Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Sabtu, 2 Januari 2021

Dedahkan Jumlah Sebenar Pampasan Batal HSR - Anwar.

KENYATAAN MEDIA | Saya mengambil maklum keluhan ramai terutamanya melibatkan isu moratorium pinjaman sewa beli kenderaan yang didapati hanya janji dan harapan palsu oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN). 

Saya mendapati moratorium pinjaman sewa beli kenderaan ini datang bersama kos yang lebih besar dan menambah beban rakyat. Pelbagai syarat yang dikenakan juga terus merumitkan keadaan, dan ini tidak membantu rakyat di bawah yang saat ini masih terhimpit dengan dampak wabak COVID-19. 

Sebagai kerajaan yang kononnya peduli dan prihatin terhadap nasib rakyat susah, adalah tidak wajar perkara sebegini dipandang enteng dan diambil mudah. Saya menggesa kerajaan dan Menteri Kewangan untuk membetulkan perkara ini sesegera mungkin. 

Kerajaan juga harus menjelaskan dengan lebih terperinci jumlah sebenar yang terpaksa ditanggung kerajaan Malaysia dan para pembayar cukai akibat pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Justeru segala pernyataan yang dibuat Menteri Kewangan semasa penggulungan Belanjawan 2021 baru-baru ini sukar dipercayai terutamanya berhubung soal pengeluaran akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), moratorium dan juga projek mega HSR. 

Jika benar seperti yang dilaporkan, ini secara tidak langsung telah mendedahkan lagi kelemahan kerajaan PN dalam membuat sebarang keputusan besar buat negara dan rakyat.

Ketidakstabilan dan goyahnya kerajaan hari ini memberi imej dan reputasi yang buruk kepada negara tatkala ia akan menanam ketidakyakinan kepada negara-negara luar untuk mengadakan rundingan atau untuk mencapai sebarang persetujuan dengan Malaysia. 

Ia memberi petunjuk bahawa kerajaan yang ada pada hari ini adalah kerajaan yang tidak boleh digantung harap. 

Perkembangan ini memburukkan keadaan tatkala negara dan rakyat masih bergelut dengan situasi ekonomi pandemik saat ini.

ANWAR IBRAHIM

Dakwaan Curi, Beli Ahli, UMNO Tidak Akan Minta Maaf Kepada PPBM - Shahril Hamdan.

Shahril Hamdan | UMNO TAK PERLU MOHON MAAF; HANYA PERLU PERKUAT PARTI SENDIRI 

Ketua Penerangan PPBM menyelar kenyataan Ketua Pemuda UMNO bahawa ada usaha mengambil ahli UMNO untuk membantu menambah keahlian PPBM.


Wan Saiful Wan Jan mendesak agar
DR ASYRAF WAJDI DUSUKI
memohon maaf atas kenyataan beliau.
 
Tidak ada sebab untuk Dr Asyraf mohon maaf. Kerana soal PPBM mengambil ahli UMNO ini sudah jelas. 
 
Kalau lihat di Parlimen, berapa peratus Ahli Parlimen PPBM yang datang dari UMNO? Kalau lihat di peringkat Bahagian, berapa ramai pimpinan bahagian yang datang dari UMNO?
 
Soal bayaran, habuan dan sebagainya - jika Dr Asyraf disaman di mahkamah, saya yakin beliau sedia mengemukakan buktinya.
 
Semua ini tidak sedikit pun menghakis penghargaan UMNO kepada akar umbi yang kekal setia bersama parti waktu susah dan senang.
 
Sebagai menzahirkan penghargaan tersebut, UMNO mesti terus memperkukuh kekuatan sendiri supaya tidak boleh diperkotak-katik oleh parti lain. Ada pihak yang akan sentiasa mahu melihat UMNO lemah dan dilemahkan. Kita tak terkejut dengan senario itu - sebaliknya terus mencari jalan memastikan parti ini menjadi pilihan utama rakyat Melayu dan Malaysia amnya. 
 
Jika kita tak kuatkan parti, jika kita asyik bergaduh sesama sendiri, jika kita tak siapkan tawaran menarik untuk rakyat - maka kita tak boleh salahkan orang lain jika mereka memintas kita. Kerana itulah lumrah politik.
 
Insya Allah musim persidangan ini, UMNO akan fokus kepada agenda yang dibawah kawalan kita dan tidak dipacu oleh agenda atau helah orang lain. - 2 Januari 2021.

Khamis, 31 Disember 2020

Selepas Najib, Kini Anwar Mahu Zeti Jawab Dakwaan Terkait Skandal 1MDB.

POLITIK | Sudah beberapa hari Najib Razak mempersoalkan penglibatan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz dalam skandal 1MDB.

Najib menggunakan portal Malaysia Today sebagai rujukan bagi mendesak Zeti menjawab pertuduhan tersebut.

Kali ini Anwar pula mahu Zeti menjawab dakwaan-dakwaan yang membabitkan ahli keluarga Zeti bagi membersihkan namanya.

