Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Sabtu, 30 Jun 2018

Akar Umbi UMNO Terkejut, Kedai Emas Pun Tak Banyak Barang Macam Di Rumah Najib.

Oleh : Malaysiakini

Jumlah barangan mewah yang dirampas dari kediaman yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Razak sebelum ini telah menjejaskan imej parti itu di kalangan rakyat.

 
Ketua Umno bahagian Cheras, Syed Ali Alhabshee berkata anggota akar umbi Umno turut terkejut dengan nilai rampasan yang diumumkan pihak polis.

"Adakah kamu jangka ahli akar umbi tak terkejut dengan apa yang ditemui di rumah Najib? Sudah tentu terkejut.

"Kalau buka kedai emas pun, kedai emas pun tak banyak barang macam itu,"
katanya ketika ditemui pemberita ketika pemilihan Umno yang berlangsung di Cheras hari ini.

Polis sebelum ini merampas wang tunai, beg tangan, jam tangan mewah, cermin mata hitam dan pelbagai barangan kemas yang dianggar mencecah nilai RM1.1 bilion dari kediaman bekas presiden Umno itu.

Najib berkata barangan berkenaan adalah hadiah kepada beliau dan keluarganya, serta tidak ada kaitan dengan 1MDB.

Ditanya mengenai perkara itu, Syed Ali berkata beliau menyerahkannnya kepada pihak polis untuk melakukan siasatan.

"Dia boleh kata apa sahaja yang dia mahu, polis akan melakukan siasatan mereka. Kalau ada kes, dakwalah dia," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Syed Ali memberitahu perwakilan Umno bahawa parti itu ditolak oleh rakyat pada pilihan raya umum ke-14 lalu kerana tuduhan rasuah oleh pemimpinnya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa parti itu tidak bersalah.

"Umno adalah sebuah parti untuk orang-orang Melayu, parti yang banyak berjasa kepada orang Melayu. Yang buat kesalahan orang dalam parti iaitu pemimpin-pemimpin Umno,"
katanya.

Buat pertama kalinya sejak negara mencapai kemerdekaan, Umno dan parti gabungannya BN tewas dalam pilihan raya ke-14 (PRU) bulan lalu.

Pada PRU itu, Umno hanya berjaya memenangi 54 kerusi parlimen, manakala parti komponen lain dalam BN meraih 25 kerusi.

Namun selepas PRU, dua anggota parlimen Umno memutuskan untuk meninggalkan parti itu dan menjadi anggota parlimen bebas.

Manakala sebahagian besar parti-parti komponen BN pula meninggalkan gabungan itu menyebabkan ia kini hanya terdiri daripada Umno, MCA dan MIC.  - 30 Jun 2018.

Kenapa Pesuruhjaya Pas Perak Padam Komen 'Pendatang' Di Facebook?

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria dipersoalkan kerana memadamkan satu hantaran di Facebook yang dipercayai ramai ditujukan kepada Lim Guan Eng.

 
Razman di post itu berkongsikan satu pautan berita yang menyatakan kenyataan Lim Guan Eng mahu menjual barangan berkaitan 1MDB.

"Barang rampasan dikaitkan dengan 1MDB akan dijual - Guan Eng," petik tajuk artikel itu.

Razman menulis : "Kemuncak kepada kegemilangan Pakatan Harapan. Melayu dilondeh oleh pendatang. Stop," katanya di status berkenaan.

Sekali pandang, tafsiran pendatang mungkin ditujukan kepada Lim Guan Eng ataupun kepada DAP, itulah yang difahami oleh rata-rata netizens tetapi Razman dalam satu kenyataan balas kepada Malaysiakini menafikan dakwaan itu.

"Tak ada siapa-siapa (merujuk.. saja.

Tak ada apa-apa, saja provokasi," katanya kepada wakil portal itu.

Tinjauan di dinding Facebook Razman mendapati post itu telah pun dipadamkan atau sekurang-kurangnya tidak kelihatan di mata awam (public).
 
Sesetengah netizens pula tampil 'troll' Pesuruhjaya Pas Perak itu kerana bertindak memadamkan hantaran selepas hanya beberapa minit.

Ada yang beranggapan Razman mungkin berasa takut kerana DAP dan Lim Guan Eng kini bukan lagi berstatus pembangkang sebaliknya adalah kerajaan pemerintah di Malaysia. - 30 Jun 2018.

Khamis, 28 Jun 2018

Siapa Orang Tun Mahathir Yang Ambil RM10 Juta Dari Najib..

Oleh : Sinar Harian

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa salah seorang ‘orang’ Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mengambil wang tunai RM10 juta daripadanya untuk kegunaan PRU13.



Beliau menggambarkan, ‘orang’ itu sebagai seorang ‘pembantu’ yang sangat dipercayai Dr Mahathir, Najib berkata, duit berkenaan diambil di kediamannya di Jalan Langgak Duta.

Walaupun Najib mendedahkan nama individu berkenaan yang merupakan bekas perenang negara namun menurut Malaysiakini, pihak mereka tidak menamakannya sehingga individu itu dapat dihubungi.

“Niatnya cukup jelas. Mereka tahu apabila anda bertanding pilihan raya, anda perlu ada tunai. Pembangkang juga tahu mengenai perkara itu. Mereka juga ada tunai.

“Saya tahu perkara ini bukan sesuatu yang diketahui umum oleh orang awam tetapi ia bukan perkara yang pelik.

“Ia telah pun berlaku pada masa lalu dan jika kita mengubah undang-undang dan peraturan mengenai pembiayaan dana pilihan raya, ia tetap akan berlaku,”
tambahnya.

Wang Jutaan Hasil Derma, Barang Rampasan Adalah Hadiah, Rosmah Terkejut Dan Tak Percaya Nilai Barang Kemas Yang Didedahkan Polis - Ini Penjelasan Najib.

Semalam pihak polis merekodkan jumlah wang rampasan di enam premis membabitkan Najib Razak ialah RM116.7 juta (pelbagai matawang dalam 35 buah beg).


Dan nilai 12,000 barang kemas termasuklah cermin mata dan jam tangan yang dirampas dianggarkan bernilai rm880 juta + 78 juta + 51.3 juta + 374,000 = lebih dari 1 billion ringgit banyaknya.




Sebelum ini Najib telah menjelaskan wang juta-juta yang ditemui di premisnya adalah untuk kegunaan pilihanraya dan hasil sumbangan.

RM116 juta hasil sumbangan


Dan hari ini Najib sekali lagi menjelaskan wang tunai yang dirampas di rumahnya adalah hasil sumbangan dan kegunaan pilihanraya umum ke 14 yang lalu.




"Anda tidak akan tahu berapa banyak (diperlukan) dengan tepat. Anda tidak akan tahu berapa banyak yang menyumbang kepada anda. 


Apabila anda bertanding dalam pilihanraya, anda perlu memikirkan sebelum, semasa dan selepas pilihanraya. Jangan lupa saya adalah Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional, dengan 13 parti komponen.

Menguruskan sebuah parti besar dengan tiga juta ahli seperti UMNO adalah urusan yang mahal. Dan lagi ia direkodkan, ketika Dr. Mahathir meletakkan jawatan, beliau menyerahkan lebih RM1.4 billion kepada penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam aset dan wang tunai. Itu tercatat," katanya seperti dipetik laporan Berita Harian hari ini.

