kerajaan baru itu sebelum akhir Februari iaitu sebelum Majlis Presiden PH membuat sebarang ketetapan berkenaan tarikh peralihan kuasa kepada Anwar.

Rancangan bekerjasama ini bagaimanapun akan mengenepikan sama sekali Najib Razak dan mereka yang bersamanya kerana Tun Mahathir difahamkan bukan saja tidak sedia sama sekali bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri itu, malah ingin memastikan penjara adalah destinasi muktamadnya selepas ini.

Berjayakah Zahid Hamidi memberi berita gembira kepada Tun Mahathir menjelang 7 Februari ini?

Apakah Najib dan kumpulannya hanya akan berdiam diri saja?

Jika Zahid Hamidi memutuskan UMNO akan bekerjasama dengan Tun Mahathir, tidak mungkinkah ada Ahli Parlimen UMNO, seperti Najib dan beberapa yang lain misalnya, akan mengisytiharkan diri mereka sebagai Ahli Parlimen Bebas lantaran menolak kerjasama tersebut? - 3 Februari 2020.

Sabtu, 1 Februari 2020

Apakah Tun Mahu Hancurkan PH Dengan Isu PPSMI? - Shahbudin Husin.

Shahbudin Husin | APAKAH MELALUI PPSMI, MAHATHIR MAHU MELINGKUPKAN PH?

Pengumuman Tun Mahathir Mohamad selaku pemangku Menteri Pendidikan mahu mengembalikan semula pengajaran dan pembelajaran subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mengundang reaksi negatif banyak pihak terhadap keputusan itu.




Rata-rata pelbagai kelompok masyarakat menzahirkan rasa tidak setuju dengan pengembalian dasar yang pernah dilaksanakan pada 2002, tetapi kemudian dibatalkan kepada 2011.

Beberapa persatuan, NGO, kelompok masyarakat, pemimpin politik, individu ternama, ibu bapa dan lain-lainnya telah tampil bersuara menyatakan rasa tidak setuju mereka dengan keputusan Tun Mahathir itu.

Semuanya boleh dilihat dalam pelbagai medium media sosial di mana sehingga ini belum nampak ada yang menyokong keputusan Tun Mahathir itu.

Mereka melihat Tun Mahathir terburu-buru dalam keputusan terbaru ini, walhal beliau baru tidak sampai sebulan memangku jawatan Menteri Pendidikan.

Dipersoalkan apakah Tun Mahathir tidak sedar kemampuan guru-guru dalam penguasaan bahasa Inggeris dan jika mereka perlu menjalani latihan kemahiran, tidakkah ia akan memakan masa serta menelan kos yang tinggi?

Selain pengembalian dasar ini mengabaikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, ia juga pasti menyebabkan murid-murid luar bandar terus ketinggalan dan menjadi mangsa dalam peperiksaaan.

Akhirnya, walaupun Tun Mahathir adalah Melayu, tetapi murid-murid Melayu juga yang jadi mangsa di sebalik dasar ini.

Dalam hal ini, apa agaknya pendirian Muhyiddin Yassin sekarang terhadap keputusan Tun Mahathir ini kerana PPSMI dibatalkan pada 2011 adalah ketika beliau menjadi Menteri Pendidikan.

Apakah beliau menyokong keputusan Tun Mahathir sekarang ini atau kekal dengan pendirian 2011 ketika membatalkan PPSMI itu?

Alasan Tun Mahathir bahawa subjek Sains dan Matematik memang sampai kepada kita dalam Bahasa Inggeris dan mengajarnya dalam bahasa tersebut tidak akan menimbulkan kekeliruan, tidaklah boleh diterima sama sekali sebagai logik yang munasabah.

Isunya bukan berkaitan ilmu itu sampai dalam bahasa apa, tetapi apakah bahasa penguasaan murid yang mahu menerimanya?

Jika begitu, mengapa Jepun dan Korea boleh maju dan terkedepan dalam kedua-dua bidang itu, sedangkan mereka belajar Sains dan Matematik bukan dalam bahasa Inggeris, tetapi dalam bahasa ibunda masing-masing?

Bukankah ini menunjukkan belajar ilmu dalam bahasa ibunda itu lebih penting?

Ternampak di sini bahawa Tun Mahathir hanya mahu memenuhi egonya saja dalam mengembalikan semula dasar PPSMI ini, sambil ingin memberitahu umum bahawa oleh kerana kuasa adalah dalam tangannya, beliau berhak mengembalikan semula dasar yang sudah dibatalkan itu.

Persoalannya, bukankah Tun Mahathir hanya pemangku Menteri Pendidikan saja?

Apakah ini bermakna beliau akan memangku jawatan tersebut selama-lamanya seolah-olah portfolio rasminya, selain Perdana Menteri?

Lupakah beliau bahawa manifesto PH tidak membenarkan Perdana Menteri memegang portfolio mana-mana kementerian?

Dari aspek politik pula, selain keputusan Tun Mahathir ini akan menyebabkan PH tidak popular di hati rakyat, ia juga bakal mengakibatkan kerajaan kehilangan banyak sokongan, terutama di luar bandar.

Di sebalik banyak isu dan kemelut lain masih tidak selesai, khususnya banyak janji manifesto belum ditunaikan, apakah tujuan Tun Mahathir mengembalikan PPSMI yang tidak popular di hati rakyat ini, selain dibantah keras oleh pembangkang yang kini sudah bersamanya dalam kerajaan?

Apakah Tun Mahathir mahu melingkupkan PH sebelum beliau menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada penggantinya, Anwar Ibrahim? - 1 Februari 2020.

Rabu, 8 Januari 2020

Rakaman Audio Patut Jadi Bahan Bukti Mahkamah, Bukannya Perbicaraan Media, SPRM Ditegur.

SHAHBUDIN HUSIN | KP SPRM MALUKAN DIRI SENDIRI, RAKAMAN AUDIO SEPATUTNYA DIJADIKAN BUKTI DI MAHKAMAH, BUKAN UNTUK HEBAHAN MEDIA

Pertama-tamanya ingin ditegaskan bahawa artikel ini bukan bertujuan untuk membela atau mempertahankan Najib Razak, Rosmah Mansor atau sesiapa yang lain berkaitan rakaman audio yang didedahkan oleh SPRM pagi tadi.

Malah, sejak 2011 sehinggalah PRU14 lalu, sayalah antara pengkritik Najib paling kuat melalui tulisan dalam blog ini, buku dan pelbagai penerbitan yang lain.

Tetapi, apa yang dilakukan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya pagi tadi iaitu mendedahkan 9 rakaman audio yang didakwa sebagai konspirasi peringkat tertinggi, pembocoran maklumat dan salah guna kuasa melibatkan Najib dan beberapa pegawai tinggi kerajaan dalam usaha menutup skandal 1MDB, adalah sesuatu yang salah dan tidak boleh diterima.

Apa lagi pendedahan itu dilakukan ketika Najib sedang berdepan perbicaraan di mahkamah berkaitan SRC International, sebuah anak syarijat 1MDB dan sewaktu kempen PRK Kimanis sedang berjalan.

Ia dengan sendirinya menjadikan niat mengapa pendedahan itu dilakukan boleh dipertikaikan.

Walaupun rakaman-rakaman audio itu boleh dianggap menunjukkan adanya kesalahan di pihak Najib dan mereka yang lain, termasuk bekas KP SPRM, Dzulkifli Ahmad, namun membuat pendedahan kepada media bagi tujuan hebahan umum bukanlah cara yang betul.

SPRM adalah agensi penguatkuasa dan sebarang bukti berlakunya pelanggaran undang-undang hendaklah disiasat dan seterusnya dibawa ke mahkamah untuk didakwa dan diadili.

SPRM bukanlah parti politik atau alat kepada parti politik untuk kepentingan mereka yang memegang kuasa.

Untuk itu, SPRM mesti bertindak berlandaskan undang-undang untuk menegakkan keadilan tanpa memilih bulu atau memihak kepada sesiapa.

Walaupun SPRM sebelum ini, terutama di era Dzulkifli sebagai KPnya, badan itu banyak dituduh sebagai alat kepada Najib, tetapi dengan tindakan mendedahkan rakaman audio tersebut, apakah bezanya SPRM sekarang dengan dulu?

Jika KP SPRM dahulu didakwa alat kepada pemimpin politik BN, tidakkah dengan mendedahkan rakaman audio melibatkan Najib itu menunjukkan KP SPRM sekarang juga seolah-olahbtelah menjadi alat politik kepada PH?

Jika bukan bermotifkan politik, untuk apakah rakaman audio itu didedahkan kepada umum, sedangkan penyiasatan dan rakaman tersebut juga baru hendak diserahkan kepada pihak polis?

Tidakkah sepatutnya siasatan dijalankan terlebih dahulu dan jika cukup bukti – Najib, Rosmah, Dzulkifli dan lain-lain hendaklah dibawa ke pengadilan untuk didakwa serta rakaman audio itu boleh dijadikan bukti di mahkamah?

Mengapakah bukti didedahkan kepada umum terlebih dahulu, sedangkan penyiasatan belum bermula dan pendakwaan pula tak tahu bila tarikhnya?

Apakah pada tanggapan KP SPRM, mahkamah media lebih penting daripada mahkamah sebenar?

Dalam hal ini, Latheefa yang merupakan seorang lulusan undang-undang jelas telah memalukan dirinya sendiri dan keberadaannya mengetuai SPRM telah dah menimbulkan tanggapan umum beliau juga, sama seperti KP SPRM sebelumnya, dengan mudah menjadi atau dijadikan politik sepihak, walhal SPRM adalah agensi bebas untuk membanteras rasuah bersasaskan keadilan.

Ternampak di sini, Latheefa yang pernah aktif dalam politik sebelum memegang jawatan KP SPRM, gagal memisahkan naluri politik dan berpihak dalam tugasnya mengetuai agensi tersebut.

Selain itu, wujudnya rakaman audio secara haram melibatkan Najib ketika beliau memegang jawatan Perdana Menteri ini juga dengan sendirinya membuktikan negara kita tidak lagi selamat dan diancam bahaya.

Kalau Perdana Menteri pun boleh dirakam suaranya secara haram, apatah lagi menteri, ahli perniagaan dan rakyat biasa.

Soalnya, siapakah yang melakukan rakaman itu?

Apakah ini menunjukkan perbualan Perdana Menteri sekarang juga boleh diintip secara haram dan bakal didedahkan kepada umum setelah beliau tidak lagi berkuasa nanti?.

Selasa, 31 Disember 2019

Baguslah PPBM Nak Gabung UMNO, Tapi Pulangkan Dulu Jawatan PM - Shahbudin Husin.

Shahbudin Husin | BAGUSLAH KALAU BERSATU NAK BERGABUNG DENGAN UMNO, TAPI PULANGKANLAH JAWATAN PM KEPADA PH LEBIH DULU.....

Ahli MT UMNO, Lokman Adam mendakwa, terdapat usaha yang direstui oleh sebilangan pemimpin UMNO sendiri untuk menggabungkan parti itu dengan Bersatu.

Katanya, antara sebilangan pemimpin yang setuju ke arah penggabungan itu ialah mereka yang sedang berdepan dengan pertuduhan jenayah di mahkamah.


Selain itu, usaha penggabungan yang mahu direalisasikan menjelang Mei 2020 itu juga dipercayai bertujuan memungkiri janji peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim dan seterusnya membolehkan Tun Mahathir Mohamad terus kekal sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal atau sampai beliau menghembuskan nafas terakhirnya.

Sehubungan itu, Lokman mencadangkan agar UMNO segera mengadakan pemilihan semula bagi membolehkan ahli parti membuat pilihan memilih kepimpinan antara yang mahu bekerjasama dengan Bersatu atau sebaliknya.

“Jika benar sebahagian dari kepimpinan UMNO dan bekas pemimpinnya lebih selesa mengambil pendekatan if we can’t defeat them, we join them (jika tak boleh kalahkan mereka, kita sertai mereka), biarlah ahli memutuskan jika mereka bersetuju dengan cara itu atau mereka lebih selesa dengan slogan ‘No Retreat, No Surrender’ (pantang undur, pantang menyerah).

“Daripada mengadakan EGM (mesyuarat agung luar biasa) untuk memutuskan keputusan mana yang mahu diambil oleh ahli parti, saya menyarankan agar pemilihan UMNO dilakukan segera sebelum percantuman yang dijangka berlaku sebelum Mei 2020 itu,” kata Lokman lagi.

Dalam konteks UMNO dan Bersatu, sebenarnya kedua-dua pihak tidak dinafikan ada keinginan untuk saling bekerjasama dan bersatu.

Bagi sesetengah pemimpin UMNO, mereka merasakan hanya dengan cara itu akan membolehkan parti itu kembali semula memegang kuasa.

Selain itu, dengan kembali berkuasa juga, beberapa pemimpinnya yang sedang berhadapan dengan kes mahkamah turut lebih cerah dapat melepaskan diri.

Bagi Bersatu pula, oleh kerana kerusi yang dimenangi dalam PRU14 lalu terlalu ciput, bergabung dengan UMNO akan menjadikannya tambah kuat dan mampu bertahan lebih lama.

Lebih-lebih lagi bagi Tun Mahathir, penggabungan dengan UMNO boleh dijadikan sandaran untuk kekal lebih lama lagi sebagai Perdana Menteri.


Maka itu, bergabungnya UMNO dengan Bersatu bukanlah suatu yang mustahil atau merupakan kesalahan daripada segi hukum politik untuk mengekalkan kuasa dan menyelamatkan diri.

Cuma, khusus buat Tun Mahathir dan Bersatu, jika penggabungan dengan UMNO itu mahu direalisasikan, adalah tidak bermoral untuk membawa sekali jawatan Perdana Menteri bersama dengannya.

Boleh dan tidak salah untuk bergabung, tapi tinggal dan serahkanlah jawatan Perdana Menteri kepada PH kerana yang menang PRU14 lalu adalah PH melalui persefahaman menggunakan logo PKR ketika itu.

Adalah memalukan dan macam muka tak malu jadinya jika jawatan Perdana Menteri mahu dibawa sekali oleh Bersatu untuk dikongsi dengan UMNO melalui penggabungan itu, sedangkan jawatan tersebut adalah milik PH dan dicatatkan kemenangan dalam PRU14 melalui simbol PKR.

Serahkanlah semula jawatan Perdana Menteri itu kepada PH dan melalui gabungan baru itu nanti, berlawanlah dengan PH dalam PRU15 akan datang.

Apa macam, ada bantahan?

Rabu, 25 Disember 2019

Kerajaan PH Semakin Menjauh Dari Rakyat - Shahbudin Husin.

SHAHBUDIN HUSIN | KERAJAAN INI SEMAKIN JAUH DARIPADA HATI RAKYAT….
Jika mahu disenarai satu persatu, baru dalam tempoh 19 bulan PH menjadi kerajaan, sebenarnya terlalu banyak perkara-perkara yang mengecewakan dan mengguris hati rakyat telah berlaku.


Harapan rakyat apabila mereka membuat keputusan menukar kerajaan dan menumbangkan BN, yang diminta hanyalah agar kehidupan selepas itu bertambah baik dengan kos sara hidup menurun, banyak peluang pekerjaan dan cara menambah pendapatan juga menjadi lebih banyak.

Malangnya semakin hari berlalu, harapan itu semakin kabur dan kelam dengan yang munculnya akhirnya hanya berita-berita sedih dan menyakitkan hati.

Janji Tun Mahathir Mohamad dengan pengalamannya selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri sebelum ini bahawa tempoh dua tahun untuknya menerajui negara sudah mencukupi untuk memulihkan ekonomi, tidak lebih sekadar janji bulan madu orang sedang bercinta.

Dalam tempoh 19 bulan menerajui kerajaan, Tun Mahathir ternyata gagal memberi yang lebih baik sebagaimana yang pernah dijanjikannya sebelum beroleh kuasa.

Ini berikutan begitu banyak aset negara dan syarikat strategik milik Khazanah yang dijual dan terlepas ke tangan pihak asing.

Sementara penjualan itu menimbun wang yang banyak, yang musykilnya hutang negara terus juga meningkat.

Ke mana dan untuk apa wang penjualan aset itu digunakan?

Apakah kerajaan tidak cukup hasil untuk membiayai urusan harian pentadbirannya?
Selain itu, pemberhentian kerja dan penamatan mereka yang bekerja kontrak dengan kerajaan pula kedengaran di mana-mana, termasuk ramai yang meluahkannya di media sosial.

Kenapakah kerajaan baru yang kononnya mendokong aspirasi membela rakyat, tiba-tiba lebih dulu memangsakan pekerja bawahan dan yang bergaji kecil?
Kalau benar kerajaan tidak cukup wang, kenapa pemberhentian itu berlaku di kala majoriti menteri sibuk bercuti di luar negara dengan pembiayaan penuh wang cukai rakyat?

Terbaru ini berlaku pula penamatan elaun kritikal untuk doktor, jururawat, jurutera dan profesional lainnya yang menyertai perkhidmatan awam mulai tahun depan.

Tindakan JPA ini merupakan satu lagi berita sedih untuk rakyat seolah-olah kerajaan PH pimpinan Tun Mahathir ini sudah hilang upaya dan tidak mampu lagi memberi kesejahteraan kepada rakyat.

Menjelang tahun depan, mungkin banyak lagi berita-berita sedih seperti itu menjadi tatapan kita semua yang pada hakikatnya menjadikan kerajaan PH semakin jauh daripada hati rakyat.

Yang ternampak di mata rakyat hanyalah keghairahan Tun Mahathir berpolitik dengan mencatur sana mencatur sini dan memecahkan di sana memecahkan di sini untuk menampakkan dirinya terus unggul berkuasa dengan seolah-olah sudah lupa kepada janji peralihan kuasa serta dirinya bukan semakin muda.

Apakah harapan rakyat rakyat terhadap PH sebelum tibanya detik PRU15 hanya pada Anwar Ibrahim yang sepatutnya mengambil alih kuasa tahun depan?

Selasa, 26 November 2019

Kartel Makin Melampau, Anwar Perlu Bertindak Segera.

Shahbudin Husin | GENG AZMIN MAKIN MELAMPAU, ANWAR MESTI SEGERA BERTINDAK TEGAS

Pemulauan dan sabotaj Geng Azmin terhadap kepimpinan Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR nampaknya semakin parah serta melampau.


Bermula dengan memulaukan mesyuarat MPP dan Biro Politik sejak setahun yang lalu dan ia masih berterusan sampai sekarang, perkembangan akhir-akhir ini memperlihatkan tindakan mereka semakin tidak boleh diterima.

Selain memulaukan mesyuarat, Azmin bersama penyokongnya turut mengeluarkan kenyataan berterusan mahu Tun Mahathir kekal meneruskan sehingga habis penggal, walaupun Perdana Menteri berkali-kali menyatakan menyerahkan jawatan kepada Anwar sebelum PRU15 akan datang.

Perbuatan mereka itu secara terang-terangan menentang konsensus PH berkaitan peralihan kuasa dan janji Tun Mahathir yang hanya mahu menjadi Perdana Menteri selama dua tahun saja.

Dalam konvensyen negeri-negeri yang dihadiri oleh Anwar pula, Azmin dan penyokong langsung tidak menghadirinya, bahkan boleh dianggap memulaukannya.

Malah, kepimpinan PKR di dua negeri yang diterajui oleh Geng Azmin iaitu Sarawak dan Selangor, cuba untuk tidak menganjurkan konvensyen pada tahun ini.

Bagaimanapun, konvensyen di Sarawak telah berjaya diadakan pada 23 November lalu di Miri oleh kumpulan yang pro kepada perjuangan hakiki PKR dan kepimpinan Anwar.

Mereka bertegas untuk meneruskan penganjuran konvensyen, dengan restu ibu pejabat PKR, walaupun tidak mendapat kerjasama daripada kepimpinan PKR negeri yang diterajui Baru Bian.

Di Selangor, Amiruddin Shari yang pro Geng Azmin juga mengelak untuk menganjurkan konvensyen negeri dengan alasan beliau ada di luar negara, sehingga kumpulan yang pro perjuangan hakiki PKR dan Anwar terpaksa mengambil alih penganjurannya.

Difahamkan Konvensyen Selangor bakal diadakan pada 29 November ini, tetapi tempatnya belum lagi diketahui.

Selepas cuba menggagalkan konvensyen negeri, Geng Azmin juga diperkhabarkan akan turut melakukan pemboikotan dalam Kongres Keadilan Nasional yang akan diadakan di Melaka pada 6 hingga 8 Disember depan.

Setelah AMK membuat keputusan menjemput Dr Wan Azizah Wan Ismail merasmikan mesyuarat sayap itu, kumpulan pro Azmin dalam AMK yang diketuai oleh Hilman Idham diberitakan akan memboikot mesyuarat tersebut yang dijadual diadakan pada Jumaat, 6 Disember.

Sebaliknya, mereka dikatakan mengadakan mesyuarat AMK sendiri pada Khamis, 5 Disember dengan menjemput Azmin sebagai perasminya.

Bagi mesyuarat sayap Wanita PKR yang memang menjemput Azmin sebagai perasminya, kumpulan pro Azmin dikhabarkan akan memakai pakaian yang berbeza untuk menunjukkan perbezaan dengan mereka yang pro Anwar.

Hanya mereka yang pro Azmin dibisik-bisikkan tentang perbezaan pakaian yang perlu dipakai itu, manakala yang memakai uniform yang biasa dipakai selama ini akan dianggap sebagai pro Anwar.

Untuk Kongres Keadilan Nasional pada 7 dan 8 Disember, belum dapat dipastikan sama Geng Azmin akan hadir atau tidak, tetapi banyak pihak percaya Timbalan Presiden PKR itu bersama penyokongnya akan bertindak memboikotnya.

Jika itu yang berlaku, bermakna pemulauan dan penentangan Azmin terhadap Anwar sudah sampai ke kemuncaknya.

Bersama beberapa perkembangan sebelum ini serta apa yang berlaku semalam di mana di dua Adun PKR yang pro Azmin bertindak memboikot Sidang Dun Melaka sehingga usul kerajaan negeri untuk melantik Pengerusi PKR negeri itu, Abdul Halim Bachik sebagai Senator ditolak dengan undi 13-12, Anwar kini sebenarnya tidak boleh berlembut atau berdiam diri lagi terhadap mereka yang menentangnya dan cuba menghancurkan PKR.

Tidak kira sama ada Abdul Halim itu pro Anwar atau tidak, tindakan dua Adun PKR berkenaan adalah salah serta tidak boleh diterima kerana mereka telah menyeret masalah politik dalaman PKR sehingga kerajaan PH negeri Melaka menanggung malu akhirnya.

Dengan itu, bukan saja kedua-dua Adun berkenaan mesti diambil tindakan disiplin, bahkan perangai dah kelakuan Geng Azmin dalam PKR yang kini telah banyak menghuru-harakan parti, termasuk Azmin sendiri, haruslah ditangani dengan wajar serta tegas oleh Anwar.

