Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Sabtu, 25 Januari 2020

#Koronavirus : Tiada Sekatan Ke Atas Pelancong China Setakat Ini - Tun Mahathir.

THE MALAYSIAN INSIGHT | TIADA rancangan untuk melarang pelancong dari China daripada memasuki negara buat masa ini susulan penularan wabak koronavirus, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.


Bagaimanapun katanya, pihak berkuasa akan meningkatkan pemeriksaan di pintu masuk negara dan memeriksa setiap pelancong yang masuk ke Malaysia.

“Kita tiada rancangan untuk halang mereka. Kita akan jalankan pemeriksaan terhadap pelawat yang masuk. Kita boleh kesan mereka pada peringkat awal dan kita ada bukti mereka dijangkiti virus berkenaan,” kata Dr Mahathir kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina Gerakan, di ibu negara hari ini.

Terdahulu hari ini, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan tiga individu dijangkiti koronavirus.

Dzulkefly berkata, ketiga-tiga mangsa yang berasal dari Wuhan, China memasuki negara ini dari Johor Bahru kini sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh dan berada dalam keadaan stabil.

“Mereka dilaporkan menaiki penerbangan dari Guangzhou ke Singapura pada 20 Januari. Saringan awal tidak menunjukkan tanda-tanda demam dan mereka tidak ada simptom jangkitan.

“Seterusnya sampel klinikal mereka diambil untuk ujian pengesanan dan ujian Novel Coronavirus di Makmal Kesihatan Awam di Sungai Buloh dan kes itu disahkan malam tadi,” katanya. –  25 Januari 2020.

3 Pelancong China Di Malaysia Positif Wabak Wuhan, Ini kenyataan KKM.

Kenyataan Media | PENGESANAN KES YANG DISAHKAN DIJANGKITI 2019 NOVEL CORONAVIRUS (2019-nCoV) DI MALAYSIA  

KKM ingin maklumkan mengenai tiga (3) kes yang disahkan dijangkiti 2019 novel coronavirus (2019-nCoV) dalam kalangan kontak rapat kepada dua (2) kes yang merupakan bapa dan anak, yang terdahulu disahkan dijangkiti penyakit yang sama oleh Kementerian Kesihatan Singapura (KKS). 

  
Ujian pengesanan dan pengesahan bagi kesemua mereka diperolehi dari pihak Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh lewat malam semalam.

Tiga kes positif tersebut merupakan ahli keluarga terdekat kepada kes positif di Singapura, iaitu lelaki berumur 66 tahun dari Wuhan, China.

Mereka dilaporkan telah menaiki pesawat dari Guangzhou ke Singapura pada 20 Januari 2020. Kes tersebut bersama anak lelakinya didapati bergejala dan dimasukkan ke hospital di Singapura pada 22 Januari 2020. Kedua-dua mereka telah disahkan positif oleh KKS.

Seramai sembilan orang telah menaiki pesawat bersama kes pertama yang berumur 66 tahun itu; iaitu isteri, anak lelaki, menantu perempuan, dua (2) orang cucu dan satu lagi keluarga berempat (terdiri dari sepasang suami isteri dan 2 anak mereka), yang merupakan kawan baik keluarga kes. 

KKM telah menerima pemakluman mengenai keputusan ujian positif yang diperolehi untuk kes pertama dari KKS, yang turut memperincikan maklumat mengenai kontak rapat beliau yang berada di Malaysia.

Melalui perkongsian maklumat tersebut pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor telah bertindak segera dengan mengesan kesemua lapan (8) orang kontak terbabit dan melakukan saringan kesihatan bagi memeriksa status kesihatan mereka.

Saringan awal mendapati mereka tidak demam dan tidak mempunyai sebarang gejala jangkitan. Sampel klinikal seterusnya telah diambil dalam kalangan kontak tersebut untuk menjalani ujian pengesanan dan selanjutnya pengesahan 2019-nCoV di MKAK Sungai Buloh.

Kesemua kontak tersebut seterusnya telah diletakkan di bawah Perintah Pemantauan dan Pengasingan oleh JKN Johor sementara menunggu keputusan ujian yang dijalankan ke atas mereka.

Untuk makluman, tiga kes yang dikesan positif melalui ujian yang dijalankan oleh MKAK adalah isteri dan dua (2) orang cucu kepada kes pertama di Singapura.

Mereka kini dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh bagi menerima rawatan selanjutnya dan kesemuanya berada dalam keadaan stabil. Manakala lain-lain kontak yang dikesan adalah negatif bagi 2019-nCoV.

*TINDAKAN KKM SETERUSNYA*

Mengambilkira perkembangan terkini, pasukan Rapid Response Team (RRT) dan Rapid Assessment Team (RAT) di lapangan telah diaktifkan serta merta bagi menjalankan aktiviti pengesanan kontak di lapangan.

Semua anggota kesihatan adalah diingatkan untuk memberikan perhatian serius terhadap pemakaian peralatan perlindungan diri (PPE) yang betul serta mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan infeksi yang optimum pada setiap masa.

Saringan pesakit di semua fasiliti kesihatan perlu dilaksanakan dengan teliti, bagi memastikan kes yang memenuhi akan dirujuk bagi menjalani penyiasatan selanjutnya.  

Kejadian wabak jangkitan ini dipandang serius oleh KKM, justeru suatu tatacara mengenainya yang melibatkan fasiliti kesihatan awam dan swasta telah dikeluarkan baru-baru ini.

Tatacara ini akan digunakan sebagai rujukan kepada semua anggota kesihatan di lapangan bagi mengesan, mengendali dan menguruskan individu yang disyaki dijangkiti 2019-nCoV.

Selain dari tiga (3) kes positif yang dikesan ini, secara keseluruhannya pihak Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan telah menerima pelaporan untuk sembilan (9) kes yang disyaki dijangkiti 2019-nCoV dan kesemuanya disahkan negatif bagi 2019-nCoV melalui ujian makmal yang dijalankan.       
   
DATUK SERI DR. DZULKEFLY BIN AHMAD
Menteri Kesihatan Malaysia
25 Januari 2020

Jual Anak Syarikat THP Kepada Pihak Swasta, Pemuda UMNO Buat 3 Tuntutan.

Kenyataan Media | SKANDAL PERLUPUSAN ASET THP: PENGKHIANATAN KEPADA 9.4 JUTA PENDEPOSIT TABUNG HAJI

Pada sebelah petang tadi, saya dan rakan-rakan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia telah mengadakan satu sidang akhbar bagi mengulas isu penjualan anak-anak syarikat milik TH Plantation Berhad (THP) kepada syarikat swasta.


(a) Selaku salah seorang pendeposit di Lembaga Tabung Haji (TH), penjualan tanah-tanah yang dilakukan oleh THP, sebuah syarikat subsidiari TH dengan 73.84% pegangan saham di dalam THP perlu diberi perhatian serius kerana ia melibatkan kepentingan ekonomi bagi 9.4 juta pendeposit.

Transaksi penjualan dua anak syarikat milik penuh THP iaitu Bumi Suria Ventures Sdn Bhd (BSV) dan Maju Warisanmas Sdn Bhd (MW) dengan harga jualan sebanyak RM170 juta kepada syarikat swasta, TAMACO Plantation Sdn Bhd amat mencurigakan. Semakan kami mendapati 5 pengarah TAMACO adalah Lim Sing Hua, Lim Chun Leng, Lim Wai Foong, Lim Chun Hsiung dan Lee Ban Loong

Semakan nilai buku (Book Value) bagi kedua-dua BSV dan MW pada tahun 2017 adalah RM380 juta. Dengan harga jualan yang dipersetujui di antara THP dan TAMACO iaitu RM170 juta tunai, THP sanggup menelan 'kehilangan' RM210 juta jika nilaian buku 2017 digunapakai. Namun apabila THP menukar jurunilai dan memakai kaedah penilaian baru pada tahun 2018, nilaian tersebut menurun kepada RM122 juta. Situasi ini membangkitkan persoalan mengapakah jurunilai ditukar dan apakah asas andaian yang digunapakai bagi menurunkan nilai buku BSV dan MW?

(b) Saya dan rakan-rakan juga turut membangkitkan persoalan akan keperluan syarikat-syarikat BSV dan MW ini dijual tatkala harga Buah Tandan Segar (BTS) dan Minyak Sawit Mentah (CPO) berada di paras tinggi dan stabil jika dibandingkan dengan harga tahun 2018 dan 2019.

Semakan di dokumen THP yang difailkan di Bursa Malaysia sendiri menyatakan bahawa lebih 75% tanah ladang milik BSV dan MW telah ditanam pokok sawit dan profil umur pokok adalah diantara 5 hingga 11 tahun. Sumber yang sama juga menyatakan bahawa kadar pengeluaran (yield) sawit di ladang-ladang ini berada di dalam trend menaik.

Alasan yang difailkan di Bursa Malaysia bahawa penjualan ini adalah sebahagian dari program rasionalisasi kewangan THP dengan merendahkan jumlah hutang semasa THP, adalah tidak masuk akal!

Semakan pada Laporan Tahunan THP tahun 2018 mendapati, Hutang & Pinjaman THP berjumlah RM1.24 bilion dan RM1 bilion daripadanya adalah Sukuk yang dilanggan oleh TH sendiri.

Sekiranya THP mengalami kesukaran untuk menyelesaikan komitmen hutang yang dijadualkan, THP boleh berunding kembali dengan TH untuk penstrukturan semula bayaran kembali Sukuk atau meminta bantuan kewangan dari TH dan Kementerian Kewangan (MOF) seperti amalan yang biasa sebelum ini.

Tuntasnya, penjualan BSV dan MW ini menimbulkan banyak persoalan dan diragui justifikasinya.

Justeru, saya dan rakan-rakan Pemuda UMNO mengemukakan 3 TUNTUTAN iaitu:

1. YB Menteri di JPM, Dato Dr Mujahid Yusof Rawa tidak boleh lagi menyepi dan harus tampil mengambil tanggungjawab bagi pihak 9.4 juta pendeposit sebagaimana dikehendaki dalam Akta Tabung Haji berkenaan dengan perlupusan aset-aset THP ini.

2. THP harus segera menghentikan penjualan baki 11 anak syarikat yang memiliki ladang-ladang sawit atau pihak Pemuda UMNO meneliti untuk mengambil tindakan injunksi mahkamah oleh pendeposit TH.

3. Pemuda UMNO telah membuat laporan Polis dan seterusnya selepas ini kepada SPRM untuk segera menyiasat keputusan menukar jurunilai dan kaedah nilaian yang menyebabkan nilaian syarikat-syarikat yang menjadi pemilik ladang-ladang sawit bernilai ini hilang sebanyak RM210 juta.

Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

Khamis, 23 Januari 2020

RM50,000 Pemberian Khas Untuk Bantu Mangsa Banjir Dan Rakyat Kata Pemimpin PAS.

Nazman Che Iberahim | RM50,000 UNTUK EXCO, “HABIS KUT TENGAH JALAN JER”

1. Heboh satu Malaya apabila “netizen” menunjukkan kemarahan kepada Kerajaan Kelantan berkaitan wang RM50,000 yang diberikan secara “pemberian khas” kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.





2. Saya menulis saat ini bukanlah untuk memberi jawapan kepada isu dan polemik yang sedang berlaku. Ianya sekadar coretan peribadi akan gerak kerja wakil-wakil rakyat di Kelantan khasnya ahli Exco Kerajaan yang mana wang dan hartanya akan dihabiskan untuk rakyat semata mata.

3. Contoh mudah, YB Ustaz Haji Wan Roslan Wan Hamat, Exco Belia, Sukan dan NGO Kelantan yang amat saya kasihi. Dia guru, dia pemimpin kami.

4. Disember bulan lepas (2019) banjir melanda Daerah Tumpat (DUN Pengkalan Kubor khasnya) sebanyak dua kali. Awal bulan dan sekali lagi bermula 20hb Disember. Dua kali banjir!

5. Antara yang terjejas teruk adalah Kg. Bendang Pak Yong, Kajang Sebidang, Teluk Jering, Simpangan dan beberapa yang lain melibatkan mangsa melebihi 3,000 ketua isi rumah. YB Ustaz Wan Roslan terpaksa berhutang di beberapa kedai runcit dan kedai borong untuk menyediakan 3,000 kit barangan keperluan dianggarkan bernilai RM50 setiap satunya. Nilainya amat besar. (3000 X RM50 = RM150,000.00)

6. Mujurlah pemberian khas RM 50,000 oleh kerajaan diberi kepadanya. Sebahagian hutang kepada kedai runcit berjaya dilangsaikan. Alhamdulillah.

7. Selain itu, beberapa NGO telah turut sama turun membawa barang sumbangan antaranya Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan, Misi Kembara Dakwah, Al l’tisam Relief, Jabatan Amal Malaysia Negeri Kelantan dan lain lain. Ia telah meringankan bebanan Pusat Khidmat Dun yang terpaksa menguruskan bantuan banjir bagi dua kali gelombang.

8. Komitmen Ust Wan Roslan tidak terhenti di situ, Jumaat ini beliau anjurkan pula program NGO Bersama Komuniti di Pasar Rabu Kg Bendang Pak Yong. Apa tujuannya? Ia untuk meraikan pasukan NGO yang tekun membantu mangsa banjir di kawasannya sewaktu bah melanda bulan lepas. Jamuan rakyat juga diadakan untuk mengeratkan hubungan antara orang kampung setelah penat lelah bergotong royong sepanjang Disember.

9. Minggu lepas, Ustaz Wan Roslan menyumbang RM5,000 wang peribadinya kepada keluarga yang mana rumahnya hangus terbakar dan langsung tiada tempat berteduh. YB dan rakyat berpisah tiada. Duka dikongsi bersama, kesusahan sama diringankan.

9. Ini hanya satu contoh sahaja bagi penggunaan wang yang tidak pernah cukup kepada rakyat di semua daerah. Perkara yang sama kita yakin berlaku kepada semua ahli majlis mesyuarat kerajaan yang lain dalam menyantuni rakyat.

10. Dari mana datangnya RM50,000 itu? Ia adalah “pemberian khas” yang diputuskan secara SAH dalam mesyuarat RASMI kerajaan. Untuk apa wang itu? Ia khas untuk kegunaan kebajikan rakyat bagi akhir 2019 dan awal tahun 2020.

11. Tiada peruntukan tambahan. Wang ini masih dalam peruntukan Bajet 2019 (Bajet Luar Jangka) yang telah diluluskan dalam Pembentangan Bajet melalui Persidangan DUN akhir tahun 2018 lagi. Ia bukan benda baharu.

12. Tambahan pula pada akhir Oktober lepas, peruntukan untuk Exco telahpun habis dan permohonan baru juga telah ditutup (kerana akhir tahun). Jadi disalurkan pemberian khas tersebut bagi membantu rakyat kepada ahli Exco kerajaan. Ia semudah itu sahaja.

13. Seperti kata rakan rakan saya, duit lima puluh ribu itu tidak besar pun, “ia habis untuk rakyat kut tengah jalan jer”, kata mereka.

Apa Yang Sedang Berlaku Dalam Tabung Haji Plantations Berhad? Ini Fakta Yang Anda Perlu Tahu.

Jamzuri Ardani | PENJELASAN ISU Tabung Haji Plantations

Tabung Haji Plantations Berhad (THP)


 
🔵 THP anak syarikat Tabung Haji, dahulunya dikenali sebagai Perbadanan Ladang-Ladang Tabung Haji Sendirian Berhad.

🔵 Dimiliki lebih 73% saham oleh Tabung Haji dan ditubuhkan sejak 1972

🔵 Kini diterajui CEO baru En Muzmi Mohamed, dan Pengerusi THP sekarang ialah Tan Sri Abu Talib Othman.

🔵 THP sebelum ini memecat Chief Financial Officer (CFO) Mohamed Azman Shah Ishak selepas satu forensik audit dijalankan ke atas syarikat.

🔵 THP merupakan syarikat berskala sederhana yang menjalankan aktiviti perladangan kelapa sawit, sebahagian kecil yang lain melibatkan getah.

🔵 THP memiliki tanah lebih 100,000 hektar, 80% darinya terletak di Sarawak, bakinya di Sabah dan Indonesia.

🔵 THP juga memiliki 6 buah kilang kelapa sawit.

🛑 Apakah yang berlaku kepada syarikat ini?

🟦 Syarikat ini sebuah syarikat yang 'tenat', jika diukur dengan 'failure indicator' sejak 2014, 'net liabilities lebih tinggi dari defisit', dan syarikat dikategori 'syarikat sakit'
 

🟦 Berdasar kepada Laporan Tahunan 2018, syarikat ini mengalami kerugian demi kerugian sehingga mencecah RM658 juta.

🟦 Untuk prestasi suku pertama Tahun 2019 sahaja, syarikat mencatat kerugian sebanyak RM76.7 juta

🟦 Manakala pinjaman syarikat seperti dilaporkan, untuk Tahun Kewangan 2018 berjumlah RM1.4 bilion

🟦 Bagi suku pertama 2019, jumlah pinjaman syarikat dicatatkan sebanyak RM1.29 bilion.

🟩 Hutang syarikat melibatkan pemiutang (creditors) sehingga Tahun Kewangan 2018, berjunlah RM213 juta, manakala untuk suku pertama 2019, berjumlah RM182 juta.

🟣 Bagaimana dengan aliran tunai yang dimiliki syarikat ini?

➡ Untuk Tahun Kewangan 2018, cash yang ada pada syarikat hanya sebanyak RM50.6 juta, manakala untuk suku pertama 2019, cash yang dimiliki berjumlah RM43.8 juta.

⛔ Berapakah jumlah bayaran (repayment) perlu dijelaskan syarikat setahun?

➡ Syarikat perlu menjelaskan bayaran hutang kepada pihak finance dan pemiutang setahun melebihi RM100 juta.

⛔ Jadi apakah yang berlaku?

➡ Syarikat tidak mempunyai cash yang mencukupi untuk membayar hutang kepada finance dan pemiutang dan keadaan ini berlaku sejak tahun 2015.

⛔ Apakah yang dibuat?

➡ Bermula 2015, syarikat terpaksa diberi bantuan (subsidi) pada setiap tahun oleh induk, TH, memandangkan syarikat tiada kemampuan untuk membayar hutang.

⛔Apakah puncanya?

➡ Syarikat mempunyai 'high borrowing' (jumlah hutang sangat tinggi) di mana syarikat dalam keadaan 'insufficient payment capability' (tiada kemampuan yang mencukupi membayar balik pinjaman) sejak 2015.

⛔ Apakah pelan yang dibuat syarikat pada tahun 2015?

➡ THP menjual 2 syarikat miliknya di Gemas dan Terengganu pada tahun 2015, dan setahun berikutnya 2016.

⛔ Tahun 2015 dan 2016 ini, di bawah pemerintahan siapa?

➡ Pada tahun ini di bawah pemerintah Barisan Nasional sebagai kerajaan.

⛔ Mengapakah syarikat ini menjadi syarikat sakit, dan apakah punca utama aktiviti perladangan yang dijalankan mengalami kerugian teruk sejak 2014?
➡ Aset dibeli THP melalui assesment yang salah oleh pengurusan lama THP, apa yang disebut 'poor study' yang mana akhirnya menyebabkan 'bad investment' berlaku kepada THP sejak 2014, dan tidak mampu bayar hutang sejak 2015.

➡ Tanah yang dibeli THP pada harga yang tinggi, ada juga tanah ' dipaksa beli' melalui cara 'inherited lands', yang mana majoriti aset ini melibatkan tanah yang tidak berdaya maju 'unperformed'.

➡ Pengeluaran juga dikenalpasti punca masalah berlaku kepada syarikat ini, sebagai contoh tanah di Sarawak, melibatkan dengan Tamaco, tanah yang dibeli THP dinyatakan seluas 5,700 hektar.

➡ Apabila audit forensik diadakan, didapati tanah itu sebenarnya bukan seluas 5,700 hektar, tetapi hanya sekitar 4,700 hektar, sudah 1,000 hektar hilang di situ.

➡ Manakala produksi dari projection THP juga terjejas teruk, pada tahun 2014, THP menjangkakan projection mencapai 68,000 tan, namun apa dicapai hanya 27,000 tan, bagi tahun 2015, sepatutnya THP mencapai projection sebanyak 97,000 tan, tetapi hanya dapat 31,000 tan.

Sehingga tahun 2018, jumlah sepatutnya diperolehi THP dari projection ialah 569,000 tan, namun apa yang berlaku, hanya 181,000 tan sahaja yang berjaya dihasilkan.

Di sini sahaja, THP kerugian 69% dari hasilnya.

⛔ Kenapa syarikat buat pinjaman tinggi?

➡ Syarikat pada awalnya optimis dapat mencapai hasil projection sehingga 569,000 tan, maka syarikat meminjam dengan jumlah pinjaman tinggi, dengan keyakinan dapat membayarnya, namun apa berlaku, 69% dari projection hilang dan rugi.

⛔ Dari tahun 2015-2018, bagaimana syarikat menjalankan operasi?

➡ THP bergantung kepada 'ihsan' subsidi dari TH selama 3 tahun tersebut memandangkan syarikat sakit, tak mampu bayar hutang, apatah lagi membayar gaji ALP, pengurusan, kakitangan dan buruh.

⛔ Tahun 2015, tadi disebutkan semasa era pentadbiran BN, THP ada menjual asetnya?

➡ Ya, TH menjual asetnya di Gemas, Negeri Sembilan dengan harga RM31.5 juta, manakala setahun berikutnya 2016, aset THP di Terengganu dijual dengan harga RM52 juta.

⛔ Apakah pelan rasionalisi dibuat Tabung Haji?

➡ TH telah memulakan pelan rasionasilasi untuk memulihkan prestasi kewangan institusi tersebut melibatkan anak syarikatnya TH Plantations Berhad (THP)

➡ THP mempunyai pegangan aset ke atas tanah berkeluasan 6,513.80 hektar di Sibu dan Bintulu, Sarawak.

➡ THP berkepentingan dalam dua buah syarikat berkaitan, iaitu Bumi Suria Ventures Sdn Bhd (BSV) dan Maju Warisan Sdn Bhd (MW)

➡ BSV terlibat dalam operasi penjualan Buah Tandan Segar (BTS) manakala MW pula syarikat terlibat aktiviti penyewaan hartanah pelaburan.

➡ Pelaburan THP dalam perladangan di Sibu dan Bintulu ini, pada awalnya dilihat mendatangkan keuntungan kepada syarikat dengan pelaburan awal melalui BSV sebanyak RM221 7 juta dan MW sebanyak RM42 49 juta, namun kemudiannya syarikat mula mengalami kerugian demi kerugian.

➡ Kedua syarikat ini dikenalpasti pengurusan tertinggi TH, tidak berdaya maju dan perlu dilepaskan kepentingan bagi mengelakkan THP terus menanggung beban hutang berpanjangan.

➡ THP mengambil keputusan tidak lagi berminat meneruskan operasi dan pegangan saham ke atas dua syarikat tersebut yang dilihat tidak memberi keuntungan jangka panjang kepada perniagaan.

➡ Ia bertujuan untuk mengurangkan pinjaman semasa THP dan meningkatkan kecekapan operasi syarikat tersebut.

➡ Selain itu, pengurusan tertinggi THP juga melihat kemerosotan prestasi pengeluaran Buah Tandan Segar (BTS) melibatkan perladangan di Sibu dan Bintulu, menjadi faktor THP membuat keputusan menjual aset tersebut.

➡ Dato' Seri Najib dalam kenyataannya, mendakwa THP tidak pernah rugi dari aktiviti perniagaannya sepanjang dia menjadi PM, apa disebut Najib hanyalah andaian, tiada dikemuka fakta dan laporan prestasi menyokong dakwaanya.

➡ Najib sebut BTS boleh hasil 52,040 se tan dari aset di Sibu dan Bintulu tersebut, namun hakikatnya ia tak berlaku seperti didakwanya.

⛔ Apakah kesan kepada THP selepas Penjualan Aset tersebut?

➡ THP mengunjurkan keuntungan hasil dari pelan rasionalisasi ini, dapat meningkatkan nisbah penggearan daripada 1.09 kali kepada 0.94 kali.

➡ THP juga akan mendapat perolehan keuntungan dari pelan ini sebanyak RM9.41 juta setahun, dan kedudukan semasa THP masih mempunyai 94,462.08 hektar aset dipegang melibatkan sektor perladangan kelapa sawit dan getah.

➡ Selain itu, pelan ini juga dilihat sebagai langkah untuk menjelaskan hutang THP kepada pemiutang berjumlah RM130 juta, sebahagian lain digunakan untuk modal kerja, bayaran kepada pemiutang dan beberapa perbelanjaan lain perlu dilunaskan THP.

➡ Perkembangan ini positif apabila saham THP melonjak naik 5 sen kepada 9.17% menjadikan jumlah pegangan keseluruhan bernilai RM525.89 juta.

Semoga penjelasan ini dapat memberi kefahaman jelas kepada pembaca.

Nafi Fitnah Harga Kereta Akan Naik, Paultan Jawab Sekadar Lapor Berita.

SEMASA | Portal automatif tempatan, Paultan menjawab dakwaan kononnya portal mereka menyebarkan fitnah mengenai kenaikan harga kereta berikutan berlaku perubahan ke atas struktur cukai automatif negara.

"Pulak dah, dia yang uturn kot. Kita lapor berita jer," jawab pentadbir halaman Paultan apabila diminta untuk memberikan penjelasan.

Gambar : Tentera Troll Kebangsaan Negara
Respon itu diberikan Paultan ketika ditanya oleh halaman Facebook Tentera Troll Kebangsaan Negara - TTKM pada Rabu.

Sebelum ini Paultan melaporkan kemungkinan kereta pemasangan tempatan akan naik harga bermula tahun ini kesan daripada langkah penstrukturan semula kadar duti kenderaan oleh kerajaan. 

Berdasarkan apa yang termaktub di dalam Excise (Determination of Value of Locally Manufactured Goods for the Purpose of Levying Excise Duty) Regulations 2019, yang disediakan oleh kementerian kewangan dan telah digazetkan pada 31 Disember 2019, kenderaan pemasangan tempatan (CKD) akan dikenakan lebih banyak cukai. 

Ini adalah disebabkan kaedah pengiraan nilai pasaran terbuka (open market value, OMV) bagi kenderaan telah berubah, lapor Paultan. 

"Menurut sumber yang rapat dengan perkara ini, cara baru mengira OMV, yang memperkenalkan duti ke atas jualan barangan menimbulkan persoalan-persoalan baru dan menyebabkan kekeliruan kepada OEM dan pengedar-pengedar. 


Sumber yang sama juga berkata, kaedah pengiraan nilai sebelum ini – selepas dikilangkan – adalah pendekatan yang lebih adil. Mengenakan levi terhadap sesebuah produk sepatutnya hanya itu; levi ke atas produk. 


Timbul juga persoalan berkaitan cukai berganda yang dikenakan, memandangkan syarikat-syarikat kenderaan membayar cukai pendapatan korporat ke atas keuntungan mereka juga, sama seperti perniagaan lain," tulis portal itu.

“Harga yang lebih mahal akan menyebabkan jumlah jualan/pengeluaran yang lebih rendah bagi pengeluar di Malaysia, yang mana akan memberi kesan pula kepada aspek peluang pekerjaan sekiranya mereka memutuskan untuk mengecilkan operasi,” lapor Paultan lagi.

Menjawab kepada dakwaan tular itu, Kementerian Kewangan menerusi Lim Guan Eng berkata harga kereta pemasangan CKD tidak akan naik sehingga 15% atau lebih selepas  kerajaan menstrukturkan semula duti eksais, kerana kerajaan masih lagi belum memuktamadkan langkah tersebut, memetik laporan Malay Mail.

Sekalipun berlaku perubahan harga, ia akan berlaku secara berperingkat, jelas Lim lagi.

“Sekiranya ada sebarang perubahan, ia mesti dilaksanakan secara berperingkat dan bukannya mendadak. 

Kita sedang berbincang mengenai perkara itu bagi memastikan ketelusan (dari segi pelaporan) supaya kita boleh terus memenuhi obligasi kita terhadap Pertubuhan Perdagangan Dunia,” katanya. 

Kenyataan itu sebenarnya mengesahkan lagi dakwaan berkemungkinan harga kereta akan naik, walaupun ia bukanlah kenaikan secara mendadak, sebaliknya terkawal. 

Dalam perkembangan berkaitan, penafian MoF yang berbaur politik turut menjadi kecaman di laman sosial.

Semalam pentadbir halaman MoF telah memuatkan gambar di atas tanpa sebarang caption.

Post tersebut telah mendapat lebih dari 3,000 komen dan 1,100 perkongsian setakat ini.

Bagaimanapun tinjauan kami mendapati 2 kesimpulan ini;

1. Netizens komen kerana mengutuk, mengecam, mengkritik dan memaki.

2. Netizens share kerana mengutuk, mengecam, mengkritik dan memaki.

Hal itu akhirnya mendorong lebih banyak kecaman ke atas MoF. 

Halaman MoF juga dikecam kerana meletakkan pentadbir halaman yang berpengkalan di Singapura. Tidak dapat dipastikan samada lokasi pentadbir halaman itu benar-benar di Singapura ataupun kerana akses internet berasal dari negara itu. - 23 Januari 2019.

Rujukan : 
 
https://paultan.org/2020/01/17/peraturan-baru-eksais-duti-malaysia-2020

https://paultan.org/2020/01/21/guan-eng-denies-that-ckd-car-prices-will-rise-with-new-excise-duty-restructuring-any-changes-will-be-gradual
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...