Kenyataan Media | PENCALONAN PERDANA MENTERI
1. Saya telah mengadakan satu pertemuan dengan kumpulan yang
menyokong saya dan rakan-rakan dari parti Amanah, Warisan dan DAP
pada Jun 25, 2020 - bertempat di Rumah Tetamu Sabah, Kuala Lumpur.
2. Perbincangan yang diadakan secara tidak formal dihadiri oleh Dato Seri
Shafie Apdal, YB Mohamad Sabu, YB Tan Kok Wai, YB Lim Guan Eng,
YB Anthony Loke, YB M. Kulasegaran dan YB Liew Chin Tong.
3. Dato Seri Mukhriz Mahathir dan Dato Wira Marzuki Yahya turut menyertai
pertemuan itu.
4. Kami membincang banyak perkara berkaitan keadaan Negara pada masa
kini serta masing-masing melahirkan rasa risau terhadap beberapa
perkembangan semasa.
5. Semasa perbincangan, telah ditimbul beberapa cadangan mengenai hala
tuju perjuangan untuk mengembalikan mandat kepada rakyat yang telah
di rampas oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan konco-konconya dan
menubuh Kerajaan pintu belakang menggantikan Kerajaan yang dipilih
rakyat semasa pilihanraya ke 14 dalam bulan Mei tahun 2018.
6. Di dalam perbincangan, saya terbuka kepada apa juga cadangan
termasuk saya tidak dicalon sebagai bakal Perdana Menteri. Di antara
cadangan yang dikemuka ialah pencalonan Dato Seri Shafie Apdal
sebagai Perdana Menteri.
7. Kami sebulat suara bersetuju Dato’ Seri Shafie Apdal dinamakan sebagai
calon Perdana Menteri.
8. Saya menyokong penuh cadangan ini. Yang penting ialah kita mempunyai
pendirian yang tegas supaya rakyat tahu akan pendirian kita.
9. Kami juga bersetuju mencadang Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai calon
Timbalan Perdana Menteri 1 dan Mukhriz sebagai calon Timbalan
Perdana Menteri 2.
10. Mungkin ada yang bertanya kenapa Shafie dicalonkan. Mungkin ada yang
telah lupa bahawa Shafie adalah salah seorang pemimpin asal
menentang Kerajaan kleptokrasi sejak sebelum pilihanraya ke-14. Dia
juga salah seorang pemimpin yang menjadi mangsa awal Kerajaan Najib dan telah disingkir dari jawatan Menteri serta Naib Presiden UMNO
kerana tidak dapat menerima perbuatan rasuah dan pencurian wang
rakyat menerusi skandal 1MDB yang begitu memualkan.
11. Shafie ketika itu bersama-sama dengan Muhyiddin. Kini Muhyiddin
meninggalkan perjuangan dan kembali bersama dengan kleptokrats yang
dahulu menghukum dan menyingkirnya.
12. Saya percaya jika langkah kami berjaya, ia akan merapatkan lagi
hubungan di antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.
13. Saya juga percaya apa yang kita cadangkan ini dapat diterima oleh rakyat
sebagai bukti bahawa personaliti-personaliti di dalam pemimpin-
pemimpin parti pembangkang tidak utamakan kedudukan dan jawatan.
14. Yang penting ialah meneruskan perjuangan yang dimulakan sejak tahun
2015 untuk membersihkan negara dari kerosakan yang dilakukan oleh
pemimpin Kerajaan ketika itu kerana sikap tamak, bongkak dan
kepentingan diri. Seperti yang kita sedang saksikan, perbuatan yang kita
tentang dahulu sudah mula bertapak dan pemimpin dan penyokong
kleptokrasi sudah kembali.
15. Parlimen akan bersidang tidak lama lagi. Saya akan kemuka usul tidak
percaya terhadap Kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin.
16. Insya-Allah, dengan sokongan Ahli-Ahli Parlimen yang tidak boleh
menerima Kerajaan pintu belakang Tan Sri Muhyiddin dan mahu
mengembalikan mandat rakyat akan bersama saya dan rakan-rakan lain
menyokong usul Dato’ Seri Shafie menjadi Perdana Menteri.
17. Jika usaha ini berjaya, langkah untuk pastikan asas demokrasi seperti
yang dituntut rakyat akan dapat kita penuhi. Kita perlu tamatkan Kerajaan
yang tidak dipilih rakyat.
DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD