Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Ahad, 17 Mei 2020

Letak Jawatan MB Kedah, Ini Kenyataan Penuh Mukhriz Mahathir.

KENYATAAN MEDIA |  YAB DATO’ SERI UTAMA HAJI MUKHRIZ TUN MAHATHIR

AHAD, 17 MEI, 2020

WISMA DARUL AMAN
ALOR SETAR

Pada 9 Mei, 2020 genaplah dua tahun sejak Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14. Pada 11 Mei 2018 saya telah mengangkat sumpah kali kedua sebagai Menteri Besar Kedah yang ke-13. Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan atau Exco pula mengangkat sumpah jawatan pada 22 Mei, 2018.




Dalam hampir dua tahun Kerajaan PH memerintah Negeri Kedah ini, banyak kebaikan yang dilakukan walaupun persekitaran ekonomi sangat mencabar dan keadaan kewangan juga berkurangan. Maklumlah, sudah menjadi pengetahuan umum bahawa Kedah antara negeri yang tercorot dari segi pertumbuhan ekonomi, rizabnya sangat terhad, sumber pendapatan pun tidak melimpah ruah, sambil itu kita juga memikul tanggungjawab berat untuk menjamin bekalan makanan negara.

Berlatarbelakangkan itu, saya, rakan-rakan Exco serta seluruh jentera pentadbiran Kerajaan Kedah mengkaji keadaan sebenar di lapangan, memasang strategi jangka masa pendek, pertengahan dan panjang, dan mengatur gerak langkah mantap demi kemakmuran Rakyat dan negeri Kedah. Peluang pekerjaan bernilai tinggi dan peluang perniagaan yang datangnya dari pelaburan asing dan tempatan diberi keutamaan meskipun kita berhadapan saingan sengit dari dalam dan luar negara.

Namun dengan kesungguhan Kerajaan yang ditunjangi oleh Pakatan Harapan, kebanyakan projek-projek besar yang telah saya lancarkan kali pertama saya menjadi Menteri Besar sudah dimulakan. Litar Lumba Antarabangsa Kedah di Sungai Petani sudah memasuki Fasa Kedua pembinaan infrastruktur asas. Taman industri terunggul di Malaysia, iaitu Taman Teknologi Tinggi Kulim terus diperbesarkan lagi dan berjaya menarik pelaburan baru bernilai berbillion ringgit. Kerja-kerja tanah sudah dimulakan di Kedah Rubber City, Padang Terap. Projek Northern Gateway sudah diluluskan dengan pelabur tempatan dan asing mula mengusahakannya. Kerja-kerja menyediakan prasarana yang menepati permintaan pelabur sedang dimulakan di Taman Sains dan Teknologi Kedah, Bukit Kayu Hitam. Kelulusan untuk membangunkan Hub Pembuatan Logistik dan Aeroangkasa Sidam juga telah diperolehi. Dan yang paling dinanti-nantikan oleh Rakyat Kedah, projek pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim, atau KXP, menyaksikan Pelan Induknya yang hampir siap, dan juga telah diluluskan pinjaman modal awalan sebanyak lebih RM2.0 bilion oleh Kerajaan Persekutuan.

Hasil daripada usaha strategik Kerajaan Pakatan Harapan, Kedah telah mencapai jumlah pelaburan yang luar biasa, iaitu RM14.7 bilion untuk pelbagai sektor, manakala pelaburan untuk sektor pembuatan berjumlah RM11.5 bilion meletakkan Kedah di tangga ketiga teratas selepas Selangor dan Pulau Pinang. Ini adalah peningkatan sebanyak 400% dari pencapaian tahun 2018. Dari jumlah tersebut, RM8.09 bilion adalah pelaburan asing dari negara Amerika Syarikat, China, Jerman, Hong Kong dan Taiwan. Ternyata Kedah semakin terkenal dan diperakui oleh dunia sebagai destinasi pelaburan untuk industri berteknologi tinggi. Dan hasilnya ialah lebih 4,800 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk anak Kedah. Itulah objektif sebenar perancangan pembangunan Kerajaan PH Kedah. Iaitu untuk menawarkan peluang-peluang kerja bernilai tinggi kepada anak-anak Kedah agar mereka tidak perlu berhijrah ke negeri lain untuk mencari nafkah. Jika peluang itu ada dalam negeri sendiri, maka anak-anak kita ini tidaklah perlu meninggalkan emak bapa di kampung.

Kelestarian alam semulajadi juga telah diberi perhatian yang serius oleh Kerajaan PH Kedah. Aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda telah dihentikan sehinggalah satu dasar yang jelas diperkenalkan. Pada pembentangan Bajet Kedah 2020, saya telah mengumumkan bahawa Kawasan Tadahan Air di HS Ulu Muda telah ditambah sebanyak 209% kepada 123,855 ekar, manakala di Hutan Simpan Bukit Saiong pula diwartakan seluas 20,240 ekar sebagai kawasan tadahan air. 

Kelulusan untuk kuari batu di Gunung Pulai yang diluluskan oleh Kerajaan Barisan Nasional pada tahun 1996 yang menjejaskan gua-gua yang punyai potensi pelancongan telah kami batalkan. Ini juga manifestasi iltizam Kerajaan PH untuk melestarikan alam sekitar kita.

Saya senaraikan kejayaan-kejayaan ini selain banyak lagi yang tidak disebutkan di sini, semata-mata untuk memperingatkan kita semua bahawa Pakatan Harapan Kedah mencapai prestasi yang sangat luar biasa, memecah rekod dari pelbagai aspek yang membawa nikmat bagi Rakyat. Kalau tidak kerana kecekapan pentadbiran Kerajaan PH, serta kewibawaan dan ketekunan Pegawai Tadbir Negeri Kedah atau KCS, mana mungkin pelabur tempatan dan asing boleh kenal, jauh sekali yakin dengan negeri kita ini.

Lebih signifikan lagi ialah hakikat bahawa tidak timbul apa-apa masalah serius berkait dengan Kerajaan Negeri Kedah sepanjang pentadbiran PH. Tidak ada skandal melibatkan saya ataupun Exco mahupun Pegawai Kerajaan sepanjang dua tahun ini. Tidak ada krisis yang mencetus huru hara di kalangan Rakyat sehingga mengakibatkan Menteri Besar atau Kerajaan perlu ditukar. Yang ada hanya kepentingan politik peribadi di luar Kedah yang menjadikan Rakyat kita sebagai mangsa.

Satu lagi sebab saya bangkitkan perkara ini adalah untuk menyampaikan mesej jelas kepada Kerajaan Kedah yang baharu. Kami akan memantau setiap satu tindakan dan tingkah laku anda. Rakyat akan memerhati secara terperinci samada Kerajaan yang akan menggantikan kami nanti akan teruskan projek-projek yang telah mula diusahakan, dan pelaburan yang telah diluluskan oleh MITI. Rakyat juga akan memantau sekiranya hutan-hutan simpan Kedah akan menjadi mangsa pembalakan tak terkawal di bawah pentadbiran Kerajaan Baharu. Jangan bersifat pilih kasih dalam pentadbiran Kerajaan. Tanggungjawab anda adalah untuk keseluruhan Rakyat Kedah. Anggaplah ini satu amaran tegas kepada anda semua. Jangan libatkan Rakyat dan Perkhidmatan Tadbir Negeri dengan sepak terajang politik anda. 

Pada hari ini sudah hampir dua bulan negara berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan. Yang terkini, PKP Bersyarat pula dijadualkan berakhir pada 9 Jun, 2020. Dalam tempoh beberapa bulan ini, 113 orang mangsa COVID-19 telah meninggal dunia dari 6,872 orang yang positif wabak itu, dengan kebanyakannya sudah sembuh. Rakyat sangat terkesan dengan pandemik ini. Tidak cukup dengan ketakutan dijangkiti penyakit, ramai juga yang terputus bekalan makanan, dan ada pula yang hilang mata pencarian. Dijangkakan lebih 2 juta orang akan kehilangan kerja, perniagaan akan gulung tikar, ekonomi negara akan kerugian ratusan billion ringgit.

Secara kebetulan pula, umat Islam ketika ini menjalani ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan al-Mubarak. Kita juga sedang membuat persiapan untuk meraikan Aidilfitri dalam masa seminggu lagi. Dalam keadaan di mana nyawa Rakyat terancam, petugas barisan hadapan bertungkus lumus bertarung nyawa untuk menyelamatkan pesakit, dan ditambah lagi dengan puasa, pihak Perikatan Nasional terus menebuk atap untuk merampas kuasa. Dinyatakan bahawa muslihat ini hendak diselesaikan sebelum 18 Mei, 2020, walhal tarikh itu tiada kena mengena dengan Kedah. Ianya hanya signifikan di Dewan Rakyat di mana diusulkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri. Itupun, Dewan Rakyat telah tidak membenarkan usul itu dibahas dan diundi pada hari tersebut. Maka tarikh itu tidak sepatutnya berbangkit dalam soal peralihan kuasa Kerajaan Kedah. Mungkinkah juga mereka bersifat gelojoh untuk menjatuhkan Menteri Besar Bersatu sebagai hadiah hari jadi Perdana Menteri pada 16 Mei?

Tidak ada sekelumit pun timbang rasa kepada Rakyat yang teruk menderita akibat COVID-19. Keadaan pasca-COVID pula sangat mencemaskan. Negara maju seperti Jerman kini menghadapi kemelesetan ekonomi. Bagaimana pula dengan Kedah?

Tidakkah lebih wajar untuk membenarkan Kerajaan PH Kedah teruskan dengan kerja-kerja baik dalam menangani wabak COVID-19 ini, atau membenarkan Umat Islam berpuasa dengan aman, dan bergembira menanti Hari Raya. Negara mengiktiraf bahawa dari segi jumlah penduduk, Kedah merupakan negeri yang terbaik dalam usaha membendung penularan jangkitan ini. Tahniah dan syabas kami ucapkan kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam usaha memerangi COVID-19. Anda adalah wira dan wirawati yang sebenar.

Setelah Kerajaan Pakatan Harapan Persekutuan jatuh kepada kerajaan baharu yang secara tidak rasminya digelar “Perikatan Nasional”, beberapa negeri juga menyaksikan perubahan kerajaan. Terawal, Kerajaan PH Johor telah tumbang apabila ADUN-ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia telah beralih sokongan kepada PN. Jawatan Menteri Besar yang disandang oleh wakil Bersatu telah dilepaskan kepada UMNO.

Di Kedah pula pada awalnya, saya telah mengambil pendirian untuk mengekalkan kerjasama politik Bersama PH Kedah, dan meneruskan Kerajaan Kedah yang sediada. Kepimpinan PAS Kedah telah memberi jaminan kepada saya bahawa mereka juga tidak akan mendesak ADUN-ADUN PH untuk melompat ke pihak mereka, dan bersetuju bahawa saya terus berkhidmat sebagai Menteri Besar hingga akhir penggal ke 14 ini.

Permohonan mereka adalah agar Kerajaan PH Kedah tidak memandang mereka semata-mata sebagai Pembangkang, dan sebaliknya memberikan peruntukan tambahan bagi Pusat-pusat Khidmat DUN PAS dan UMNO. Untuk rekod, Kerajaan PH Kedah adalah yang pertama menyediakan peruntukan untuk ADUN-ADUN Pembangkang. Saya sendiri telah mengesyorkan peruntukan tambahan itu dan ianya diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Kedah bagi menyahut permohonan pihak pembangkang itu. Jelas sifat timbang rasa kami untuk menunaikan permohonan PAS itu tidak langsung diambilkira apabila mereka terus melayan permohonan beberapa ADUN Kerajaan yang berhajat melompat ke pihak mereka.

Pergolakan politik kepartian telah menyebabkan dua ADUN-ADUN dari PKR meninggalkan parti mereka, sekaligus menyebabkan hilangnya majoriti yang ada pada gabungan Bersatu dan PH. Susulan itu, empat lagi ADUN Bersatu juga telah menerima arahan dari Presiden Bersatu untuk lompat kepada PN. Maka dengan itu, pihak lawan kini mempunyai 23 kerusi berbanding 13 dari PH termasuk dua dari Bersatu.

Umum mengetahui bahawa saya mendokong pendirian berprinsip tegas yang dipegang oleh YB Ayahanda Tun Mahathir – iaitu untuk menolak sebarang kerjasama dengan UMNO, khususnya kerana golongan kleptokrat masih menguasai parti itu. Oleh kerana PAS bekerjasama dengan UMNO melalui piagam Muafakat Nasional, maka saya memutuskan untuk tidak menerima pelawaan mereka untuk bersama dalam PN Kedah sambil terus menerajui negeri ini sebagai Menteri Besar. Lebih baik saya menjadi pembangkang dari menyertai satu gagasan politik yang dicemari dengan banyak skandal bertaraf antarabangsa. Saya juga tidak tergamak untuk mengkhianati mandat yang telah Rakyat Kedah berikan kepada PH pada PRU14. Dari hidup melutut, biar mati berdiri!

Seorang Menteri Besar harus meletak jawatan sekiranya terbukti kehilangan kepercayaan majoriti dikalangan ADUN. Namun dalam percaturan politik terkini, saya dimaklumkan bahawa tiada satupun ADUN-ADUN Bersatu mahupun PKR yang meninggalkan PH menyatakan bahawa wujud apa-apa masalah yang telah saya cetuskan sehingga menyebabkan mereka hilang kepercayaan kepada saya. Yang mereka menjawab apabila ditanya alasan di sebalik kehilangan kepercayaan itu adalah bahawa mereka telah mendapat arahan dari atas. Siapa yang dimaksudkan?

Umum juga mengetahui bahawa saya mencabar jawatan Presiden yang disandang oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin di dalam pemilihan parti Bersatu. Selain itu, atas prinsip yang saya sebutkan tadi, Tun Mahathir pula telah mengfailkan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin di Dewan Rakyat. Tentunya dua tindakan kami inilah penyebab kenapa saya hendak dijatuhkan daripada jawatan Menteri Besar Kedah. Malah jelas sekali bahawa Muhyiddin telah membelakangi Bersatu untuk memihak kepada PAS dalam soal pelantikan Menteri Besar Kedah. Inilah kali kedua beliau lakukan begitu setelah menyebabkan jawatan Menteri Besar Johor dilepaskan oleh Bersatu dan diserah bulat-bulat kepada UMNO.

Sebenarnya jawatan Ketua Menteri Melaka juga dijanjikan oleh beliau untuk ADUN anak muda Bersatu. Tapi semua itu janji-janji kosong sahaja apabila ADUN Bersatu Melaka hilang arah kesana kesini, dan akhirnya jawatan tertinggi Kerajaan Melaka itu diserahkan juga kepada UMNO. Apa pula nasib Menteri Besar Perak? Dengan enam orang Exco dari UMNO, tentunya jawatan Menteri Besar itu juga dituntut oleh UMNO, dan MB Perak pula dalam keadaan nyawa-nyawa ikan – menanti masa untuk rebah saja.

Perkara yang sama telah saya alami pada tahun 2016. Kerana tidak puas hati dengan kritikan saya terhadap Perdana Menteri ketika itu, Dato’ Sri Najib Razak kerana penglibatannya dalam begitu banyak kes penyelewengan dan rasuah berkaitan 1MDB dan sebagainya, maka saya telah dipaksa undur apabila ADUN-ADUN BN diarah menarik sokongan daripada saya. Ketika itu, hanya saya seorang yang digulingkan, manakala BN terus kekal sebagai kerajaan.

Kali ini pula, bukan hanya saya sahaja, tapi seluruh Kerajaan PH Kedah dijatuhkan. Yang menerima tamparan sebenar ialah Rakyat Kedah yang telah memilih PH untuk mengganti BN pada PRU14 tahun 2018 dulu. Kini, yang menang menjadi pembangkang, dan yang kalah jadi Kerajaan. Itulah yang dimaksudkan sebagai Kerajaan Pintu Belakang atau Tebuk Atap. Dan walaupun arahan untuk menjatuhkan saya di Kedah datangnya dari Presiden Bersatu melalui Dato Seri Hamzah Zainuddin, tetapi protagonis sebenar masih orang yang sama dengan dulu – iaitu Dato Sri Najib Razak. Tujuannya tidak lain tidak bukan semata-mata untuk melepaskan dirinya dari tuduhan pecah amanah 1MDB, SRC International dan banyak lagi skandal-skandal mega yang mencemar nama baik Malaysia di persada dunia. 

Lihat saja apa sudah jadi kepada kes pengubahan wang haram yang melibatkan anak Rosmah Mansor, iaitu Reza Aziz yang dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pendakwaan jenayah itu. Mungkin pelepasan itu merupakan satu petanda kepada kes-kes jenayah yang dihadapi oleh Najib, Rosmah, Dato’ Sri Zahid Hamidi dan pihak-pihak tertuduh lain dari UMNO. Kita tunggu dan lihat. Hanya dengan satu kes di mana anak Rosmah dilepaskan, satu dunia sudah tahu apabila media melaporkan secara meluas. Malaysia kembali terkenal seantero dunia, angkara pihak yang PH tumbangkan dalam PRU14 dulu. Kini mereka kembali berkuasa apabila Muhyiddin buka pintu seluas-luasnya kerana mempertahankan kerusi empuk jawatan Perdana Menteri itu. Itulah nasib negara kita sekarang.

Saya redha dengan keadaan ini, dan dengan relahati bersedia melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar. Apa juga perkembangan politik yang mungkin atau tidak berlaku di peringkat Persekutuan, saya dan rakan-rakan PH serta YB Dato’ Wira Ir Amiruddin Hamzah bertekad untuk bergerak sebagai pembangkang sehingga Dewan Undangan Negeri Kedah dibubar – selewat-lewatnya pada bulan Mei 2023.

Kami tidak akan melayan mana-mana pihak dari kalangan ADUN-ADUN yang telah mengkhianati kepercayaan Rakyat Kedah, yang tiba-tiba hendak balik ke pangkuan kami. Kekallah mereka di sana bersama rakan-rakan subahat mereka, tiada maaf bagimu! Dan kekallah kami bersama rakan-rakan seperjuangan Pakatan Harapan yang telah menewaskan BN dulu.

Sejujurnya saya menyatakan bahawa saya dan seluruh Kerajaan Pakatan Harapan melaksanakan tugas dan tanggungjawab semata-mata untuk negeri yang kami sayangi, dan Rakyat yang kami sanjungi. Tidak ada kepentingan peribadi yang diberikan pertimbangan mengatasi Rakyat.

Saya ingin mengucapkan seikhlas-ikhlas terima kasih kerana pegawai dan kakitangan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan di Kedah yang telah memberikan kerjasama yang amat baik dalam merealisasikan dasar dan pendekatan kami. Terima kasih khas saya tujukan kepada seluruh Rakyat Kedah yang memberikan kepercayaan kepada kami untuk membentuk Kerajaan baru pada tahun 2018, dan menerima halatuju dan cara pentadbiran PH.

Dengan penuh hormat dan takzim, saya ingin menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada KDYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman yang sentiasa memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada saya pada bila-bila masa saya memerlukannya. Sesungguhnya Rakyat dan saya bertuah kerana berada di bawah naungan Tuanku yang sentiasa prihatin dan mengambil berat tentang keadaan Rakyat Baginda.

Pagi ini saya telah sembah maklum kepada KDYMM Tuanku Sultan bahawa atas sebab saya telah kehilangan kepercayaan majoriti di kalangan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, maka dengan ini saya melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Kedah Darul Aman berkuatkuasa serta merta.

Saya doakan mudah-mudahan Allah SWT terus mengekalkan keamanan dan memakmurkan Negeri dan Rakyat Kedah dengan penuh keberkatan, keredhaan dan kerahmatan hendaknya. Aamiin Ya Rabbal Alamiin.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...