Jika dibiarkan dan Anwar tidak segera bertindak, percayalah, selepas ini lebih banyak lagi perbuatan sabotaj, boikot atau seumpamanya akan mereka lakukan untuk tujuan melemah serta menghancurkan parti itu.

Selepas kongres di Melaka ini, Anwar mesti berbuat sesuatu untuk membersihkan PKR, sekaligus memastikan laluannya menjadi PM8 menjadi lebih terang dan terjamin. - 26 November 2019.

Rabu, 6 November 2019

Azmin Ali, Letaklah Jawatan, Jangan Menyusahkan Tun Mahathir - Shahbudin Husin.

Shahbudin Husin | AZMIN, BAIKLAH LETAK JAWATAN DAN JANGAN LAGI MENYUSAHKAN PM!!

Belum selesai dengan kes “video Haziq” yang masih dalam siasatan polis, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali kini berdepan satu lagi beban baru yang jelas menyusahkan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

 

 
Ini berikutan sebuah agensi pelancongan memfailkan saman terhadap beliau di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk menuntut RM328,901 untuk tiket penerbangan dan penginapan hotel yang belum dibayarnya.

Dalam kenyataan tuntutannya itu, YHA Travel & Tours (M) Sdn Bhd berkata Azmin berhutang bagi urusan perjalanan yang diuruskannya antara September 2018 dan Ogos 2019.

Mengikut tuntutan tersebut, firma itu telah menempah tiket penerbangan dan penginapan hotel untuk Azmin, keluarganya, rakan-rakan dan kakitangan kementerian.

Firma itu berkata, ia telah membayar kepada syarikat penerbangan terlebih dahulu untuk mendapatkan tiket dan sepatutnya akan dibayar kemudian oleh Azmin atau wakilnya dalam tempoh tiga hingga empat bulan.

“Selanjutnya, defendan dan/atau wakilnya yang diberi kuasa juga akan membuat pembayaran sebelum umrah dan/atau haji atau sebelum tempoh hari raya terdekat.

“Bagaimanapun, dalam hal ini, pembayaran telah tertunggak untuk jangka masa yang lebih lama daripada jangka masa yang disebutkan di atas,”
kata firma tersebut dalam tuntutannya.

Difahamkan juga, agensi pelancongan itu telah berulang kali menuntut bayaran daripada defendan dan/atau wakilnya, tetapi jumlah terkumpul itu tidak pernah dibayar walaupun jumlah yang dituntut itu tidak pernah dipertikaikan.

Difahamkan, pengurusan kes bagi saman itu ditetapkan pada 3 Dis ini di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Kenapa hutang sampai tidak dibayar untuk tempoh yang begitu lama sehingga walau sudah dituntut berkali-kali, tetapi tidak juga mahu dibayar?

Apa masalah Azmin sebenarnya?

Apakah beliau sengaja tidak mahu membayarnya?

Sebagai seorang menteri kanan, tentulah tidak logik jika dikata beliau tiada wang untuk membayarnya.

Habis, kenapa tidak mahu membayar?

Dengan kedudukan sebagai seorang menteri yang sepatutnya memberi kesenangan kepada rakyat, sebaliknya bertindak menyusahkan mereka dengan tidak membayar hutang adalah perbuatan yang tidak patut sama sekali.

Dalam hal ini, sedarkah Azmin bahawa tindakannya tidak membayar hutang, walau sudah dituntut berulangkali dan akhirnya menjadi kes mahkamah, beliau sebenarnya telah menyusahkan Tun Mahathir dan memalukan kerajaan serta kabinet?

Tidak cukupkah dengan perlakuan beliau sebelum ini yang telah banyak mendatangkan kesusahan kepada Perdana Menteri?

Azmin, kalau beginilah satu demi satu onar yang muncur, lebih baiklah undur diri dan letak jawatan sebagai menteri dengan segera.

Kasihanlah kepada Tun!!

Ini Bukti 15 Urusniaga FELDA Rugi Sehingga Hilang RM8b - Kadir Jasin Jawab Serangan Najib.

A.Kadir Jasin | BEKAS Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, dalam tampalan Facebook beliau pada 27 Oktober telah menuduh saya “sangat tidak jujur serta seorang bermulut cekupar”.

Dia menaggil saya “Pak Kadir”. Terima kasih. Tetapi sepanjang ingatan saya, selama saya mengenalinya sejak tahun 1977, saya tidak ingat dia menanggil saya “Pak Kadir”.


Gambar : Hasilan Google Image
Akan tetapi ada seorang bekas pegawai kanannya yang menggunakan panggilan itu. Kebetulan pegawai itu terlibat terus dengan penjualan/penggadaian harta Felda bagi melakukan tawaran awam permulaan (IPO) FGV Holdings Berhad (FGV).

Kita tidak dapat menolak kemungkinan Facebook seorang yang berkemampuan seperti Mohd Najib mempunyai pentadbir atau sekumpulan pentadbir (Admin) yang menulis, menampal dan menjawab bagi pihak tauke mereka.

Daripada pengeboman maki-hamun dan carutan yang saya terima dalam Facebook saya, jelaslah bahawa Mohd Najib mempunyai laskar siber (cybertroopers) yang sangat ramai. Tidak mustahil sebahagian daripada mereka mengendalikan akaun palsu (fake accounts).

Tidak kira dalam bahasa apa dan mengenai isu apa asalkan menyentuh Mohd Najib mereka akan serang dengan maki-hamun dan carutan kerana itu tugas mereka. Daripada komen mereka, jelaslah mereka tidak pun baca apa yang ditulis.

Ini pun menyentuh soal maruah. Mohd Najib sebagai bekas pemimpin Umno tentu mengutamakan maruah Melayu. Tetapi daripada komen yang dihantar kepada saya, jelaslah maruah, budi pekerti, akhlak dan intelek tidak bermakna sedikit pun.

Yang nampaknya menjadi matlamat adalah “salam” atau duit. Dalam perbicaraan bekas Pengerusi Felda/FGV, Mohd Isa Abdul Samad, mahkamah diberitahu setiap kali dia mahu wang sogokan dibayar, dia akan mengirim “salam” melalui perantaranya.

Kalau itulah cerminan pemikiran dan tahap budi serta akhlak penyokong dan pelindung Mohd Najib maka saya tidak hairan dengan apa yang sedang berlaku terhadapnya.

Namun saya berterima kasih kepada pengikut Blog dan Facebook saya yang berkongsi (share) tulisan saya dalam apa bentuk sekali pun. Terima kasih.

RM8 bilion Musnah

Bagi menjawab serangan Mohd Najib, izinkan saya mengemukan fakta dan perkara berikut:-

1. Tidak dapat dinafikan bahawa Felda lestari (sustainable) dan mampu menjaga kebajikan peneroka sehinggalah 2011 dengan pendapatan purata RM3.1 billion setahun.

2. Pada masa itu, selain tanah peneroka yang diuruskannya, Felda juga mempunyai ladang sendiri seluas 350,000 hektar (864,868 ekar) yang sebahagian pendapatannya digunakan untuk menokok tambah pendapatan peneroka.

3. Malapetaka mula melanda apabila Mohd Najib menyenaraikan FGV di Bursa Malaysia pada tahun 2012. Mulai tahun berikutnya (2013), FELDA menderita kerugian secara berterusan akibat pengadaian hartanya kepada FGV.

4. Sebuah agensi kerajaan yang sepatutnya menjaga kebajikan 112,635 peneroka serta ahli keluarga mereka menjadi begitu tenat akibat rasuah dan penyelewengan sehingga memerlukan penyelematan melalui suntikan RM6.3 bilion oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

5. Jika betul dakwaan Mohd Najib bahawa IPO dan penyenaraian FGV pada tahun 2012 adalah untuk tujuan tanam semula maka pada pendapat saya kegiatan itu boleh dibiayai dengan mudah menggunakan rizab dalaman FELDA atau dengan mendapatkan pinjaman murah daripada kerajaan.

6. Sebaliknya, kerana ada duit mudah (easy money) yang boleh dibuat dengan menyenaraikan FGV, Mohd Najib dan para penasihat serta perundingnya – termasuk ahli lembaga pengarah Felda dan FGV – telah membinanasakan kelestarian Felda.

7. Amat jelas bahawa propaganda mereka bahawa penyenaraian harta Felda melalui FGV adalah langkah bijak sebenarnya satu pembohongan dan penyelewengan fakta. Felda parah dan GFV terus berdarah. Tahun lalu (2018) FGV rugi RM1.08 bilion.

8. Salah seorang penasihat IPO FGV, Omar Mustapha Ong, atau lebih terkenal dengan panggilan Omar Ong yang menjawab tulisan saya berkata, Jawatankuasa Audit Lembaga Pengarah FGV sewaktu proses penyenaraian dipengerusikan Shahril Ridza Ridzuan (waktu itu beliau Ketua Eksekutif KWSP & kini Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad) dan turut dianggotai oleh Abdul Rahman Ahmad (mantan Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif PNB dan akan menjawat Pengerusi Sime Darby Bhd pada 31 Oktober 2019).

9. Omar Ong yang memanggil saya “Pak Kadir” berkata, mereka berdua ini masih boleh dihubungi oleh pihak yang berwajib sekiranya ada bukti berlakunya maksiat perogolan dalam penyenaraian FGV pada tahun 2012.

10. Saya menyahut saranan Omar Ong itu dengan bertanya kepada Datuk Shahril Riza, kalau pelaburan FGV bagus, kenapakah KWSP menjual saham FGV dan menanggung kerugian RM203.18 juta?

11. Tidak ada fakta yang lebih jelas untuk menunjukkan kehambaran penyenaraian FGV oleh Mohd Najib dan konco-konconya daripada harga saham FGV. Daripada harga terbitan RM4.55 seunit pada tahun 2012 ia hanya tinggal RM1.06 pada 25 Oktober – jatuh merudum hampir 430 peratus!

12. Dengan fakta-fakta di atas adakah Mohd Najib akan tuduh saya sangat tidak jujur dan celupar kalau saya katakan bahawa dia umpana Sang Kelambai kerana segala yang disentutnya menjadi batu?

13. Perogolan Felda dan FGV menjadi lebih teruk apabila Mohd Najib menyerahkan dua entiti itu kepada Mohd Isa sebagai Pengerusi dan “budak PEMANDU” Emir Mavani Abdullah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif FGV.

14. Mohd Najib meluluskan dalam masa sehari permohonan Mohd Isa untuk menubuhkan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC). Syarikat inilah yang membuat pelbagai pelaburan yang tidak kena mengena dengan kepentingan peneroka.

15. Dan syarikat ini jugalah yang membawa bala besar kepada Felda dengan kerugian berbilion ringgit.

Antara kerugian yang dicatatkan oleh Felda, Felda Investment Corporation (FIC) dan FGV adalah:-

i. Kerugian urus niaga projek KLVC Jalan Semarak dianggarkan RM2 bilion (MR2,000,000,000);

ii. Peruntukan susut nilai (impairment) ke atas saham FGV RM2.2 bilion (RM2,200,000,000);

iii. Peruntukan susut nilai saham Eagle High Plantations (EHP) RM2 bilion (RM2,000,000,000);

iv. Peruntukan susut nilai Asian Plantations Ltd RM596 juta (RM596,000,000);

v. Kerugian projek-projek perumahan Felda (PWF/PGBF) RM430 juta (RM430,000,000);
vi. Terlebih bayar untuk saham Encorp Bhd RM223 juta (RM223,000,000);

vii. Kerugian akibat Felda Wellness Corp Sdn Bhd RM186 juta (RM186,000,000);

viii. Projek LiDAR yang terbengkalai RM148 juta (RM148,000,000);

ix. Terlebih nilaian Dataran Aras Sdn Bhd yang dibeli oleh Felda RM146 juta (RM146,000,000);

x. Terlebih nilaian Kensington Hotel di London RM171 juta (RM171,000,000);

xi. Terlebih nilaian Merdeka Palace Hotel di Kuching RM80 juta (RM80,000,000). (Mohd Isa sedang dibicarakan kerana kes ini);

xii. Terlebih nilaian Felda House and Grand Felda House di UK RM71 juta (RM71,000,000);

xiii. Kerugian pelaburan dalam IRIS Corporation Bhd RM92 juta (RM92,000,000);

xiv. Terlebih nilaian pembelian sebuah hotel di Port Dickson RM40 juta (RM40,000,000); dan

xv.Kerugian pelaburan dalam saham Barakah Offshore Petroleum Bhd RM27 juta (RM27,000,000).


Jumlah semua (jumlah besar): RM8 bilion (RM8,410,000,000).

Tetapu ada satu sumber lain pula berkata kerugian yang diderati oleh Felda mungkin mencecah RM10.5 bilion dan sumber ini amat rapat dengan Mohd Najib.

Boleh jadi sesetengah orang yang terlibat kini berasa bersalah atau takut disabitkan dalam penyiasatan serta perbicaraan kes-kes berkaiatan Felda maka mereka mula bercakap di belakang tabir.

Saya sekali lagi menggesa pengurusan baru Felda dan pihak berkuasa lain, khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), agar meneliti dengan lebih dalam skandal di atas dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas semua pihak yang terlibat.

Menyentuh sedikit lagi mengenai pembelian 37 peratus saham EHP dengan syarat “put option”, Mohd Najib menghalalkannya dengan alasan ia mempunyai ladang yang luas - 340,000 ekar.
Dia sengaja tidak menyebut bahawa EHP menanggung hutang yang besar. Apabila Felda beli EHP, ia bukan saja beli aset EHP tetapi ia turut memikul hutang EHP.

Kita akan sambung perbincangan mengenai konspirasi pembelian EHP ini pada kesempatan lain kerana kita sudah pun membincangkannya dalam tampalan lepas.

Kesimpulannya, siapakah yang membawa kemudaratan kepada Felda dan peneroka – saya yang Mohd Najib kata “sangat tidak jujur serta seorang bermulut cekupar” – atau dia sendiri?

Wallahuaklam.

Isnin, 28 Oktober 2019

Antara DAP Dan PAS, Siapa Lebih Bahaya?

Shahbuddin Husin | Pas baru-baru ini menggesa kerajaan agar mengharamkan DAP kerana menganggap parti itu merbahaya kepada negara.
 

 
Beberapa persoalan segera bermain-main di kepala sebaik saja gesaan itu terpapar di dada-dada media.

Pertama, Pas adalah parti pembangkang dan DAP merupakan parti yang membentuk serta menguasai kerajaan PH sekarang ini.

Tidakkah pelik bila parti pembangkang menggesa kerajaan mengharamkan sebuah parti yang sedang berada dalam kerajaan?

Siapa mahu dengar gesaan dan hujah Pas mengenai logik DAP patut diharamkan itu?

Sedarkah Pas akan hakikat tersebut atau mentang-mentang sekarang parti itu menyokong setengah mati agar Tun Mahathir Mohamad jadi Perdana Menteri hingga tamat penggal, maka parti itu merasakan cakapnya mesti didengari oleh Perdana Menteri?

Antara DAP bersama lain-lain parti dalam PH yang telah meletakkan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri berbanding Pas yang hanya sekarang membodek Tun Mahathir, sedangkan sebelum ini mengata Pengerusi PH itu macam-macam seperti sudah tua, patut berada di atas sejadah, nyanyuk dan sekadar layak jadi doktor di klinik 1Malaysia, agaknya cakap siapakah yang lebih Tun Mahathir dengari?