Berikut adalah kenyataan media tersebut;

KENYATAAN MEDIA | Pertuduhan terbaru mengaitkan keluarga mantan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz dalam kes 1MDB yang melibatkan transaksi dengan Jho Low dan bank-bank di negara jiran Singapura menampakkan Malaysia masih jauh dalam mencari jalan keluar dari skandal ini. Imej dan reputasi buruk kepada negara kesan dari skandal ini masih belum pulih sepenuhnya. 

Mereka yang mendapat faedah dan laba dari kes 1MDB ini mesti dibawa ke muka pengadilan. Mereka yang bersekongkol mesti juga bertanggungjawab kerana tidak mungkin skandal maha dahsyat ini terwujud tanpa persetujuan dari pelbagai lembaga kewangan dan peraturan.

Kegagalan untuk menghadapkan mereka ke muka pengadilan juga akan meletakkan Malaysia dalam keadaan terdedah kepada skandal semacam 1MDB di masa hadapan. Ia juga akan menjadikan Malaysia sebagai bahan gurau senda tatkala kita gah berbicara soal ketelusan. kebertanggungjawaban dan melawan rasuah.

Maklumat terkini berhubung kemungkinan keterlibatan Dr. Zeti dalam skandal 1MDB ini adalah berkait dengan pembekuan wang yang berasal dari dana haram 1MDB oleh pihak berkuasa di Singapura. Akaun-akaun luar pesisir yang berdaftar memberi petunjuk bahawa ia adalah milik ahli-ahli keluarga Dr. Zeti. 

Beliau yang kini menjawat jawatan Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) harus segera mengesahkan kenyataan-kenyataan yang dibuat sebelum ini terkait pengetahuannya tentang aliran dana haram 1MDB, dan apakah atas kapasiti sebagai Gabenor BNM beliau telah dengan sedar membenarkan aliran dan transaksi masuk dan keluar dari akaun-akaun bank di Malaysia yang dimiliki oleh pemain-pemain politik. 

Beliau juga mesti memberi penjelasan tentang sebarang pengetahuan yang beliau ada saat kes 1MDB terdedah, dan apakah ahli-ahli keluarganya turut mendapat manfaat kewangan hasil dari kesepakatan dengan Jho Low. 

Kegagalan untuk menjawab persoalan-persoalan ini akan mewujudkan prasangka dan keraguan terhadap integriti pengawal selia kewangan di negara ini. 

Pemerintah Republik Singapura juga harus tampil dan memberi penjelasan kerana skandal ini akan memberi dampak buruk kepada reputasi republik itu sebagai pusat kewangan terkemuka. 

Sejak penyiasatan terhadap 1MDB bermula, banyak negara telah melakukan yang sepatutnya, termasuk mengenakan denda dan penalti ke atas bank-bank dan para eksekutif kewangan yang bersekongkol dalam skandal ini. 

Walhal di Malaysia, tempat asal dana haram ini, masih belum berbuat apa-apa yang ketara dan meyakinkan.

ANWAR IBRAHIM

Harakah Lakukan Migrasi Server, Bukannya Delete Post Kata Zuhdi.

POLITIK | SU Politik kepada Menteri Alam Sekitar, Mohd Zuhdi Marsuki menafikan portal Harakah Daily memadamkan berita berkaitan judi yang disiarkan pada tahun 2010.

Menurut Zuhdi artikel lama terbitan Harakah hilang disebabkan migrasi server yang berlaku pada setahun dua yang lepas. Disebabkan itu banyak berita-berita dari server lama hilang.

"Untuk pengetahuan empunya FB Page, Harakahdaily telah melakukan migrasi server Harakahdaily setahun dua yang lepas. Banyak berita-berita dari server yang lama hilang semasa migrasi tersebut. 

PAS tidak pernah membuat pusingan U dalam isu pengharaman judi. InshaAllah saya akan keluarkan kenyataan akhbar dalam tempoh terdekat tentang perkara itu.

Saya berikan contoh link Harakahdaily yang tidak dapat diakses, iaitu artikel saya semasa Ustaz Azizan Abdul Razak meninggal dunia.

https://bm.harakahdaily.net/.../22333-catatan...

Satu lagi contoh link yang sudah terputus disebabkan migrasi server ialah artikel tentang isu sentuh anjing.

http://www.harakahdaily.net/.../31623-sentuh-anjing... ," katanya.

Zuhdi membuat kenyataan itu ketika menjawab post Ustaz Rozaimi Ramle atau lebih dikenali sebagai RORA yang mengulas mengenai dakwaan Harakah telah memadamkan berita berkaitan judi dan pelacuran.

Sebagai rekod, sebelum ini sememangnya Harakah kerap memadamkan berita-berita tertentu dari portal mereka sehingga ditroll sebagai Harakah Delete bagi memerli portal itu. - 31 Disember 2020.

MN Di Ambang Perpecahan, Mokhtar Senik Salahkan PH, Ku Li.

Ustaz Mokhtar Senik | USAHA BERTERUSAN MEMECAHKAN MUAFAKAT NASIONAL.

Saya lihat agak konsisten jugak pendokong PH menyerang Muafakat Nasional. Termasuk pimpinan yang agak kanan dalam PAN, DAP, PKR dan Veteran UMNO. Itu tidak kira lagi cybertroopers yang sedang kelaparan. Presiden PAN minta ahli PAS kenang balik peristiwa Memali. Ku Li minta UMNO jangan biarkan PAS tumpang tuah UMNO. 

