Pada sebelah petang tadi, saya dan rakan-rakan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia telah mengadakan satu sidang akhbar bagi mengulas isu penjualan anak-anak syarikat milik TH Plantation Berhad (THP) kepada syarikat swasta.
(a) Selaku salah seorang pendeposit di Lembaga Tabung Haji (TH), penjualan tanah-tanah yang dilakukan oleh THP, sebuah syarikat subsidiari TH dengan 73.84% pegangan saham di dalam THP perlu diberi perhatian serius kerana ia melibatkan kepentingan ekonomi bagi 9.4 juta pendeposit.
Transaksi penjualan dua anak syarikat milik penuh THP iaitu Bumi Suria Ventures Sdn Bhd (BSV) dan Maju Warisanmas Sdn Bhd (MW) dengan harga jualan sebanyak RM170 juta kepada syarikat swasta, TAMACO Plantation Sdn Bhd amat mencurigakan. Semakan kami mendapati 5 pengarah TAMACO adalah Lim Sing Hua, Lim Chun Leng, Lim Wai Foong, Lim Chun Hsiung dan Lee Ban Loong
Semakan nilai buku (Book Value) bagi kedua-dua BSV dan MW pada tahun 2017 adalah RM380 juta. Dengan harga jualan yang dipersetujui di antara THP dan TAMACO iaitu RM170 juta tunai, THP sanggup menelan 'kehilangan' RM210 juta jika nilaian buku 2017 digunapakai. Namun apabila THP menukar jurunilai dan memakai kaedah penilaian baru pada tahun 2018, nilaian tersebut menurun kepada RM122 juta. Situasi ini membangkitkan persoalan mengapakah jurunilai ditukar dan apakah asas andaian yang digunapakai bagi menurunkan nilai buku BSV dan MW?
(b) Saya dan rakan-rakan juga turut membangkitkan persoalan akan keperluan syarikat-syarikat BSV dan MW ini dijual tatkala harga Buah Tandan Segar (BTS) dan Minyak Sawit Mentah (CPO) berada di paras tinggi dan stabil jika dibandingkan dengan harga tahun 2018 dan 2019.
Semakan di dokumen THP yang difailkan di Bursa Malaysia sendiri menyatakan bahawa lebih 75% tanah ladang milik BSV dan MW telah ditanam pokok sawit dan profil umur pokok adalah diantara 5 hingga 11 tahun. Sumber yang sama juga menyatakan bahawa kadar pengeluaran (yield) sawit di ladang-ladang ini berada di dalam trend menaik.
Alasan yang difailkan di Bursa Malaysia bahawa penjualan ini adalah sebahagian dari program rasionalisasi kewangan THP dengan merendahkan jumlah hutang semasa THP, adalah tidak masuk akal!
Semakan pada Laporan Tahunan THP tahun 2018 mendapati, Hutang & Pinjaman THP berjumlah RM1.24 bilion dan RM1 bilion daripadanya adalah Sukuk yang dilanggan oleh TH sendiri.
Sekiranya THP mengalami kesukaran untuk menyelesaikan komitmen hutang yang dijadualkan, THP boleh berunding kembali dengan TH untuk penstrukturan semula bayaran kembali Sukuk atau meminta bantuan kewangan dari TH dan Kementerian Kewangan (MOF) seperti amalan yang biasa sebelum ini.
Tuntasnya, penjualan BSV dan MW ini menimbulkan banyak persoalan dan diragui justifikasinya.
Justeru, saya dan rakan-rakan Pemuda UMNO mengemukakan 3 TUNTUTAN iaitu:
1. YB Menteri di JPM, Dato Dr Mujahid Yusof Rawa tidak boleh lagi menyepi dan harus tampil mengambil tanggungjawab bagi pihak 9.4 juta pendeposit sebagaimana dikehendaki dalam Akta Tabung Haji berkenaan dengan perlupusan aset-aset THP ini.
2. THP harus segera menghentikan penjualan baki 11 anak syarikat yang memiliki ladang-ladang sawit atau pihak Pemuda UMNO meneliti untuk mengambil tindakan injunksi mahkamah oleh pendeposit TH.
3. Pemuda UMNO telah membuat laporan Polis dan seterusnya selepas ini kepada SPRM untuk segera menyiasat keputusan menukar jurunilai dan kaedah nilaian yang menyebabkan nilaian syarikat-syarikat yang menjadi pemilik ladang-ladang sawit bernilai ini hilang sebanyak RM210 juta.
Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia