Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Sabtu, 9 Mei 2020

Maszlee Tolak Jawatan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Mara Corp.

Kenyataan Media | Saya mengambil maklum berita yang telah tersiar mengaitkan nama saya dengan lantikan di sebuah agensi kerajaan.

Saya percaya, apa-apa sahaja bentuk lantikan adalah amanah dari rakyat, dan harus pulang kepada rakyat. Kepentingn rakyat adalah paksinya dan bukannya keuntungan peribadi.

Perhitungan saya jelas, keputusan yang bakal saya lakukan mesti selari dengan mandat yang diberikan kepada saya dari penyokong dan rakyat Simpang Renggam khususnya, juga rakyat Malaysia umumnya.


Buat masa ini, saya lebih terkesan dengan kesempitan hidup rakyat dan tekanan ekonomi yang dihadapi gara-gara bencana Covid-19. Di Simpang Renggam sendiri, terlalu banyak keluarga yang tersadai derita dan perlu dibantu.

Justeru itu, saya tidak boleh menerima lantikan ini buat masa ini. Kita masih belum menang melawan Covid-19. Negara kita harus menang dahulu, bebas dari bencana, dan kehidupan rakyat kembali stabil.

Saya yakin banyak pembangunan dan kemajuan yang telah dicapai sejak penubuhan MARA, dan banyak lagi potensi yang boleh dikembangkan. MARA telah berjaya melahirkan ramai golongan profesional dan usahawan bumiputera yang secara tidak langung telah membantu memartabatkan ekonomi golongan bumiputera.

Agensi ini perlu memberikan tumpuan sepenuhnya untuk benar-benar membantu golongan B40, pekerja makan gaji hari, juga bumiputera yang telah kehilangan kerja dan ramai lagi kelompok rakyat yang terjejas akibat Covid-19. Mereka sangat-sangat perlu dibantu.

YB Dr Maszlee Malik
Ahli Parlimen Simpang Renggam

Jumaat, 8 Mei 2020

Maszlee Malik Dilantik Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Mara Corp.

Politik | Dr Maszlee Malik dilantik sebagai Pengerusi Jawantankuasa Penasihat Mara Corp. Perkara itu diumumkan oleh Majlis Amanah Rakyat dalam satu kenyataan petang tadi.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, seramai tujuh lain orang juga telah dilantik sebagai Ahli majlis Mara yang baharu berkuatkuasa 15 Mei ini.


Kesemua tujuh orang yang dilantik itu ialah ;

1. Prof. Datuk Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha

2. Datuk Siti Zauyah Md Desa

3. Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi

4. Datuk Jamelah Jamaluddin

5. Zainal Abidin Kidam

6. Datuk Sr. Md Alwi Che Ahmad

7. Datuk Nor Azri Zulfakar

Terdahulu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, mengumumkan perlantikan

Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun sebagai pengerusi baharu Majlis Amanah Rakyat (Mara) berkuat-kuasa 1 Mei.

Watikah pelantikan dilakukan secara atas talian pada Jumaat.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar turut mengumumkan pelantikan Datuk Dr. Syed Muhamad Syed Kadir sebagai Pengerusi Mara Corporation Sdn. Bhd. (Mara Corp.).

Mara Corp akan dibantu oleh Jawatankuasa Penasihat yang dipengerusikan oleh Maszlee bagi memastikan Mara Corp berperanan seperti mana yang dihasratkan.

Datuk Abdul Halim Mansor pula dilantik sebagai Pengerusi GIATMARA. - 8 Mei 2020.

Rabu, 6 Mei 2020

MT UMNO Sebulat Suara Tolak Cadangan Penubuhan Perikatan Nasional Secara Rasmi.

POLITIK | Portal Malaysia Gazette melaporkan MT UMNO telah menolak cadangan penubuhan Perikatan Nasional ataupun mana-mana cadangan untuk mendaftarkan ia sebagai satu entiti politik. 



Laporan itu menyebut cadangan mengenainya dibincangkan dalam mesyuarat yang diadakan baru-baru ini.

Menurut MalaysiaGazette, kepimpinan dalam UMNO sebenarnya sebulat suara menolak cadangan penyertaan atau penubuhan PN itu.

“Tidak ada kompromi dalam perkara itu. Semua tolak cadangan tersebut malah selama ini pun UMNO tidak pernah sertai PN seperti entiti politik BN. Semua tidak mahu.

“Kita akan adakan semula mesyuarat khas membabitkan kesemua ahli Parlimen dari UMNO dan juga pemimpin komponen BN dalam masa terdekat bagi membincangkan dan muktamadkan perkara ini.

“Ingat ya, UMNO adalah parti politik terbesar masyarakat Melayu untuk sekian lama dan ianya sangat terikat dengan semangat setiakawan antara gabungannya seperti MCA, MIC, PBRS.

“Kita tidak pernah ada apa-apa perjanjian dalam bentuk apa jua dengan PN jauh sekali antara PPBM dan GPS. Kita bersatu melalui satu persefahamaan selamatkan Malaysia dengan mengangkat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri. UMNO berkorban demi rakyat dan negara.

“Tetapi setahu saya, pengamatan saya sememangnya tidak, tidak ada sesiapa yang berminat dengan penubuhan PN sebagai satu entiti politik atau gabungan seperti BN. Tidak mungkin impian itu akan menjadi realiti,”
lapor portal itu pada Rabu.



Portal itu turut melaporkan antara punca kepada penolakan penubuhan PN ialah;


- Isu-isu berkaitan pembahagian kerusi antara UMNO dan PPBM.

- Kerusi-kerusi tradisional UMNO yang kini sudah menjadi ‘milik’ Bersatu selepas wakil rakyat UMNO melompat ke parti tersebut sejurus selepas kalah pada Pilihan Raya Umum lepas.

- Krisis dalaman politik Bersatu masih lagi menjadi tanda tanya dan ianya hanya boleh diselesaikan melalui pilihan raya parti yang sehingga kini belum lagi nampak tanda-tanda akan berlaku pada masa terdekat.


Baru-baru ini juga, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dengan lantang menegaskan, parti itu tidak pernah menyertai PN sebaliknya ianya hanya satu persefahamaan menyelamatkan Malaysia.

Secara mudahnya, ia adalah persefahaman untuk membentuk Kerajaan dan mentadbir Malaysia kerana kegagalan PH dan tidak lebih dari itu, kata Mohamad.

Persefahaman itu berbeza dengan kerjasama politik UMNO dengan Pas yang dikenali sebagai Muafakat Nasional (MN) kerana kerjasama itu diurus secara rasmi melalui Piagam Muafakat Nasional dan telah melalui pelbagai proses sumbangsaran termasuk dibincangkan di Perhimpunan Agung sebelum Piagam tersebut dimeterai.


Selain daripada Mohamad Hasan, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran juga melahirkan rasa tidak senang beliau dengan segelintir pemimpin mendesak supaya disegerakan penubuhan PN atau MN sebagai satu entiti politik berdaftar seperti BN.

Jelas Vigneswaran, tidak ada keperluan untuk begitu tergesa-gesa dalam cuba membubarkan BN dan menjadikan PN sebagai satu entiti poliitk ketika kini lagi-lagi dengan pelbagai kemelut serta krisis masih lagi tidak selesai sehingga kini, lapor portal itu lagi. - 6 Mei 2020.

2/3 Ahli ARMADA Setuju Usul Kembali Semula Ke PH.

POLITIK | Sebentar tadi ARMADA, sayap pemuda PPBM telah mengeluarkan kenyataan media bahawa ARMADA bersetuju untuk bersama PH semula.


2/3 ahli ARMADA memutuskan;



- Menyokong penuh pendirian Tun Mahathir untuk tidak bekerjasama dengan UMNO



- Kembalikan mandat rakyat semula sepertimana keputusan PRU14 yang lepas dan bekerjasama dengan Pakatan Harapan.



ARMADA turut menjelaskan tiada ahli yang menolak ataupun membuat bantahan untuk kembali bekerjasama dengan PH namun terdapat ahlinya yang memilih untuk berkecuali.


Cakap-cakap politik untuk PPBM kembali semula berkerjasama dengan PH mula diperkatakan sejak 2 minggu lepas dan semakin hangat apabila Mukhriz Mahathir membuat kenyataan yang PPBM perlu kembali bekerjasama dengan PH untuk kembalikan maruah parti itu yang dianggap telah dibuli oleh parti komponen dalam PN terutamanya sekali, oleh UMNO. - 6 Mei 2020.

Isnin, 4 Mei 2020

Negara Lain Laksanakan Hukuman Mati & Penjara Seumur Hidup Untuk Pemandu Mabuk - Zahid Hamidi.

Zahid Hamidi | SEGERA PINDA UNDANG-UNDANG SEDIA ADA BAGI MENGELAKKAN PEMANDU MABUK MEMBUNUH MANGSA TIDAK BERDOSA

1. Kejadian menyayat Subuh Ramadhan Ahad pagi dan beberapa tragedi langgar maut menuntut kita segera membuat pindaan rang undang undang jalanraya bagi mengelakkan kematian rakyat kita yang tidak berdosa di mana antaranya adalah seperti:-

• Hiew Nyuk Wei, 30 tahun (8 Julai 2018)

• Clawence Wong Vun Kit, 21 tahun, (8 Julai 2018)

• Roslinda Isa, 44 tahun (16 Jun 2019)

• Saidi Dollah, 52 tahun (9 Julai 2019)

• Muhammad Amin Najmi Azaman, 19 tahun (11 Febuari 2020)

• Yusuf Hussin, 42 tahun (10 Febuari 2020)

• Zuriana Hasan, 36 tahun (9 Febuari 2020 kemalangan, 5 April 2020 meninggal dunia)

• Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31 tahun (3 Mei 2020)


* Ini hanya sebahagian kematian dilaporkan oleh media. 


2. Negara ini memerlukan undang-undang yang lebih tegas dalam mendidik masyarakat supaya lebih berdisiplin dan memastikan tiada sebarang kecuaian yang boleh mengakibatkan kematian atau kecacatan kepada pihak yang tidak berdosa.

3. Saya menyarankan agar Kerajaan mengambil langkah segera dan proaktif dengan meminda undang-undang sedia ada di dalam KANUN KESEKSAAN dan AKTA PENGANGKUTAN JALAN 1987 dengan memasukkan hukuman yang lebih berat kepada pemandu-pemandu mabuk yang cuai dan menyebabkan kematian atau kecederaan kepada pihak yang tidak berdosa agar ianya dapat memberi pengajaran seumur hidup kepada mereka serta peringatan kepada pihak lain.

4. Hukuman-hukuman seperti digantung lesen seumur hidup, penjara seumur hidup, rotan dan hukuman bunuh adalah antara bentuk hukuman yang telah diamalkan di beberapa Negara luar terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian kepada pihak ketiga dan ianya terbukti berkesan di Negara tersebut.

5. Selain itu saya juga mengusulkan agar Kementerian Pengangkutan mengadakan kempen kesedaran “HIDUP BUKAN PERMAINAN, JIKA MABUK JANGAN MEMANDU”.

6. Negara ini sama sekali tidak menghalang masyarakat bukan beragama Islam dari meminum arak kerana menghormati amalan dan budaya mereka yang menjadi tunjang kepada keamanan selama ini. Walaubagaimanapun, mereka perlulah berdisiplin serta mengamalkan gaya hidup yang sihat dan mengelakkan dari memandu di dalam keadaan mabuk yang boleh memudaratkan pihak lain yang tidak berdosa.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...