Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Sabtu, 8 Disember 2018

Daripada Komen 'Kencing, Hancing' Merata, Jadilah Pembangkang Yang Buat Kerja, Rafizi Tegur Pimpinan PAS & UMNO.

RAFIZI RAMLI | KELAS PERCUMA MENGIRA HARGA MINYAK:
UNTUK PAS & UMNO


Sejak Mei 2018, penyokong-penyokong PAS dan UMNO telah berjaya mempopularkan beberapa istilah baru dalam politik : hancing, kencing dan yang sewaktu dengannya.

Antara perkara yang paling diulang ialah kononnya janji untuk menurunkan harga minyak sejurus selepas PH berkuasa. Padahal itu bukan pun janji manifesto PH dalam 2018.



Soal menurunkan harga minyak ini adalah popular dalam PRU2008 kerana keputusan kerajaan BN pada ketika itu memotong subsidi sehingga harga minyak melambung, sedangkan kerajaan juga memperolehi keuntungan luar biasa dari lonjakan harga minyak itu. Kekayaan itu akhirnya dibelanjakan berterusan antara tahun 2008 hingga 2017, malah saya pernah menobatkan Dato’ Seri Najib Razak sebagai pemenang tempat pertama pertandingan membelanjakan wang minyak negara.

Antara yang paling banyak mengulangi hancing dan kencing adalah penyokong PAS. Mereka tidak sedar yang paling banyak menjaja janji untuk menurunkan harga minyak dalam PRU2008 dan PRU2013 adalah pimpinan PAS dan penyokong mereka.

Tetapi pada ketika itu mereka belum lagi bersekedudukan dengan UMNO, yang pada satu ketika dahulu pernah dikafirkan oleh segelintir pimpinan mereka.

Begitulah resam politik: mana-mana parti politik pun, tujuannya ialah untuk mendapat kuasa.

Semasa PAS yakin boleh mendapat kuasa melalui jalan berkawan dengan DAP, maka nama DAP tidak lekang di bibir pimpinan mereka. UMNO dituduhnya perkauman, asobiyah dan tidak Islam. Ada yang menghukum pimpinan DAP itu lebih Islam dari pimpinan UMNO.

Kini PAS melihat UMNO pula sebagai jalan mereka untuk mendapat kuasa. Maka ada pula hujahnya yang meyakinkan mereka bahawa kumpulan yang mereka pernah lawan itu, sebenarnya lebih baik dari kumpulan-kumpulan lain yang mereka pernah berkawan.

Demikianlah politik.

Musuh berkawan dengan lawan, lawan menjadi kawan dan kahwin bersilang-silang, kerana semua itu dilihat sebagai strategi mendapatkan kuasa.

Saya tidak ada masalah dengan strategi politik PAS – mahu berkawan dengan UMNO, atau mahu memeluk DAP. Atau pernah menjemput Tun Mahathir menyertai Gagasan Sejahtera, kemudian memaki Tun Mahathir apabila BERSATU menyertai Pakatan Harapan.

Tetapi janganlah mengaku suci bahawa semua tindak tanduk yang tidak konsisten itu demi mengangkat Islam. Saya menghormati kaedah PAS mendapatkan kuasa sebagai parti politik yang mengambil imej Islam, tetapi janganlah bersifat suci seolah-olah tindak-tanduk mereka bukan bermotifkan kuasa (seperti parti-parti lain juga).

Sewajarnya kita perlu sentiasa mencermin diri.

Penyokong UMNO yang berkempen berterusan dengan hamburan “kencing” dan “hancing” ini lupa bahawa mereka juga yang bermati-matian mahu harga minyak yang tinggi. Semasa Dato’ Seri Najib menjadi Perdana Menteri, pentadbiran beliau menghapuskan terus subsidi minyak hingga harga minyak naik setiap minggu.

Apabila saya membentangkan hujah bahawa kerajaan ada kemampuan untuk meringankan beban dengan mengekalkan harga minyak (untuk menstabilkannya, agar tidak dijadikan alasan peniaga menaikkan harga), penyokong UMNO ini juga yang menyerang saya kononnya saya mendidik rakyat menjadi pemalas. Kononnya ikut cara saya, rakyat mahu semua percuma.

Maka, apabila penyokong UMNO ini menjerit-jerit meminta subsidi dan harga minyak diturunkan, ia satu lawak yang memalukan mereka. Hidup ini biarlah ada maruah, jangan seminggu lepas kamu maki subsidi minyak, minggu ini (selepas kalah) kamu yang menagih subsidi minyak.

Begitu juga dengan penyokong PAS. Ingat-ingatlah bahawa kamu juga yang paling kuat mengusung kempen turun harga minyak semasa kamu bersama Pakatan Rakyat. Kamu juga yang menyerang UMNO ketika itu mengenai harga minyak kerana UMNO tidak mahu memberikan subsidi.

Sekarang kamu cuba mencari modal politik dengan mempersenda Pakatan Harapan kononnya menjanjikan sesuatu yang tidak boleh ditunaikan (sedang kamulah yang paling galak buat janji itu semasa kamu bersama Pakatan Rakyat).

Sebagai pembangkang, sewajarnya tugas mengawasi keputusan dan tindak-tanduk kerajaan ini adalah tugas pembangkang (iaitu PAS dan UMNO).

Jadi, jika sistem harga minyak yang ada sekarang ini boleh diperbaiki, sepatutnya PAS dan UMNO yang wajar melakukan kira-kira, kajian lalu membentangkan idea itu kepada rakyat.

Termasuklah tugas memantau harga minyak yang ditetapkan oleh kerajaan.

Itu tugas saya sebagai Ahli Parlimen pembangkang dahulu. Saya kira, saya bentangkan, saya berhujah.

Saya bagi bukti bagaimana sistem minyak bersubsidi boleh dikembalikan.

Hasil dari pembentangan saya itu, ramai rakyat yang bersetuju. Bila Pakatan Harapan menang, sebahagian dari saranan saya mengenai harga minyak diterima pakai.

Saya tidak menjadi Ahli Parlimen untuk mengajar penyokong-penyokong saya menjerit “hancing” dan “kencing” sepanjang masa.

Saya akan meneliti harga runcit yang ditetapkan sekarang berbanding dengan harga minyak mentah di pasaran dunia dan dibandingkan dengan jumlah subsidi yang telah dibelanjakan setakat ini untuk mengekalkan harga minyak pada ketika harga minyak mentah melambung tinggi.

In Sha Allah saya akan siarkan dalam sehari dua.

Tetapi sepatutnya ini tugas Ahli-Ahli Parlimen PAS dan UMNO.

Tidakkah ada seorang pun dari Ahli Parlimen PAS dan UMNO yang boleh menjalankan tugas ini? Supaya penyokong-penyokong mereka boleh bergantung harap kepada mereka, bukan datang menulis “hancing” dan “kencing” di mana-mana?

Saya sanggup mengadakan kelas percuma mengajar Ahli-Ahli Parlimen PAS dan UMNO ini bagaimana memantau harga minyak, supaya mereka tidaklah menjadi PASU di dalam Parlimen sementara penyokong mereka kencing di merata-rata.

Selepas itu, barulah pembangkang boleh melaksanakan tugas mereka dengan lebih baik, kerana mereka mengambil gaji untuk tujuan itu.

Jumaat, 7 Disember 2018

Guan Eng Kantoi Lagi, Audit Sahkan Cukai GST Yang Belum Dibayar Balik Berpunca Dari PH.

NAJIB RAZAK | Setelah kerajaan BN dan saya dituduh berulangkali telah "rompak" RM19.2 bilion wang tuntutan balik input GST oleh Guan Eng, saya telah menunggu agak lama untuk Laporan Audit Negara terhadap isu bayaran balik input GST diterbitkan.

Alhamdulillah, laporan ini akhirnya keluar pagi ini. Kebenaran itu pasti.

Laporan Audit menunjukkan bahawa jumlah wang input GST yang belum dibayar balik setakat 5 Jun 2018 sebenarnya ialah RM19.47 bilion (Gambar A).


 
Jumlah yang telah diluluskan tetapi belum dibayar hanya RM1.45 bilion dan ini juga kerana pelbagai masalah seperti akaun penerima ditutup, dibeku ataupun kurang dari 30 hari.

Sebanyak RM3.90 bilion merupakan tuntutan pulang balik yang tiada pembekalan bercukai dan sejumlah RM3.52 bilion yang masih dalam siasatan - bermakna wang ini mungkin tidak sah untuk dibayar balik.

Tunggakan yang terbesar pula ialah jumlah RM9.65 bilion yang dikategorikan sebagai wang dalam semakan. Tetapi, laporan audit juga mengesahkan bahawa bahagian terbesar tunggakan ini ialah dari 90 hari ke bawah. (Gambar B)

Tuntutan untuk bulan April dibayar pada bulan Mei manakala tuntutan untuk bulan Mei dibayar pada bulan Jun.

Ini bermaksud bahawa jikalau wang input GST lambat dibayar balik, ianya ialah kesalahan kerajaan PH sendiri.

Yang tidak semak dan tidak bayar ialah PH sendiri.

Laporan audit juga mengesahkan bahawa sebelum ini, pihak kastam di bawah pentadbiran BN dianggap cekap untuk membayar balik tuntutan GST (gambar C).

Setakat akhir tahun 2017, 98.6% dari tuntutan bayaran balik dibayar dalam tempoh kurang dari 100 hari.

Hanya 0.06% dari tuntutan yang diluluskan dibayar balik dalam tempoh 200 hari ke atas.

Terima kasih kepada Jabatan Audit Negara untuk mengesahkan bahawa Guan Eng sebenarya seorang penipu bersiri dan cuba tai-chi kelemahan dan kedangkalan sendiri untuk menyalahkan kerajaan BN dahulu.

Laporan Audit ini juga menunjukkan bahawa ada jumlah yang sangat besar bagi tuntutan bayaran balik yang mungkin tidak sah atau menunjukkan percubaan untuk menipu kastam iaitu RM3.90 bilion untuk mereka yang tiada pembekalan bercukai (no output tax) dan sejumlah RM3.52 bilion yang masih dalam siasatan.

Oleh itu, saya hairan mengapa Guan Eng tergesa-gesa untuk menjarah wang Petronas berpuluh-puluh bilion untuk tahun depan dengan alasan mahu membayar balik tuntutan-tuntutan ini.

Khamis, 6 Disember 2018

Kaji Balik Bayaran PTPTN Secara Potongan Gaji Kata Rafizi.

Rafizi Ramli | Isu PTPTN

1. Saya mendapat pelbagai maklum balas mengenai keputusan pengurusan PTPTN untuk melaksanakan Potongan Gaji Berkali (PGB) untuk mengutip hutang PTPTN.


2. Saudara Anwar Ibrahim dan Saudara Akmal Nasir sudah pun menyuarakan pandangan mereka dan akan membawa perkara ini ke peringkat kerajaan. Begitu juga pimpinan PH yang lain di dalam kerajaan.

3. Pendirian saya mengenai perkara ini adalah jelas. Saya merasakan ia perlu dikaji balik kerana tidak berlaku adil terutamanya kepada mereka yang tiba-tiba terpaksa membayar pada kadar yang besar, apabila peratus potongan itu tidak mengambil kira faktor-faktor lain (keluarga, tanggungan dan lain-lain).

4. Ia juga sangat bertentangan dengan janji PH untuk memastikan hanya mereka yang berpendapatan RM4,000 ke atas sahaja yang perlu membayar, sehingga pendapatan peminjam melebihi RM4,000.

5. Saya juga faham dengan keadaan aliran tunai PTPTN sekarang, iaitu kesukaran untuk terus memberi pinjaman dalam keadaan ansuran hutang terkumpul itu perlu dibayar.

6. Saya pasti ada jalan-jalan lain yang boleh dipertimbangkan, termasuklah mengusahakan “bridging financing” pada kadar yang rendah untuk memberi sedikit masa bernafas kepada PTPTN. 

7. Saya juga berharap PTPTN memberi tumpuan kepada program insentif untuk mempercepatkan pembayaran, bukan terlalu cenderung kepada kaedah pukul rata seperti ini.

8. Pandangan-pandangan seperti ini sudah tentu akan dibincangkan di kalangan menteri-menteri. Saya pasti mereka sedia maklum dengan pandangan rakyat biasa seperti kita.

9. Saya galakkan untuk terus suarakan perkara ini supaya satu penyelesaian yang lebih baik dapat dicapai. - 6 Disember 2018.

BN Tak Rompak Duit 22j Tabung Haji, Kami Siap Derma 8 Juta Kata Najib.

NAJIB RAZAK |Ini ialah salah satu klip berita nasional dari Jun 2017 mengenai wang RM22 juta Yayasan Tabung Haji yang dituduh oleh propaganda PH telah dirompak ataupun diseleweng

Sebenarnya, laporan polis dari TH hari Jumaat tidak mendakwa wang Yayasan itu telah dirompak ataupun hilang.

Laporan itu menuduh bahawa duit RM22 juta Yayasan Tabung Haji telah digunakan pada tahun 2017 untuk aktiviti yang ada kecenderungan politik.


Ia juga tidak mendakwa RM22 juta ini semuanya dari Tabung Haji tetapi dari Yayasan Tabung Haji.

RM22 juta dari Yayasan ini ialah daripada sumber berikut;


- RM7 juta dari wang zakat Tabung Haji 


- RM8 juta dari sumbangan UMNO sebanyak RM8 juta 


- RM 7 juta dari program CSR Kerajaan Persekutuan dan CSR syarikat-syarikat swasta.


Kesemua RM22 juta telah disumbangkan kepada 100,000 penerima dari golongan asnaf melalui tiga program bersama yang diadakan iaitu Ziarah Kasih, Jom Bantu Rakyat dan Ziarah Kasih Ramadan, tahun lalu.

Acara-acara ini mengambil masa beberapa bulan dan tidak pernah dirahsia atau disembunyikan. Malah, ia di beri liputan yang meluas dari media-media tempatan seperti klip ini.

Ia tidak pernah dirahsiahkan.

UMNO tidak rompak RM22 juta dari Yayasan Tabung Haji, Sebaliknya, UMNO menyumbang RM8 juta kepada yayasan ini.

Adakah salah untuk 100,000 orang dari golongan asnaf menerima pertolongan?

 

Rabu, 5 Disember 2018

Rekod Hansard Buktikan Maszlee Tidak Difitnah Isu Masukkan 1MDB Ke Dalam Subjek Sejarah.

LAPORAN | Sebelum ini SU Menteri Pendidikan, Shahrul Aman Saari mengeluarkan satu kenyataan yang menuntut semua pihak media untuk membetulkan laporan berkaitan 1MDB akan dimasukkan ke dalam silibus sejarah.

"Merujuk kepada laporan media yang memetik jawapan lisan UB Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik, yang disampaikan di Dewan Rakyat semalam (3 Disember), ingin ditegaskan bahawa YB Dr. Maszlee tidak sama sekali menyebut kes 1MDB akan dimasukkan ke dalam silibus Sejarah Malaysia.

Semasa menjawab soalan tambahan YB Pontian, YB Dr. Maszlee hanya menyebut bahawa isu 1MDB akan dimasukkan ke dalam sejarah Malaysia,"
kata kenyataan itu yang dipetik.



"Laporan media memetik seolah-olah YB Dr. Maszlee mengatakan kes 1MDB akan dimasukkan ke dalam silibus Sejarah Malaysia adalah tidak tepat. Samada ada ia akan dimasukkan ke dalam silibus terserah kepada jawatankuasa kajian kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Justeru kerjasama media dipohon agar membuat pembetulan bagi mengelakkan kekeliruan di dalam kalangan masyarakat,"
kata kenyataan itu lagi.


Bagaimanapun jawapan dari Kementerian Pendidikan itu menimbulkan polemik di media sosial apabila netizens mempertahankan laporan media tempatan.


Berdasarkan rekod Hansard Parlimen, nampaknya secara jelas Dr. Maszlee menyebut 1MDB akan dimasukkan ke dalam Sejarah Malaysia yang mana ketika itu sedang membincangkan mengenai SILIBUS SEJARAH.

Berikut adalah Hansard Parlimen mengenai isu tersebut;


 

Dan ini pula adalah versi rakaman untuk umum menilai sendiri samada media yang tersalah lapor atau Dr. Maszlee yang menipu;

Najib Kritik Tindakan PH Jual 30% Pegangan Hospital, Stesen Dan Tanah Kerajaan.

NAJIB RAZAK | Jika menteri kewangan PH mengumumkan secara terus bahawa mereka akan jual sekurang-kurangnya 30% dari lapangan terbang, bangunan hospital-hospital awam, stesen keretapi dan tanah-tanahnya, tentu ramai akan membantah.

Sebenarnya, mereka sudah umumkan tetapi ramai rakyat biasa tidak sedar kerana cara licik mereka mengumumkan ini.

Ini ialah petikan dari muka-surat 16 ucapan belanjawan 2019 yang dibahas Menteri Kewangan.



Jelas dinyatakan bahawa mereka akan mewujudkan sesuatu Amanah Pelaburan Hartanah bagi Lapangan Terbang (REIT) yang pertama didunia (maksudknya lain negara tidak buat macam ini).

Kemudian 30% dari unit REIT ini akan dijualkan kepada pihak swasta untuk menjana RM4 bilion - maksudnya nilai 100% tanah dan lapangan terbang yang dijual oleh kerajaan ialah RM13.3 bilion.




Hari ini, semua lapangan terbang dan tanah-tanahnya ialah milik penuh kerajaan.

Syarikat Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pula ada perjanjian konsesi dengan kerajaan untuk menyewanya.

MAHB akan mengutip cukai penerbangan dari pengguna airport untuk membayar sekitar RM400 juta setahun kepada kerajaan sebagai sewa.

Khazanah Nasional merupakan pemilik saham terbesar di MAHB. KWSP ialah kedua terbesar.

Apabila belanjawan ini diumumkan, harga saham MAHB terus menurun sebanyak 12% iaitu kehilangan nilai sebanyak RM1.5 bilion.

Mengapa?

Ini alah kerana kaedah REIT ini ialah cara kerajaan menjual semua lapangan-lapangan terbang yang dimiliknya kepada syarikat REIT ini.

Syarikat REIT akan membayar kerajaan dengan mengeluarkan 100% unit Amanah dalam REIT ini.

Kemudian, kerajaan akan menjual 30% dari unit-unit ini kepada pihak swasta termasuk pelabur asing dengan harga sekitar RM4 bilion.

Selepas ini, MAHB tidak akan membayar sewa kepada kerajaan lagi. Mereka akan bayar kepada syarikat REIT ini.

Untuk menarik pelabur, pulangan dari REIT ini mesti di sekitar 6.25% iaitu pulangan purata untuk REIT-REIT yang lain di negara.

Kalau tidak, ianya lebih senang untuk pelabur untuk melabur dalam bon atau sukuk kerajaan yang memberi pulangan faedah 4%.

Maka, bayaran tahunan dari MAHB kepada REIT ini dijangka naik dari RM400 juta kepada anggaran RM750 juta setahun.

MAHB pula terpaksa menaikkan cukai penerbangan untuk menampung kenaikkan ini. Cukai ini sudahpun diumum akan bertambah sebanyak RM40 seorang tahun depan.

Pada masa yang sama, kerjaan tidak lagi memiliki 100% dari lapangan-lapangan terbang dan tanahnya tetapi hanya 70%.

Oleh kerana pegangan 70% ini di dalam bentuk unit-unit Amanah yang cair (liquid), maka jauh lebih senang untuk kerajaan untuk menjual lagi milik mereka dalam tanah lapangan terbang ini.

Kalau hari ini telah jual 30%, esok boleh jual sampai 60% atau 100%.

Sebenarnya, jika kerajaan perlukan RM4 bilion ini, ianya lebih senang untuk mereka untuk menerbitkan sukuk dengan membayar faedah 4% setahun.

Tidak perlu bayar 6.25% setiap tahun kepada pihak swasta dalam bentuk REIT.

Aturan REIT yang sama juga akan dibuat untuk hospital-hospital awam dan stesen keretapi milik kerajaan seperti dimaklum oleh Menteri Kewangan dalam ucapan Belanjawan 2019 mereka.

Setelah menjual IHH Berhad kepada syarikat Jepun dengan cara rundingan terus tanpa tender dan cadangan untuk menjual 25% kepentingan di dalam PETRONAS maka giliran untuk lapangan terbang, bangunan hospital-hospital awam, stesen keretapi dan tanah-tanahnya menjadi sasaran kerajaan PH untuk dijual.

Semua hospital swasta di bawah IHH Berhad telah dijual kepada Jepun. Giliran hospital-hospital awam tidak lama lagi.

Sampai Beri Cuti Untuk Hadiri Demo ICERD, Ianya Pelik Kata Ahli Akademik.

THE MALAYSIAN INSIGHT | HIMPUNAN Bantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) bukanlah satu keistimewaan sehingga membolehkan rakyat diberikan cuti kata Pensyarah Sains Politik UIAM Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar.

Tunku Mohar berkata walaupun ianya dibenarkan oleh undang-undang negara, tindakan memberikan cuti untuk menghadiri himpunan anjuran parti politik adalah tidak wajar.



“Pada saya memprotes adalah satu hak (rights), bukan keistimewaan (privilege) sehingga melayakkan negeri mendapat cuti.

“Walaupun pemberian cuti itu dibenarkan undang-undang, tetapi pemberian untuk rakyat menghadiri protes sivil yang dianjurkan parti politik (walaupun diberi samaran badan bukan kerajaan) adalah pelik,”
katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Dua parti Melayu Islam terbesar, PAS dan Umno, masing-masing telah menyatakan persetujuan untuk hadir dalam Himpunan Bantah ICERD anjuran sekretariat Gerakan Pembela Ummah (Ummah) di Dataran Merdeka pada 8 Disember depan.

Susulan itu, kerajaan Kelantan mengumumkan 9 Disember 2018 sebagai cuti peristiwa bagi membolehkan rakyat di negeri itu hadir di himpunan tersebut.

“Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri Kelantan mengisytiharkan cuti peristiwa untuk Negeri Kelantan pada 9 Disember 2018 (Ahad) bagi memberi ruang kepada rakyat Kelantan menguruskan perjalanan dengan lancar dan selamat ketika menghadiri himpunan tersebut.

“Berhati-hati di jalan raya dan jagalah keselamatan diri dan keluarga,”
kata Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad juga turun menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama menghadiri himpunan tersebut bagi menzahirkan kecintaan kepada negara Malaysia dengan mesej yang jelas supaya keharmonian masyarakat pelbagai kaum di Malaysia dijaga dan dipelihara. - 5 Disember 2018.

Isnin, 3 Disember 2018

Punyalah Nak Kutuk PAS Laju-Laju Sampaikan Baca Tajuk Berita Jer, Netizens Sindir Kasthuri Patto.

KHAIRUL AZRI | Saya rasa YB Kasthuri ni hanya baca tajuk sahaja tanpa membaca artikel..

Kerana di dalam artikel tersebut ianya membincangkan tentang peraturan mengehadkan waktu sehingga jam 12 tengah malam bagi program berbentuk hiburan yang sudah dilakukan kerajaan negeri sejak 28 tahun lalu selepas PAS mengambil alih Kelantan apabila ditanya mengenai langkah DBKL mengehadkan aktiviti hiburan hingga 1 pagi.


Bagi saya tak ada masalah pun kalau dihadkan sekian-sekian waktu, even kalau di Eropah, hatta kedai biasa pun tutup pukul 6 petang apatah lagi pusat hiburan, ada la 1 2 strip club tapi very designated dan terkawal.

Kemudian YB Kasthuri kononnya nak sindir kerajaan Kelantan yang tutup kedai hiburan dan jadikan kanak-kanak sebagai 'hiburan' berdasarkan keputusan meja bulat Kerajaan Kelantan yang membenarkan perkahwinan bawah umur dengan pengecualian.

Hmm..apakah YB menganggap sebuah perkahwinan itu sebagai sebuah 'hiburan'?

With all due respect YB,

I think you had it coming with your tasteless sarcasms.

Kenapa saya kata begitu,

1. Pendirian Kerajaan Kelantan yang 'digelakkan' oleh YB adalah sama seperti negeri-negeri lain iaitu mengekalkan kebenaran perkahwinan bawah umur dengan pengecualian.

Jadi kenapa 'attack' kerajaan Kelantan saja? kenapa tak persoal keseluruhan negeri-negeri lain yang menggunakan undang-undang yang sama?

2. YB Kasthuri kata dia tak 'mention' Islam dalam 'sarcasm' dia, tapi tahukah YB bahawa memang ada peruntukan perkahwinan bawah umur minima (Umur minima perkahwinan iaitu 18 tahun bagi lelaki dan perempuan 16 tahun) dengan pengecualian yang dibenarkan berdasarkan Seksyen 8 Enakmen Keluarga Islam Kelantan 2002.

Jadi sememangnya 'sarcasm' YB Kasthuri tersebut secara tidak langsung adalah sebuah kritikan terhadap peruntukan undang-undang dan hukum Syara’ yang telah mengambil kira kemaslahatan pasangan bawah umur yang akan berkahwin, samaada YB Kasthuri sedar atau buat-buat tidak sedar.

3. Adakah YB Kasthuri juga telah terlupa bahawa sebenarnya kanak-kanak Non Muslims lebih ramai yang kahwin bawah umur daripada kanak-kanak Muslim.

Data statistik 2017 perkahwinan bawah umur mengikut agama dan etnik telah dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah yang menunjukkan seramai 1,845 orang kanak-kanak bawah umur telah berkahwin dengan pasangan dewasa. Daripada jumlah ini, 968 adalah kanak-kanak bukan Islam manakala 877 kanak-kanak adalah beragama Islam.

Perkara ini juga kini membuktikan masalah perkahwinan bawah umur ini adalah isu nasional, dan bukan sahaja spesifik kepada masyarakat Islam sahaja.

Pecahan etnik Bukan Islam itu pula menunjukkan kanak-kanak etnik Cina paling banyak berkahwin dengan pasangan dewasa, diikuti dengan etnik Sarawak.

Jadi saya rasa, kalau YB Kasthuri betul-betul berniat jujur untuk 'champion' isu ini, Kelantan bukan tempatnya.

Rujuk : Kanak-Kanak Non Muslims Lebih Ramai Kahwin Bawah Umur Daripada Muslim” - DS Wan Azizah https://says.com/…/non-muslim-lebih-ramai-kahwin-bawah-umur…

4. Kami semua tahu bahawa YB Kasthuri juga adalah di kalangan ahli parlimen yang memang menjuarai isu-isu ratifikasi konvensyen-konvensyen antarabangsa di parlimen.

Malah perkataan 'ICERD' itu pertama kali disebut pada sidang parlimen ke-14 ni adalah datangnya dari mulut YB dari Batu Kawan ini sendiri.

Dan kita juga tahu apabila membicarakan mengenai kahwin bawah umur ni..

2 konvensyen antarabangsa iaitu Convention On The Rights Of The Child (UNCRC) dan Convention On The Elimination Of All Forms Of Discrimination Against Women (CEDAW) yang mendesak agar kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah tidak dibenarkan berkahwin tanpa sebarang pengecualian adalah merupakan syor-syor dalam konvensyen-konvensyen tersebut.

Jadi janganlah ingat kami tak nampak yang sebenarnya itu mesej utama yang YB nak bawak pada hari kedepan sebenarnya.. kan YB kan? :)


Sebagai kesimpulan, saya rasa YB Kasthuri janganlah tiba-tiba guna 'play as victim' kad pula, anda yang meminta untuk orang marah kepada anda, and I'm glad you dont regret it.

Harap YB Kasthuri jujurlah tak 'regret' kena maki tu, jangan esok panggil press buat cerita-cerita sedih pula ya. 🤭

Kepada yang Muslim, jaga tutur bicara kita, ini memang SOP biasa depa yang kita kena belajar dan faham, depa bagi kita marah, kita 'flip table', depa highlightkan kemarahan kita juga akhirnya.

Maka, Keep calm and learn to maki dalam hati. 😆

Sekian. - 3 Disember 2018.

"Maka, Adakah Kanak-Kanak Menjadi Hiburan," MP DAP Sindir PAS & Kini Diserang.

POLITIK | Ini susulan dari kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan Dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin, yang dipetik sebagai berkata peraturan mengehadkan waktu sehingga jam 12 tengah malam bagi program berbentuk hiburan sudah dilakukan kerajaan negeri sejak 28 tahun lalu selepas PAS mengambil alih Kelantan.

“Di Kelantan tiada pusat hiburan dibuka, cuma bagi program hiburan seperti dikir barat, persembahan wayang kulit atau pesta sememangnya sudah ditetapkan sehingga jam 12 tengah malam saja.

“Sementara pada Khamis waktu malam, tiada sebarang program hiburan boleh diadakan di negeri ini,”
katanya ketika memberikan respon mengenai tindakan terbaru DBKL yang akan mengehadkan waktu operasi premis hiburan sekitar Kuala Lumpur sehingga jam 1 pagi sahaja.


Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto yang membaca laporan tersebut kemudiannya memberikan ulasan di Facebooknya;


"Maka, adakah kanak-kanak menjadi hiburan?," soalnya dalam kenyataan itu.

Netizens muslim kemudiannya menyerang Ahli Parlimen Batu Kawan itu di ruangan komen. Berang dengan serangan bertubi-tubi itu, Kasthuri Patto kemudiannya menjawabnya di satu post yang baru.

"Sejak beberapa jam yang lepas, saya digelar rasis, keling, pendatang, dan pelbagai lagi penghinaan yang lain hanya kerana saya mempersoalkan adakah kanak-kanak kini adalah hiburan di Kelantan memandangkan pusat hiburan akan ditiadakan.

Tambahan, kerajaan Kelantan juga menyebut, perkahwinan kanak-kanak adalah satu keperluan.

Tidak pula saya menyebutkan dan mengaitkan ia dengan Islam, satu agama yang saya sangat hormati.

Adakah saya menyesal bertanya? TIDAK.

Pi mampuih la pemangsa kanak-kanak," jelasnya dalam kenyataan itu.

Untuk rekod, dalam laporan berita yang disiarkan menerusi portal Berita Harian itu, dengan jelas kerajaan negeri memberitahu sejak 28 tahun yang lalu, pusat hiburan tidak dibenarkan beroperasi di Kelantan dan bukannya AKAN TIDAK DIBENARKAN BEROPERASI SELEPAS INI.

Kami berpendapatan Kasthuri Patto telah tersalah tembak berikutan kesalahan fakta (menerusi pembacaannya sendiri).

Bagaimanapun difahamkan Kasthuri Patto telah pun meminta maaf dalam satu kenyataan yang dipetik dari Facebooknya;


Namun kenyataan maafnya itu dan post-post lain yang berkaitan atas isu ini dilihat tidak dapat diakses oleh orang awam.

Tidak dapat dipastikan samada Ahli Parlimen itu bertindak memadamkan atau menyembunyikan ia dari penglihatan netizens. - 3 Disember 2018.

Peguam PKR Tegur PH Siasat Papa Gomo Dibawah Akta Hasutan Yang Zalim Dan Tidak Adil.

POLITIK | Peguam PKR, Latheefa Koya hari ini menegur tindakan kerajaan Pakatan Harapan kerana menyiasat blogger UMNO, Papa Gomo ataupun nama sebenarnya Wan Muhammad Azri dibawah Akta Hasutan.


Menurutnya Akta Hasutan, SOSMA dan POCA ialah akta yang menzalimi rakyat dan tidak berperlembagaan.


Akta-akta seperti itu katanya perlu ditolak kerana bersifat tidak adil.

 

"Langsung tak setuju penggunaan Akta Hasutan, SOSMA atau POCA ke atas mana-mana individu termasuk orang macam Papagomo dan Ibrahim Ali. Akta ini adalah zalim dan tidak berperlembagaan.

Bila kita tolak Akta Hasutan dan Sosma dan POCA - bukan sebab ianya digunakan ke atas kawan-kawan atau penyokong PH - kita harus tolak sebab ianya akta yang tidak adil.

Kalau ada kenyataan-kenyataan berbaur ugutan untuk merusuh, dan menggunakan keganasan - ada kesalahan-kesalahan yang sedia ada seksyen 504 & 505 Kanun Keseksaan.

Kalau memang orang merusuh, mengganas dan sebagainya - memang ada kesalahan-kesalahan sedia ada , sila rujuk Bab VIII Seksyen 141-160 Kanun Keseksaan,"
katanya lagi kenyataan itu.



Peguam itu juga menyeru agar kerajaan tidak mengamalkan sikap pilih kasih dan melupakan janji mereka ketika berkempen pilihanraya ke 14 dulu.


"Sangat mengecewakan kalau kabinet mungkir janji dengan menggunakan Akta-akta ini bagi kononnya tujuan membendung kegiatan-kegiatan mereka ini.

Jangan double standard la.

Mereka boleh protest - anti ICERDkah, anti pakai baju putih kah, baju kuning etc. kalau bising, jerit-jerit sampai tekak kering pun takpe. takde hal.

Selagi aman dan tidak berunsur keganasan - mereka tidak patut dihalang. biarlah,"
katanya lagi dalam kenyataan itu.

Ahad, 2 Disember 2018

Terbukti Pendedahan Mengenai Tabung Haji Benar Walaupun PAS Pernah Beri Cop 'Puas Hati' - Rafizi Ramli.

RAFIZI RAMLI | Dalam banyak-banyak pendedahan yang saya pernah terlibat, antara sumpah seranah yang paling teruk saya terima adalah bila saya bangkit bercakap mengenai kepincangan kewangan Tabung Haji.

Saya mula mempersoalkan penglibatan dana Tabung Haji dengan 1MDB sejak Mac 2015.

