Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Sabtu, 30 Disember 2017

PKR Ada 3 Syarat Tapi BERSATU Tetap Mahukan Mahathir Sebagai Calon PM HARAPAN.

Hanya Tun Mahathir calon yang paling layak menjadi Perdana Menteri dan BERSATU tetap mahukan bekas Perdana Menteri 22 tahun itu mengetuai pakatan pembangkang disebabkan pengaruh dan pengalaman luas yang dimiliki oleh Mahathir. 

Itulah kenyataan Mukhriz ketika memberikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Tahunan pertama BERSATU di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam hari ini. 


Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Timbalan Presiden BERSATU turut berkata Mahathir paling layak kerana berpengalaman mengeluarkan Malaysia daripada krisis suatu masa dulu.
“BERSATU bukan mahukan jawatan perdana menteri untuk glamor, BERSATU tuntut jawatan itu kerana (Dr Mahathir) dilihat paling layak dan berpengalaman untuk keluarkan Malaysia dari belenggu.
“Rakyat tentu suka manifesto HARAPAN bahkan rakyat juga mahu tahu siapa yang akan kepalai HARAPAN. Rata-rata rakyat mahukan Dr Mahathir,” katanya lagi. 


Terdahulu PKR dilaporkan meletakkan tiga syarat harus dipenuhi jika mahu parti itu bersetuju menamakan Mahathir sebagai calon Perdana Menteri bagi HARAPAN.

Syarat yang pertama ialah Anwar Ibrahim perlu dibebaskan segera andai Pakatan Harapan menang PRU ke 14. Dan Anwar juga perlu dilantik menjadi Perdana Menteri dalam tempoh enam hingga 12 bulan.

Syarat yang kedua ialah PKR perlu diberikan kerusi terbanyak daripada 165 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di Semenanjung Malaysia. PKR dilaporkan menuntut sebanyak 60 buah kerusi.

Syarat yang ketiga dan terakhir ialah Mahathir perlu bersetuju untuk melakukan reformasi ke atas institusi-institusi penting negara.

Bagaimanapun sejurus perkara tersebut dilaporkan oleh pelbagai media, PKR menerima kecaman bertubi-tubi termasuklah oleh pro pembangkang yang menyifatkan tindakan PKR meletakkan syarat adalah keterlaluan dan menuntut kerusi terbanyak juga seperti 'tidak mengukur baju dibadannya sendiri'.

Untuk rekod, ketika PRU ke 12 dan ke 13 yang lepas, PKR banyak menumpang jentera PAS. Ini kerana PAS mempunyai jentera luas yang meliputi keseluruhan semenanjung Malaysia.


Berkata tentang PAS pula, Mukhriz menegaskan BERSATU berkeyakinan boleh menang meskipun perlu berhadapan persaingan tiga penjuru dengan PAS di beberapa buah kerusi.

"Malah kita sanggup berhadapan tiga penjuru dalam PRU nanti. Kita yakin dengan usaha gigih, kita tetap boleh menang (walaupun bersaing) tiga penjuru,” katanya dalam ucapan penggulungan. 

Bekas menteri besar Kedah itu turut mendedahkan rundingan BERSATU dengan PAS gagal apabila parti terbabit berkeras mendesak supaya mereka tidak menjalinkan kerjasama dengan DAP dan AMANAH. Disebabkan itu, kata Mukhriz BERSATU memutuskan hubungannya dengan PAS.

Sebar Gambar Edit, Awie Tanya Peguam.

Sejak tiga hari lepas satu gambar yang memaparkan Awie sedang memakai baju berwarna biru yang tertera perkataan "Undi BN Cari Penyakit" tular di laman sosial.

Gambar itu paling banyak diulangsiar terutamanya di platform WhatsApp. Ianya turut disebarkan di Facebook oleh beberapa pihak yang dipercayai pro pembangkang dengan niat mahu menyindir.


Awie dalam satu kenyataan yang dipetik menerusi Sinar Harian hari ini berkata beliau menyedari penyebaran gambar tersebut. 

