Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Sabtu, 8 April 2017

Kenapa Bila Speaker Tangguh Usul #RUU355, Ahli Parlimen PAS Tak Bantah? Komen Peguam DAP Ini Membuatkan YB PAS Padam Post.

Khamis lepas media sosial begitu kecoh dengan perbahasan usul #ruu355 yang menjadi polemik utama bagi parti-parti pembangkang di Malaysia. Usul yang begitu lama berada dalam penantian akhirnya diberikan peluang untuk dibahaskan namun tertangguh di pertengahan jalan.

Ianya turut mengundang pelbagai reaksi dari penyokong-penyokong parti pembangkang di laman sosial dengan mereka bergaduh sesama sendiri, sekali lagi.

Penyokong PAS mempertahankan hujah bahawanya tindakan speaker memberikan laluan membuktikan PAS tidak dipermainkan BN dan Point Of Order yang dibangkitkan beberapa kali oleh Ahli Parlimen DAP pula membuktikan parti itu anti-islam.

Manakala penyokong PH menempelak penyokong PAS bahawanya kenyataan dari presiden MIC seperti yang dilaporkan oleh portal The Star membuktikan PAS dipermainkan UMNO secara diam-diam dan perbahasan #ruu355 pada sesi lepas adalah bertujuan untuk berkempen politik meraih undi ketika pru ke 14 dilangsungkan kelak.

Menurut presiden MIC, Dr S Subramaniam berkata mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) sudah menetapkan usul persendirian ahli Parlimen Marang, yang juga Presiden PAS, Abdul Hadi Awang itu akan dibentangkan dan dihuraikan namun tiada pengundian akan dilakukan.

Keputusannya adalah membenarkan PAS membentangkannya dan terdapat persetujuan untuk tiada sebarang pengundian,” kata Dr Subramaniam, ketika ditemui di Parlimen.

Ahli Parlimen Segamat itu berkata, keputusan itu selari dengan keputusan yang dicapai dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi BN, lapor portal The Star.

Dalam pada itu, terdapat babak menarik di media sosial di antara peguam yang menyertai DAP selepas keluar daripada PAS ketika PAS dilanda konflik dalaman krisis perpecahan Pakatan Rakyat suatu ketika dahulu.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Muhd Yusof atau lebih mesra dikenali sebagai Kak Lah telah memuatkan satu posting yang mengkritik tindakan beberapa Ahli Parlimen PH yang berulang kali membangkitkan Point Of Order ketika Marang diminta bahaskan usul.


Bagaimanapun tindakan itu telah mendatangkan respon dari Zulhazmi Shariff yang memberikan ulasan berhubung kejadian.



Peguam itu mempersoalkan meskipun dikatakan cuba disekat namun akhirnya usul tersebut tetap dibahaskan. Namun ketika dibahaskan Speaker mengarahkan Menteri Azalina Othman untuk menangguhkan usul, kenapa ketika itu Ahli-Ahli Parlimen PAS di dalam dewan tidak membantah pula?

"Yang halang usul diluluskan tadi ialah speaker. Yang diam dengan speaker tadi ialah Kak Lah dan PAS. Kenapa diletakkan salah pada orang lain? Berlaku adil itu juga tuntutan Islam. Fitnah orang ganggu dan halang juga dilarang Islam", kata Zulhazmi di post berkenaan. 

Semakan yang dibuat di post tersebut didapati telah hilang dari dinding Kak Lah dan dipercayai telah dibuang. Sikap Ahli Parlimen Rantau Panjang itu juga dipuji kerana bersikap terbuka dalam meraikan kepelbagaian pendapat.

Mahasiswa UiTM Kena Potong Rumput Sendiri Sebab Universiti Takde Bajet~!

Tak akan la sampai hal pengurusan padang universiti pun mahasiswa nak kena tanggung kot? Berpadala wahai UiTM Puncak Alam!


Inila yang berlaku kepada Acap Munir. 

Bercerita di laman Twitternya, Acap berkata pihak mahasiswa terpaksa keluarkan bajet sendiri untuk memotong rumput di padang universiti disebabkan pihak pengurusan tidak mengedahkan aduan pelajar itu berkaitan rumput di padang tersebut.


"Kalau nak potong rumput, bayarlah. Kalau tak boleh bayar tak boleh nak buat apa", kata pihak pengurusan universiti kepada Acap sebagai respon terhadap aduan berkenaan keadaan rumput di padang itu. 

Menurut Acap, pihak pengurusan meminta mereka membayar sebanyak rm100 bagi memotong rumput di padang itu jika pelajar tiada wang maka pihak mereka tidak mampu berbuat apa-apa.

Wang rm100 itu akan digunakan untuk mengupah kontraktor bagi memotong rumput di padang tersebut kata pihak universiti lagi. Namun Acap menjelaskan pihak mereka tidak membayar wang itu sebaliknya dengan bantuan beberapa orang termasuklah cikgu mereka, kumpulan itu memulakan kerja-kerja memotong rumput di padang itu secara DIY. 

Penyebaran status itu kemudiannya turut dikecam oleh mahasiswa di universiti yang sama. Mereka turut memperlekehkan peranan MPP yang dilihat tidak pandai membawa masalah pelajar kepada pihak atasan.

Sebelum ini Najib pernah diselar oleh Pakatan Harapan kerana memotong peruntukan dari beberapa kementerian penting termasuklah bajet untuk Kementerian Pengajian Tinggi. Apakah tindakan pihak pengurusan UiTM Puncak Alam adalah bertitik-tolak dari tindakan Perdana Menteri itu? Sama-sama fikirkan.

Jumaat, 7 April 2017

Mereka Kecewa Sebab Speaker Benarkan Usul & Gagal Buktikan PAS Ditipu UMNO Kata Nik Abduh Kepada MP PH...

Tindakan Ahli Parlimen yang membuat kecoh selepas Speaker Dewan Rakyat membenarkan pembentangan RUU 355, memperlihatkan mereka gagal membuktikan tuduhan ke atas PAS selama ini kata Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Aziz. 


Memetik kenyataan beliau yang menulis di Facebooknya, "Hakikatnya mereka kecewa tuan speaker membenarkan usul persendirian dibentangkan oleh Presiden PAS. 

Dengannya, mereka gagal memenangkan tuduhan mereka bahawa PAS ditipu UMNO. Hukum Tuhan, orang menipu akhirnya mendapati merekalah yang menipu diri sendiri. Bersandarlah pada Allah. Dia-lah pemilik makar dan tipu daya,” katanya. 

Nik Abduh turut menyatakan kesalahan Speaker menangguhkan perbahasan usul #ruu355 hanyalah kesilapan kecil yang kurang dari 10% berbanding tindakan Pandikar yang membenarkan Rang Undang-Undang itu dibahaskan pada semalam. Nik Abduh turut memuji tindakan Pandikar Amin kerana membenarkan #ruu355 dibentangkan. 

"Semoga Allah memberi ganjaran tertinggi kepada Tan Sri Speaker Dewan Rakyat di atas ketulusan, keberanian dan kecekalannya berhadapan kesukaran membenarkan usul persendirian Marang dibentangkan. 

Jika tindakan Tan Sri menangguhkan sidang 'dikira' sebagai satu kesilapan, ia hanyalah kurang 10% berbanding 100% ketepatan tindakannya membenarkan usul tersebut dibentangkan," katanya lagi.

Semalam, sidang Dewan Rakyat menjadi kecoh apabila beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan membangkitkan Point Of Order bagi mempertikaikan kelayakan pembahasan usul #ruu355 yang dibawa olehAhli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. 

Bagaimanapun usaha itu dilihat gagal menghalang pembentangan #ruu355 di dalam dewan. Perbahasan usul kemudiannya bersambung pada sesi petang namun kali ini Ahli Parlimen Pakatan Harapan dihalang dari membahaskan usul apabila dilarang untuk mencelah. 

Tindakan itu membangkitkan kemarahan Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan terutamanya Khalid Samad dari Shah Alam yang berkali-kali mempersoalkan tindakan Speaker menangguhkan usul tanpa beri peluang kepada Pakatan Harapan untuk membahaskan usul. 

"Ini Islam ke, ini Islam ke," soal Khalid Samad ketika melihat Speaker berlalu pergi meninggalkan dewan. "Takut, takut, takut," kata Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan berulang kali. 

Aksi Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan itu juga teruk menerima kecaman di laman sosial. Netizens menyifatkan tindakan Khalid Samad terutamanya seperti beruk, manusia tak bertamadun kerana terlalu beremosi.

Sebelum Speaker menangguhkan usul yang dicadangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman, Khalid Samad beberapa kali berdiri bagi meminta peluang untuk mencelah dan bertanyakan soalan adakah hari ini hari PAS dan UMNO kerana kesemua Ahli Parlimen Pakatan Harapan dilarang mencelah namun Speaker tidak mengendahkan persoalan itu. 

Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Pandan yang dijangka akan menjadi pembahas pertama dari kalangan Pakatan Harapan juga menyatakan kekecewaan apabila gagal mendapat peluang untuk berbahas ketika Speaker memutuskan untuk tangguh perbahasan ke sesi hadapan. 

Ini menyebabkan beliau membuat pendedahan mengenai tokoh PAS menerima dana 1MDB di luar dewan kerana rancangan asal untuk mendedahkan perkara itu di dalam dewan telah terhalang.

SPRM Sudah Ada Bukti Pemindahan Wang Kepada Tokoh PAS Kata Rafizi.

Kenyataan Media
RAFIZI RAMLI, AHLI PARLIMEN PANDAN

7 APRIL 2017

SPRM SUDAH ADA KERTAS SIASATAN PEMINDAHAN WANG DARI AKAUN PERIBADI DATO’ SERI NAJIB


Saya ingin memaklumkan kepada rakyat bahawa SPRM sudah pun menyiasat aliran dana dari akaun-akaun yang disiasat berhubung dana 1MDB yang dipindahkan ke akaun peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak. Dari siasatan itu, satu aliran dikesan sampai kepada tokoh yang rapat dengan pimpinan PAS itu.

Oleh itu, tidak timbul soal segera menyerahkan bukti kepada SPRM seperti yang dinyatakan oleh Datuk Takiyuddin itu. Namun, saya akan mendedahkan nama tokoh tersebut dalam masa beberapa minggu ini dan selepas itu, saya akan membuat laporan SPRM supaya SPRM dapat merujuk kembali kepada kertas siasatannya sendiri.

Setelah saya menamakan tokoh tersebut, ia akan menjadi ujian besar kepada UMNO dan PAS seperti berikut:

1.   Pimpinan UMNO akan bergelut sekali lagi dengan isu campur tangan dalam pentadbiran keadilan negara sekiranya Peguam Negara sekali lagi menutup kes walaupun kertas siasatan telah selesai dan bukti telah dikumpul oleh SPRM;

2.   Pimpinan PAS di segenap peringkat perlu menyemak sama ada mereka pernah sekali-kali menerima bantuan kewangan, derma, infaq atau dana (dalam apa jua bentuk dan bagi apa jua tujuan) dari tokoh yang saya namakan itu kerana ada kemungkinan besar ia dana dari wang rakyat yang dibelanjakan melalui 1MDB. Sebagai sebuah parti yang mengaku mengangkat Islam, setiap pemimpin PAS perlu lebih teliti dari semua parti lain mengenai asal usul sumber kewangan mereka untuk mengelakkan sumber yang disifatkan syubhah (diragui).

Saya pada mulanya tidak berniat untuk membawa isu ini tetapi episod di Parlimen semalam mengesahkan bagaimana isu penambahbaikan mahkamah syariah telah dimainkan lebih dari setahun demi memberi ruang bernafas kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Setelah ditangguhkan 3 kali, jelas bahawa isu yang dibawa oleh PAS melalui rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta 355 (RUU355) akan terus dijadikan umpan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak. Sementara saya bersedia untuk berbahas sepenuhnya dan memberikan pandangan bagaimana cara terbaik menambahbaik mahkamah syariah, persetujuan di luar dewan di antara Dato’ Seri Najib dan PAS (seperti yang disahkan oleh Dato’ Seri S Subramaniam, presiden MIC bahawa keputusan itu telah dipersetujui lebih awal di Majlis Tertinggi Barisan Nasional) menunjukkan Dato’ Seri Najib tidak berniat pun untuk menambahbaik mahkamah syariah.

Isu RUU355 telah dijadikan umpan untuk memastikan PAS kekal berkecuali sebagai blok ketiga dan tidak bersuara dalam isu-isu penting seperti 1MDB. Jika Parlimen bersidang untuk Belanjawan 2018 dalam bulan Oktober, saya yakin PAS sekali lagi akan berkecuali semasa pengundian belanjawan kerana bimbang akan menjejaskan persefahamannya dengan Dato’ Seri Najib yang berkisar mengenai RUU355.

Oleh itu, selagi polemik isu RUU355 ini tidak diselesaikan, selagi itulah kelebihan berada di tangan Dato’ Seri Najib untuk bermuslihat politik dari semasa ke semasa dengan menggunakan PAS.

Setelah saya bersangka baik lebih setahun dan berharap agar RUU355 ini dapat dibahaskan sama seperti semua rang undang-undang yang lain, saya yakin segala yang berlaku di Parlimen, bila diambil kira pula soal dana 1MDB yang mengalir ke tokoh yang rapat dengan pimpinan PAS, mewajarkan saya memutuskan bahawa PAS akan terus “dipegang” Dato’ Seri Najib selagi isu RUU355 ini dibenarkan berpanjangan.

Oleh sebab itulah, saya berpandangan adalah menjadi tanggungjawab saya berdepan terus dengan PAS dan UMNO sekaligus mengenai kedua-dua isu ini supaya rakyat boleh kembali kepada isu yang paling penting iaitu kebajikan rakyat yang terlalu terbeban dengan pelbagai kenaikan harga barang, peluang pekerjaan yang sempit dan gaji yang berkurangan.

*RAFIZI RAMLI*
*AHLI PARLIMEN PANDAN*
*NAIB PRESIDEN KEADILAN*

Saya sedia maklum jawapan rasmi Setiausaha Agung PAS, YB Datuk Takiyuddin Hassan kepada kenyataan saya mengenai dana berkaitan 1MDB yang dipindahkan dan sampai kepada seorang tokoh yang rapat dengan pimpinan PAS sekarang. Beliau menyeru supaya saya menyerahkan bukti yang saya ada kepada SPRM supaya SPRM boleh segera menyiasat.

Temerloh Menangis Ketika Marang Baca Usul #RUU355 - Respon Netizens Ada Yang Memuji Dan Mengeji.

Siang tadi ketika Ahli Parlimen Marang, Tuan Guru Hadi Awang diberikan laluan oleh Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia bagi membacakan dan membahaskan usul pindaan ruu355 ada satu senario menarik yang menjadi perhatian netizens di laman sosial.

Ia adalah mengenai aksi Ahli Parlimen dari Temerloh, Ustaz Nasruddin Tantawi yang dilihat menanggalkan cermin matanya untuk menangis dan mengesat airmatanya yang tumpah ketika Marang membacakan usul. Reaksi Temerloh itu turut ditularkan di laman sosial dan mendapat respon pelbagai dari netizens.



Reaksi Temerloh itu dianggap akhirnya perjuangan untuk membahaskan pindaan RUU355 di Parlimen telah pun bermula meskipun PAS terpaksa mengharungi pelbagai kesukaran dan dugaan dalam merealisasikan perkara itu.

Penyokong PAS turut merasai perkara yang sama apabila usul yang melalui dua kali penangguhan dan dihalang dari disenaraikan untuk dibaca berkali-kali akhirnya dibacakan di dalam dewan untuk kali pertama.

Namun masih terdapat pihak yang ragu-ragu dengan airmata Temerloh itu. Menurut mereka, airmata itu adalah suatu lakonan dan ia juga adalah drama untuk meraih simpati dan undian melayu bagi mengundi PAS pada pilihanraya yang akan datang.

Berikut adalah respon-respon netizens yang kami petik untuk pembaca hayatinya sendiri.






Teks Lengkap Ucapan Marang Bentang Usul #RUU355.

UCAPAN YB AHLI PARLIMEN MARANG
PEMBENTANGAN USUL RANG UNDANG-UNDANG AKTA355

Mukadimah


Terima kasih Tan Sri Yang Di Pertua Dewan Rakyat,

Saya mohon untuk menyambung serta menghuraikan Usul yang telah saya bentangkan mengikut Peraturan Mesyuarat 49(1) yang dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 28,

Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat di persidangan Dewan Rakyat pada 24 November 2016 yang lalu di Dewan Yang Mulia ini.

Tan Sri Yang di-Pertua, dan semua Ahli-Ahli Yang Berhormat Anggota Dewan Rakyat :

1. Saya berdiri pada hari ini sebagai anggota Dewan Rakyat yang dipilih oleh rakyat, dalam ruang lingkup tugas saya untuk membawa suatu Rang Undang-undang Ahli Persendirian bernama Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016, yang dibenarkan oleh sistem demokrasi berparlimen yang di amalkan dalam negara kita sebagaimana mengikut Peraturan Mesyuarat 49 (1).

2. Saya ingin mengajak anggota Dewan pada hari ini supaya mendengar dengan deria yang terbuka, membaca dengan mata hati yang tulus, berfikir dengan penuh kematangan dan tanpa prejudis terhadap pembentangan saya ini, kerana itulah sifat yang sepatutnya kita miliki sebagai warga negara dan anggota Dewan yang bertamadun. Sikap berfikir secara berlais-lapis sehingga menimbulkan prasangka karut melampau-lampau adalah tidak bagus diamalkan terutamanya dalam Dewan yang mulia ini.

3. Saya mengambil tanggungjawab ini adalah bertepatan dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, dalam Pembukaan Penggal Parlimen, di Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima, Parlimen Ketiga Belas, pada Isnin 6 Mac 2017 dengan titah :

“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan prinsip wasatiyyah, atau kesederhanaan, Beta menyokong segala inisiatif yang dilaksanakan agar sebarang unsur penghinaan terhadap agama Islam dan institusinya di negara ini ditangani dengan kebijaksanaan dan ketegasan. Beta berharap langkah-langkah yang dilaksanakan dalam menangani penyebaran ajaran yang menyeleweng daripada Islam melalui media massa dan laman web terus dipertingkatkan termasuklah meneruskan pemerkasaan undang-undang pentadbiran agama Islam.”

4. Manakala titah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke-14 dalam Pembukaan Penggal Parlimen di Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Parlimen Ketiga Belas pada 7 Mac 2016 pula mengandungi titah :

“Beta menyokong penuh segala inisiatif bagi mendaulatkan Islam sebagai agama Persekutuan dan dalam masa yang sama agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas dan damai dinegara ini.Beta berharap langkah-langkah kearah memperkukuhkan institusi agama dan kecekapan pelaksanaan undang-undang pentadbiran agama Islam melalui pemerkasaan mahkamah syariah dapat disegerakan”.

5. Saya terpanggil untuk menjelaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 3 (1) menyatakan: “Agama Islam adalah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan”.

6. Kita sepatutnya hendaklah memerdekakan fikiran kita daripada Suruhanjaya Reid yang mentafsirkan perlembagaan yang membataskan Islam dalam hal-hal yang tertentu dan tidak menjayakan Islam sebagai agama yang sempurna, lengkap dan boleh menyelesaikan masalah. Mereka menafsirkan Islam daripada perkataan “Religion” dalam bahasa Inggeris, tafsiran yang tidak berpijak dengan bahasa asal Islam daripada perkataan al-Din yang memberi makna yang menyeluruh.

7. Kita mestilah mentafsirkan Islam yang bukan hanya kepercayaan dan upacara agama atau urusan individu semata-mata, bahkan Islam adalah cara hidup yang lengkap termasuk semua bidang amalan manusia, samada peribadi, kemasyarakatan, perundangan, politik, ekonomi, sosial, kebudayaan, moral, kehakiman, tadbir - urus dan cara hidup serta akhlak berpandukan wahyu dari Allah yang terdapat dalam Al-Quran dan hadis Nabi SAW.

8. Dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan juga menyatakan:

Fasal 1; “Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan agamanya.”, dan

Fasal 3;“Tiap-tiap kumpulan agama adalah berhak: (a) menguruskan hal ehwal agamanya sendiri; (b) menubuh dan menyenggara institusi-institusi bagi maksud-maksud agama atau khairat.”,

Fasal 4; “Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah Persekutuan, undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara orang-orang yang menganuti agama Islam.”

9. Dari peruntukan ini amatlah jelas bahawa orang-orang Islam berhak menganuti dan mengamalkan agamanya. Di sini jelas menunjukkan bahawa wujudnya


keperluan untuk urusan agama Islam ditadbir oleh orang Islam dan tidak mencampuri agama lain berdasarkan prinsip keadilan dan kemakmuran. Manakala orang bukan Islam bebas mengamalkan agama mereka tanpa menggugat kedamaian negara, di masa yang sama tidak mengganggu-gugat amalan agama bagi orang Islam dalam negara kita ini.

10. Sejarah telah membuktikan bahawa orang yang bukan Islam bebas beragama ketika Islam memerintah dan berkuasa pada zaman kegemilangannya. Peperangan berlaku pada awal penaklukan kerana Islam ditentang hebat dengan kekerasan bersenjata dan kebebasan dakwahnya diganggu-gugat oleh pihak musuh.

11. Selepas musuh berjaya dikalahkan, negeri-negeri yang bukan Islam dibebaskan daripada kerajaan yang zalim sebelumnya. Rakyatnya yang ada di dalam negara tidak dipaksa menganut Islam, harta benda mereka tidak dirampas, rumah ibadat tidak dirobohkan, cara hidup mereka tidak diganggu, bahkan mereka dilayan dengan adil, lebih baik daripada pemerintah yang se bangsa dengan mereka.

12. Tidak ada sebarang paksaan walaupun pada masa itu kekuatan bala tentera boleh digunakan untuk kekerasan dan paksaan. Al-Quran, hadis-hadis Rasulullah SAW dan para sahabat yang memerintah pada masa itu sentiasa berpesan dalam perkara ini. Lihatlah contoh-contoh yang ditunjukkan oleh penguasa yang adil dan berpegang kepada ajaran Islam yang tulen, bukannya yang menjadikan Islam sebagai tempelan semata-mata. Hakikat ini disedari oleh orang yang mengkaji sejarahnya dengan jujur, penuh kesedaran, beretika dan berdisiplin.

Tan Sri Yang Di-Pertua,

Sejarah Akta 355

13. Saya mendengar ada kalangan di luar sana yang cuba berhujah bahawa pindaan Akta 355 adalah tidak sah dari sudut perlembagaan kerana urusan agama Islam adalah di bawah kuasa negeri. Memang benar dari satu sudut bahawa urusan agama Islam adalah urusan negeri, terletak di bawah kuasa negeri, dengan Badan Perundangan sebagai penggubal undang-undang berkaitan Islam dan Sultan atau Raja sebagai Ketua Agama Islam.

14. Izinkanlah saya menjelaskan secara ringkas bahawa berikutan daripada kedudukan Islam adalah sebahagian daripada urusan bagi negeri-negeri dan tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan negeri, maka Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan telah menyebut tentang struktur pembahagian kuasa perundangan antara Persekutuan dan negeri-negeri.

15. Seiringan dengan peruntukan Perkara 74, Perlembagaan Persekutuan telah mengadakan Jadual Kesembilan yang dibahagikan kepada tiga senarai utama, iaitu Senarai I (Senarai Persekutuan), Senarai II (Senarai Negeri) dan Senarai III (Senarai Bersama).

16. Apabila kita merujuk Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, ianya menerangkan bidang kuasa negeri-negeri berkaitan hal ehwal Islam adalah jelas dan tidak dinafikan. Namun, negeri adalah terhad apabila tidak boleh menggubal kesalahan dan hukuman mengenai perkara-perkara yang tersenarai di bawah Senarai Persekutuan.

17. Oleh yang demikian, Parlimen diberikan kuasa oleh Perlembagaan untuk menentukan bidang kuasa Mahkamah Syariah berkaitan kesalahan dan hukuman yang boleh dibuat oleh Badan Perundangan Negeri untuk dilaksanakan di Mahkamah Syariah.

18. Dengan kata lain, Parlimen boleh membuat akta untuk menentukan bidang kuasa Dewan Perundangan Negeri berkaitan hukuman-hukuman yang boleh dijatuhkan kepada Mahkmah Syariah sebagaimana dijelaskan dalam Butiran 1.

19. Secara telitinya, prinsip-prinsip yang termaktub dalam Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan adalah :

1) Terhad kepada umat Islam. Bidang kuasa Mahkamah Syariah terhad hanya kepada orang yang menganut agama Islam. Oleh itu orang bukan Islam tidak perlu bimbang dengan agenda politik pihak tertentu yang cuba menakut-nakutkan masyarakat bukan Islam.

2) Terhad kepada perkara-perkara dalam Butiran 1; tidak termasuk perkara-perkara dalam Senarai Persekutuan dan perkara-perkara lain dalam Senarai Negeri.

3) Tertakluk kepada had hukuman maksimum yang diberikan oleh undang-undang persekutuan.

20. Justeru itu, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Akta 355 adalah sebuah akta yang sah dengan mengambil punca kuasa daripada Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.

Tan Sri Yang Di-Pertua,

21. Akta 355 atau Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) telah diluluskan oleh Parlimen pada 3 Mac 1965 yang mulanya dikenali sebagai Muslim Courts (Criminal Jurisdiction) Act atau Akta Mahkamah Orang-orang Islam (Bidang Kuasa Jenayah) dan hanya diberi bidang kuasa mengenai kesalahan yang boleh dihukum dengan denda tidak lebih RM 1000 dan penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

22. Akta 355 ini merupakan suatu akta untuk memberi bidang kuasa kepada mahkamah-mahkamah yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang Negeri bagi maksud membicarakan kesalahan-kesalahan di bawah hukum syarak.


23. Ketika Akta 355 dibentangkan pada tahun 1965, ahli parlimen yang membahaskan semuanya ahli-ahli Parlimen Islam sahaja dan tiada bantahan pun dari Ahli Parlimen bukan Islam walaupun ketika itu Lee Kuan Yew turut hadir sebagai Ahli Parlimen sebelum pemisahan Singapura daripada Malaysia.

24. Dalam perbahasan tersebut juga telah dibangkitkan supaya hukuman yang diletakkan adalah tidak mutlak dan boleh dipinda atau ditambah. Bidang kuasa yang dihadkan hanyalah permulaan dan ia adalah proses ke arah kesempurnaan.

25. Bidang kuasa itu telah ditambah pada tahun 1984 dengan pindaan kepada akta itu dan Mahkamah Syariah diberi bidang kuasa mengenai kesalahan yang boleh dihukum dengan penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM 5000 atau rotan tidak lebih enam sebatan atau gabungan hukuman itu.

26. Pada tahun 1988, Akta 1965 telah disemak semula dan diubah nama kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).

27. Akta ini telah diperluaskan pemakaiannya ke negeri Sabah dan Sarawak pada tahun 1989 melalui Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan dan Perluasan). Ini adalah kerana pada ketika Akta itu digubal, Mahkamah-mahkamah Syariah belum lagi dibentuk di kedua-dua negeri tersebut. Oleh sebab itu, ahli-ahli Dewan Sabah dan Sarawak tidak perlu risau kerana akta ini sudah terpakai di Sabah dan Sarawak sejak puluhan tahun dan ianya adalah jelas tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan mahupun Perjanjian Malaysia 1963.

28. Satu lagi pindaan yang dibuat kepada Perlembagaan Persekutuan melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 1988 ialah Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan bagi menyelesaikan percanggahan antara Mahkamah Tinggi dengan Mahkamah Syariah.

29. Selain itu juga, Parlimen telah meminda Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan dalam hal penangkapan bagi sesuatu kesalahan yang boleh dibicarakan oleh Mahkamah Syariah, sebutan-sebutan dalam fasal itu mengenai seorang Majistret hendaklah ditafsirkan sebagai termasuk sebutan-sebutan mengenai seorang hakim Mahkamah Syariah.

30. Oleh kerana itu jika seorang ditangkap bagi kesalahan yang boleh dibicarakan oleh Mahkamah Syariah dan ia tidak dilepaskan, orang itu hendaklah dibawa ke hadapan seorang hakim syariah dengan segera, sekiranya tiada apa-apa sebab yang berpatutan, walau bagaimanapun dalam tempoh dua puluh empat jam (tidak termasuk masa perjalanan yang perlu) dan orang itu tidak boleh ditahan selanjutnya dengan tiada kuasa hakim syariah itu. Sekurang-kurangnya pindaan itu telah menyamakan kuasa hakim Mahkamah Syariah dalam perkara itu dengan kuasa Majistret.

31. Setelah hampir 32 tahun Akta 355 tidak dipinda, maka pada 26 Mei 2016 yang lalu, saya mengambil rasa tanggungjawab dan keberanian sebagai seorang ahli Parlimen untuk mengemukakan “Usul untuk membuat Pindaan Akta 355” mengikut Peraturan Mesyuarat 49 (1) demi menyahut seruan fastabiqul khairat (berlumba-lumba melakukan kebaikan) dan mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh parti-parti lain.

32. Saya telah memohon kepada Tan Sri Yang Di-Pertua untuk ditangguhkan perbahasan pada hari tersebut sehingga ke hari ini bagi memberi ruang kepada ahli-ahli Dewan, tokoh-tokoh akademik, NGO-NGO, orang bukan Islam dan seluruh rakyat Malaysia untuk membuat kajian terperinci dan mengkaji berkenaan pindaan ini. Inilah sikap keterbukaan yang kami mahu tunjukkan kepada ahli dewan dan rakyat. Inilah satu-satunya cadangan pindaan akta yang dibahaskan secara terbuka disemua peringkat, diadakan jelajah, dialog, forum, wacana dan perbincangan diperingkat rakyat sebelum ianya dibentangkan dan dibahas dalam dewan yang mulia pada hari ini. Sedangkan ratusan akta yang telah dipinda melalui perbahasan dalam Dewan Rakyat tanpa melalui perbahasan awam malah tidak pun disedari oleh masyarakat awam.

33. Ini menjelaskan bahawa apa yang dibentangkan oleh saya pada hari ini, adalah tidak melalui pintu belakang, tidak mempunyai maksud tersembunyi. Ianya adalah terang benderang, ibarat bulan purnama mengambang penuh yang terbuka dilihat oleh semua manusia yang matang dan sejahtera.

Tujuan pindaan

34. Tujuan cadangan pindaan ini adalah untuk memperkasakan hukuman di Mahkamah Syariah yang pada waktu ini adalah jauh lebih rendah dari hukuman yang boleh dikenakan oleh Mahkamah Sivil yang paling rendah dalam negara kita. Mahkamah Syariah diberi bidang kuasa mengenai kesalahan yang boleh dihukum dengan penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM 5000 atau rotan tidak lebih enam sebatan atau gabungan hukuman itu. Bidang kuasa ini masih rendah daripada bidang kuasa Majistret Kelas Pertama yang biasanya boleh membicarakan kes yang boleh dihukum dengan penjara sepuluh tahun dan boleh menjatuhkan hukuman lima tahun penjara atau denda RM10,000 atau sebat dua belas kali atau gabungannya.

35. Secara bandingannya dan contoh untuk difahami oleh kita semua, perlindungan untuk keutuhan sistem perkahwinan kepada umat Islam adalah lebih lemah berbanding perlindungan untuk masyarakat bukan Islam. Misalnya dalam kes penipuan pendaftran perkahwinan dan sindiket kahwin palsu, hukuman untuk kesalahan ini dalam undang-undang untuk bukan Islam lebih tinggi iaiitu 10 tahun penjara dan denda RM15,000 berdasarkan seksyen 40 Akta Pembaharuan Undang-undang (Pernikahan dan Penceraian) 1976.

36. Selain itu, jika hukuman terhadap kesalahan persetubuhan luar tabie dengan haiwan di bawah Seksyen 377 Kanun Keseksaan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan maka hukuman 3 tahun


penjara, RM5000 denda dan 6 sebatan untuk kesalahan terhadap manusia adalah terlalu ringan.

37. Dan terdapat juga kesalahan yang hampir sama di bawah Kanun Keseksaan dan di bawah Enakmen Jenayah Syariah seperti kesalahan sumbang mahram, kesalahan liwat, dan keterlibatan dalam pelacuran. Kadar hukuman di bawah Kanun Keseksaan jauh lebih tinggi misalnya bagi kesalahan sumbang mahram (incest) hukumannya ialah penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun (Seksyen 376B Kanun Keseksaan).

38. Hakikatnya Akta 355 ini sudah lama tidak dipinda iaitu sejak 1984, hampir 32 tahun yang lalu. Institusi Mahkamah Syariah perlu dan sewajarnya dimartabatkan sejajar Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf Islam adalah agama persekutuan. Kedudukan mahkamah syariah sekarang merupakan suatu penghinaan kepada undang-undang dan institusi syariah.

39. Ada pula di luar sana pihak-pihak yang meremehkan cadangan meningkatkan hukuman sebagai salah satu cara untuk memerkasakan mahkamah syariah dalam negara kita. Di sinilah kita sebagai Ahli Dewan perlu untuk memahami proses perundangan melalui Dewan yang mulia ini, berbanding dengan kaedah pemerkasaan yang boleh dilaksanakan tanpa melalui proses perundangan dari Dewan ini.

40. Sememangnya ada berbagai langkah dan kaedah yang boleh dilaksanakan untuk memperkasakan kedudukan mahkamah syariah dalam negara kita ini. Semuanya boleh dilakukan secara serentak dan boleh terus dilaksanakan sekarang oleh pihak kerajaan secara eksekutif oleh pihak yang berkuasa melalui kuasa yang diperuntukkan kepada agensi yang dipertanggungjawabkan.

41. Antara yang boleh dilaksanakan sekarang ini tanpa usul persendirian ialah: (1) memperkemaskan prosedur siasatan – pendakwaan – pembelaan supaya lebih efisien dan adil, (2) melengkapkan infrastruktur fizikal kompleks mahkamah dan susun-aturnya di berbagai peringkat, (3) memberikan latihan perundangan yang lebih terancang kepada semua lapisan Yang Arif Hakim dan kakitangan mahkamah sesuai dengan perkembangan semasa yang pantas, (4) menambahkan peruntukan kewangan dan tenaga manusia supaya kes-kes perundangan boleh dikendalikan dengan cepat; dan sebagainya.

42. Saya tegaskan sekali lagi bahawa semua langkah – langkah di atas boleh terus dilaksanakan oleh pihak eksekutif di agensi yang berkenaan sekiranya dipersetujui oleh pihak Kerajaan dalam negara kita, tanpa perlu kepada satu cadangan rang undang – undang baharu diperkenalkan.

Tan Sri Yang Di-Pertua,

43. Akta 355 yang berkuatkuasa sekarang adalah terhad kepada bidang kuasa jenayah bagi membolehkan Mahkamah-mahkamah Syariah membicarakan kesalahan-kesalahan yang boleh dihukum tidak melebihi 3 tahun atau apa-apa denda tidak melebihi RM5000 atau sebat tidak melebihi 6 kali atau apa-apa cantumannya seperti yang telah dinyatakan sebelum ini. Akta asal yang ada pada masa ini adalah seperti berikut :

Seksyen 2. Bidang kuasa Jenayah Mahkamah Syariah.

Mahkamah Syariah yang ditubuhkan dengan sempurnanya di bawah mana-mana undang-undang dalam sesuatu Negeri dan diberi bidang kuasa ke atas orang-orang yang menganuti agama Islam dan berkenaan dengan mana-mana perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai II bagi Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan adalah dengan ini diberi bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam oleh orang-orang yang menganuti agama tersebut yang boleh ditetapkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis:

Dengan syarat bahawa bidang kuasa sedemikian tidaklah boleh dijalankan berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut.

44. Pindaan yang saya cadangkan pula adalah terhadap provisio, di mana Akta 355 yang dicadangkan dipinda akan berbunyi seperti berikut :

Seksyen 2. Bidang kuasa Jenayah Mahkamah Syariah.

Mahkamah Syariah yang ditubuhkan dengan sempurnanya di bawah mana-mana undang-undang dalam sesuatu Negeri dan diberi bidang kuasa ke atas orang-orang yang menganuti agama Islam dan berkenaan dengan mana-mana perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai II bagi Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan adalah dengan ini diberi bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam oleh orang-orang yang menganuti agama tersebut yang boleh ditetapkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis :

Dengan syarat bahawa bidang kuasa sedemikian tidaklah boleh dijalankan berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga puluh tahun atau denda melebihi satu ratus ribu ringgit atau sebatan satu ratus kali sebagaimana di tadbir selaras dengan tatacara jenayah Syariah atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut.


Implikasi pindaan

45. Cadangan pindaan ini tidak akan mengubah atau menambah kuasa Dewan Perundangan Negeri berkaitan jenis-jenis kesalahan. Kuasa dan bidang kuasa Dewan Perundangan Negeri berkaitan jenis kesalahan adalah kekal seumpama sedia ada, yang mana Dewan Perundangan Negeri hanya boleh membuat hukuman terhadap kesalahan-kesalahan yang berkaitan perintah agama Islam, tetapi tidak boleh membuat hukuman atas kesalahan-kesalahan yang berkaitan dengan perkara-perkara yang ada dalam Senarai Persekutuan. Akta 355 itu sendiri pada asalnya bukan berkaitan kuasa Dewan Perudangan Negeri mengenai jenis kesalahan.

46. Jika pindaan terhadap provisio dalam Akta 355 diluluskan di Parlimen, ia tidak meningkatkan kadar hukuman secara automatic, sebaliknya Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi setiap negeri perlu meluluskan had hukuman bagi setiap kesalahan di peringkat negeri-negeri terlebih dahulu. Peluang untuk berbahas mengenai kadar hukuman yang munasabah masih terbuka di peringkat DUN, itupun sekiranya pihak berkuasa di Negeri ingin mempertimbangkan perubahan kuantum hukuman kesalahan di bawah senarai negeri.

47. Dewan Perundangan Negeri dalam masa yang sama boleh meletakkan jenis hukuman yang mendidik dan lebih ringan daripada pemenjaraan atau lebih rendah daripada sebatan, seperti parol, amaran keras dan seumpamanya.

48. Akta ini juga tidak menimbulkan implikasi ketidaksamarataan sama sekali. Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan sememangnya menegaskan semua orang adalah sama di sisi undang-undang. Kesamarataan tersebut hanya merujuk kepada kategori atau “genre” yang sama, sebagai contoh, Islam dan bukan Islam adalah bukan kategori atau genre yang sama tetapi kategori yang sama ialah hukuman yang berlainan kepada 2 kumpulan orang Islam. Walaubagaimanapun, Perkara 8 (2) Perlembagaan Persekutuan juga dengan jelas membenarkan pengecualian kepada peruntukan kewujudan undang-undang lain dalam Perlembagaan Persekutuan, ini termasuklah Akta 355.

49. Manakala untuk memahami rasional kuantum hukuman yang dicadangkan dalam pindaan ini, ianya adalah berasaskan hasrat yang melibatkan pemerkasaan bidangkuasa hukuman Mahkamah Syariah agar ia setanding dengan bidangkuasa Mahkamah Sesyen (bagi Mahkamah Sivil).

50. Maka saya mencadangkan penjara maksimum sehingga 30 tahun, di mana tempoh 30 tahun adalah bersamaan dengan hukuman Penjara Seumur Hidup (Imprisonment For Life) bagi Mahkamah Sivil, iaitu sebagaimana yang ditafsirkan oleh Seksyen 3 Criminal Justice Act, “Hukuman Penjara Seumur Hidup adalah bersamaan dengan hukuman Penjara 30 tahun”. Bahkan di bawah Akta Senjata Api “Imprisonment For Life” boleh membawa maksud Penjara Sampai Mati. Hukuman “sumbang mahram” pula sebagaimana yang disebut dalam Akta 574 Kanun Keseksaan, perkara 376B boleh membawa hukuman penjara maksima 30 tahun jika sabit kesalahan.

9

51. Kuantum denda RM100,000 yang dicadangkan pula adalah mengambil kira perubahan nilai matawang selepas 32 tahun akta ini tidak dipinda. Jumlah RM5000k pada tahun 1985 (tahun pindaan nilai denda) adalah satu jumlah yang subtantial pada masa itu, jika dinisbah kepada jenis-jenis kesalahan yang boleh dihukum denda di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah. Justeru jumlah maksimum RM100,000 yang dicadangkan kini adalah mengambil kira perubahan nilai matawang dinisbahkan dengan jenis-jenis kesalahan di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah, agar ia dapat menggabungkan elemen untuk memberi pengajaran dan menggerunkan pesalah serta masyarakat awam. Tambahan pula, jumlah maksimum RM100,000 ini adalah jauh lebih rendah daripada bidangkuasa Mahkamah Sesyen Sivil yang diberi kuasa mengenakan denda tanpa had, bahkan sehingga mencecah jutaan ringggit, tertakluk kepada peruntukan spesifik di bawah Akta-Akta yang berkaitan.

Kekeliruan dan kebimbangan yang ditimbulkan

Kekeliruan pertama : Kononnya RUU Pindaan 355 adalah Hudud

52. Walaupun berkali-kali saya menjelaskan bahawa cadangan pindaan ini tiada kaitan dengan Hudud, tetapi nampaknya ada lagi individu dan parti parti politik tertentu dalam negara ini yang tidak cuba memahami, atau buat-buat tak faham, atau sengaja tidak mahu faham. Saya ingin menegaskan lagi bahawa hukuman potong tangan dan rejam tidak boleh dikenakan malah tidak termasuk dalam kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman seperti ini, kerana ianya bukan dalam kuasa dan bidang kuasa Dewan Undangan Negeri.

53. Di masa yang sama, wujud pula kategori ekstrimis media atau pelampau media yang menabur pembohongan dan sentiasa mengulang-ngulang tajuk pemberitaan yang songsang dengan berita asal, dan mengubah apa yang diperkatakan mengikut selera mereka. Semuanya ini dilakukan tanpa rasa bersalah, tanpa tanggungjawab, seolah – olah mereka bebas berbohong sesuka hati, seolah tidak tanggungjawab dosa-pahala dalam tindakan ganas mereka.

54. Kita sama – sama tahu bahawa semuanya dusta songsang ini dilakukan supaya medianya sensasi dan laku di pasaran media. Kepada pengamal media dan media sosial beragama Islam, termasuklah pelampau papan-kunci, suka saya memperingatkan bahawa kita mempunyai perkiraan dosa-pahala dan pembalasan di hari Akhirat yang tidak terperi hukumannya. Kecualilah ada di antara kita yang merasa cerdik, hebat dan kuat untuk berdepan dengan kemurkaan Tuhan Rabbul Jalil di Hari Pembalasan Nya nanti.

55. Bagi menjelaskan kepada kalangan yang benar-benar ingin memahami, suka saya mengambil peluang ini untuk menjelaskan apakah sebenarnya hukum hudud itu. Hukum Islam ada tiga kategori iaitu hukum hudud, qisas dan takzir.


56. Hudud merangkumi kesalahan yang dinyatakan dalam al- Quran dan as-Sunnah, dan dijelaskan oleh para ilmuan Islam sepanjang zaman sebagai kesalahan jenayah: (1) mencuri (2) merompak (3) berzina (4) menuduh zina (5) Minum arak
(6) murtad.

57. Pada masa sekarang ini, semua kesalahan hudud dalam kategori (1) mencuri (2) merompakadalah berada dalam Kanun Keseksaan iaitu bidang kuasa Mahkamah Sivil.

58. Manakala kesalahan (3) berzina (4) menuduh zina (5) Minum arak (6) murtad sudah puluhan tahun diamalkan dibawah undang undang syariah di negeri masing masing (Senarai Negeri Jadual Kesembilan) dan sememangnya hanya diguna serta terpakai kepada orang Islam sahaja. Ini bukan perkara baru, kecuali akal fikiran kita tidak mahu sedar dan insaf.

59. Apa yang dicadangkan untuk diperkasakan peranan Mahkamah Syariah melalui pindaan ini adalah hanya terhadap kesalahan yang di bawah bidang kuasa negeri sahaja, iaitu untuk kesalahan (3) berzina (4) menuduh zina (5) minum arak (6) murtad.

60. Secara jelasnya, apa yang dicadangkan ialah untuk meningkatkan jumlah hukuman supaya selari dengan syariat Islam supaya jumlah hukuman pada masa ini yang hanya tertakluk kepada maksima 3 tahun penjara, RM5000 denda dan 6 kali sebatan; dapatlah dipertingkatkan kepada jumlah hukuman penjara yang lebih tinggi (ditentukan dan dikanun di negeri masing masing nanti) dan denda yang lebih munasabah, serta rotan mengikut syariat Islam dengan syarat dan jumlah sebatan yang lebih menepati syariat Islam.

61. Rotan mengikut syariat Islam pula adalah sangat berbeza dengan “rotan hukuman sivil”. Rotan mengikut syariat Islam adalah TIDAK BOLEH mencederakan,

TIDAK BOLEH dilakukan hingga kulit terkoyak atau berdarah, pukulan sebat hendaklah di merata-rata anggota tubuh kecuali muka, kepala, dada dan kemaluan. Pukulan sebat hendaklah dengan cara yang sederhana, di mana orang yang menyebat tidak boleh mengangkat rotan hingga ke paras kepalanya. Semuanya dilakukan dalam keadaan pesalah hendaklah berdiri bagi lelaki dan duduk bagi perempuan, serta memakai pakaian nipis yang menutup auratnya mengikut Hukum Syarak.

Kekeliruan kedua : Melibatkan orang bukan Islam

62. RUU Pindaan 355 adalah hak bagi penganut Islam sahaja. Maka saya menyeru supaya umat Islam bersabar dengan agama mereka berpandukan al-Quran dan As-Sunnah termasuklah dalam hubungan masyarakat majmuk di Malaysia.

63. Walaupun kewujudan masyarakat majmuk di negara kita adalah ciptaan penjajah mengikut acuannya bagi menjayakan agenda pecah dan perintah, namun al-Quran lebih mendahului petunjuk bermasyarakat majmuk dengan adil dan bersaudara di atas konsep kemanusiaan sejagat. Firman Allah SWT:

  َ َ
يأيهاٱنلاسُُإناُخلقنكمُمِنُذكرُوأنَثُوجعلنكمُشعوباُوقبائلُِِلعارفوْۚاُإنُأكرمكمُ
ِعندُٱّللُُِأتقىكمُإنُٱّللُُعِليمُخبريُ١٣ُ ُ
 ِْۚ ِ
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia -mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih

taqwanya  di  antara  kamu,  (bukan  yang  lebih  keturunan  atau  bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan Nya (akan keadaan dan amalan kamu)”. (Surah Al-Hujurat: ayat 13)

64. Kita diwajibkan berpegang kepada konsep tiada paksaan dalam beragama. Dalam masa yang sama, Islam memerintah penganutnya supaya berdialog dengan

dengan cara terbaik, khususnya bersama penganut yang mempunyai kitab suci.
 َ َ Firman Allah SWT:
 َٓ
۞وَلُتجِدلواُأهلُٱلِكتبُُإَلُبُٱلتُُِِهُأحسنُإَلُٱَّلِينُُظلمواُمنُهمُِۖۡوقولواُءامناُبُٱَّلِيَُُ َ
أنزلُإَلناُوأنزلُإَلكمُِإَولهناُِإَولهكمُوِحدُوَننُلُۥُمسِلمونُ٤٦ُ ُ
 ِ ِ
“Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka dan katakanlah (kepada mereka ): Kami beriman kepada (al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Kitab) yang diturunkan kepada kamu dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu , adalah Satu dan kepadaNyalah, kami patuh dengan berserah
diri.” (Surah Al-Ankabut: ayat 46)

65. Saya mengajak semua pihak agar melihat Islam secara langsung daripada sumber kitab suci al-Quran secara budaya ilmu yang bijak dan sihat. Bukannya budaya ISIS dan DAESH berhujahkan senjata tanpa ilmu seperti yang dipaparkan oleh
Barat dan pelampau medianya yang merancang terhadap Islam dan penganutnya yang  dizalimi.Jangan  zalimi  Islam  dan  penganutnya  sehingga  melangkah
sempadan.

66. Izinkanlah saya membuat kesimpulan dengan bahasa yang paling mudah dan terbuka, bahawa:

(1) Cadangan ini bukanlah satu hukum hudud, dan bukan satu jalan belakang untuk melaksanakan hukum hudud, dan bukan juga satu cubaan untuk mengelirukan mana-mana pihak apatah lagi anggota Dewan yang mulia ini;

(2) Cadangan pindaan ini juga hanyalah terpakai kepada penganut Islam sahaja dalam negara kita sebagaimana kewujudan dwi-sistem mahkamah syariah dan
mahkamah sivil sejak ratusan tahun lalu;

Pindaan ini sekali-kali tidak menyebabkan berlaku perlanggaran kuasa – kuasa mahkamah sivil oleh mahkamah syariah, sekaligus menjelaskan ianya tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Tan Sri Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan.

Sekian, terima kasih

Pulau Pinang Lebih Baik Dibawah DAP Berbanding BN - Rakaman Perbualan Chef Wan Bersama Pemandu Teksi..

Kerajaan yang baik sentiasa akan dipromosikan oleh pelancong yang melawat negara tersebut, kata Chef Wan dalam laman Instagramnya. 

Chef Wan atau nama sebenar, Redzuawan Ismail pada semalam telah berkongsikan satu rakaman perbualan bersama pemandu teksi yang menceritakan perbezaan pentadbiran Pulau Pinang dibawah kerajaan DAP berbanding pentadbiran Pulau Pinang dibawah kerajaan Barisan Nasional.


Menurut pemandu teksi tersebut, pelancong memuji kerajaan Pulau Pinang yang lebih bersih dan menjaga bangunan-bangunan lama berbanding suatu waktu dahulu. Terlalu banyak perubahan di Pulau Pinang pada masa sekarang.

Pemandu tersebut menjawab kepada soalan Chef Wan yang bertanyakan tentang pendapat pelancong mengenai kerajaan negeri Pulau Pinang ketika melawat di negeri itu. Chef Wan juga menjelaskan bahawanya apa yang penting bagi rakyat ialah mereka mahukan perubahan dan yang terbaik untuk kepentingan rakyat walau siapa pun yang memerintah.

Ketika ditanyakan tentang penilaian rakyat terhadap pentadbiran Pulau Pinang, pemandu itu sekali lagi menjawab rata-rata rakyat berpuas hati pada pentadbiran masakini.

Chef Wan turut menulis bahawanya sikap perkauman yang dimainkan oleh sesetengah ahli politik terlalu meloyakan dan membantutkan usaha melakukan perubahan yang terbaik ke atas negara. 

"Saya selalu percaya jika kita rajin berusaha dan tidak bercakap mengarut serta ahli politik berhenti menjatuhkan antara satu sama lain termasuklah elemen perkauman yang membuatkan saya rasa loya mungkin kita kaya dan boleh membuat perubahan yang besar", kata Chef Wan memetik status Instagramnya.
 

"Rakyat pada hari ini boleh menilai segalanya tentang propaganda kotor dan teruk yang sedang dipentaskan. Hanya yang bodoh dan bangang sahaja tidak mampu melihatnya kerana masing-masing ada agenda tersendiri kononnya takut itu dan takut ini.  

 

Jika anda jujur dan benar-benar mahu bawa perubahan kepada negara ini anda pasti akan melakukan tak kisah la dengan propaganda apapun dikalangan ahli politik pada hari ini. Naik meluat.  Saya tak kiri tak kanan. Saya sayang negara saya, bangsa dan agama saya dan saya tak pandai simpan dendam serta iri hati", katanya lagi

 

Rata-rata respon yang diterima beliau di status berkenaan turut menyokong kenyataan yang disampaikan oleh Chef Wan itu. Dan pihak kami berharap Chef Wan tidak akan dilabel dengan tuduhan tertentu kerana memuji pentadbiran kerajaan Pulau Pinang. 😆😆😆😆

 

Khamis, 6 April 2017

Mana Bukti Rafizi Kalau Betul Tokoh Tertentu PAS Terima Duit 1MDB Soal Penyokong PAS.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli pada hari ini mendedahkan bahawanya terdapat tokoh tertentu yang ada kaitan dengan PAS yang menerima wang yang dikatakan berpunca dari sumber 1MDB. 

Rafizi juga menjangkakan akan mendedahkan hal berkaitan dalam minggu-minggu mendatang dan menunggu respon susulan dari pihak PAS tentang pendedahan yang dilakukan oleh beliau.

"Oleh sebab kerana pilihanraya pada pendapat saya ada kemungkinan berlaku sebelum dewan seterusnya iaitu Jun, maka maknanya hasrat saya untuk berkongsi dua tiga maklumat yang menimbulkan tanda-tanya, hasrat saya untuk mendedahkan di dewan rakyat pada hari ini mengenai satu isu yang menimbulkan tanda-tanya tentang perkaitan samada benar atau tidak ada wang dari 1MDB yang mungkin telah sampai kepada tokoh-tokoh PAS yang itu saya tidak akan tunggu dalam dewan yang akan datang, saya akan bawa terus kepada rakyat dalam minggu-minggu yang akan datang", katanya kepada pemberita selepas Parlimen tamat bersidang.

Rafizi juga menujukan soalan tersebut kepada Presiden PAS, Tuan Guru Hadi Awang untuk menjawab kepada dakwaan berkenaan. 

"Saya mahu Presiden PAS menjawab samada beliau yakin atau tidak tokoh tertentu dalam PAS tidak menerima wang tersebut", katanya lagi.

Dalam pada itu, respon segera Ahli Parlimen Kota Bharu yang juga Setiausaha PAS, Datuk Takiyuddin Hasan kepada media menafikan dakwaan Rafizi Ramli.

"Setakat yang saya tahu, PAS tidak menerima apa-apa dana dan kalau ada saya sebagai Setiausaha Agung sudah tentu mengetahuinya", jawab beliau ketika ditanyakan tentang pendedahan Rafizi.

Datuk Takiyuddin juga menasihati agar Rafizi melaporkan terus perkara itu kepada SPRM daripada melakukan cabaran.

"Rafizi tak perlu cabar, jalan terbaik adalah beliau membuat laporan kepada SPRM dan serahkan bukti itu untuk disiasat. Kalau kita ada maklumat kita akan siasatlah dan kalau ada kes kita akan serah kepada pihak berkuasa," katanya. 
Ketika ditanyakan apakah motif di sebalik tindakan Rafizi itu, Takiyuddin berkata beliau juga tidak jelas berkaitan perkara itu. "Saya pun tak faham (motif Rafizi) tapi saya rasa Rafizi bukan jenis begitu, saya pun terkejut juga.
"Saya tak dengar dari mulut dia sendiri dia cakap bagaimana. Jadi, saya tak dengar, nak tengok dia cabar macam mana dan saya tak boleh nak komen lebih tapi secara umumnya begitulah," tambahnya lagi.
Tinjauan kami di laman sosial pula mendapati rata-rata penyokong PAS mendesak agar Rafizi melaporkan perkara itu kepada SPRM ataupun terus memberikan bukti tentang dakwaan tersebut daripada bermain teka-teki.
Respon Penyokong PAS Di Media Sosial
Untuk makluman, Rafizi dijangka akan mendedahkan bukti demi bukti tentang tokoh PAS yang menerima dana tersebut pada minggu-minggu mendatang.

Cukai Pelancongan Diluluskan Secara Tergesa-Gesa Kenapa Agaknya?

Menulis di dinding Facebook beliau, Steven Sim, Ahli Parlimen Bukit Mertajam mempersoalkan kenapa cukai baru, RUU Cukai Pelancongan 2017 dibahaskan secara tergesa-gesa tanpa penelitian yang sewajarnya. 

Baca : Kerajaan Perkenalkan Cukai Baru Untuk Pelancong

"Sekarang dah pukul 3 pagi. Kerajaan cuba nak meluluskan usul yang mana merujuk kepada sejenis cukai baru untuk pelancongan. Ada 70 clause dalam cukai tersebut tetapi semuanya tanpa penerangan selanjutnya, tiada kajian impak ekonomi, tiada perbincangan - semuanya tiada", tulisnya di dinding Facebook pada pagi tadi.


Menurut Steven Sim, usul tersebut dibahaskan dan diluluskan secara tergesa-gesa di dalam dewan dalam masa satu malam sahaja.

"Saya mengambil bahagian dalam perbahasan dan mendesak kerajaan menarik balik usul; jika kerajaan tiada wang untuk mempromosikan industri pelancongan, salah satu industri penting di negara ini maka silalah ke Jabatan Perdana Menteri, ambil dana yang diselewengnya itu dan bukannya dengan cara meminta wang dari rakyat", katanya lagi dalam status tersebut.

Menurut Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nazri Aziz, cukai pelancongan akan dikenakan terhadap kesemua pelancongan yang menginap di lokasi-lokasi tertentu yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan bagi tujuan mengutip cukai. Pelancong yang gagal membayar cukai juga tidak dibenarkan untuk keluar negara sehingga menjelaskan kesemua hutang cukai pelancongan yang tertunggak.

Untuk rekod, pada malam semalam, Parlimen mencipta rekod bersidang selama 20 jam bagi membahaskan dan meluluskan beberapa usul penting yang dibawa oleh kerajaan.

Selepas Kecoh, Marang Akhirnya Bahas #RUU355 Di Parlimen.

Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada pagi tadi memanggil Marang, Tuan Guru Haji Hadi Awang bagi membahaskan usul pindaan #ruu355.

Bagaimanapun selepas menyebut Marang (beri izin untuk bacakan usul) berlakunya beberapa pertikaian yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pakatan Harapan khususnya bagi pihak DAP bagi mempersoalkan kelayakan usul berkenaan dibacakan. 

Ia menyebabkan Marang tergendala dari membacakan usul berkenaan disebabkan Point Of Order demi Point of Order dari Ahli Parlimen Pakatan Harapan.



Gobind Deo Singh, Ahli Parlimen Puchong mempersoalkan kenapa usul pindaan ruu355 dibenarkan untuk dibahaskan pada hari ini sedangkan Speaker telah menerima saman pemula bagi menghalang usul berkenaan dari dibahaskan di Parlimen.

Ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan kemudiannya bangkit menjawab persoalan Puchong bahawanya saman yang diterima oleh Speaker merupakan satu saman pemula dan belum lagi dibicarakan dalam mahkamah oleh itu tidak wujud unsur-unsur subjudis jika usul ruu355 dibacakan di Parlimen berbanding 1MDB yang mana sedang (ketika itu) melalui proses perbicaraan di mahkamah. 

Speaker Tan Sri Pandikar Aman Mulia turut menegaskan, jika saman mahkamah berkuasa menghalang Parlimen dari membahaskan usul dan mengubal undang-undang itu bermaksud mahkamah lebih berkuasa dari Parlimen. 

Bagaimanapun penjelasan oleh Speaker dan Kota Bharu itu tidak mendiamkan mulut Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan. Kali ini, Ahli Parlimen Alor Setar dari PKR, Gooi Hsiao Leung pula yang bangun mempertikaikan satu lagi Point Of Order bagi mempersoalkan kelayakan usul pindaan ruu355 sebelum Parlimen bertukar menjadi kecoh. 

Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang kemudiannya bangun untuk mendesak agar Ahli Parlimen dari MCA menyatakan pendirian namun dihalang dari berbahas oleh Ahli Parlimen Baling, Datuk Azeez Abdul Rahim sebelum beliau mengamuk hilang kawalan dan menjerit dalam dewan dalam suara yang kurang difahami percakapannya. 

Datuk Azeez kemudiannya beberapa kali menjerit "orang tua gila, orang tua gila", sehingga memaksa Speaker masuk campur bagi mendiamkan kedua-dua belah pihak yang bertelagah.

Batu Kawan dan Segambut kemudiannya bangun meminta Ahli Parlimen Pendang menarik balik kenyataannya. Tidak dipastikan kenapa mungkin kerana kenyataan ini "makin tua makin gila", yang tiba-tiba kedengaran ketika Speaker meminta semua Ahli Parlimen bertenang.

Usul pindaan ruu355 telah lama menjadi topik pertikaian di antara pihak PAS dan DAP secara khususnya. Menurut DAP, mereka tidak akan menyokong usul berkenaan di dalam Parlimen. Ini adalah pendirian rasmi bagi parti itu.

Speaker turut menjelaskan bacaan usul yang dilakukan oleh Marang pagi tadi hanyalah merupakan peringkat pembacaan yang belum pun memasuki Rang Undang-Undang Bacaan Pertama. Apabila pihak ekskutif membacakan RUU itu barulah dianggap bacaan pertama oleh kerana itu semua Ahli Parlimen punya masa untuk membahaskan pindaan berkenaan di dalam dewan.

Tinjauan kami di laman sosial juga mendapati rata-rata netizens berpendapat, pihak Pakatan Harapan harus memberikan laluan kepada Marang untuk membacakan usul dan berdebat tentangnya selepas usul habis dibacakan.

Sebelum ini Zahid Hamidi membayangkan usul Marang mungkin tidak dapat dibahaskan dalam persidangan parlimen kali ini namun ianya tidak berlaku seperti itu. Adanya ura-ura yang tersebar kononnya berlaku konflik dalaman di antara dua pemimpin utama negara itu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...