Pendek kata semua statement-statement itu sarat dengan harapan agar PAS dan UMNO kembali berperang dan MN terburai ikatannya. Sakit benar hati mereka melihat persaudaraan PAS UMNO. Saya yakin mereka tidak akan berjaya kecuali jika ada pimpinan UMNO atau PAS yang menari mengikut irama sumbang mereka. Persaudaraan Aus dan Khazraj ini perlu dijaga rapi. Kerana orang-orang Abdullah bin Ubai sentiasa mencari ruang dan peluang.

Salakan mereka jangan dilayan. Cantiknya kalau pimpinan-pimpinan yang tak berkenaan tutup mulut. Biar pucuk pimpinan tertinggi sahaja yang bercakap dan buat statement. Harap-harap tidak ada dikalangan PAS atau UMNO ini pimpinan yang "gila mic". Elakkan membuat statement balas yang bukan pandangan parti. Waktu-waktu sebeginilah pentingnya walak diamalkan.

Saya yakin saranan Mat Sabu agar ahli-ahli PAS mengenang peristiwa Memali tidak memberi apa-apa kesan kepada PAS. Kami orang PAS telah diajar dengan akhlak Islam. Berbaik dengan UMNO tidak bermakna menafikan kemurnian perjuangan para syuhada Memali. 

Kerana kedua-dua zaman itu berbeza. Yang mengajak para sahabat Nabi mengingati kejahatan dan perseteruan dengan Abu Sufian hanyalah para munafik Madinah. Mereka tidak senang melihat persaudaraan berlaku antara para sahabat dengan Abu Sufian selepas Fathul Makkah.

Manakala Ku Li pula cuba menyemarakkan kembali semangat asobiyyah UMNO. Dengan memberi amaran agar UMNO jangan biarkan tuah UMNO di kongsi dengan PAS dan Bersatu. 

Hakikatnya tiada siapa yang bertuah samada PAS atau UMNO atau BERSATU jika meninggalkan Islam dan penyatuan ummat Melayu. 

Rupanya-rupanya Ku Li sudah jauh tertinggal dibelakang berbanding ahli-ahli UMNO yang lain. 

Ketika ahli-ahli UMNO yang lain sedang bercakap soal gagasan penyatuan Ummat Melayu Muslim dalam MN, Ku Li masih terkial-kial mencari jati perjuangan yang sebenar. Tidak hairan jika Ku Li sudah berkali-kali menjadi pelanduk yang masuk perangkap Tun.

INSYALLAH.. sinar suria permuafakatan ini akan lebih bersinar bila kedua-dua pihak dalam MN saling berteguh janji dan tidak berjoget mengikut paluan rebana PH dan para munafik yg berkeliaran dimana-mana. - 31 Disember 2020.

Mana-Mana Pihak Tak Perlu Minta PAS Memilih MN Ataupun Tidak - Takiyuddin Hassan.

POLITIK | Pagi ini, SU Agung PAS, Takiyuddin Hassan telah mengeluarkan satu kenyataan media yang menggaris beberapa penjelasan penting mengenai penyertaan PAS dalam gagasan Muafakat Nasional.

Isi penting dalam kenyataan media tersebut adalah seperti berikut;

- Tak perlu mana-mana pihak membuat desakan terhadap PAS agar memilih mahu bersama Muafakat Nasional (MN) ataupun tidak.

- PAS adalah antara watak utama yang merangka penubuhan MN.

- PAS berpegang teguh pada Piagam MN, iaitu bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraannegara.

MN bukanlah milik eksklusif sesuatu parti atau kelompok.

- Tiada halangan pada UMNO mahupun PAS untuk menyertai atau bersama mana-mana kerjasama politik demi mengekalkan agenda besar.

Berikut dibawah adalah kenyataan media lengkap dari Takiyuddin Hassan;

KENYATAAN MEDIA | MUAFAKAT NASIONAL DITUBUHKAN DEMI UNTUK PENYATUAN UMMAH

Mana-mana pihak tidak perlu meminta PAS memilih sama ada hendak bersama Muafakat Nasional (MN) atau tidak kerana PAS adalah antara watak utama yang merangka dan berusaha menubuhkan MN atas dasar penyatuan ummah.
 

PAS berpegang teguh dengan Piagam MN yang dimeterai antara UMNO dan PAS pada 14 September 2019 yang antara lain bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraannegara.

PAS turut mempertegaskan betapa MN perlu dijadikan amalan musyawarah dalam memperkasakan agenda Islam, Melayu, Bumiputera khususnya dan rakyat Malaysia amnya secara tuntas dalam kerangka Perlembagaan negara demi membangunkan negara inklusif, sejahtera dan menjamin keadilan sosial merentasi batas warna kulit mahupun anutan.

Justeru itu PAS berpandangan MN bukanlah milik eksklusif sesuatu parti atau kelompok, sebaliknya harus dibuka kepada semua kalangan yang cintakan perpaduan, keharmonian dan keadilan di dalam negara ini.

Dengan mengekalkan komitmen yang mantap dalam Agenda Besar MN, adalah jelas dari sudut pendekatan dan strategi politik tiada suatu pun halangan yang dikenakan untuk UMNO daripada kekal bersama Barisan Nasional (BN) mahupun untuk PAS dari menyertai mana￾mana gabungan atau kerjasama politik.

Apa yang penting adalah gabungan UMNO dan PAS boleh malah perlu bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai cita-cita yang sama dalam menghadapi PRU15 dengan suatu persefahaman yang jitu khususnya tiada pertembungan sesama sendiri yang menguntungkan pihak lain. 

PAS amat yakin bagi mencapai cita-cita dan hasrat ini semua pihak perlu meneroka jalan damai dan saling menerima serta hormat menghormati, bukan sebaliknya.

Terima kasih.

TAKIYUDDIN HAJI HASSAN
Setiausaha Agung PAS.
Bertarikh: 31 Disember 2020.

Rabu, 30 Disember 2020

Nama Muafakat Nasional Sudah Didaftarkan Oleh Orang Lain - Nik Amar.

MALAYSIAKINI | Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah mendedahkan usaha pendaftaran Muafakat Nasional (MN) menghadapi sedikit masalah kerana dia difahamkan nama itu sudah digunakan oleh pihak lain.


"Saya difahamkan ada usaha-usaha untuk daftarkan, tetapi tidak dapat didaftar kerana nama itu sudah orang lain guna.

"Nama (MN) itu sudah ada dalam pendaftaran ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan), tak tahu macam mana, itu yang saya difahamkan.

"Sebab itu kita tak boleh daftar, kalau nak daftar kena ada perubahan nama,"
katanya kepada media selepas mesyuarat exco kerajaan Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Sementara itu Mohd Amar berkata, setakat ini belum ada sebarang cadangan terhadap perubahan nama tersebut.

"Setakat ini belum ada (cadangan), jadi kita berjalan dengan kekalkan nama MN tetapi tidak didaftarkan," katanya yang juga timbalan menteri besar Kelantan.

Sebagai rekod, Setiausaha Agung BN Annuar Musa sebelum ini dilaporkan pendaftaran MN akan memakan masa sebelum didaftarkan dengan ROS.

Ini kerana katanya, pimpinan gabungan itu perlu menguruskan bagi kerja-kerja prapendaftarannya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan pengesahan ROS dan pemimpin-pemimpin lain MN berkaitan perkembangan itu. - 30 Disember 2020.

RM80 Juta Dan Peranan Ahli Politik Dalam PRASARANA, Apa Yang Kita Faham Setakat Ini.

POLITIK | Portal The Edge melaporkan wujudnya usaha untuk membuat keputusan secara politik dalam menentukan kepimpinan, halatuju dan matlamat Prasarana.

2. Prasarana Malaysia Bhd merupakan syarikat milik kerajaan Malaysia 100% dan ditubuhkan untuk transformasikan dan menstrukturkan semula perkhidmatan pengangkutan awam di Malaysia.

3. Apa yang didedahkan oleh portal The Edge adalah seperti berikut;

- Pada 13 Mei 2020, Ahli Parlimen Pasir Salak, Dato Sri' Tajuddin Abdul Rahman, 72 tahun telah dilantik sebagai Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad.

- The Edge mendakwa Tajuddin menggunakan autoritinya untuk melakukan perubahan signigfikan dalam Prasarana.

- Beberapa perubahan yang ingin dilakukan itu, dikatakan telah menimbulkan persoalan dan pertikaian mengenai kepimpinan dan hala tuju syarikat.

- Tajuddin didakwa berusaha menamatkan kontrak Latitud 8 bernilai RM1.2 bilion, yang merupakan projek pembinaan komersial pelbagai guna dekat stesen LRT Dang Wangi di Kuala Lumpur.

- Tajuddin didakwa mahu melakukan itu atas tujuan untuk membolehkan Prasarana memainkan peranan lebih besar dalam projek itu dan akhirnya memindahkan pejabatnya di situ.

- Sokongan lisan dari Kementerian Kewangan juga telah diperolehi,
atas alasan kawasan yang bakal menempatkan pejabat baharu lebih strategik kerana berada di segi tiga emas Kuala Lumpur. Pejabat kini berada di Bangsar.

- Prasarana dikatakan mampu untuk menanggung
kos RM80 juta bagi menamatkan Perjanjian Pembangunan Tanah (JLDA) dengan dua syarikat yang terlibat.

- Syarikat yang terlibat dalam pembinaan Latitud 8 adalah Crest Builder Holdings Bhd dan Intan Sekitar Sdn Bhd.

- Crest Builder ada pegangan sebanyak 51%.

- Manakala Detik Utuh Sdn Bhd ada pegangan sebanyak 49%.

- Pemegang saham Detik Utuh ialah Tindakan Juara Sdn Bhd (40 peratus), Obata-Ambak Holdings Sdn Bhd (35 peratus) and Vignesh Naidu Kuppusamy Naidu (25 peratus).

- Anak Tajuddin, Sri Rahayu merupakan ahli lembaga pengarah Detik Utuh.

- Tindakan Juara pula dimiliki oleh ahli keluarga Tajuddin. 35 peratus pegangan dalam syarikat itu dimiliki anak perempuannya, isterinya Rohkiah Abd Samat (35 peratus) dan anak lelakinya Firdaus (30 peratus).

- Rohkiah dan Firdaus dilantik sebagai pengarah Tindakan Juara pada awal 2007, kira-kira empat bulan selepas syarikat itu didaftarkan. Sri Rahayu pula dilantik pada Feb 2010.

- Pada Mac 2012, Crest Builder dan Detik Utuh dianugerahkan projek pembangunan di Dang Wangi itu.

- Prasarana, pemilik 2.72 ekar tanah di mana projek itu dibina, akan menerima RM46.64 juta atau 21.2 peratus daripada anggaran nilai pembangunan kasar (GDV), iaitu kira-kira RM220 juta.

- Pada mulanya, Latitud 8 dijadual dilancarkan pada 2016 tetapi ia tidak terlaksana. Bagaimanapun, Crest Builder dalam laporan tahunan pada 2019 menyatakan kerja-kerja utama telah pun bermula.

- Kerja pembinaan dilaporkan tergendala dan dijadual dilancarkan semula pada tahun ini. Tetapi ia sekali lagi tidak terjadi. Pejabat Latitud 8 berkata pelancaran hanya akan dibuat dalam masa satu atau dua tahun susulan sentimen pasaran.

- Projek itu melibatkan sebuah bangunan 43 tingkat, dengan 17 tingkat untuk ruang pejabat dan 418 unit SoHo (small office, home office), selain kawasan perniagaan.

4. Portal Malaysiakini telah mendapatkan respon dari Ahli Parlimen Pasir Salak untuk mengulas laporan The Edge.

5. Setakat ini Malaysiakini masih lagi menunggu maklum balas dari bekas Menteri Pertanian itu.

6. Dalam perkembangan lain di sosial media, netizens dilihat merumuskan laporan itu seperti berikut;

- Kemungkinan besar usaha untuk mendorong PRASARANA membatalkan perjanjian adalah supaya pembayaran PAMPASAN boleh dilakukan terhadap syarikat yang terlibat.

- Syarikat tersebut mungkin mengalami masalah kewangan memandangkan projek masih tergendala.

Kita akan tunggu laporan susulan dalam perkembangan kes ini kelak. - 30 Disember 2020.

Harakah Padam Artikel Lama Berkaitan Judi Dan Pelacur.

POLITIK | Entah kenapa Harakah telah memadamkan beritanya yang bertarikh18 Mei 2010 atas tajuk : Selepas Judi, Mungkin Zon Pelacur Selamat Pula.

Artikel tersebut tidak dapat diakses dan menunjukkan paparan error 404, seperti error yang biasanya akan berlaku jika mana-mana kandungan berita dipadamkan dari portal.

Sebelum ini, Facebook rasmi Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi (MPIC) juga bertindak memadamkan ucapan Selamat Hari Krismas yang memaparkan gambar Menterinya, Dato' Dr. Khairuddin.

Tindakan itu dipercayai dua hari selepas PAS dikecam ramai pihak kerana berbeza pendirian sebelum dan selepas menjadi kerajaan dalam isu ucapan sambutan Hari Krismas.

Pada 28 Disember lalu, Liew Chin Tong mendedahkan kerajaan Perikatan Nasional telah menambahkan bilangan hari cabutan khas Judi Ramalan 4 Digit kepada 22 kali dalam setahun.

Bilangan ini sebenarnya diturunkan secara berperingkat oleh kerajaan PH iaitu kepada 11 kali pada tahun 2019 dan 8 kali pada tahun 2020. Namun selepas Perikatan Nasional mengambilalih pentadbiran negara, ianya dinaikkan kembali kepada 22 kali sama seperti yang dilakukan pada zaman Barisan Nasional.

Disebabkan pendedahan tersebut, beberapa rakaman video lama dan ceramah PAS termasuklah gambar-gambar melawan dan mempertikaikan judi serta kutipan cukai judi kembali tular di laman sosial.

Tindakan oleh segilintir netizens ini dipercayai ada kaitan dengan pendirian PAS sebelum ini, yang mana agak lantang melawan amalan perjudian sejak dahulu.

Sehingga kini PN khususnya PAS belum lagi mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai isu judi tersebut. - 30 Disember 2020.

Selasa, 29 Disember 2020

Sanusi Nak Pantau Sendiri, Saifuddin Kata Mana Ada Pembalakan Terkawal!

POLITIK | Ahli Parlimen Kulim - Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution menyanggah kenyataan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang berkata kegiatan pembalakan di luar kawasan Hutan Simpan Ulu Muda terkawal dan tidak menjejaskan kawasan tadahan air yang menjadi sumber bekalan bagi Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

Kata Saifuddin, amat mustahil untuk mengawal pembalakan tanpa menjejaskan alam sekitar.

"Berita 28 dis 2020 tentang pembalakan di ulu muda Kedah amat mengejutkan.

Seluas 25,000 hektar telah diluluskan. Lesen tebang balak pun telah dikeluarkan oleh kerajaan Kedah.

MB sanusi masuk tinjau kawasan pembalakan ahad lepas dan katanya kpd media “.. aktiviti membalak terkawal dan tidak jejas kawasan tadahan air”

Kalau dah namanya membalak .. hutan ditebang, tanah terdedah, aliran air bawah tanah bertambah, sungai jadi cetek. Alam jadi musnah, muka bumi terganggu.

Saya saksikan sendiri apabila hutan simpan di kawasan Parlimen Kulim Bandar Baharu diberi lesen balak. 

Kesannya banyak kampung alami banjir biarpun hujan 45 minit ! Sehingga sekarang penduduk tinggal dalam kebimbangan dek masalah banjir.

Masih percaya .. kalimah membalak yang terkawal?," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Saifuddin turut menafikan dakwaan kononnya beliau membiarkan pembalakan di Kedah sewaktu Pakatan Harapan menjadi kerajaan pusat dan negeri.

Menurut Saifuddin sebaik sahaja memenangi PRU14, beliau melakukan pelbagai cara untuk membatalkan pembalakan di Kampung Sungai Tengas.

"Posting terbaru saya darihal pembalakan di Ulu Muda mengundang pelbagai reaksi. Lari tajuk paling top  

Maki hamun pula akibat tak mampu berhujah dgn fakta.
Paling banyak disebut kerajaan tak boleh batal sebab nanti pembalak saman!

Teringat saya 2 minggu selepas PRU14 penduduk kampung Sg. Tengas dalam kawasan saya mengadu jentera berat pembalak dah cerahkan hutan buka jalan.

Hutan simpan di situ punca air kegunaan harian penduduk kampung.

Saya turun berdialog dengan JK bertindak KG. Sg. Tengas.

Mengenalpasti punca dan merangka plan bertindak.

Sementara itu pembalak terus keluarkan kayu. Penduduk semakin resah. 

Pertama, saya bawa dalam mesyuarat kabinet dan KSN Tan Sri Ali Hamsa diarah hubungi kerajaan negeri menyampaikan duduk perkara masalah itu.

Kedua, saya utus surat kepada MB Mukhriz.

Ketiga, memo penduduk KG. Sg. Tengas kepada kjaan negeri dengan hujah tersusun kesan dan akibat membalak kepada kehidupan penduduk.

Hasilnya .. pembalakan dihentikan di kawasan terbabit. Penduduk kampung gembira dan bersyukur. Hutan pun selamat," katanya.

Dalam laporan portal Awani, MB Sanusi sendiri jelaskan beliau akan memantau kawasan pembalakan bagi memastikan segalanya mengikut peraturan.

Bagaimanapun kenyataan tersebut sebenarnya tidak cukup menyakinkan. Bagaimana mungkin MB ada masa nak memantau dan menjaga kawasan pembalakan sendiri. Menteri Besar ada banyak kerja dan urusan lain. Kenyataan ini akan memakan dirinya semula pada masa-masa akan datang. Tunggu dan lihat. - 29 Disember 2020.

Isnin, 28 Disember 2020

Netizens Mahu KJ Jatuh Basikal Di Semua Jalanraya Malaysia Supaya JKR Cepat Baiki Jalan Rosak.

SOSMED | Nampaknya tindakan JKR Kuala Langat yang meminta maaf secara terbuka kepada Menteri Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi mendapat perhatian netizens.

Terdahulu, portal Bernama melaporkan Setiausaha Akhbar Khairy, Raja Syahrir Raja Abu Bakar‏ memberitahu menteri itu terjatuh selepas basikal ditunggangnya melanggar lubang di atas jalan raya pada Ahad.

Khairy dilaporkan cedera di bahagian muka selepas terjatuh ketika melakukan aktiviti berbasikal di Jalan Kampung Sri Cheeding, Banting, Selangor.

JKR Kuala Langat kemudiannya membuat permohonan maaf terbuka menerusi Twitter rasmi agensi berkenaan.

"JKR Hulu Langat memohon maaf atas kejadian yang menimpa YB menteri dan akan mengambil tindakan segera ke atas isu berkenaan dan mendoakan YB cepat sembuh," kata JKR Kuala Langat.

Namun tindakan JKR itu kemudiannya mengundang reaksi negatif dari para netizens yang nampaknya tidak berpuas hati. Rata-rata dari mereka beranggapan tindakan JKR Kuala Langat itu sebagai membodek dan mengamalkan sikap double standard kerana selama ini sudah jenuh pengguna jalanraya melaporkan kerosakan jalanraya namun tak ada diambil tindakan drastik seperti memperbaiki kelemahan dan SOP kerja mereka.

Bukan itu sahaja, sudah ramai yang terkorban nyawa dan cedera. Tak ada satu pun permohonan maaf dibuat kepada mana-mana mangsa baik di mana-mana negeri sekalipun. 

Hal itu kemudiannya mencetuskan polemik di media sosial. Netizens juga membuat grafik bagi menyindir perlakuan double standard oleh JKR itu.

Sebagai rekod, jalanraya di Malaysia dan lubang berpisah tiada. Disebabkan itu jugalah tampil NGO seperti Brotherhood bagi membaiki sendiri jalanraya di seluruh Malaysia. Hal ini berlaku kerana kelemahan agensi yang sepatutnya memainkan peranan menjaga kualiti jalanraya.

