ADAKAH penyelesaian skandal “kehilangan” hak milik tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, semudah itu?
Pengerusi Felda Shahrir Samad senyum terima "penyelesaian" |
Adakah kes itu dikira selesai semata-mata hanya kerana hak milik ke atas 16 lot tanah yang dikatakan hilang itu sudah dipulangkan?
Kalau itulah caranya, nampak sangat bahawa ada silap mata dalam “kehilangan” dan “perolehan balik” tanah bernilai tinggi itu.
Hanya orang betul bendul dan tidak tahu apa-apa sahaja akan percaya penyelesaian ajaib ala wayang kulit itu.
Jadi elok sangatlah audit forensik dan siasatan polis ke atas bagaimana sebuah syarikat persendirian berjaya mengambil alih pemilikan tanah itu diteruskan seperti yang dikatakan oleh Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil), Mohd Najib Abdul Razak.
Dalam satu pesanan “Tweet” hari ini yang dilaporkan oleh New Straits Times atas talian, Najib berkata dia bersyukur 16 lot tanah itu dipulangkan tanpa sebarang kos.
Inilah yang menakjubkan. Bagaimanakah tanah yang dianggarkan bernilai RM270 juta, dengan nilai terbangun kasar (gross development value) melebihi RM1 billion, boleh dipulangkan tanpa kos?
Kalau pemindahan hak milik tanah itu dilakukan dengan telus mengikut undang-undang, tentulah ada perjanjian dan pembayaran.
Bila ada perjanjian dan pembayaran, maka pemindahan balik hak milik kepada Felda pun mesti ada perjanjian dan pembayaran.
Tetapi macam Najib sendiri akui, pemulangan hak milik tanah itu kepada Felda tidak melibatkan sebarang bayaran atau kos?
Jadi apakah jenis urusan jual-beli yang menyebabkan tanah itu terlepas daripada tangan Felda dan kemudiannya dimajukan menjadi Kuala Lumpur Vertical City?
Apakah sebenarnya syarikat Synergy Promenade Sdn Bhd yang memulangkan 16 lot tanah itu kepada Felda dan siapakah di belakangnya?
Apa kita ketahui daripada laporan media ialah ia diwakili oleh seorang ahli lembaga pengarahnya bernama (Datuk) Marina Hashim.
Carian Internet mendapati Synergy Promenade ini adalah syarikat kontraktor dan peniagaan umum yang ditubuhkan pada tahun 2000.
Kalau Marina Hashim itu sama dengan wanita yang dipersembahkan oleh majalah Nona pada 18 September tahun lalu, maka dia adalah seorang jelitawan dan ibu dalam usia 40-an.
Dalam laporan itu, majalah tersebut memetik salah seorang anaknya, Muhammad Nuraiman Rayyan Erwazri, sebagai berkata ibunya “bekerjasama rapat dengan pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).” Sesiapa yang berminat boleh baca DI Sini.
Jadi audit forensik dan penyiasatan polis yang Najib sebutkan itu perlulah memastikan apakah bentuk kerjasama rapat di antara wanita itu dengan pengurusan Felda.
Memandangkan banyaknya kejadian berbentuk skandal dan rasuah yang berlaku dalam Felda dan Felda Global Ventures (FGV) yang kesemuanya mengancam kepentingan peneroka Felda serta generasi kedua Felda, maka wajiblah skandal tanah Jalan Semarak ini disiasat hingga ke akar umbi.
Manalah tahu mungkin benar-benar wujud apa yang dipanggil “FGVMafia” dalam FGV dan Felda yang menjadi dalang menghisap darah peneroka.
Wallahuaklam.