Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Jumaat, 17 April 2020

Isu Buluh, Teresa Jawab Haji Bakri Jamaluddin & Harakah Daily.

Teresa Kok | Saya memang tertarik dengan tajuk artikel “Apakah Buluh PAS dan DAP sama?” yang  ditulis oleh Haji Bakri Jamaluddin disiarkan dalam Harakahdaily.net pada 16 April 2020. 


Saya ingin membetulkan beberapa poin yang salah yang dibangkitkan oleh Haji Bakri :-

1. Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Malaysia sebenarnya dirangka oleh Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) bagi tempoh 2011 - 2020, dan ia bukan dirangka pada tahun 2016 seperti apa yang disebut oleh Haji Bakri. 

2. Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh 2011 - 2020 memang dirangka sebelum PH menjadi kerajaan, tetapi pelan ini tidak dilaksanakan dengan seriusnya. Oleh sebab itu, nilai eksport buluh pada tahun 2019 adalah sebanyak RM9 juta sahaja, sedangkan saiz pasaran bagi buluh global ialah AS$ 68 billion pada tahun 2018, seperti apa yang dinyatakan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi sendiri. 

3. Semasa saya memegang jawatan Menteri di Kementerian Industri Utama, bila saya diberitahu oleh Pegawai MTIB berkenaan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh, saya pun mula giat mempromosi penanaman buluh sebagai tanaman baharu bagi negara kita, termasuk membawa pegawai MTIB untuk memberi pembentangan kepada beberapa Menteri Besar dan barisan kepimpinan kerajaan beberapa negeri. Selain daripada itu, saya juga berjaya mendapat peruntukan sebanyak RM6 juta dalam bajet 2020 untuk menubuhkan nurseri benih buluh. 

4. Tulisan Haji Bakri yang menyatakan YB Menteri Dr Mohd Khairuddin Aman Razali “berani menjadikan program memajukan industri berasaskan buluh sebagai ‘game changer’ di bawah MTIB” adalah tidak tepat kerana Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh telahpun bermula pada tahun 2011. Beliau hanya meneruskan dasar yang lama di bawah MTIB sahaja. 

5. Saya tidak pernah menyaran para penanam sawit untuk “lupakan sawit, tanam buluh”. Ini adalah tajuk laporan yang sengaja diputar-belitkan oleh akhbar Utusan Malaysia pada waktu itu. 

6. Untuk makluman Haji Bakri, “minum satu sudu minyak sawit setiap hari” adalah kenyataan Tun Dr Mahathir semasa beliau melancarkan Kempen Sayangi Sawitku pada 24 Mac 2019. Ia sengaja diputar-belitkan oleh penyokong UMNO & PAS untuk menghina Kempen Sayangi Sawitku yang dimulakan oleh saya.

7. Selain daripada itu juga, “menoreh getah dalam musim hujan” adalah kenyataan Lembaga Getah Malaysia (LGM) kerana LGM memang telah berjaya mengeluarkan alat yang membolehkan penorehan getah dijalankan pada musim hujan. Alat-alat seperti ini juga digunakan oleh penoreh getah di Negeri Thai dan di Hainan, China. Saya suka mencadangkan agar Haji Bakri mengunjungi LGM untuk mendapat taklimat berkenaan rekaan ini daripada penyelidik dan Ketua Pengarah LGM. 

8. Sebab utama YB Menteri Dr Khairuddin menghadapi kritikan dan ejekan daripada orang ramai pada ketika ini adalah kerana beliau pernah membuat kenyataan pada Mac tahun lepas (2019) yang tidak betul, yang menghina usaha saya selaku Menteri pada masa itu untuk mempromosi penanaman buluh berdasarkan laporan yang salah yang disiarkan dalam Utusan Malaysia. Ironinya ketika ini, YB Dr Khairuddin jelas kuat mempromosi penanaman buluh. 

9. Haji Bakri sebagai seorang Ustaz dan pemimpin PAS haruslah bercakap dan menulis apa yang benar, dan bukan memutar belitkan fakta mengikut kepentingan diri kerana Islam telah mengajar kita bahawa “fitnah adalah lebih buruk daripada membunuh”.

10. Saya juga berharap Harakahdaily.net bersedia bagi menyiarkan kenyataan saya yang membetulkan fakta yang salah dalam artikel Haji Bakri Jamaluddin, supaya Harakahdaily.net dilihat sebagai media yang menjunjung fakta sekaligus mempunyai kredibiliti. Sekiranya tidak, Harakahdaily.net juga tidak lebih daripada sebuah portal penyambung fitnah.. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...