Antara respon netizens adalah;

1. Mencadangkan KJ berbasikal di seluruh Malaysia dan buat-buat terjatuh supaya JKR di kawasan tersebut akan membaiki jalan dengan laju.

2. Mahu semua VVIP dan para menteri buat-buat kemalangan di semua jalan rosak di Malaysia supaya jalan-jalan itu dibaiki dengan cepat.

3. Semua aduan perlu disalurkan menerusi Twitter, mengikut cara Menteri. Kalau Menteri dapat respon, tak akan pengguna jalanraya tak dapat respon.

4. Pakat-pakat doa agar semua menteri-menteri jatuh lopak dan jatuh atas jalan berlubang agar JKR semakin prihatin tentang keadaan jalanraya di Malaysia.

Bila baca sekali imbas memang nampak lucu tetapi ia bukan lucu sebenarnya. Inilah perasaan pengguna jalanraya di Malaysia. Mereka sudah habis iktihar untuk mendesak JKR agar lebih proaktif dalam membaiki jalan dan menjaga kualiti jalan. Entah di mana silapnya, walaupun sudah ramai yang terkorban, cedera parah mahupun ringan, tetap tak ada perubahan. Malahan di sesetengah kawasan bukan setakat kualiti jalanraya teruk, bahkan tak ada jalanraya tar pun. Itu belum lagi cerita tentang prasarana jalan awam seperti lampu jalan dan traffic light.

Di mana silapnya sehingga nyawa rakyat dipandang enteng. Entahlah.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairy berkata portal online sepatutnya diwujudkan untuk menanggani masalah seperti jalan berlubang supaya JKR dapat membaiki masalah jalan rosak dengan cepat.

Cadangan itu katanya akan dibincangkan bersama Kementerian Kerja Raya.

Kita sama-sama tunggu dan lihat. Adakah cadangan tersebut mampu menyelesaikan masalah yang menghantui pengguna jalanraya selama ini ataupun tidak. - 28 Disember 2020.

Cabutan Judi Nombor Ekor Naik Dari 8 Kali Zaman PH Kepada 22 Kali Di Zaman PN - Liew Chin Tong.

Liew Chin Tong | Saya dimaklumkan bahawa kerajaan Perikatan Nasional telah meningkat kekerapan cabutan khas ramalan nombor 4-digit daripada 8 kali pada tahun 2020 kepada 22 kali pada tahun 2021.

Mungkin ramai Yang Berhormat di sini tidak tahu; cabutan khas dimulakan pada tahun 1999 untuk membantu mangsa wabak virus Nipah ketika itu. 

Kerajaan pada masa itu mengizinkan syarikat judi mengadakan cabutan khas selain daripada tiga hari cabutan seminggu yang ditetapkan. Justeru, dalam setahun, ada 156 hari cabutan biasa dan, 22 hari cabutan khas.

Sebahagian besar pendapatan daripada cabutan khas ini disumbang terus kepada aktiviti kerajaan. Pada tahun 2017, kerajaan telah mengutip sebanyak RM238juta melalui cabutan khas walaupun wabak virus Nipah pun sudah tiada lagi.

Dalam aspek ini, kerajaan sebenarnya sedang mengutip cukai daripada golongan bawahan yang seringkali mencuba nasib mereka dalam aktiviti judi.

Majoriti yang terlibat dalam aktiviti perjudian ini juga merupakan golongan B40. 

Mereka mencuba nasib dalam aktiviti judi dengan harapan boleh memperoleh habuan lumayan. Ramai mereka yang menjadi ketagih kepada perjudian dan ini mengakibatkan masalah-masalah sosial yang lain. Mereka ini akan terus menerus mencuba nasib dengan cabutan khas.

Oleh itu, pada November 2018 Kerajaan Pakatan Harapan telah mengambil keputusan untuk mengurangkan kekerapan cabutan khas. Daripada 22 kali pada tahun 2018 yang ditetapkan oleh Kerajaan Barisan Nasional, kami mengurangkan jumlah cabutan khas kepada11 kali sahaja pada tahun 2019, dan kekerapan cabutan khas terus dikurangkan lagi pada tahun 2020 kepada 8 kali sahaja setahun. 

Malangnya, kerajaan Perikatan Nasional kini menambah kembali jumlah cabutan khas kepada tahap zaman Barisan Nasioal. 

Saya sarankan agar kerajaan ikut langkah kerajaan PH dulu dan kurangkan kekerapan cabutan khas ramalan nombor 4-digit. - 28 Disember 2020.

#Covid19, Najib Kata Kadangkala Tak Faham Dengan Keputusan Kerajaan PN.

Najib Razak | Kadangkala saya pun tak faham keputusan kerajaan PN.

Bila kes rendah dan Covid masih terbendung di 2 negeri, kerajaan tak mahu sekat rentas negeri dengan saranan Rakyat perlu bertenang sebab keadaan Covid masih terkawal.

Bila kes sudah mula cecah 1,000 sehari dan sudah menular ke hampir seluruh Malaysia, kerajaan baru nak larangkan rentas negeri.
Bila jumlah kes lagi tinggi menghampiri 2,000 kes dan selepas permintaan darurat kesihatan ditolak, kerajaan tarik balik semua sekatan rentas negeri pulak!

OKT 5: Najib cadang sekat rentas negeri supaya Covid tak merebak ke seluruh Malaysia. Masa itu baru lepas PRN Sabah. Penularan Covid masih rendah dengan kebanyakan kes di Sabah dan utara semenanjung.

NOV 9 (sebulan kemudian): Sekatan rentas negeri bermula.

NOV 23: Kerajaan minta darurat tapi ditolak. Alasan ialah keadaan Covid sudah susah untuk kawal.

DIS 7: Kerajaan tarik balik semua sekatan rentas negeri.

DIS 28: KKM kata jumlah kes Covid sudah melebihi kapasiti sistem kesihatan dan mereka yang disahkan positif Covid tapi tidak bergejala perlu kurung kendiri di rumah sendiri. Amat rugi sekali kita tak lebih tegas untuk sekat rentas negeri pada awal bulan Oktober itu.
---

"5 Okt 5: Najib cadang sekatan rentas negeri bendung Covid-19"
https://malaysiagazette.com/.../najib-cadang-sekatan.../

Siapa Dalang Import Daging Haram Soal Ketua Pemuda UMNO.

Kenyataan Media, Dr Asyraf Wajdi Dusuki | LAPORAN POLIS TERHADAP ISU KARTEL DAGING HARAM 

1. Hari ini Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia telah membuat satu laporan polis berhubung dengan pendedahan media massa berkaitan kegiatan kartel penyeludupan daging import haram yang diragui status Halal.

2. Pendedahan ini telah menimbulkan keresahan dan kegusaran di kalangan masyarakat khususnya umat Islam kerana melibatkan status bekalan daging import Halal yang meluas di pasaran dan didakwa sudah berlaku sejak 40 tahun lalu.

3. Pemuda UMNO juga telah memperolehi beberapa maklumat penting yang melibatkan agensi Kerajaan yang terlibat secara langsung dalam aspek pemeriksaan, pemantauan dan penguatkuasaan melibatkan pemprosesan daging, rumah sembelih dan loji pemprosesan hasilan haiwan di luar negara.

4. Sebagaimana yang sedia maklum, urusan pemantauan, pemeriksaan dan penguatkuasaan terhadap pemprosesan daging di luar negara melibatkan beberapa agensi termasuk yang utamanya Jabatan Pemeriksaan Veterinar (DVS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

5. Manakala bagi aspek keselamatan makanan halal pula, beberapa agensi lain juga terlibat bersama JAKIM seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Bahagian Penguatkuasaan Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FOSIM).

6. Memandangkan banyak agensi dan institusi yang terlibat dalam urusan kawal-selia, pensijilan, pemeriksaan dan penguatkuasan industri Halal di negara ini, maka PEMUDA UMNO mendesak agar ditubuhkan segera PASUKAN KHAS yang turut melibatkan Polis DiRaja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar segala siasatan dapat dijalankan secara pantas dan bersepadu.

7. Beberapa persoalan yang rakyat berhak mendapatkan maklumat tepat dan jelas mengenai isu kartel daging haram ini termasuklah:

(i) Siapakah dalang yang bertanggungjawab menguruskan proses import daging sejuk beku yang diragui status Halalnya?

(ii) Mengapakah berlakunya monopoli kilang pemprosesan daging halal terutamanya di China, Thailand dan India?

(iii) Kenapakah Jabatan Pemeriksaan Veterinar (DVS) hanya menghadkan beberapa kilang sahaja di China, India dan Thailand untuk mengeksport ayam dan daging ke Malaysia?

(iv) Apakah DVS dan JAKIM melakukan pemeriksaan secara berkala setiap tahun untuk memastikan status Halal, kesihatan (pencegahan penyakit berjangkit daripada binatang) dan kebersihan kilang-kilang yang diberikan kelulusan status Halalnya? (Daripada maklumat yang Pemuda UMNO perolehi, kali terakhir dua kilang utama yang membekalkan daging ayam di China dibuat pemeriksaan adalah pada 20 Januari 2016 setelah mendapat pensijilan).

(v) Apakah benar DVS tidak pernah mengeluarkan sebarang Permit Import (AP) ekor lembu (Oxtail)? Justeru apakah status halal ekor lembu yang begitu banyak berada di pasaran tempatan yang dikatakan kebanyakannya diimport dari luar negara terutamanya dari Argentina?

8. Berdasarkan beberapa persoalan dibangkitkan di atas, Pemuda UMNO mendesak agar siasatan segera secara bersepadu harus dilakukan melalui PASUKAN KHAS melibatkan PDRM dan SPRM, bagi segera mendakwa dan mendedahkan individu-individu dan syarikat-syarikat yang terlibat dan disyaki terlibat dalam segala bentuk penyelewengan termasuk melibatkan rasuah.

9. Pemuda UMNO juga menuntut agar siasatan secara telus dan pantas dilakukan agar keyakinan dan kepercayaan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap logo Halal Malaysia dapat segera dipulihkan dan dipelihara. - 28 Disember 2020.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...