“Ya, itu gambar edit,” katanya ketika ditanya tentang gambar itu. 

Awie juga enggan mengulas apabila ditanya apakah akan membuat laporan SKMM dan pihak polis berhubung penyebaran gambar tersebut.

Turut dilaporkan yang dipercayai beliau akan menguruskan hal ini melalui khidmat nasihat peguamnya.

Mahathir Minta Maaf Pada Semua Rakyat Malaysia - Apa Reaksi Netizens?

"Sebelum saya akhiri ucapan ini, saya ingin pohon ampun dan maaf jika terkasar bahasa dan tersinggung perasaan sesiapa.

"Saya, seperti manusia lain tidak mungkin sunyi dari berkata dan melakukan kesalahan bukan sahaja hari ini tetapi juga selama saya berkecimpung dalam politik negara.

"Saya pohon maaf terhadap apa juga kesalahan saya selama itu," itulah kata-kata Tun Dr Mahathir Mohamed ketika mengakhiri ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Pusat Konvensyen Ideal, di sini.


Menurut Mahathir lagi, semua pihak bebas menafsirkan permohonan maafnya dengan pemikiran masing-masing. 

"Anda boleh tafsir apa yang anda semahunya," respon Mahathir apabila ditanya samada permohonan maaf tersebut turut termasuk insiden Ops Lalang dan tuduhan liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Dan tinjauan kami di laman sosial mendapati netizens menzahirkan pelbagai pandangan berhubung tindakan terbaru Mahathir itu.



Misalnya Mike John menulis : "Kami memang dah lama maafkan. Cuma kalau Tun menang, kerusi PM tu bagi balik kat Anwar sebagai tanda balas budi. Tun yang menyebabkan beliau dimasukkan dalam penjara. Tun juga yang mewujudkan ISA. Tun juga yang menyuruh ketua polis negara tumbuk muka Anwar. Kami tahu Tun cuma nak naikkan Mukhriz sebagai PM, tapi kami semua mahukan sesuatu kelainan. Cukup-cukup lah anak beranak kabel kroni jadi pemerintah. Macam pampers baby, kalau tak pernah tukar, tahi makin lama makin berlambak. Politik pun macam tu juga.. Kbai Tun!".

Manakala Alisya NiaEsya pula berkata : "Siapa kita untuk menghukumnya. Setiap manusia ada melakukan kesilapan. Jangan kerana politik hilang pertimbangan sebagai insan. Sedangkan Nabi Muhammad memaafkan umatnya. Dosa dan taubatnya hanya dia dan Allah tau.. kita pun macam tu kan...," dengan nada positif.

Namun Nazlan Azlan berkata Tun Mahathir perlu pulangkan semula harta-harta rakyat yang telah diambil selama ini : "Baguslah kalau Tun M sedar kesilapan dan ingin bertaubat. Jika ada khazanah negara yang Tun dah ambil untuk diri, keluarga, kawan-kawan ann proxy-proxy serta korporat-korporat secara tidak betul, pohon Tun usaha pulangkan kembali kepada rakyat malaysia sebab ia milik rakyat," di ruangan komen. 

Pun begitu Von Nash memilih untuk menyindir : "Takpe nanti Najib minta maaf macam Tun minta maaf don't worry, Najib juga akan minta maaf atas dosa lampaunya seperti mana Tun buat dan rakyat pun akan menerimanya kembali. Kahkah, kan Ku Zudean 🤣".

Maznah Abdul Ghani pula bersikap sinikal dengan tindakan Mahathir itu dengan memberikan respon : "Mohon maaf kepada siapa. Ingin menghancurkan kerajaan sendiri tidak mohon maaf?," katanya.

Midon KL pula berkata permohonan maaf diterima hanya jika Anwar diangkat menjadi Perdana Menteri : "Baiklah Tun. Saya maafkan tetapi dengan satu syarat. Saya mahukan Anwar jadi perdana menteri, itu sahaja..," tulisnya.

Dikalangan blog-blog pro UMNO mereka memberikan respon negatif tentang tindakan Mahathir itu. Misalnya Blog Dr. Novandri menulis Mahathir minta maaf tetapi tindakan itu tidak ikhlas namun ia menyebabkan Muhyiddin terkesima.


Netizens non partisan seperti Gadipan juga memberikan reaksi sinikal. "Ini adalah musim meminta maaf. Mahathir dah. UMNO akan minta maaf. Najib akan minta maaf dan janji sekali lagi bahawa dia akan berbakti kepada negara. MIC juga akan minta maaf kerana telah mengabaikan kaum India. MCA akan minta maaf dan minta rakyat untuk undi MCA," katanya di Twitter.

Pemerhatian yang dilakukan mendapati rata-rata penyokong pembangkang memberikan respon yang agak positif dengan keterbukaan Mahathir yang sanggup meminta maaf namun ada dikalangan mereka yang mempertikaikan dan mempersoalkan apakah tindakan meminta maaf itu ada kaitan dengan pilihanraya dan sebagai tanda bahawanya Mahathir mengakui beliau telah membuat banyak keputusan pentadbiran yang salah semasa menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun di Malaysia sejak 1981 hingga 2003.

Khamis, 28 Disember 2017

Pengusiran Paksa - Kerajaan Pulau Pinang Perlu Lebih Peka Dan Prihatin.

Oleh : Zainulfaqar Yaacob 

ANDAIKAN anak perempuan kepada Zainulfaqar sedang sakit. Bumbung rumah kami bocor. Kereta Proton Saga pula ‘overhauls’. Rumah sekejap ada elektrik dan sekejap gelita akibat litar pintas. 

Kalau saya ada tunai RM1 bilion pun, tapi semuanya disimpan di bawah bantal tanpa bertambah atau berkurang walaupun “sekupang” atas sebab jimat tak berbelanja, saya ingat seluruh kampung akan maki saya jika mereka tahu kedaifan sebenar hidup keluarga saya. 

Buat apa simpanan tunai sampai RM1 bilion rapi bawah bantai, jika anak, kediaman, kereta dan kemudahan utiliti begitu teruk dan naif. Mungkin saya akan dimaki, “tak guna punya ayah, ketua keluarga, ada duit tapi tak belanja untuk keselesaan keluarga.” 

Tapi, jika RM1 bilion itu, sebahagiannya saya gunakan untuk merawat sakit anak, membaik pulih keadaan rumah serta kenderaan serta meningkatkan mutu kehidupan keluarga, mungkin lain reaksi jiran tetangga sekampung terhadap diri saya. Mereka mungkin akan kata, “Ish… Zainulfaqar itu adalah ayah terbaik di dunia, (untung sesiapa jadi teman hidupnya), walaupun kehilangan isteri muda cantik jelita Allahyarhamuha Siti Hajjar Hassan akibat barah pada 9 Januari 2017 lalu, dia sanggup belanja apa sahaja demi anak dan keluarganya. 

Kalau diminta tukar ganti dengan nyawa sekali pun, barangkali dia sanggup sebab separuh daripada RM1 bilion tunainya telahpun dia belanjakan.” 

Sebenarnya situasi sebuah kerajaan adalah tidak jauh berbeza dengan seorang ayah bernama Zainulfaqar. RM1 bilion tunai di bawah bantal Zainulfaqar boleh diumpamakan seperti jumlah lebihan kewangan atau surplas sebuah kerajaan. 

Ambil contoh rekod surplas pentadbiran Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam tempoh tahun 2008 hingga 2015 sahaja berjumlah RM578 juta. Rekod lebihan kewangan ketika Umno BN menguasai kerajaan negeri dalam tempoh 50 tahun (1957-2007) pun baru RM373 juta. 

Bayangkan! Guan Eng lebih disegani apabila pentadbirannya mengumumkan peruntukan RM100 juta Pulau Pinang Bangkit iaitu program pemulihan pasca bencana banjir 4 November 2017 lalu, dengan memberi RM700 secara “one-off” kepada mangsa-mangsa terbabit. 