Apabila rizab Tabung Haji menjadi negatif seperti yang disahkan surat dari Bank Negara, saya mula memberi perhatian meneliti kedudukan kewangan Tabung Haji dan pelaburan-pelaburan Tabung Haji yang gagal.

Berpuluh-puluh analisis saya mengenai masalah kewangan Tabung Haji boleh dibaca di https://rafiziramli.com/category/tabung-haji/

Saya dikeji secara berterusan, baik dari kalangan penyokong Umno, PAS mahupun rakyat biasa. Tidak ramai sahabat-sahabat yang berani datang memberi sokongan kerana takut menjadi mangsa serangan juga.

Saya ditahan, didakwa dan masih menjalani perbicaraan kononnya memfitnah Tabung Haji. Ada pimpinan kanan yang menuduh kononnya saya telah menyebabkan ribuan orang Islam tidak boleh menunaikan ibadah haji.

Tidak cukup dengan makian berjemaah selama beberapa tahun, pengurusan Tabung Haji sebelum ini telah mendapatkan cop “puas hati” dari pimpinan PAS.

Oleh kerana pimpinan PAS telah memberikan cop “puas hati”, makian berjemaah itu makin berganda.


Saya dimaklumkan laporan polis telah di buat terhadap bekas pengurusan kanan Tabung Haji, termasuk seorang pengurusan kanan yang menjadi saksi utama dalam kes saya di mahkamah.

Saya berdoa supaya lebih ramai rakyat Malaysia yang boleh menilai sesuatu isu melangkaui pandangan sempit kepartian.

Apabila saya mengambil risiko membongkar masalah pengurusan di Tabung Haji, sepatutnya fakta yang saya bentangkan itu diambil kira. Jangan kerana pembongkaran itu datang dari seorang pemimpin parti lawan, fakta yang dibawa ditolak bulat-bulat dan dibalas dengan satu ungkapan mudah: “Ini semuda fitnah”.

Saya akan terus meneliti setiap satu kes berdasarkan fakta dan ilmu yang ada pada saya. Walaupun sepatutnya tanggungjawab meneliti prestasi kerajaan persekutuan dipikul oleh pembangkang (UMNO dan PAS), saya akan tetap meneliti dan bersuara.

Kalau saya sanggup ke penjara sebelum ini bersuara mengenai Tabung Haji walau diserang hebat, In Sha Allah saya berkemampuan untuk terus bersuara sekarang.

Saya hanya berdoa rakyat dan penyokong tegar parti-parti (baik PH, UMNO atau PAS) lebih terbuka meneliti setiap fakta.

Jangan ulangi episod Tabung Haji – walaupun faktanya jelas, ramai-ramai bersekongkol menyembunyikan kerosakan dan menidakkan kebenaran hanya kerana yang membawa fakta itu seorang dari parti lawan.

17 Laporan Polis Papa Gomo Disiasat, 150 Laporan Polis, P. Waytha Masih Tak Disiasat - Asyraf Wajdi.

POLITIK | Ketua Pemuda UMNO, Dr. Asyraf Wajdi mempersoalkan kenapa tiada tangkapan dibuat ke atas Menteri Perpaduan, P. Waytha Moorthy meskipun lebih dari 150 laporan polis telah dibuat ke atas Menteri Perpaduan itu.


Asyraf Wajdi membuat kenyataan itu susulan penahanan ke atas Papa Gomo yang dikaitkan dengan satu rakaman video tular di sosial media sejak tiga hari lepas.

Rakaman itu menyaksikan Papa Gomo yang sedang berucap di atas sebuah pentas dipercayai ceramah anjuran Pemuda UMNO berkaitan demo Icerd.

Papa Gomo dipercayai mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman ketika berucap dan itu menyebabkan beberapa laporan polis dibuat ke atasnya.

"Papagomo ditahan selepas menerima 17 laporan polis keatasnya. Bila pula nak tahan Menteri P. Waythamoorthy yang menerima lebih 150 laporan polis? 


Exco DAP V Ganabatirau yang mengapikan perkauman isu kuil dan turut menerima laporan polis, bila nak ditahan? 

Prinsip ‘Rule of Law’ model Malaysia Baharu Kerajaan PH mesti dilaksanakan. 

Siapa sahaja yang disyaki memainkan sentimen perkauman dan melakukan perkara-perkara yang membelakangi prinsip Perundangan dan Perlembagaan wajar disiasat secara adil dan saksama tanpa mengira kedudukan dan latar belakang mereka," katanya dalam satu kenyataan pada jumaat. - 2 Disember 2018.

Kerajaan Rancang Jual Petronas, Najib Kata Jangan.

NAJIB RAZAK | Media antarabangsa telah melaporkan bahawa menteri-menteri kerajaan PH sudah pun memulakan rancangan dan pengaturan untuk menjual 25% kepentingan Petronas melalui satu penyenarain di bursa saham. https://bit.ly/2AJmKwz

Apabila ditanya oleh media bisnes tempatan sebulan lalu, PM ke-7 juga tidak menafikan bahawa langkah untuk menjual Petronas sedang dibincang.

"“We haven’t decided. We will let you know when the time comes,” the PM told the media ", mengikut petikan laporan media itu.

(Kami belum buat keputusan. Kami akan beritahu anda apabila tiba saatnya).

Media tempatan ini melaporkan bahawa penjualan 25% saham dalam Petronas bakal memberi dana sebanyak RM200 bilion kepada kerajaan PH yang boleh digunakan untuk menutup kehilangan hasil GST setiap tahun dan untuk menutup defisit belanjawan PH yang lebih besar yang dijangka akan berterusan untuk beberapa tahun. https://bit.ly/2E8S5x0

Penjualan dan penyenaraian Petronas ini sangat dinanti-nantikan oleh pelabur asing.

Media Jepun terunggul Nikkei pernah melaporkan pada Jun lalu memetik presiden dan pemilik syarikat Filipina San Miguel yang juga pemilik syarikat minyak Petron sebagai berkata bahawa kerajaan Malaysia akan melakukan proses penswastaan dan penjualan aset secara besar-besaran tidak lama lagi.

Presiden San Miguel berkata ini peluang yang baik untuk mereka kerana mereka sangat berminat terhadap aset petroleum dan sumber tenaga Malaysia. https://s.nikkei.com/2E93Mne


Laporan Nikkei ini tidak pernah dinafikan oleh mana-mana pemimpin PH setakat ini.

Beberapa bulan ini, saya pernah menulis bahawa aset Petronas sudah naik lebih dari satu kali ganda semasa tempoh pentadbiran saya dan aset wang tunai Petronas sudah melambung kepada RM150 bilion sebelum PH mengambil alih kerajaan.

Kita juga telah dimaklumkan bahawa kerajaan PH akan memaksa Petronas untuk membayar dividen sebanyak RM82 bilion kepada mereka untuk tahun ini dan tahun depan. Ini satu penjarahan.


Saya juga pernah tulis bagaimana projek RAPID Petronas yang kini telah beroperasi dan pelaburan Petronas di projek gas di Kanada akan banyak menguntungkan dan menjamin masa depan Petronas dan negara.

Oleh itu, saya sangat harap bahawa Petronas tidak akan dijual oleh kerajaan PH tidak lama lagi seperti penjualan syarikat MNC bertaraf global IHH Berhad secara rundingan terus tanpa tender oleh Khazanah kepada negara Jepun minggu lepas.

Biar Petronas terus memain peranan sebagai rizab dan Khazanah masa depan untuk seluruh rakyat Malaysia dan negeri-negeri pengeluar minyak seperti Kelantan, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak - bukan untuk pihak swasta dan untuk kepentingan syarikat asing. - 2 Disember 2018.

UMNO & PAS Makin Melalut Dengan Tujuan Berhimpun 8 Disember Ini - Shahbudin Husin.

SHAHBUDIN HUSSIN | Kira-kira seminggu sebelum berlangsungnya Himpunan Bantah ICERD pada 8 Disember yang pada asasnya sudah tidak relevan lagi untuk diteruskan, UMNO dan Pas kelihatan semakin keliru dan melalut dengan tujuan mereka berhimpun itu.

Sebaik kabinet membuat keputusan tidak akan meratifikasikan ICERD pada 23 November lalu, ikut hukum akal yang waras, himpunan itu tidak sepatutnya lagi diteruskan.

Bagaimanapun UMNO berkeras untuk meneruskannya dengan alasan ia sebagai tanda terima kasih kepada kerajaan kerana tidak meratifikasikan ICERD akhirnya.

Senada dengan pendirian UMNO itu, Pas pula mengatakan mereka mahu terus berhimpun sebagai tanda kesyukuran lantaran kerajaan kesudahannya membuat keputusan membatalkan pengesahan terhadap ICERD.

Lagi pun, kata Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, sukar untuk mereka membatalkan begitu saja daripada berhimpun kerana baju-T, bas, bilik hotel dan lain-lain persiapan sudah pun ditempah.


Kemudian selepas itu, Hadi Awang pula berhujah bahawa Pas mengambil keputusan meneruskan penyertaan dalam perhimpunan membantah ICERD kerana ingin mengajar sesetengah menteri yang didapati masih mengeluarkan kenyataan membayangkan seolah-olah konvensyen PBB itu akan diratifikasi juga pada suatu hari nanti.

Kata Hadi, menteri perlu menghormati Perdana Menteri yang sudah pun mengeluarkan kenyataan tidak akan menandatangani ICERD itu.

Sementara itu, UMNO pula menerusi Ketua Pemudanya, Asyraf Wajdi Dusuki berkata, himpunan 8 Disember nanti bukan saja untuk membantah ICERD, tetapi juga bertujuan menuntut janji daripada Pakatan Harapan.

Tegasnya, ini berikutan masih banyak janji Pakatan Harapan kepada rakyat masih belum ditunaikan sehingga kini.

Apa yang nyata di sebalik semua ini ialah UMNO dan Pas jelas tidak konsisten berhubung sebab dan tujuan mereka berhimpun pada 8 Disember nanti, walaupun setelah kerajaan memutuskan tidak akan meratifikasikan ICERD.

Daripada untuk berterima kasih dan bersyukur, ia kemudian berubah kepada alasan kononnya disebabkan baju T, bas dan hotel sudah ditempah dan kemudian bertukar pula untuk tujuan mengajar sesetengah menteri serta menuntut janji-janji ditunaikan.

Kenapa berubah-ubah dan kian melalut?

Menjelang hari-hari terakhir atau sehari dua sebelum 8 Disember ini, tidak mustahil UMNO dan Pas akan memberi sebab dan tujuan lain pula mengapa mereka meneruskan juga perhimpunan itu.

Sebabnya tidak lain ialah UMNO dan Pas mengadakan himpunan 8 Disember ini semata-mata kerana tujuan politik semata-mata. Mereka sentiasa mengubah tujuannya untuk mewajarkan perhimpunan itu sambil mengabuinya daripada penyokong masing-masing.

ICERD hanyalah 'kambing hitam' untuk menghalalkan matlamat politik kedua-dua parti itu untuk menekan, menghasut, menimbulkan huru-hara dan jika boleh, akhirnya menjadikan kerajaan pimpinan Tun Mahathir terus tidak stabil dengan sentimen kaum dan agama yang akan terus dibakar dan diapi-apikan.

Itu saja tujuannya. Titik. - 2 Disember 2018.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...