Kedua, bagaimana rupa wajah sebenar Pas bila ditakdirkan mereka ada kuasa nanti?

Adakah dengan gesaan mengharamkan DAP itu, bukan saja DAP, tetapi semua parti yang tidak sebulu drngannya, akan diharamkannya begitu saja bila ia ada ditaddirkan ada kuasa?

Kalau semasa jadi pembangkang pun ghairah nak mengharamkan parti lain, bayangkan bila ada kuasa dalam tangan?

Jangan-jangan semua parti akan diharamkan begitu saja, hanya parti mereka saja yang boleh terus wujud dan menjadi “raja”?

Ketiga, antara DAP dan Pas, mana yang lebih bahaya?

Siapakah yang lebih mengancam dan membawa bahaya kepada umat Islam dengan pendirian yang berbeza mengenai banyak perkara, tetapi menggunakan nama agama untuk mewajarkannya?

Parti manakah yang lebih banyak membawa kekeliruan, menanam kebencian dan permusuhan seperti melabel kafir kepada sesama muslim hanya kerana perbezaan politik?

Tidakkah Pas lupa semasa berkawan dengan DAP dulu, pujian melangit pernah diberikan kepada parti tersebut dan digambarkan bekerjasama dengannya adalah sesuatu yang dibenarkan oleh agama?

Ketika itu, UMNO dimusuhi, dianggap assabiyah dan kafir, tetapi setelah berpeluk cium dengan UMNO, parti itu tiba-tiba jadi wangi dan suci, manakala semua salah dalam negara adalah DAP belaka.

Berdasarkan banyak contoh dan kejadian di depan mata, siapakah yang lebih bahaya sebenarnya?

Untuk memberi keamanan dan mengelakkan perpecahan di kalangan orang Melayu dan Islam yang merupakan penduduk majoriti negara, DAP atau Pas yang sepatutnya tiada di Malaysia ini? - 28 Oktober 2019.

Dan Bagaimana FELDA Jahanam Dibawah Najib - A.Kadir Jasin.

A.KADIR JASIN | CERITA ini panjang dan kompleks kerana ia melibatkan rogol beramai-ramai dan berulang kali oleh kerajaan kleptokrasi Barisan Nasional (BN) serta konco-konconya ke atas Felda.

Perbuatan hina dan khianat mereka meninggalkan kesan yang amat buruk ke atas agensi pembasmian kemiskinan itu dan para penerokanya.

Malangnya masih banyak peneroka, khasnya dan orang ramai, amnya tidak faham atau tidak percaya rogol korporat yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak itu.

Mereka masih menyalahkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) walaupun kerajaan PH telah menyelamatkan Felda dengan memberi suntikan kewangan sebanyak RM6.3 bilion. Tanpa suntikan itu Felda sudah bankrup.

Saya difahamkan yang kerajaan PH kini sedang berusaha untuk mendapatkan balik duit hasil daripada melacurkan Felda oleh Mohd Najib atau setidak-tidaknya pun mengurangkan beban Felda.

Bagi saya, bala yang menimpa Felda dan peneroka tidak langsung mengejutkan kerana sejak tahun 2012 lagi saya telah menulis berulang kali bagi memberi amaran mengenai apa yang saya lihat sebagai kegiatan memperalatkan Felda untuk tujuan yang tidak serasi dengan matlamat asalnya.

Ini bermula dengan pemindahan dan penggadaian harta Felda dan ladang peneroka kepada Felda Global Ventures Holdings Berhad atau lebih dikenali sebagai FGV pada tahun 2012.

Saya banyak menulis memberi amaran bahaya memindahkan harta Felda dan ladang peneroka kepada FGV semata-mata untuk melakukan tawaran awam permulaan (IPO) yang kononnya akan melahirkan syarikat perladangan kelapa sawit terbesar di dunia.

Sebaliknya saya mengesyaki langkah itu sebagai mainan korporat Mohd Najib bagi mencari modal untuk Pilihan Raya Umum (PRU) 2013, khususnya bagi memberi sogokan politik kepada peneroka agar mengundi BN.

Antara lain, saya mengatakan bahawa langkah memperdagangkan harta Felda dan peneroka melaui IPO FGV tidak menampakkan ciri-ciri kelestarian jangka panjang.

Ramalan saya itu menjadi kenyataan. Bukan saja pencapaian kewangan FGV tidak membanggakan – lebih kerap rugi daripada untung – tetapi turut menarik turun prestasi kewangan Felda.

Pertimbangkan fakta berikut:
1. Pada tahun 2012, Felda mencatat keuntungan bersih RM5.8 bilion di mana RM4.7 bilion daripadanya adalah pendapatan luar biasa hasil penjualan aset kepada FGV.

2. Sejak itu Felda mencatat kerugian yang berterusan sebanyak RM2 bilion pada tahun 2013, RM1 bilion (2014), RM1.1 bilion (2015), RM700 juta (2016) dan RM4.9 bilion (2017).

3. Sehingga 31 Disember 2017, tanggungan (hutang) Felda berjumlah RM14.4 bilion di mana RM12.1 bilion adalah hutang daripada institusi kewangan.

4. Antara tahun 2007 dan 2011, iaitu sebelum Mohd Najib menubuhkan FGV, Felda mempunyai wang tunai bersih antara RM1.8 juta dan RM3.9 bilion tetapi jatuh merudum kepada hanya RM400 juta pada tahun 2017.

Ini hanyalah pra-tayang kepada malapetaka dan konspirasi seterusnya.

Faktor Sondakh

Dia adalah “billionaire” Indonesia keturunan Cina yang namanya Tan Sri (Kehormat) Peter Sondakh.

Dia sahabat akrab keluarga Mohd Najib. Dia cuba jual 37 peratus saham ladangnya yang bernama Eagle High Plantations kepada FGV.

Ini berlaku pada tahun 2014. Tetapi tidak berjaya kerana sebagai syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia, FGV terpaksa berterus terang sedangkan penjualan saham Eagle High itu menyanggah amalan pasaran.

Sebelum itu, Sondakh dan syarikat komodi Perancis, Louis Dreyfus telah mengambil alih kawalan ke atas Eagle High dengan membayar AS$509.6 juta atau kira-kira RM2 bilion pada kadar tukaran hari ini.


 

Sondakh : Beli murah tapi jaul mahal kepada Felda
Pada harga tersebut, urus niaga berkenaan menilai saham Eagle High sebanyak 301 rupiah setiap satu atau lebih kurang 21 peratus di bawah harga pasaran. Ini adalah kerana jual-beli tersebut berdasarkan suka sama suka dan sesama pemilik.

Urusan itu berlaku pada bulan November 2014. Tidak sampai setahun kemudian, iaitu pada bulan Jun 2015, masuklah FGV dengan tawaran membeli 37 peratus saham Eagle Plantation.

Harga pembukaan adalah 890 rupiah satu saham atau 113.94 peratus di atas harga Pasaran Saham Indonesia. Sondakh beli di bawah harga pasaran hendak jual kepada FGV di atas harga pasaran.

Sondakh beli saham Eagle High dengan potongan harga 21 peratus tapi dia hendak jual kepada FGV tujuh bulan kemudian dengan premium 113.94 peratus. Maknanya dia untung 137.94 peratus.

Dia belanja RM2 bilion untuk kuasai semua saham Eagle High tapi dia akan dapat RM3.1 bilion (AS$778.9 juta) dengan menjual hanya 37 peratus kepada FGV. Bunyi macam berniaga atas angin!

Sebagai syarikat milik awam yang disenaraikan di Bursa Malaysia, FGV tidak boleh berbuat sesuka hati. Setiap keputusan wajib dimaklumkan kepada pelabur melalui pengumuman pasaran saham.

Mohd Najib pun tahu bahaya kalau terus guna FGV sebab lambat-laun rahsia akan pecah. Maka selamatlah FGV. Tapi apa yang berlaku selepas itu lebih teruk sebab yang menggantikan FGV adalah Felda.

Felda adalah milik kerajaan dan tidak diniagakan di Bursa Malaysia jadi lebih mudah diperalatkan. Masa itu Pengerusinya adalah Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Dalam tempoh rundingan dengan FGV dan kemudian Felda, harga saham Eagle High terus jatuh. Rundingan dengan Felda dibuka pada kadar 645 rupiah sesaham atau bersamaan AS$551.8 juta (kira-kira RM2.3 bilion).

Itu pun masih tinggi kerana pada kadar harga itu ia hampir 160 peratus lebih mahal daripada harga saham Eagle High di Bursa Indonesia.

Sepatutnya bila ada orang hendak beli saham sesebuah syarikat dengan banyak, harganya naik. Tapi dengan Eagle High yang sebaliknya berlaku. Ini adalah kerana pelabur tahu nilai sebenar perniagaannya.

Tawar-menawar berjalan sampailah pada bulan Disember 2016 apabila persetujuan dicapai. Felda setuju bayar AS$505.4 juta. Tapi oleh sebab kadar tukaran ringgit jatuh ketika itu, nilai dalam ringgit naik kepada kira-kira RMRM2.4 billion atau 584 rupiah sesaham.

Pada harga itu ia adalah 96 peratus lebih tinggi daripada harga pasaran. Premium pada kadar itu adalah amat tinggi dan jarang berlaku dalam urusan jual beli saham.

Penyiasatan forensik bebas yang diarahkan oleh pengurusan baru Felda selepas PH mengambil alih 9 Mei tahun lalu dikatakan telah mendapati beberapa watak dalam kerajaan BN dan pengurusan kanan Felda terlibat memesongkan urus niaga tersebut.

Singkatan seperti MNAR, MIAS, JAG dan DRI yang semuanya berupa pemimpin BN muncul di sana sini sebagai watak-watak yang memainkan perasan utama dalam urus niaga celaka itu.

Carian saya mendapati MNAR adalah Mohd Najib Abdul Razak, MIAS (Mohd Isa Abdul Samad), JAG (Johari Abdul Ghani) dan DRI (Datuk Razali Ibrahim). Kita tahu siapa MNAR dan MIAS tapi mungkin tidak berapa kenal dengan JAG, bekas Menteri Kewangan ll dan DRI, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Kemudian pembabitan anggota lembaga pengarah dan pengurusan kanan Felda dan FGV yang sepatutnya tidak menyokong urus niaga tersebut atau setidak-tidaknya pun memberi amaran mengenai bahaya pelaburan tersebut.

Saya dimaklumkan berkenaan nama-nama seperti Rahmat Bivi Yusoff, Dr Yusof Ismail, Noor Ehsanuddin Harun Narrashid, Hanafi Suhada, Dr Omar Salim, Mohd Khusairi Taib, Samsudin Othman, Dr Yusof Ismail, Mohd Isa Abu Kasim, Mohd Suhaili Said dan Abu Bakar Harun.

Juga Mohd Emir Mavani Abdullah, Faizoull Ahmad, Farisan Mokhtar, Norizah Bahari, Mohd Zafer Hashim, Dr Sulaiman Mahbob, Ahmad Tifli Taha, Yahaya Abdul Jabar, Mohammed Suffian Awang, Steve Clayton, Novan Amirudin dan Ahmad Tifli Talha.

Perbuatan dan peranan mereka menyebabkan Felda mengalami beban kewangan dan kerugian yang teruk.

Pada 25 Oktober 2019 harga saham Eagle High hanya tinggal 126 rupiah. Ini bermakna nilai pelaburan Felda telah jatuh merudum kepada RM440 juta atau kerugian dalam buku sebanyak RM2 bilion. Ini adalah duit peneroka.

Perogol-perogol Felda, sama ada yang sudah dikenal pasti atau yang akan dikorek dari lubang cacing, wajib dikenakan tindakan sewajarnya. Ini adalah sabotaj ekonomi.

Jual Balik

Salah satu cara yang boleh dicuba bagi mendapatkan balik duit Felda itu adalah dengan meminta atau memaksa Sondakh membeli balik saham yang dijual kepada Felda.

Ini boleh dilakukan kerana ada satu syarat penting dalam pembelian oleh Felda tersebut.

Sondakh dikatakan telah berjanji membeli balik saham yang dijual kepada Felda itu melalui proses “put option” jika Eagle High gagal memenuhi syarat dan persijilan “Roundtable on Sustainable Palm Oil” (RSPO) bagi semua ladang Eagle High.

Setakat ini, menurut laporan media, dia hanya berjaya mendapatkan sijil RSPO untuk sebuah ladang saja.

Penganalisis pasaran rata-rata setuju bahawa Felda telah diperalatkan oleh Najib bagi membantu perniagaan sahabatnya Peter Sondakh dan dalam proses itu berlaku pelanggaran tadbir urus serta pengabaian tanggungjawab fidusiari yang serius.

Maka dalam usaha mendapatkan balik duit Felda atau setidak-tidaknya mengurangkan kerugian serta memberhentikan pendarahan, aset serta kepentingan Sondakh di Malaysia wajib diambil kira.

Dia ada banyak harta di Malaysia termasuk beberapa buah hotel mewah di Kuala Lumpur dan Langkawi yang dibeli atau dibina dengan pinjaman mudah daripada bank-bank tempatan, khususnya Bank Pembangunan, dan perkongsian dengan Khazanah Nasional Berhad.

Wallahuaklam.

Sabtu, 19 Oktober 2019

Pimpinan PH Yang Cuba Singkir DAP, Amanah Secara Sulit Perlu Dihukum - Shahbudin.

Shahbudin Husin | KERAJAAN PINTU BELAKANG SUATU PENGKHIANATAN, PEMIMPIN PH TERLIBAT HARUS DIAMBIL TINDAKAN

Kerajaan yang mentadbir negara sekarang ialah PH yang dianggotai oleh PKR, DAP, Amanah, Bersatu serta merangkumi keanggotaan daripada Warisan daripada Sabah.

Kemenangan PH dalam dalam PRU14 lalu adalah berasaskan sokongan rakyat yang mahukan perubahan dengan menyingkirkan BN yang telah berkuasa sejak lebih 60 tahun lamanya.


Dengan kedudukan PH sebagai kerajaan yang telah diiberi mandat oleh rakyat, adalah menjadi tanggungjawab mereka yang berada dalam kerajaan, khususnya anggota kabinet untuk mengekalkannya sehingga PRU akan datang.

Mengekalkan kerajaan yang ada sehingga PRU seterusnya bermakna menghormati pilihan pengundi yang berhak menentukan kedudukan kerajaan setiap lima tahun sekali.

Sebab itu, apabila timbul isu tentang keinginan pihak-pihak tertentu yang mahu membentuk kerajaan baru melalui pintu belakang dengan adanya beberapa menteri didakwa terlibat sedang mencaturnya, ia bukan saja suatu pengkhianatan kepada PH, tetapi juga kepada pengundi seluruhnya.

Lebih merupakan suatu pengkhianatan bila mana kerajaan baru yang ingin dibentuk itu dikatakan mahu mengenepikan satu dua parti dalam PH sendiri dan bekerjasama semula dengan sebahagian pemimpin UMNO yang sudah disingkirkan daripada menguruskan kerajaan sebelum ini.

Apabila pengundi membuat keputusan memilih PH sebagai kerajaan dengan menumbangkan BN, hasrat mereka tentulah mahu gabungan baru itu mentadbir negara melalui kerjasama antara parti-parti dalam PH saja dan bukannya membawa kembali saki baki UMNO sebagai kerajaan semula.