Fahamnya di sini, rekod surplas pentadbiran Guan Eng lebih dipuji apabila rakyat melihat kerajaan negeri lebih berbelanja untuk keperluan rakyat terbanyak, khususnya 48,424 mangsa banjir terbabit. 

Inilah falsafah mudah apabila bercakap mengenai tadbir urus ekonomis oleh sebuah kerajaan, iaitu sakit demam anak, bumbung bocor, kereta overhauls, kemudahan utiliti teruk yang dihadapi oleh anggota keluarga Zainulfaqar, sama lah seperti keadaan sulit dan susah hidup yang dihadapi oleh rakyat terbanyak. 

Sebenarnya banyak lagi contoh yang benar-benar berlaku, mengenai kesulitan hidup yang dihadapi rakyat serta patut membuka mata semua pihak, demi mempertahankan mandat Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang waktu pilihan raya umum nanti. 

Pegawai kerajaan negeri tak kreatif selesai masalah Awal pertengahan Disember 2017, empat keluarga di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Tembak dilaporkan mengaku berdepan risiko diusir secara paksa daripada kediaman masing-masing. Salah seorang wanita warga emas memaklumkan, rumahnya beberapa kali mahu dikunci secara paksa kerana tidak membayar sejumlah tunggakan sewa. 

Katanya, untuk membayar RM550 sebulan, iaitu RM250 sewa bulanan dan RM300 lagi tunggakan, adalah di luar kemampuannya. Gajinya yang tak tetap hanya kira-kira RM600 hingga RM650 sebulan. 

Ibu tunggal berusia lebih 60 tahun itu mengaku ada menyatakan hasrat untuk membayar sewa bulanan RM110 - seperti kadar siling untuk unit PPR lain - bersekali bayaran tunggakan RM100, namun seakan tidak dilayan oleh seorang pegawai kanan Bahagian Perumahan Kerajaan terbabit dalam satu pertemuan di lobi Komtar. 

Satu kes lain yang tular di Facebook hari ini (27 Disember 2017) adalah mengenai empat sekeluarga pada malam Krismas terpaksa tidur di koridor unit kediaman kondominium, kerana ketua keluarga hilang pekerjaan dan tak mampu bayar tunggakan sewa RM900 sahaja. 

Bagi saya, dua kes ini seakan menjejaskan imej integriti dan tadbir urus Cekap Akauntabel Telus (CAT) Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang, semacam seorang ayah bernama Zainulfaqar yang ada RM1 bilion di bawah bantal tetapi semacam tuli mengenai keadaan daif keluarganya. 

Sebagai ayah, Zainulfaqar wajib berbelanja lebih mengikut keperluan keluarganya. Mungkin dengan berbelanja lebih, akan mengurangkan simpanan tunainya. Tetapi, ia memberi faedah lain daripada aspek sosial, seperti tahap kesihatan anak semakin baik disebabkan rawatan terbaik, kediaman dan kereta lebih selesa. 

Patut kerajaan pun begitu, melihat setiap belanja lebih bukan semuanya membawa pulangan keuntungan (ROI), menambah angka surplas, serta laba lain daripada aspek ekonomi. Sebab itu dalam berbelanja lebih, ekonomis sendiri senantiasa melihat kesan berganda (multiplier effect) daripada aspek sosial, selain impak ekonomi. 

Apabila saya menyebut sebegini, bukan membawa maksud kerajaan negeri hari tiada hati perut, sampai menutup mata ketika ada kes-kes pengusiran paksa seperti di atas. Saya melihat kes-kes pengusiran paksa yang tular di media belakangan ini patut dikaitkan dengan kelemahan negosiasi Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri sendiri - pegawainya (bukan semua) semacam tidak kreatif dalam meregulasi masalah tunggakan sewa membabitkan rakyat. 

