Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Isnin, 25 Jun 2018

Cepat Minta Maaf Guan Eng Kata Blogger PPBM..

Oleh : Shahbudin Husin

Isu penggunaan bahasa Mandarin dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Guan Eng selaku Menteri Kewangan seharusnya tidak perlu terus berlarutan menjadi perbualan masyarakat.

Ia mungkin akan bertambah buruk dan menjadi isu nasional yang teruk jika semakin banyak pihak yang mengeluarkan kenyataan.

Dalam sebuah negara yang mengguna dan menerima pakai Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, urusan rasmi kerajaan, termasuk kenyataan media kementerian, mesti, harus dan wajib menggunakan bahasa utama tersebut.


Kemudian, untuk memberi kefahaman yang lebih menyeluruh kepada rakyat pelbagai lapisan atau jika ada keperluan, kenyataan media yang sama boleh dikeluarkan juga dalam bahasa Inggeris, Cina, Tamil atau sebagainya.

Tetapi, mengeluarkan kenyataan media dalam urusan kerajaan, meskipun sekadar mempertahankan kenyataan sebelumnya hanya dalam bahasa Mandarin dan tiada dalam bahasa Melayu, ia adalah salah dan jelas tidak menghormati kedudukan bahasa Melayu itu sendiri.

Kenapa kenyataan Guan Eng dalam mempertahankan penggunaan tiga bahasa itu hanya dikeluarkan dalam bahasa Mandarin?

Dalam hal, pihak yang bangun mempertikaikan perkara tersebut tidak boleh dianggap mengamalkan sikap perkauman kerana bahasa adalah identiti utama sesebuah negara.

Lim Guan Eng harus sedar beliau adalah Menteri Kewangan yang mewakili rakyat Malaysia dan bukan mewakili komuniti Cina semata-mata.

Jika bahasa Melayu telah diterima sebagai bahasa rasmi negara, maka tiada sebab perkara itu harus ditolak dan diabaikan.

Sebagaimana Guan Eng sebelum ini berbangga bahawa beliau adalah rakyat Malaysia dan bukan orang Cina ketika perlantikannya sebagai Menteri Kewangan dipertikaikan, beliau kini perlu jujur kepada dirinya sendiri.

Beliau perlu membuktikan dirinya adalah rakyat Malaysia yang sejati dalam percakapan, amalan serta tindakan.

Keterlanjuran mengeluarkan kenyataan media hanya dalam bahasa Mandarin mesti diakui kesilapannnya dan disusuli dengan permohonan maaf serta janji ia tidak berulang lagi.

Tidak sukar untuk rakyat Malaysia memaafkan beliau jika Guan Eng sedia dan cepat-cepat memohon maaf atas perkara ini.

Dengan cepat memohon maaf juga bermakna Guan Eng tidak terus menyusahkan Pakatan Harapan dan Tun Mahathir Mohamad dalam mentadbir negara ini.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...