Menteri-menteri PH yang didakwa sedang menjalankan kerja-kerja menumbangkan kerajaan PH sendiri untuk tujuan mewujudkan sebuah kerajaan baru melalui pintu belakang, mereka adalah pendosa dan pengkhianat besar sebenarnya.

Mereka ini tidak harus dibiarkan terus menjalankan kerja-kerja jahat mereka yang hanya bertunjangkan nafsu dan kepentingan peribadi semata-mata.

Keutamaan semua pihak dalam PH ialah mesti mengutamakan PH, bukan sibuk di sana sini mencatur untuk menaikkan semula pemimpin UMNO tertentu sebagai Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri atau sebagainya.

Pemimpin UMNO sudah dikalahkan dan mereka adalah pembangkang sekarang. Jika mereka mahu jadi kerajaan semula, tunggu saja PRU akan datang dan biar rakyat yang membuat penentuan.

Jika ada bukti dan sebelum segala-galanya terlambat, tindakan tegas dan keras harus diambil terhadap mana-mana menteri atau sesiapa juga yang terlibat dalam perkara itu.

Sebagai menteri dan anggota kerajaan, tanggungjawab mereka ialah bekerja untuk rakyat dan negara serta mempertahanlan kedudukan kerajaan, bukan meruntuhkannya.

Kalau PH mahu bekerjasama dengan mana-mana pihak, ia mesti menjadi keputusan bersama yang melibatkan semua pimpinan dan parti yang bergabung di dalamnya.

Tidak harus dibiarkan mana-mana pihak, kumpulan atau sesiapa juga dalam PH untuk cuba mencatur pembentukan kerajaan baru melalui pintu belakang secara sendirian atau dalam gelap kerana kerajaan PH sedia ada masih sah, berwibawa dan dipercayai rakyat.

Memandangkan isu ini sudah kerapkali muncul dan seolah-olah berterusan tanpa ada penamatnya, Majlis Presiden PH harus segera bertindak menanganinya tanpa berlengah lagi.

Jika perlu dipecat mereka yang menjadi dalang dan petualang yang mahu meruntuhkan kerajaan PH dengan cuba menggantikannya dengan kerajaan baru yang lain itu, itulah yang paling baik demi kelangsungan, keyakinan serta sebagai menghormati pilihan rakyat.

Sabtu, 7 September 2019

Azmin Dah Jadi Beban, Perlu Disingkirkan Dari Kabinet..

SHAHBUDIN HUSIN | AZMIN SUDAH JADI BEBAN, RAMAI MAHU BELIAU DIGUGURKAN DARIPADA KABINET

Rombakan kabinet adalah perkara yang ditunggu-tunggu rakyat Malaysia ketika ini setelah ramai semakin sakit hati melihat gelagat beberapa menteri sejak 15 bulan yang lalu.

Adalah dipercayai sekembalinya Tun Mahathir Mohamad dari lawatan rasmi ke Osaka, Jepun beberapa hari lagi, perkara itu pasti akan menjadi keutamaannya.


Ada juga cakap-cakap yang mengatakan, di ketika melawat Kemboja, kemudian Russia dan seterusnya Osaka, beliau akan menggunakan masa yang terluang, terutama ketika dalam penerbangan untuk memikir mengenai susunan kabinet barunya.

Walaupun Tun Mahathir dilaporkan hanya akan melakukan penyusunan semula ke atas portfolio beberapa menteri tanpa ada sesiapa digugurkan atau calon baru dibawa masuk, tetapi dalam banyak perbualan umum didapati masih ramai yang mengharapkan sebaliknya.

Harapan mereka, setidak-tidaknya dua tiga menteri yang tidak berfungsi dengan baik dan bermasalah serta menjadi liabiliti yang nyata kepada negara, adalah wajib digugur serta digantikan.

Mendahului senarai mereka yang paling dikehendaki untuk digugurkan ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun; Menteri Pendidikan, Dr Mazlee Malik; Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Waytha Moorthy.

Menteri paling bermasalah dan seperti sudah menjadi biawak hidup untuk dipikul oleh Tun Mahathir pula ialah Azmin Ali, Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Nama yang paling dikehendaki dan diterima umum sebagai paling wajar dibawa masuk dalam kabinet ialah Mustapa Mohamad, Ahli Parlimen Jeli yang kini sudah bersama dengan Bersatu.

Meskipun nama Hamzah Zainuddin turut disebut-sebut sebagai bakal dibawa masuk sama, tetapi ramai yang menolaknya kerana beliau bukanlah menteri yang bagus ketika bersama BN dahulu, malah watak oppurtunis masa lalunya lebih dilihat sebagai faktor ketidaklayakannya.

Namun demikian, ahli gabungan PH iaitu DAP dikhabarkan menolak keras mana-mana pemimpin yang melompat parti dan bersama BN ketika PRU14 lalu untuk diberi sebarang jawatan kabinet.

DAP dikatakan berpendirian bahawa tindakan melantik mereka bererti mengkhianati pilihan pengundi yang telah menumbangkan UMNO dan BN.

Dalam kes Azmin, meskipun jika tidak dengan tersebarnya enam lagi klip video terbaru yang dikaitkan dengannya, beliau sebenarnya sudah pun dilihat sebagai beban kepada Tun Mahathir sejak beberaoa bulan yang lalu.

Dengan pengakuan Haziq Abdullah Abdul Aziz dan siasatan polis yang mengambil masa terlalu lama terhadapnya, ramai yang percaya Azmin seolah-olah cuba dilindungi.

Tetapi, semakin lama cuba dilindungi, penerimaan umum terhadapnya jelas dilihat makin merosot. Makin lama siasatan polis tertangguh, makin ramai yang percaya beliau terlibat dalam perkara itu.

Yang lebih buruk, makin cuba dilindungi, tempiasnya makin membasahi kedudukan Tun Mahathir sendiri.

Lebih buruk, Azmin sendiri dalam masa yang sama tidak menunjukkan prestasi yang membanggakan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi. Tiada apa-apa pencapaian yang membanggakan sepanjang 15 bulan beliau memegang jawatan itu.

Tak usah diambil kira sumbangannya ke arah memulihkan ekonomi negara, menyelesaikan masalah Felda pun tidak ternampak perkembangannya lagi sehingga ini.

Di sebalik itu, kekerapan kerajaan memberi tugas sebagai menteri pengiring kepada Azmin menambah-burukkan lagi imej di mata dunia.

Misalnya, melantik beliau sebagai menteri pengiring kepada Yang Dipertuan Agong dalam lawatan rasmi baginda ke Indonesia baru-baru ini, sedangkan video beliau turut dihantar ke negara tersebut untuk dianalisa oleh Lokman Adam, ia akhirnya telah menjadikan dirinya persendaan media ketika lawatan diraja itu.
Dalam hal ini, tindakan Tun Mahathir memilih Azmin sebagai menteri pengiring ketika isu dirinya sedang membahang, selain menunjukkan ketidakpekaan Perdana Menteri yang sudah berusia 94 tahun, turut dilihat sebagai pengakuan Tun Mahathir secara tidak langsung bahawa Azmin bukanlah menteri yang penting dalam hal ehwal ekonomi negara.

Susulan itu, selain ramai yang mengharapkan agar Azmin digugurkan supaya Tun Mahathir tidak terus memikul biawak hidup dalam mengurus kerajaan, ada juga yang sinis mencadangkan suatu portfolio baru diwujudkan khas untuknya jika Perdana Menteri berasa terlalu sayang kepada Timbalan Presiden PKR yang selalu tidak hadir mesyuarat itu.

Portfolio itu ialah Menteri Pengiring Negara dengan tugas utama mengiringi pemimpin luar yang datang melawat Malaysia serta mengikut ke mana saja Perdana Menteri pergi mengelilingi dunia.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...