Sebuah kerajaan sebenarnya boleh nyah tunggakan atau mengurangkan kadaran bayar sewa, asalkan terus boleh mengekalkan warga bandaran dalam bandar walaupun hidup susah. Kalau kompaun atau saman pun boleh diskaun bagi satu-satu notis kesalahan oleh agensi persekutuan sendiri. Takkan lah sebuah agensi negeri atau kerajaan negeri tidak boleh melaksanakan amalan sama atas niat memelihara kepentingan rakyat agar tidak terus diusir dari unit kediaman PPR mereka? 

Apabila disebut begini, bukan bermakna kerajaan pusat lebih bagus dan kerajaan negeri lebih lemah. Rakyat Pulau Pinang mangsa pilih kasih kerajaan kleptokrasi? Untuk rekod, kerajaan pusat sehingga hari ini tidak membina satu unit pun kediaman di bawah Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia. 

Secara simbolik, tidak salah jika rakyat Malaysia di Pulau Pinang berasa dianaktirikan oleh rejim kleptokrasi. Untuk rekod juga, 30 lagi projek kerajaan pusat di bawah Tabung Penyelenggaran 1Malaysia untuk membaiki keadaan unit kediaman kos rendah (KR) dan kos sederhana rendah (KSR) di Pulau Pinang, sampai ke hari ini tergendala walaupun permohonan lengkap telahpun sampai ke meja Putrajaya. 

Kerana TP1M tergendala, pentadbiran Guan Eng sejak tahun 2012 terpaksa melaksanakan sendiri program Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80% Pulau Pinang (TPM80PP). Untuk rekod juga, sejak tahun 2013 hampir RM8 juta (RM7,866,841.93) dana TPM80PP telahpun dibelanjakan oleh pentadbiran Guan Eng untuk tukar ganti lif, tangki air, bumbung serta kerja-kerja penyelenggaraan berwajib yang lain. 

Justeru, bagi saya, pentadbiran Guan Eng lebih cakna hal tahap keselesaan hidup rakyat terbanyak di rumah pangsa. Kerana itu, saya secara peribadi lebih percaya, kalau dua tiga kes pengusiran paksa seperti di PPR Padang Tembak ini sampai ke meja ketua menteri, mungkin tiada layanan dingin sebagaimana ditunjukkan oleh seorang pegawai bahagian perumahan terbabit sebelum ini. 

Orang tua dahulu telahpun berpesan, “jangan kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga.” Eloklah beberapa isu pengusiran paksa segelintir rakyat yang tular di media sosial ini ditangani secara hemah, biar semua pihak bertambah yakin bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang begitu cakna dan peduli rakyat terbanyak. 

Biar rekod tadbir urus berkebajikan kerajaan negeri yang cemerlang pada hari ini terus mendorong lebih ramai rakyat Malaysia di luar negeri Pulau Pinang untuk mengundi Pakatan Harapan serta menolak rejim kleptokrasi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti. 

Cegah pengusiran paksa membabitkan segelintir rakyat sebenarnya pasti akan menggamit sokongan rakyat terbanyak kepada parti memerintah di Pulau Pinang. 

Orang politik tahu timbang tara hikmah ini, jadi jangan biarkan pegawai kerajaan tertentu dengan garis panduan sewa PPR di tangan, secara rigid serta tidak kreatif, membiarkan lebih banyak lagi pengusiran paksa demi memburu seribu atau dua ribu ringgit sahaja daripada rakyat miskin. 

Cegah pengusiran paksa membabitkan warga bandaran merupakan sebahagian maksud #ManifestoMerah, iaitu dasar yang lebih menguntungkan rakyat terbanyak berbanding segelintir puak - "for the many, not the few"! 

Setuju? 

*** Blog ini tidak bertanggungjawab terhadap penulisan surat terbuka ini. Pandangan penulis adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mewakili pihak pentadbir. Atas nama kebebasan bersuara pihak pentadbir akan menyiarkan semua pandangan tanpa tapisan.

Ada Apa Dengan Tanah FELDA RM200 Juta Di Jalan Semarak..

 
1. Apakah yang berlaku?

KHAMIS lepas, akhbar pro kerajaan Berita Harian mendedahkan empat bidang tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur seluas lebih 66,000 meter persegi (710,418 kaki persegi) dipercayai bertukar hak milik selepas satu transaksi diragui pada 2015.

Menurut laporan itu, Felda mungkin berisiko kehilangan hak ke atas tanah yang dianggarkan bernilai RM270 juta itu tanpa mendapat satu sen pun hasil daripada penjualan itu.
 
 
Transaksi pindah milik meragukan itu melibatkan tujuh menara, termasuk menara ikonik Felda yang kini dimajukan Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), lapor akhbar itu.

Semakan dilakukan akhbar itu di portal Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati menara ikonik Felda itu sudah diluluskan untuk dimajukan.

Dua hari selepas itu akhbar sama mendedahkan, nilai semasa tanah di Jalan Semarak yang diambil alih untuk dimajukan pembangunan bercampur projek KLVC dianggarkan mencecah kira-kira RM1 bilion.

Angka itu jauh lebih tinggi daripada harga jualan RM270 juta dalam empat perjanjian jual beli tanah (SPA) antara Felda dengan syarikat pemaju KLVC, Synergy Promenade Sdn Bhd sebelum ini.

Bekas pengerusi Felda, Isa Samad berkata beliau sedia membantu siasatan dan setakat ini masih belum dipanggil polis untuk berbuat demikian.
 
Eksekutif penilaian kanan sebuah syarikat penilaian swasta, Umran Suffian Husin berkata berdasarkan data jualan hartanah, anggaran nilai tanah di kawasan Jalan Gurney, Jalan Maktab dan Jalan Semarak adalah antara RM1,300 hingga RM1,600 sekaki persegi.

"Ini anggaran kasar memandangkan nilai hartanah di kawasan itu bergantung kepada saiz, zon kegunaan tanah dan lokasi sebenar," katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Anggaran berkenaan juga dikongsi oleh sumber rapat dalam projek KLVC itu yang menyatakan nilai semasa tanah di kawasan itu boleh mencecah sehingga RM1,950 sekaki persegi, lapor Berita Harian.
 
 
Ketika pemindahan milik tanah ini berlaku, Felda masih dipengerusikan pemimpin veteran Umno, Isa Samad. Kini Felda dipengerusikan Ahli Parlimen Johor Baru Shahrir Abdul Samad.

2. Siapa dapat tanah?

Tanah Felda di Jalan Semarak itu kini dimiliki oleh pemaju KLVC, Synergy Promenade Sdn Bhd.

Semakan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati Synergy Promenade Sdn Bhd yang beralamat di No 16, Jalan Kota Raja M 27/M, Hicom Town Centre, Seksyen 27, 40400, Shah Alam, Selangor, Malaysia, 40400 Shah Alam dimiliki oleh ahli perniagaan Abdul Rahman Soltan dan adiknya Noraini Soltan.

3. Apa status tanah?

Menurut pengamal undang-undang Salleh Buang, dari sudut undang-undang tanah negara, apabila seorang itu didaftarkan secara sah sebagai pemilik sebidang tanah, dia menikmati hak milik yang tidak boleh disangkal atau dipersoalkan, dipanggil prinsip indefeasibility – Seksyen 340 (1) Kanun Tanah Negara 1965.

Salleh bagaimanapun berkata, seandainya semasa proses pindah milik tanah itu dilakukan, wujud unsur penipuan, pemalsuan, pengaruh tidak wajar dan perkara lain yang serupa, hak milik orang itu masih lagi boleh dipersoalkan dan dipertikai di mahkamah. Ini termaktub dalam Seksyen 340 (2) Kanun Tanah Negara 1965.

Persoalan masih belum berjawab dalam isu tanah Felda ialah siapa dalang di sebalik penyerahan surat kuasa wakil hingga tanah itu boleh bertukar tangan.

Katanya, tindakan oleh mana-mana pihak mempertikai dan mencabar hak milik yang sudah didaftarkan itu mestilah dibuat sebelum tanah berkenaan dipindah milik sekali lagi kepada pihak ketiga.

Salleh berkata jika tanah itu telah dipindah milik kepada pihak ketiga (seorang bona fide purchaser, BFP), tindakan mencabar atau mempersoalkan pindah milik sudah terlambat.

4. Apa reaksi pihak berkuasa?

Portal Astro Awani melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam kes pindah milik tanah Felda di Jalan Semarak.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Azam Baki berkata, perkara itu lebih menjurus kepada kelemahan tadbir urus dan tertakluk di bawah siasatan polis.

Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim berkata pasukan petugas khas akan ditubuhkan untuk menyiasat kes kehilangan tanah Felda di Jalan Semarak itu.

Katanya, polis juga tidak menolak untuk memanggil bekas pengerusi Felda, Isa untuk membantu siasatan.

Isa memberitahu media beliau sedia membantu siasatan dan setakat ini masih belum dipanggil polis untuk berbuat demikian.

5. Apa reaksi Pakatan Harapan (PH)?

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar menggesa Putrajaya menghentikan “drama pendedahan bersiri” dan mengambil tindakan segera kepada mereka yang terlibat menyebabkan tanah Felda tergadai.

Menurut ahli Parlimen Lembah Pantai itu, Perdana Menteri Najib Razak wajib mengambil langkah tuntas dalam mendedahkan tahap ketenatan skandal Felda di bawah kepimpinan beliau.

Sementara Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Zahid Mat Arip mengatakan isu tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur digunakan untuk melalaikan rakyat daripada skandal besar 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas pegawai khas kepada Isa itu berkata, beliau yakin bekas bosnya akan dijadikan “kambing hitam” oleh Umno menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

6. Apa reaksi peneroka Felda?

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) menggesa Najib agar tidak lepas tangan kerana beliaulah yang bertanggungjawab melantik Isa sebagai pengerusi Felda.

Presiden Anak, Mazlan Aliman berkata walaupun dibantah ramai pihak, Najib tetap melantik Isa sebagai pengerusi Felda pada 2011.

“Konsep 'pertanggungjawaban bersama’, dengan erti kata, tidak harus Isa saja yang dipersalahkan. Maaf, Najib... Anda bertanggungjawab atas malapetaka besar yang melanda Felda!

“Perdana Menteri inilah yang mengungkapkan ‘haram jadah’ kepada peneroka yang menentang penyenaraian FGV di Bursa Malaysia,” kata Mazlan.

Presiden Anak, Mazlan Aliman berkata walaupun dibantah ramai pihak, perdana menteri tetap mahu melantik Isa Samad sebagai pengerusi Felda pada 2011.
 
7. Apa reaksi BN?

Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun berkata pergerakan itu memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada polis untuk melaksanakan siasatan.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Dr Mohd Puad Zarkashi membidas pembangkang kerana cuba membabitkan Najib dalam isu kehilangan tanah Felda di Jalan Semarak.

Beliau berkata perdana menteri sendiri yang mengarahkan agar isu tanah tersebut diselesaikan dengan membuat audit forensik yang terdiri daripada pasukan audit dari luar Felda.

"Jadi pembangkang jangan cuba berlagak hero dan menuding jari menyalahkan perdana menteri.

“Mereka sepatutnya mendesak Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali yang meletak jawatan kerana skandal pentadbiran di negeri mereka," katanya.

Sementara itu, Exco Pemuda Umno Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata Lembaga Pengarah Felda yang harus bertanggungjawab terhadap isu kehilangan tanah Felda, bukan menuding kesalahan itu kepada perdana menteri.

Beliau berkata, sangat tidak wajar melibatkan Najib dalam isu berkenaan kerana Felda mempunyai organisasi pengurusan tersendiri untuk menentukan sesuatu keputusan.

8. