Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Selasa, 19 Mei 2020

Beberapa Senario Yang Mungkin Berlaku Andai Muhyiddin Pecat Keahlian Mahathir.

Ulasan | PENYINGKIRAN TUN M DARIPADA BERSATU TIDAK BERI KEUNTUNGAN KEPADA MUHYIDDIN

Walaupun penyingkiran Tun Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Bersatu melalui keputusan yang dibuat oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan atau RoS masih boleh dipertikaikan, tetapi itulah sebenarnya satu-satunya pilihan yang ada di tangan Muhyiddin Yassin untuk menguasai parti itu.

Memang benar Tun Mahathir ada meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Bersatu pada 24 Februari lalu tetapi mesyuarat tergempar MPT Bersatu pada 25 Februari yang dipengerukan oleh Muhyiddin kemudiannya menolak perletakan itu serta merayu agar beliau kembali semula memegang jawatan tersebut.

Susulan itu, pada 27 Februari, sebagaimana yang diumumkan oleh Setiausaha Agung Bersatu, Marzuki Yahya, Tun Mahathir disahkan kembali semula menjadi Pengerusi Bersatu.

Kenapa sekarang RoS hanya menerima perletakan jawatan Tun Mahathir saja, tetapi tidak mengambil kira penolakan MPT Bersatu dan setujunya beliau untuk kembali memimpin Bersatu?

Jawabnya mudah saja iaitu RoS ialah sebuah jabatan yang terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri di mana menterinya, Hamzah Zainuddin adalah bekas pemimpin UMNO yang melompat kepada Bersatu selepas PRU14 lalu dan baru-baru ini dilantik oleh Muhyiddin menjadi Setiausaha Agung Bersatu yang memihak kepadanya.

Berdasarkan itu, tentulah tidak menghairankan jika RoS yang terletak dibawah pengawasan Hamzah akan berbuat sesuatu yang memihak kepada Muhyiddin.

Penyingkiran Tun Mahathir ini tidak lain adalah bertujuan agar kedudukan Muhyiddin sebagai Pemangku Pengerusi Bersatu berikutan kekosongan yang ditinggalkan oleh bekas Perdana Menteri itu dapat disahkan.

Bermakna sekarang, selain sebagai Presiden, Muhyiddin juga adalah Pemangku Pengerusi Bersatu sehingga pemilihan parti diadakan tidak lama lagi.

Tetapi, dengan kedua-dua jawatan itu dalam pegangannya, Muhyiddin bukan saja sudah boleh mengurus perjalanan parti untuk mengadakan permilihan, tetapi juga memanggil mesyuarat MPT.

Dengan yang demikian, dalam mesyuarat MPT Bersatu selepas ini atau sebelum berlangsungnya pemilihan parti, Muhyiddin sudah hampir pasti akan memecat Tun Mahathir sebagai ahli parti itu.

Ini bermakna, walaupun Tun Mahathir sudah diumumkan menang tanpa bertanding sebagai Pengerusi Bersatu bagi sessi 2020-2023, kemenangan itu tidak akan bermakna kerana beliau akan dipecat terlebih dahulu sebelum pemilihan diadakan.

Di sinilah memperlihatkan bagaimana Muhyiddin tidak melepaskan peluang memanfaatkan kuasa yang ada melalui Hamzah yang dilantiknya sebagai Menteri Dalam Negeri dan Setiausaha Agung Bersatu bagi membolehkannya menguasai parti itu secara mutlak.

Namun demikian, kejayaan Muhyiddin menguasai parti itu melalui kuasa RoS ini tidak memberi apa-apa kelebihan kepadanya untuk menghadapi cabaran yang boleh menjatuhkannya sebagai Perdana Menteri.

Cabaran yang lebih utama dan bahaya yang harus dihadapi oleh Muhyiddin ialah usul undi tidak percaya terhadapnya di Parlimen yang akan dibawa oleh Tun Mahathir pada Julai akan datang dan bukannya pemilihan dalam Bersatu di mana beliau akan dicabar oleh Mukhriz bagi jawatan Presiden.

Meskipun Muhyiddin berjaya menguasai Bersatu dan memecat Tun Mahathir misalnya, jumlah Ahli Parlimen yang menyokongnya tidak akan bertambah sama sekali.

Mereka yang menyokong Tun Mahathir daripada Bersatu tetap juga akan bersama dengan bekas Perdana Menteri itu.

Sekaligus ini bermakna, dalam kedudukan majoritinya di Parlimen hanya dua, menyingkirkan Tun Mahathir daripada Bersatu tidak akan menjadikan Muhyiddin bertambah kuat atau bertambahnya jumlah undi untuknya dalam usul tidak percaya itu nanti.

Dengan tersingkirnya Tun Mahathir secara sebegitu rupa daripada Bersatu, selain simpati terhadapnya boleh jadi bertambah, beliau juga boleh menyertai mana-mana parti selepas ini.

Di dalam PH, kalau pun bukan menyertai PKR atau DAP, mungkin Tun Mahathir akan memilih untuk masuk Amanah sebagai platform barunya meneruskan perjuangan.

Lebih daripada itu, dengan Tun Mahathir menyertai mana-mana parti selepas ini, berdasarkan tinjauan rambang dengan beberapa pihak dalam Bersatu, dijangka sekitar 60 peratus daripada ahli Bersatu akan turut keluar parti untuk bersama dengan bekas Perdana Menteri itu.

Akhirnya, apa yang tinggal dalam Bersatu dan apa untungnya kepada Muhyiddin dengan dapat menguasai Bersatu?

Di ketika yang sama, undi tidak percaya di Parlimen tetap jalan seperti biasa, malah bersama mood rakyat menolak “kerajaan pasir dua butir” Muhyiddin yang begitu amat ketara sekali ketika ini, kejatuhannya ternampak sukar ditahan lagi. (Shahbudindotcom 19/05/2020)

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...