Matawang asing adalah hadiah

"Terdapat beberapa wang milik saya kerana saya mengembara selama lebih dari 30 tahun. Tetapi terdapat juga sumbangan dalam mata wang asing, kerana sesetengah menyumbang dalam matawang asing.

Mengaku tidak bersalah

Najib Razak mempertahankan dirinya dan menegaskan dirinya tidak bersalah kerana berhak menerima hadiah daripada pemimpin asing serta teman peribadi sepanjang masa menjadi Perdana Menteri.

Beliau juga menamakan Mahathir sebagai contoh dalam kenyataan pembelaannya itu.

"Tetapi apa yang saya tahu ialah selama bertahun-tahun sebagai ketua kerajaan, kami diberi hadiah yang banyak daripada pemimpin asing termasuk teman dan saya tahu mengikut peraturan, tidak salah untuk menerima hadiah. Hadiah ini terkumpul selama beberapa dekad.

Sebagai contoh Dr. Mahathir mengakui menerima 40 ekor kuda daripada temannya dan pemimpin asing, dan beliau secara terbuka menggunakan banyak jet korporat kawannya, maka tidak salah menerima hadiah," kata Najib. 

Rosmah terkejut nilai barang rampasan

Menurut Najib, Rosmah sendiri terkejut dengan nilai barang rampasan yang diumumkan oleh pihak polis.

"Saya fikir, jumlah itu, dia (Rosmah), tidak percaya jumlahnya sebanyak itu.

Dan juga beberapa barangan itu, ada barang kemas yang dihantar untuk tatapan dan akan dikembalikan. Oleh itu, kita perlu mengenalpasti barang ini dan mengembalikannnya," jelas Najib lagi.

Najib juga berkata sejumlah barang kemas yang dirampas adalah milik anak perempuannya, Nooryana Najwa, suaminya dan ibu mertuanya.

"Janganlah kita teruja dengan sebarang kesimpulan pada tahap ini. Mari kita periksa barang berkenaan satu persatu," katanya. - 28 Jun 2018.

Rumah Jho Low Pula Diserbu SPRM!

SPRM menyerbu sebuah apartment yang dikatakan milik jutawan cina kontroversi, Taek Jho Low kata Zubar hari ini di laman Facebooknya tadi.

Gambar-gambar serbuan apartment Jho Low itu turut tersebar di media sosial.




 
Serbuan ke atas rumah Jho Low dipercayai ada kaitan dengan skandal 1MDB yang turut membabitkan jutawan itu.

Jutawan itu sebelum ini berulangkali menafikan terlibat dalam penyelewengan dana 1MDB dan menyatakan telah difitnah disamping tiada bukti yang boleh mengaitkan dirinya secara langsung.

Jho Low juga pernah dipanggil untuk memberikan keterangan berhubung penyelewengan dana 1MDB namun dibebaskan dan tidak ditahan oleh pihak berkuasa tempatan sekitar tahun 2015. 

Hasil siasatan juga tidak didedahkan secara terperinci kepada orang awam. - 28 Jun 2018.

Akaun UMNO Pusat Kini Dibekukan SPRM.

Oleh : Berita Harian

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun UMNO Pusat dan UMNO Selangor hari ini, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, selepas ini tidak mustahil SPRM juga akan membekukan akaun UMNO Johor.

Katanya, sebelum ini UMNO Pusat tidak mengeluarkan sebarang bajet namun semalam (Rabu), Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengeluarkan surat untuk memberikan peruntukan kepada UMNO Sabah.





"Semalam keluar surat, hari ini kena beku," katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri UMNO Johor, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; dan beberapa calon Naib Presiden serta Majlis Tertinggi (MT) UMNO dari Johor dan negeri lain.

Ahmad Zahid berkata, Menteri Dalam Negeri hampir pasti akan meminta Pertubuhan Pendaftaran (ROS) membatalkan pendaftaran UMNO dalam tempoh terdekat.

"Tidak ada jaminan mana-mana Presiden UMNO, Timbalannya, Naib-naib Presiden dan ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) sekiranya menang pada pemilihan kali ini, tidak akan disiasat kerana kita bukan lagi kerajaan. Ini termasuk bekas Menteri Besar," katanya.

Ahmad Zahid berkata, sekarang bukan masanya untuk mencari kesalahan mana-mana pihak, sebaliknya cuba mencari Presiden yang boleh merelevankan UMNO dengan orang ramai.

Katanya, Presiden UMNO mesti mampu menimbulkan semula "kapal yang tenggelam" dan bekerjasama dengan semua timbalan, naib, MT serta ahli di peringkat akar umbi.

"Kita sekarang ini memilih Presiden menghidupkan semula UMNO, 'membaiki rumah yang terbakar'. Dari 88 kerusi (Parlimen), tinggal 54 dan semalam, tinggal 52.

"UMNO 1.0 ditubuhkan pada 1946 untuk menentang penjajah disebabkan Malayan Union, pada 1988 UMNO diharamkan dan muncul UMNO 2.0.

"Kini, UMNO digugat daripada 13 (komponen Barisan Nasional) kepada tiga, sama seperti Parti Perikatan. Berikutan itu UMNO perlu dirombak dan saya akan rombak UMNO 3.0 ini dari luar dan dalam,"
katanya. - 28 Jun 2018.

Kenapa Wan Saiful Masuk Sekolah Pakai Baju PPBM & Kenapa Nama Lantikan Politik Di Web MoE Hilang?

Beberapa netizens mempertikaikan tindakan Menteri Pendidikan yang enggan mengulas isu lantikan politik beberapa pegawai khasnya yang secara tiba-tiba hilang dari direktori website Kementerian itu.

Antaranya individu yang dikenali sebagai Muhammad Juwaini yang mempersoalkan kenapa Wan Saiful, Setiausaha Politik Menteri Pendidikan dan Pengerusi PTPTN pergi melawat sekolah di Pendang dengan pakai kemeja korporat PPBM.

Muhammad Juwaini juga menyatakan kemusykilannya mengenai direktori Kementerian Pendidikan yang secara tiba-tibanya berubah dengan lebih banyak nama pegawai lantikan yang hilang dari radar selepas dipersoalkan di laman sosial berbanding sebelum ini.

Oleh : Muhammad Juwaini

Sebelum ni aku pernah tulis pasal kabinet awal kerajaan Malaysia. Aku bagi pujian melambung kepada menteri pendidikan, Dr Maszlee.

Aku yakin beliau seorang ahli akademik yang tulen. Aku juga yakin beliau ada keghairahan dalam jiwanya untuk memperbaiki dan menambahbaik dunia pendidikan Malaysia.

Tapi... (Ada tapinya.)

Aku ternampak gambar Wan Saiful, setiausaha politik menteri pendidikan dan pengerusi PTPTN pergi melawat sekolah di Pendang dengan pakai kemeja korporat PPBM.

 
Kau dulu masa jadi pembangkang, kau marah kerajaan masuk sekolah pakai lambang parti. Bila jadi kerajaan, kau ulang perangai serupa. Apa kes?

Baru baru ni pula, kecoh sedikit bila direktori kementerian pendidikan keluar di media sosial. Berderet lantikan politik, walaupun dipersetujui yang PH akan menolak lantikan politik.

Ada calon PPBM yang kalah PRU lepas. Cuba periksa kalau tak percaya.

Ada penyokong idea #UndiRosak, walaupun (untuk berlaku adil) dia u-turn pada saat saat akhir dan menyokong PH.

(Dia anti Mahathir, tapi ambil jawatan lantikan politik bawah menteri parti Mahathir. 🤭)

Mula mula seorang intern kementerian pendidikan mempertahankan tindakan bos dia. Alasan dia, kerja banyak.

Bagus la dia jawab tohmahan orang. Tapi tulis la professional sikit, bukan dalam nada 'merentan'.

Sepintas lalu aku baca macam gaya tipikal *sesetengah* cikgu kat FB yang nak bagitau kat seluruh dunia bahawa kerja dorang aje yang paling sibuk. Sibuk mengalahkan presiden amarika.

(Tulisan intern tersebut dikongsi oleh seorang pegawai khas. Pegawai banyak banyak, sorang pun tak boleh nak bagi kenyataan media yang proper? Oh lupa, kerja banyak.)

Tiba tiba hari ni direktori ni dah menyusut dengan banyak. Rujuk imej lampiran.

Kalau kau rasa kau perlukan tenaga kerja yang banyak untuk membantu kau punya transformasi dan reformasi pendidikan (konon), terus terang saja.

Tindakan "sapu bawah permaidani" macam ni macam nak bagitau ada benda yang kau nak sorokkan. Apa yang cuba disorokkan?

Nazri Aziz dulu kena kecam sebab letak anak sendiri jadi pegawai khas, dia 'padam' nama anak dia kat direktori kementerian pelancongan.

Rosmah kena kecam sebab pandai pandai bagi title "wanita pertama", pun dia padam kat direktori PMO.

Adakah Dr Maszlee cuba nak jadi Nazri 2.0 atau Rosmah 1.1?

Korang rasa aku fitnah? Boleh periksa sendiri direktori kementerian. Pautan ada di komen pertama.

P/S: Aku tak sangsi dengan Maszlee sebagai ahli akademik. Aku pertikaikan wisdom dia sebagai ahli politik yang ada integriti.

Peguam Hadi Akui Audio Viral Nik Abduh Halalkan Terima Duit UMNO Adalah Tulen.

Oleh : The Malaysian Insight

PEGUAM Abdul Hadi Awang di London memberitahu mahkamah bahawa rakaman seorang ahli Parlimen PAS yang mengakui ahli parti itu menerima wang daripada Umno adalah tulen, lapor Sarawak Report hari ini.

 
Bagaimanapun, presiden PAS itu akan menunjukkan kepada mahkamah bahawa berlaku salah faham berkenaan penggunaan perkataan dalam rakaman itu, dalam tuntutan saman fitnahnya terhadap Sarawak Report.

“Tafsiran yang betul” terhadap rakaman itu akan disediakan dalam jawapan pembelaan Hadi di Mahkamah Tinggi London pada 31 Julai, kata peguam Jacob Dean yang mewakili Hadi.

Perbicaraan ditetapkan pada 1 April.

Peguam Hadi berkata Nik Abduh Nik Aziz, yang bersuara dalam rakaman video kontroversi itu, dan beberapa lagi yang lain dalam perbualan itu, dipercayai termasuk menantu Hadi, Zaharuddin Muhammad akan dipanggil untuk memberi keterangan.

“Kami menjangkakan lapan atau sembilan saksi akan dipanggil berkaitan isu yang dibangkitkan oleh pihak pendakwaan. Terdapat tuduhan bahawa pemilik sekolah agama tersebut menerima dana,” katanya.

Dakwanya lagi, setiausaha politik kepada pengadu kes tersebut mengetahui mengenai bayaran berkenaan.

“Kemudian sekutu rapat pengadu, Dr Marzuki, akhirnya mengakui bahawa PAS menerima satu bayaran,” kata Dean kepada hakim.

Hakim diberitahu bahawa Hadi akan ke London untuk menyokong kes itu dan melawan tuduhan Sarawak Report.

Sebelum ini, Nik Abduh dalam satu kenyataan di Facebook menafikan suara dalam rakaman audio itu suaranya.

Beliau mendakwa ucapan yang mengaitkan dirinya itu karut, mengarut dan fitnah.

PAS pada tahun lalu didakwa menerima sumbangan wang daripada Umno dan perkara itu dilaporkan Sarawak Report yang juga mendakwa Hadi menerima RM90 juta daripada Najib Razak.

Rakaman audio Nik Abduh itu pula dipercayai dirakam dalam satu pertemuan tertutup dengan beberapa pimpinan PAS Kelantan. – 28 Jun 2018.

PAS Terkejut Kerana Dosanya Bersubahat Dengan Najib - Zainudin Maidin.

Bekas Menteri Penerangan, Zainuddin Maidin nampaknya memulangkan paku buah keras kepada PAS, parti yang dianggapnya memberikan talian hayat kepada Najib dan BN sewaktu kempen pilihanraya umum ke 14 yang lalu.


Bercakap di Twitternya, Zainudin berkata PAS terkejut dengan nilai barang rampasan Najib kerana bersubahat mempertahankan Najib dari tuduhan Mahathir bahawanya Najib dan Hadi bersekongkong.

"Pas terkejut nilai barangan rampasan berkaitan exPM Najib wang tunai, barang kemas, jam tangan dan lain-lain berjumlah hingga 1.1billion.

Terkejut kerana dosanya bersubahat pertahankan Najib dari tuduhan Mahathir bahawa Najib bersekongkong dengan Hadi," katanya semalam.

Kenyataan itu ditujukan kepada Nik Amar yang dilaporkan terkejut dengan nilai barang rampasan yang didedahkan oleh polis dalam satu sidang khas pagi rabu.


Laporan oleh Malaysiakini itu menyebut,
Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyatakan rasa terkejutnya dengan pendedahan nilai barangan rampasan di hartanah berkaitan Datuk Seri Najib Razak sepanjang bulan lepas oleh polis hari ini.

Mohd Amar berkata apatah lagi jumlah itu dikatakan milik individu.

"Kita memang terkejut jika ia milik individu. (Bagaimanapun) Kita tak boleh komen apa-apa, biarlah polis buat keputusan mengenainya,"
katanya ketika ditanya berhubung pendedahan polis bahawa nilai barangan rampasan itu bernilai jutaan ringgit dalam satu sidang media oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Amar Singh Ishar Singh pagi semalam. - 28 Jun 2018.

Ada Beg Tiruan Kualiti Tinggi Turut Dirampas Dari Premis Najib - Rosmah Kata Polis.

Oleh : The Malaysian Insight

BEBERAPA beg tangan tiruan adalah antara yang dirampas dalam siasatan yang sedang dijalankan ke atas Najib Razak dan isteri, Rosmah Mansor, kata polis hari ini.



Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) Amar Singh Ishar Singh berkata beg tiruan berkualiti tinggi itu mahal harganya walaupun bukan barangan asli.

“Saya tak akan panggil tiruan. Ia barang yang sangat baik, sangat sedikit (jumlahnya), yang juga sangat mahal,”
katanya pada sidang media di Ibu Pejabat CCID di Jalan Semarak.

Kenyataan “beg tiruan” itu turut mengundang ketawa pengamal media yang hadir.

Amar berkata sejumlah 567 beg tangan dirampas dari kediaman berkaitan Najib termasuklah di kediaman peribadi bekas perdana menteri itu di Jalan Langgak Duta dan unit kondominium mewah tempat tinggal anak lelaki dan perempuan mereka di Pavilion Residences serta sebuah lagi unit tidak berpenghuni di bangunan sama.

Beg itu adalah antara 37 jenama mewah termasuklah Hermes, Prada, Versace dan Chanel. Salah satunya adalah daripada jenama Bijan, jenama eksklusif yang ditempah khas dan tidak dijual secara terbuka.

Hanya beg jenama Hermes setakat ini yang dinilai mencecah RM51.3 juta untuk 272 buah beg.

Amar berkata polis mengambil masa lapan hari untuk menilai dan mengesahkan keaslian beg.

Ada antara beg yang dirampas, kata Amar lagi dinilai pada harga RM1.6 juta.

Keseluruhannya, jumlah nilai beg, wang tunai, barangan kemas, jam tangan dan cermin mata hitam berjenama antara RM900 juta dan RM1.1 bilion, katanya.

Nilai 12,000 barangan kemas yang dirampas dianggarkan berjumlah RM440 juta, tetapi ia hanya merujuk kepada jenis bahan digunakan dan masih tidak termasuk kos pertukangan, reka bentuk dan jualan.

Amar berkata polis akan menyoal mereka yang dikatakan memberikan semua itu sebagai hadiah kepada Najib dan Rosmah sebelum merekodkan keterangan pasangan itu.

“Ada laporan sebelum ini tentang jam yang dirampas. Kami perlu sahkan ia adalah hadiah,”
katanya.

Polis membuka semula siasatan ke atas skandal kewangan rentas negara 1MDB selepas perubahan kerajaan pada 9 Mei.

Serbuan ke atas kediaman dikaitkan dengan Najib dilakukan seminggu selepas Pakatan Harapan mentadbir Putrajaya. – 27 Jun, 2018.

Rabu, 27 Jun 2018

Wartawan Tergelak Dengar Jenama Beg Bijan Dan Rupanya BIJAN Jenama Termahal Di Dunia.

Antara yang mencuri tumpuan ketika sidang media khas oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh pagi tadi ialah bila menyebutkan jenama beg yang dirampas dari premis berkaitan Najib Razak.

"Jumlahnya ialah 51.3 juta ringgit. Dan kami telah mengambil masa selama lapan hari untuk menggira beg-beg tersebut. Jumlah jenama ialah lebih 37 jenama semua sekali. Jenama-jenama yang ada ialah Hermes, Prada, Channel, ada satu yang mahal BIJAN..," jelas Amar Singh.

 
Wartawan kemudiannya tergelak beramai-ramai dalam sidang media tersebut. Ini kerana BIJAN seringkali digunakan untuk melabel ataupun menyindir NAJIB (jika baca secara terbalik ia akan menjadi BIJAN).

Meminta kepastian dari Amar Singh, salah seorang wartawan kemudiannya bertanyakan lebih lanjut.


"Datuk Seri bagaimana mahu mengeja BIJAN..?," soal wartawan yang tidak kelihatan di rakaman sidang media itu.

"B.I.J.A.N. BIJAN ialah custom made beg (beg yang dibuat berdasarkan kepada tempahan pelanggan). Ia adalah jenama yang sangat mahal. Ia tidak boleh didapati di pasaran biasa," respon Amar Singh sambil tersenyum.

Para wartawan yang mendengar sidang media itu kemudiannya bersuara tanda memahami penerangan tersebut.

Di laman sosial pula, beberapa netizens kemudiannya menyebarkan maklumat berkaitan jenama BIJAN yang nampaknya jarang diketahui oleh orang awam.

BIJAN ialah jenama eksklusif dan hanya golongan kaya raya dan VVIP sahaja yang mengetahui tentang jenama ini.

BIJAN juga digambarkan sebagai butik termahal di dunia dan bukan calang-calang orang mampu memiliki jenama semewah ini.



Beberapa portal media tempatan juga tidak ketinggalan melaporkan jenama BIJAN ini yang secara tiba-tiba menjadi buah mulut netizens selepas sidang media tersebut.



Oleh : Free Malaysia Today

Pengasas jenama Bijan


Jenama ini diasaskan di Los Angeles oleh seorang ahli perniagaan Pakzad Bijan. Beliau lahir pada April 1940 di Tehran, Iran yang mengkhusus pada koleksi pakaian lelaki dan wangian.

Butiknya Rodeo Drive di Beverly Hills digambarkan sebagai butik paling mahal di dunia.

Pemilik asalnya, Bijan meninggal dunia pada 16 April 2011 akibat strok dan perniagaan itu kini diambil alih oleh syarikat LVMH pada harga RM491 juta (AS$122 juta) pada Ogos 2016.

Pelanggan Bijan

Bukan calang-calang orangnya, antara pelanggan Bijan ialah 5 Presiden Amerika Syarikat iaitu George Bush dan anaknya, Barack Obama, Ronald Reagan dan Bill Clinton.Selain itu pemimpin Arab, Raja Salman, ahli politik terkenal yang lain seperti Tony Blair dan Vladimir Putin juga pelanggannya.

Tidak ketinggalan, pereka fesyen terkemuka turut menjadi pelanggan Bijan, antaranya Oscar de la Renta, Tom Ford dan Giorgio Armani.

Kalangan pelakon pula, Tom Cruise, Anthony Hopkins, pemain bola sepak Mick McCarthy dan Liam Brady adalah antara pelanggan Bijan.

Koleksi Bijan

Koleksi Bijan, bukan hanya beg tangan, sebaliknya ia bermula dengan pakaian lelaki dan pewangi untuk lelaki dan wanita.

Pada 2001, jualan produk pewangi dan perniagaan fesyen Bijan sahaja dianggarkan bernilai RM12.9 bilion (AS$3.2 bilion).

Beg tangan Bijan

Untunglah pemilik beg tangan Bijan kerana rata-rata jenama ini hanya mengeluarkan satu rekaan untuk setiap koleksi namun di butiknya ia menawarkan koleksi edisi terhad untuk beberapa unit.

Beg tangan di sini diperbuat daripada kulit buaya dan kanggaru.

Di luar butik, sebarang pertanyaan dan tempahan boleh dibuat menggunakan pautan laman webnya.

Dalam satu temuramah dengan pemilik terbaharu Bijan yang juga anaknya, Nicolas, walaupun jenama tersebut terkenal untuk pakaian lelaki, menjadi impian bapanya untuk memperkenalkan koleksi beg tangan untuk wanita.

“Kerana itulah kami memperkenalkan beg tangan ‘menerusi tempahan sahaja’ yang didatangkan dalam edisi terhad termasuk bertatahkan berlian,” kata Nicolas.

Beg tangan yang dirampas daripada serbuan berhubung penyiasatan 1MDB di Malaysia pula dikatakan bernilai RM1.6 juta seunit.

Butik Bijan

Butik Bijan mengalu-alukan kedatangan pelanggan dengan menempatkan sebuah kereta Bugati Veyron bernilai AS$2 million dan lukisan seni Fernando Botero bernilai berjuta ringgit di dinding luar sebagai sebahagian daripada aksesori dekorasi.

Ia juga meletakkan papan tanda, “Welcome to Bijan, “the world’s most expensive store”.

Belanja purata di butik RM400,000

Kalau nak masuk butik Bijan, seseorang kena buat temujanji terlebih dahulu dan purata membeli-belah di sini ialah sekitar AS$100,000 (RM402,000). - 27 Jun 2018.

Infografik Dan Butiran Lengkap Nilai Hasil Rampasan Di Premis Membabitkan Najib Razak Berkenaan Siasatan Skandal 1MDB.

Pagi tadi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh mengadakan satu sidang media khas bagi memberikan maklumat berkaitan barang rampasan di enam premis membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung siasatan skandal 1MDB.
 
 
Dalam sidang media tersebut, Amar Singh menjelaskan beberapa butiran lanjut terutamanya mengenai kos barang rampasan.


Amar Singh turut menjelaskan pegawainya juga bekerja semasa hari raya bagi menyegerakan hasil siasatan.

Dan berikut adalah butiran sidang media berkenaan;

Jumlah rampasan beg : 72 buah beg.

Nilai wang pelbagai jenis matawang (26 jenis) : RM116.7 Juta (46 buah beg).
Untuk mengira wang;

i) 6 mesin kira wang digunakan,
ii) 3 hari masa yang diambil,
iii) Dan menggunakan khidmat 22 kakitangan Bank Negara.


Jumlah beg yang mengandungi barang kemas : 22 buah beg.

Jumlah barangan kemas dirampas : 12,000.

Ringkasannya;

1. 16 hari masa yang diperlukan untuk kira kos barangan kemas.

2. Kos keseluruhan ialah RM440 juta (harga kos modal). Dan jika ikut harga pasaran termasuk kos upah, kos pembuatan, kos tukang dan sebagainya, ia boleh mencecah antara RM660 juta - RM880 juta.

3. Pecahannya seperti berikut;

i) Jumlah rantai : 1,400 jenis
ii) Jumlah cincin : 2,200 jenis
iii) Jumlah gelang : 2,100 jenis
iv) Jumlah subang : 2,800 pasang
v) Jumlah tiara : 14 jenis
vi) Jumlah kerongsang baju : 1,600 jenis


Yang paling mahal ialah rantai emas bernilai 6.4 juta. Ini hanya harga kos sahaja.

4. Bagi beg tangan yang dirampas pula, pecahannya seperti berikut;

i) Jumlah beg yang dirampas 567 buah.

ii) Harga kesemua beg ialah 51.3 juta.

iii) 37 jenis jenama kesemuanya seperti Channel, Hermes & sebagainya termasuklah custom made berjenama BIJAN.

iv) Lapan hari diperlukan untuk kira harga beg & ada beg yang berharga 1.6 juta dan seterusnya.

5. Jam tangan;

i) 423 utas dirampas pelbagai jenama seperti Rolex, Richard Mills & lain-lain. Totalnya lebih dari 100 jenama.

ii) Nilai keseluruhannya ialah 78 juta & 3 hari diperlukan untuk menggira kos kesemua tangan tangan tersebut.

6. Cermin mata;

i) Total 3 beg.

ii) Totalnya 234 pasang, 34 jenama.

iii) Total cost ialah RM374,000.

Kesemua item yang dirampas bernilai di antara 900 juta hingga 1.1 billion banyaknya.


Infografik oleh Bernama;


Menurut Amar Singh, untuk menyiasat hasil rampasan di enam premis membabitkan Najib Razak, 150 orang penyiasat terlibat dengan dibahagikan kepada lapan pasukan khas.

Operasi merampas dan menyiasat dilakukan diantara 21 Mei 2018 hingga 25 Jun 2018. - 27 Jun 2018.

Selasa, 26 Jun 2018

Pihak Istana Nafi Campurtangan Dan Halang Kelulusan Senarai Menteri Kabinet 2018.

Berikutan satu laporan yang tersiar di portal Malay Mail bertajuk : Cabinet List Delay? Dr. M Says Ball In Agung's Court bertarikh 25 Jun 2018, pihak istana ingin memaklumkan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong XV Sultan Muhammad V telah menerima senarai nama Menteri dan Timbalan Perdana Menteri pada 20 Jun 2018, iaitu hari rabu.



Baginda seterusnya telah memperkenankan senarai nama tersebut lalu menyerahkan kembali Pejabat Perdana Menteri pada 22 Jun 2018 persamaan hari jumaat.

Majlis Angkat Sumpah pula akan dijalankan pada 2 Julai 2018, hari isnin.

Justeru itu tidak timbul soal-soal negatif seperti yang diperkatakan oleh netizens di laman sosial. Pihak Istana Negara juga memohon agar semua media tidak melaporkan perkara-perkara negatif dan tidak tepat terhadap Yang Dipertuan Agong. - 26 Jun 2018.

Isu Vincent Tan Beli Saham T7 Global - Menjawab Syahredzan Johan.

Perdebatan masuk ke pusingan kedua. Pada awalnya Duke Of KL mempersoalkan apakah amalan kroni kapitalis telah kembali ke Malaysia dengan tindakan Vincent Tan membeli saham T7 Global selepas dua hari Pakatan Harapan memenangi pilihanraya ke 14.


Lihat sini : https://www.facebook.com/AmenoWorldOfficial/posts/1979081168793410


Perkara itu menjadi perdebatan awam kerana membabitkan kelangsungan projek ECRL. Samada ia akan diteruskan ataupun dibatalkan oleh kerajaan baru.

Sembang-sembang kedai kopi (spekulasi) di dunia bisnes meramalkan tindakan Vincent Tan membeli saham T7 Global;

i) Mengekalkan projek ECRL dengan hubungan baik Vincent - Mahathir. Ini kerana Vincent dikatakan mampu mempengaruhi tindakan Mahathir dalam membuat keputusan mengenai projek ECRL

ii) Mengambil kesempatan ke atas kerajaan baru kerana membantu kemenangan, dengan cara mempengaruhi dan mendorong kerajaan untuk kekalkan projek-projek yang Berjaya Group akan/telah melibatkan diri

Syahredzan Johan yang juga Setiausaha Politik kepada Lim Kit Siang kemudiannya menjawab perkara itu disini : https://www.amenoworld.org/2018/06/ecrl-milik-kroni-mahathir-ini.html


Dan ini adalah hujah balas untuk respon Syahredzan Johan itu.


Oleh : Duke Of KL
 

Menjawab posting saudara Syahredzan Johan

Setelah meneliti posting beliau di akaun FB miliknya, kami telah gariskan terdapat tiga points penting dalam posting tersebut iaitu

1. ECRL belum lagi anugerahkan kontrak kepada kontraktor.


2. Perdana Menteri tidak sempat melihat intipati perjanjian ECRL.


3. Perdana Menteri tidak pernah mengatakan bahawa mereka membatalkan projek ECRL sebelum ini.





Menjawab point pertama

Melalui pencarian kami, syarikat T7 Global ( dahulunya dikenali sebagai Tanjong Offshore ) masih tidak menjadi kontraktor untuk projek ECRL seperti mana yang disebutkan oleh saudara Syahredzan.

Walaubagaimanapun, segala resources yang ditampilkan oleh konsortium ini memberikan indikasi bahawa mereka akan mendapat projek ini hasil dokongan oleh kerajaan negeri Terengganu melalui Eastern Pacific Industrial Corporation ( EPIC )

Keyakinan k'jaan Terengganu boleh dilihat dari perjanjian oleh EPIC dan CMC Engineering Sdn Bhd pada Januari 2007 apabila mereka menandatangani perjanjian persefahaman.

Indikasi projek ini akan dianugerahkan kepada mereka berterusan apabila usaha kerjasama diantara EPIC & CMC Engineering Sdn Bhd terus dikukuhkan oleh konsortium ini dengan menandatangani perjanjian persefahaman bersama T7 Global Berhad pada Mac tahun ini.

Satu-satunya pesaing mereka ialah Vivocom iaitu sebuah syarikat Hong Kong yg ingin bekerjasama dengan MACfeam untuk mendapatkan projek ini. Meskipun begitu, tidak ada sebarang perkembangan susulan mengenai pihak ini untuk projek ECRL melainkan satu-satunya pengumuman kepada Bursa pada Oktober 2017

Dalam kata lain, konsortium EPIC ( milik kerajaan negeri Terengganu ) , CMC Engineering Sdn Bhd & T7 merupakan prospek utama untuk dianugerahkan projek ini.

Menjawab Point kedua
 

Saudara Syahredzan Johan mengatakan bahawa Perdana Menteri tidak sempat untuk menyemak intipati perjanjian diantara 11 Mei - 15 Mei.

Mungkin saudara Syahredzan terlupa bahawa Tun Dr Mahathir mempunyai kemampuan luar biasa dalam mengetahui rahsia kerajaan. Lihat sajalah kenyataan di MalaysiaKini pada Mac 2018, beliau telah tahu bahawa hutang negara RM1 Trilion dua bulan sebelum menjadi Perdana Menteri.

Pemimpin-pemimpin hebat seperti Tun Mahathir ini tidak perlu membaca keseluruhan dokumen perjanjian dengan sendirinya. Untuk peringkat awal, beliau boleh saja untuk sub kan tugasan itu kepada pegawai-pegawainya sekaligus memberikan ringkasan mengenai projek tersebut secepat mungkin.

Menurut Menteri Kewangan, projek ECRL ini tidak boleh dibatalkan kerana kerajaan telah pun membayar RM20 bilion.

Apa tindakan Tan Sri Vincent Tan?

Beliau terus membantai 21 juta unit saham pada 15 Mei iaitu hari kedua bekerja selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihanraya.

Boleh saja beliau membeli saham tersebut sebelum pilihanraya ataupun sekarang. Tetapi kenapa berlaku pembelian besar-besaran dalam satu transaksi sejurus saja kerajaan Pakatan Harapan memerintah?

Kenapa bukan sebelum 9 Mei?
Kenapa bukan sekarang?

Menjawab point yang ketiga
 

Perdana Menteri tidak pernah mengatakan bahawa projek ECRL akan dibatalkan. Ya benar. Tetapi apakah yang dilaungkan oleh Tun Mahathir & Pakatan Harapan sebelum pilihanraya mengenai projek ECRL.

22 April 2018 - ECRL, HSR would kill off local airline industry, says Daim - The Edge

6 April 2018 - ECRL could be a Malaysian disaster - Nurul Izzah - MalaysiaKini

4 April 2018 - There may be no ECRL if Pakatan Harapan wins GE14 - The Edge

1 April 2018 - Projek ECRL mungkin dihentikan jika PH menang PRU14 - Dr M - Astro Awani

8 April 2018 - Mahathir pldeges to review China investment after GE14 - FMT

7 Februari 2018 - Dr M: Harapan to review unbeneficial foreign projects, may nix ECRL - MalaysiaKini

24 Ogos 2017 - PH will review, renegotiate ECRL & HSR - FMT

9 Ogos 2017 - Pakatan to review ECRL, rail deals if it wins GE14 - TMI

Makna kata, Pakatan Harapan dah tanam kecurigaan mengenai permasalahan mengenai ECRL semenjak tahun 2017 lagi sekaligus memberikan indikasi bahawa projek ini akan dibatalkan.

Bila Pakatan Harapan menang dan saham T7 Global jatuh pada 14 Mei 2018 ( Isnin )

* 8 Mei 2018 - RM0.47
* 14 Mei 2018 - RM0.37

 

Tada... Tan Sri Vincent Tan beli saham T7 Global pada 15 Mei (Selasa)

Hari ini, saham T7 Global Bhd naik 19.05%

Berbanding pada harga pembelian awal oleh TS Vincent Tan pada 15 Mei, harga T7 Global Bhd hari ini telah naik lebih kurang 37%

Nasihat kami kepada saudara Syahredzan, belajarlah melihat sesuatu isu itu dari kaca mata seorang yang neutral.

https://www.thestar.com.my/…/epic-cmc-team-up-to-explore-o…/


https://www.nst.com.my/…/vivocom-consortium-eyes-ecrl-proje…


https://www.nst.com.my/…/t7-global-signs-mou-terengganus-ep…


https://www.malaysiakini.com/news/416562

Satu Malaysia Tibai Guan Eng Termasuk MAZA & RORA Dan Ini Penjelasan Menteri.

Hanya kerana sedikit kesilapan yang boleh dianggap sebagai remeh, satu Malaysia telah 'membantai' dan membidas tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Sejak semalam pelbagai pihak telah tampil menerusi pelbagai platform untuk membidas tindakan Kementerian Kewangan yang menggunakan kepala surat rasmi kerajaan bagi mengeluarkan kenyataan media dalam bahasa mandarin mengenai TRX kepada media berbahasa cina. 

Samada pro Pakatan Harapan mahupun UMNO, pelbagai pihak tampil membidas dan mengkritik tindakan Lim Guan Eng yang disifatkan tidak wajar malahan menyalahi perlembagaan kerana Lim Guan Eng tersalah tafsir maksud sebenar.

Golongan agamawan seperti Ustaz Rozaimi dan Ustaz Asri turut memasuki senarai yang mengkritik tindakan Lim Guan Eng.

Ustaz Rozaimi Ramlee (RORA) :
"Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan. Ia sepatutnya digunakan untuk urusan rasmi kerajaan. Menjadi tugas warganegara untuk memahami bahasa kebangsaan ini.

Jika kerajaan mula menggunakan bahasa lain dalam dokumen rasmi kerana ada permintaan mana-mana pihak maka kerajaan kena juga bersedia jika ada permintaan dari etnik atau kaum lain pula. Ini kerana mereka juga warganegara.

Jenuh pula kerajaan nak mencari jurubahasa untuk menjadi penterjemah kepada bahasa etnik yang minoriti sedangkan semua warganegara sepatutnya memahami bahasa kebangsaan mereka. Bahasa kebangsaan menyatukan kita. Jika berbangga dengannya, maka gunakannya".


Dr. Ustaz Asri Zainal Abidin (MAZA) : "Negara ini ada identitinya. Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu. 

Tiada masalah dengan Bahasa Kebangsaan itu sejak sekian lama. Ia bukan punca pertelingkahan bahkan ia antara sebab perpaduan di negara kita. 

Di Indonesia, Bahasa Indonesia diangkat. Semua kaum di sana fasih berbahasa negara mereka. Ingatan untuk kerajaan baharu bahawa jika awal-awal lagi identiti yang menyatukan rakyat itu hendak dicemari, maka ialah tanda satu petanda bahawa keadaan yang tidak damai dan tenteram akan melanda negara ini".

Dan berikut adalah penjelasan penuh dari Lim Guan Eng untuk menjawab perkara yang menjadi polemik sejak ahad.



Kementerian Kewangan sentiasa mengutamakan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Adalah tidak benar dakwaan bahawa Bahasa Mandarin telah menggantikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Kementerian Kewangan dan ini boleh dibuktikan dalam laman web rasmi Kementerian Kewangan. 

Kenyataan rasmi Bahasa Melayu akan diterjemahkan kepada Bahasa Inggeris untuk kegunaan media antarabangsa dan sekali-sekala diterjemahkan ke dalam Bahasa Mandarin jika ada keperluan. 

Saya tidak faham mengapa terjemahan kenyataan rasmi Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris ataupun sekali-sakala dalam Bahasa Mandarin boleh diputarbelitkan untuk menyatakan bahawa bahasa rasmi Kementerian Kewangan telah ditukar ke bahasa Bahasa Mandarin. 

Jika adapun, terjemahan ke dalam Bahasa Mandarin dibuat apabila ada keperluan, terutamanya apabila isu tersebut melibatkan terma-terma teknikal. 

Terjemahan ini kemudiannya dihantar terus kepada media berbahasa Cina atau media sosial dan tidak digunapakai dalam laman rasmi Kementerian Kewangan. 

Ingin saya tegaskan bahawa semua kenyataan dalam media rasmi saya di bawah Kementerian sememangnya dikeluarkan dalam Bahasa Melayu dan hanya diterjemahkan kepada bahasa lain sekiranya perlu. 

Pendirian mendukung Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan bahawa Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan tidak pernah dipertikaikan. Akan tetapi, saya akan menggunakan bahasa lain dalam akaun media sosial saya dan juga Bahasa Mandarin dalam komunikasi saya bersama akhbar Cina. 

Saya telah mengeluarkan kenyataan dalam Bahasa Mandarin pada 24 Jun 2018 tanpa kepala surat rasmi Kementerian Kewangan. 

Saya mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana prihatin tentang perkara ini dan saya mengambil maklum kritikan dan teguran berkenaan dengan status yang dimuatnaik dalam laman sosial saya pada 24 Jun 2018. 

Saya akan terus memperbaiki apa-apa kelemahan dalam tata urus komunikasi saya dengan rakyat Malaysia. Lim Guan Eng Menteri Kewangan Malaysia. - 26 Jun 2018.

Saya Akui Saya Tersilap Guna 'Letterhead' MoF Kata Pegawai Media Lim Guan Eng.

Oleh : Rahmah Ghazali
 

Sebagai seorang pegawai media kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan sebelum ini pernah bekerja sebagai seorang wartawan di akhbar arus perdana dan juga portal berita selama 10 tahun, saya sentiasa mengamalkan sikap professional saya sebagai seorang pemberita dan alhamdulillah, masih mengekal professionalism saya sebagai seorang penjawat awam di pejabat menteri (saya bukan ahli mana-mana parti and wish to remain this way).



Saya mengambil maklum tentang situasi yang berlaku sekarang di mana boss saya dihentam teruk kerana dikatakan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam bahasa Cina untuk urusan kerja di Kementerian.

Saya sebagai pegawai media rasa terpanggil untuk menjelaskan keadaan sebenar kerana saya rasa saya juga bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku.

Sejak saya masuk ke pejabat menteri pada 23 Mei, kenyataan rasmi sememangnya dibuat dalam bahasa Melayu dan akan diterjemahkan ke Inggeris dan kadang-kadang ke dalam Bahasa Mandarin, jika kenyataan tersebut melibatkan terma-terma teknikal dan angka-angka besar kerana menteri tahu betapa susahnya untuk wartawan akhbar cina untuk terjemahkan perkataan atau ayat tertentu ke bahasa tersebut.


Sebelum praktis menterjemahkan ke bahasa lain dibuat (semasa beliau di Pulau Pinang), ramai wartawan akan menelefon beliau untuk explain (menjelaskan) apa maksud ayat tertentu apabila kenyataan cuma dikeluarkan dalam BM atau BI. 

Jika praktis ini tidak diteruskan, bayangkan berapa banyak panggilan telefon saya atau beliau akan terima daripada wartawan menyuruh kami menjelaskan kenyataan tersebut. Jadi dengan adanya terjemahan, kami sekaligus menyenangkan kerja wartawan (dan kami juga). 

Tambahan lagi, Kementerian Kewangan adalah kementerian yang paling sibuk setakat ini.

Walaubagaimanapun, saya mengakui ada kesilapan di pihak saya di mana versi terjemahan bahasa Mandarin tidak perlu mempunyai kepala surat (letter head) kementerian seolah-seolah itu adalah kenyataan rasmi dan terjemahan tersebut perlulah diemel terus kepada wartawan akhbar cina dan bukan di public group Whatsapp di mana saya tubuhkan untuk kesenangan komunikasi antara saya dan rakan-rakan wartawan. Tiada niat tidak baik daripada pihak saya ataupun kementerian.

Bagi pihak LGE pula, ketika beliau dilihat (mempertahankan) terjemahan dalam Bahasa Mandarin di FB peribadi beliau (dengan menggunakan bahasa Mandarin), beliau sebenarnya memberi respons beliau kepada akhbar Cina yang sudahpun memainkan isu ini pada hari minggu lalu. 


Beliau merasakan jawapan dalam bahasa ibunda beliau lebih elok untuk mengelakkan kejadian “lost in translation”.

I personally think he has a right to write in whatever language he wants to write in his FB account, hatta bahasa raver ke wechat ke I honestly do not give a damn. His space, his right.

OKlah tu je penat siut tulis dalam bahasa baku ni tau. thanks sebab baca sampai habis. hahah

Kenapa Mesti Guna Bahasa Cina Soal KJ Pada Guan Eng.

Oleh : Khairy Jamaluddin

Kenapa perlu guna bahasa Mandarin dalam Kenyataan Rasmi Kerajaan?

Kenyataan balas Lim Guan Eng mempertahankan penggunaan bahasa Mandarin untuk kenyataan rasmi kerajaan tidak boleh diterima sama sekali. Walaupun kita hidup dalam era globalisasi, Bahasa Malaysia (atau Bahasa Melayu dalam Perlembagaan) telah ditetapkan sebagai bahasa kebangsaan antaranya untuk menyemai perpaduan negara melalui bahasa.

 
Tindakan Kementerian Kewangan yang mengeluarkan kenyataan dalam bahasa Mandarin bukan hanya dilihat seperti memberi fokus hanya kepada pengguna bahasa tersebut tetapi juga cuba untuk mengubah norma bahasa yang diguna pakai kerajaan. Ini bukan hanya seolah-olah mencabar mereka yang mendukung bahasa rasmi Persekutuan tetapi juga merosakkan usaha menyatupadukan negara dengan satu bahasa bersama.

Bukan niat saya untuk menghalang penggunaan mana-mana bahasa lain di Malaysia kerana itu adalah hak peribadi. Namun Kerajaan Persekutuan perlu menjadi contoh dalam memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa perpaduan negara.

Jika kenyataan tersebut adalah untuk kegunaan pembaca antarabangsa sekalipun, kenapa tidak kenyataan itu dibuat dalam Bahasa Inggeris sepertimana yang dilakukan Kementerian Kewangan di awal pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan? Tanpa sebab munasabah dalam menggunakan bahasa Mandarin, kerisauan saya adalah tindakan ini akan terus meniup api kemarahan kepada segmen majoriti di Malaysia yang sudah sedia ada rasa tercabar sejak beberapa minggu ini.

HARAPAN Perak Pecat 7 Pegawai Eksekutif Syarikat GLC.

Oleh : Bernama

Kerajaan negeri Perak di bawah Pakatan Harapan (HARAPAN) telah memecat tujuh pegawai eksekutif sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dilantik di bawah pemerintahan kerajaan terdahulu setelah didapati berbelanja melebihi yang sepatutnya.

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berkata pemecatan semua tujuh pegawai eksekutif itu dibuat susulan peletakkan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat berkenaan.

 
Tanpa mendedahkan nama GLC berkenaan, Ahmad Faizal berkata pemecatan itu juga akan menjimatkan perbelanjaan kos kerajaan negeri sebanyak RM150,000 sebulan iaitu kira-kira RM1.6 juta setahun.

“Apa yang saya nampak ada yang tidak masuk akal kerana syarikat itu pun bukan buat untung yang banyak tetapi mempunyai perbelanjaan dan pegawai yang tidak perlu.

“Dan perkara ini kita terpaksa warisi atau hadapi sekiranya saya ambil pendekatan mengecilkan perbelanjaan saya terpaksa memecat begitu ramai pekerja dan mereka hilang pendapatan,”
katanya kepada pemberia selepas hadir pada majlis Tambun Berhari Raya bersama HARAPAN di Ipoh hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri akan memikirkan cara yang terbaik untuk menyelesaikan isu perbelanjaan besar tersebut dengan bijaksana.

“Syarikat GLC yang mana, tidak mahu saya sebutkan sehingga saya selesaikan masalah ini.

“Seperti dalam manifesto HARAPAN juga banyak perkara yang kita akan bentang dalam dewan (Dewan Undangan Negeri), jadi ini akan menjadi pengetahuan umum akhirnya,”
katanya.

Sementara itu, beliau berkata barisan exco kerajaan Perak akan menggunakan kenderaan yang sama dipakai oleh exco di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Saya mengambil keputusan untuk tidak membeli apa-apa kereta baru tahun ini, malah nanti akan ada pengumuman mungkin ada lelongan kereta daripada GLC kerana banyak kereta yang tak perlu sebenarnya.

“Untuk peringkat kerajaan negeri bagi barisan exco sahaja memang tiada peruntukan membeli kereta tahun ini tapi tahun depan, kita akan lihat keadaan kereta itu balik,”
katanya.

Sampai Bila HARAPAN Mahu Terus Berbohong, Putar Belit Dan Manipulasi Data Ekonomi Negara - UMNO.

Oleh : Unit Komunikasi Strategik Umno


Penyusutan rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) daripada AS$108.5 bilion pada 31 Mei kepada AS$107.9 bilion, seperti laporan bank pusat itu, amat menggusarkan Umno dan rakyat Malaysia.

Ia juga jauh lebih rendah ketika rizab negara berjumlah A$110.0 bilion pada April 2018 atau sebelum PRU14. Ketika itu, ia di bawah pentadbiran kerajaan BN.

Penarikan balik dana asing di Bursa Malaysia yang berjumlah RM2.48 bilion, kerugian Kumpulan Wang Simpanan Pekerja bernilai RM6 bilion dalam bentuk pelaburan dan nilai ringgit yang jatuh daripada RM3.91 kepada RM4.01 bagi AS$1 juga bukan sesuatu yang kebetulan.

Ini bukannya salah BN dan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak. Ketika semua pelan pembangunan dan penarikan minat pelabur asing memuncak di zamannya, Pakatan Harapan (HARAPAN) cuba memusnahkannya.

Pengakuan HARAPAN bahawa bukan semua manifestonya dapat ditunaikan, pelabur asing melihat helah politik mereka lebih kepada mencari kesalahan kerajaan silam, dan bukannya merangka strategi untuk pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan suasana keyakinan dalam pasaran serta pelaburan.

Pembohongan berterusan mereka mengenai kaitan Najib dan 1MDB, pembentukan Tabung Harapan Malaysia serta putar-belit tentang ekonomi negara menggusarkan pelabur asing untuk terus menanam modal atau menyuntik modal baru di Malaysia.

HARAPAN hanya ada diri sendiri untuk dipersalahkan. Penipuan dan propaganda bohong yang merendah serta memperkecilkan negara sendiri di luar negara mula menampakkan hasil yang mereka inginkan.

Ekonomi negara yang bankrap serta pembohongan fakta-fakta lain selama empat tahun kini menjerumuskan HARAPAN ke dalam kesukaran untuk menunaikan janji dan menarik semula keyakinan pelabur.

Dr Mahathir Mohamad sendiri terpaksa mengkitar semula Dasar Pandang ke Timurnya dan merayu bantuan pinjaman daripada Jepun. Dasar jimat-cermatnya pula diragui dengan pelan kereta nasional yang baru dan peranan Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan, yang tugasnya hanya mencari kesalahan lalu, tanpa sikit pun usaha untuk membangunkan ekonomi negara.

Di manakah kebijaksanaan Lim yang ditonjolkan oleh Dr Mahathir sebagai begitu berjaya dalam menguruskan ekonomi Pulau Pinang?

Kalau setakat untuk mengorek kesalahan pentadbiran silam, sesiapa pun boleh jadi menteri kewangan.

Sepatutnya sebagai Menteri Kewangan yang berkaliber dan berwawasan, Lim perlu mengadakan segera pertemuan dengan pengurus asing bagi mengembalikan keyakinan mereka untuk terus melabur di pasaran saham Malaysia.

HARAPAN perlu melihat dan menyalahkan diri sendiri di atas kemelut ini. Biarpun menggunakan "kami kerajaan baru" sebagai helah untuk mengelabui mata rakyat, kesedaran mulai timbul betapa mereka sebenarnya menggunakan kesempatan ini untuk mentadbir dalam gelap semata-mata.




Sampai bilakah pembohongan dan putar-belit ini akan digunakan untuk terus menipu rakyat dan pengundi? Dan sampai manakah Dr Mahathir merasakan kabinetnya dianggotai oleh mereka yang benar-benar berguna kepada rakyat dan negara?

Taktik mereka selama ini sudah mula memakan diri. Pelabur asing mungkin mengambil sikap tunggu dan lihat kepada perkembangan pasaran tempatan, atau mungkin mengalihkan perhatian ke negara lain.

Oleh itu, apa inisiatif HARAPAN untuk menarik dan meyakinkan pelabur luar? Menyalahkan orang lain amat mudah tetapi mengakui silap sendiri memang sukar dibuat!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...