Selasa, 4 April 2017

Nazri Bentang RUU Cukai Pelancongan 2017.

Oleh : Bernama
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz hari ini membentangkan Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan 2017 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Rang undang-undang itu bertujuan mengadakan peruntukan bagi pengenaan dan pemungutan cukai pelancongan ke atas pelancong yang menginap di premis pelancongan di Malaysia.
Cukai yang akan dikenali sebagai Cukai Pelancongan itu dirancang untuk dikenakan dan dilevikan ke atas pelancong yang menginap di mana-mana premis penginapan yang disediakan oleh pengendali pada kadar yang ditetapkan oleh menteri.
Pengendali penginapan perlu mengeluarkan invois, resit atau dokumen lain dalam bahasa kebangsaan atau dalam bahasa Inggeris kepada pelancong berkenaan penginapan yang disediakan.
Pengendali hendaklah menyatakan kadar dan amaun cukai pelancongan yang kena dibayar secara berasingan daripada caj bagi penginapan yang disediakan.

Di bawah rang undang-undang itu, Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia mempunyai kuasa untuk mengawasi perkara yang berhubungan dengan cukai pelancongan itu tertakluk kepada arahan dan kawalan menteri.
Semua pegawai kastam yang dilantik di bawah seksyen 3 Akta Kastam 1967 berpangkat penguasa dan ke atas dicadang mempunyai kuasa menjalankan tugas di bawah Akta ini.
Manakala pihak Jabatan Imigresen turut boleh diminta untuk menghalang mana-mana pelancong daripada meninggalkan negara jika berhutang cukai pelancongan, panalti atau surcaj.
Anggota Parlimen Padang Rengas itu kemudiannya memohon bacaan kali kedua dan ketiga rang undang-undang berkenaan dibuat pada sesi persidangan dewan akan datang memandangkan cadangan itu memerlukan pemahaman yang jelas.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...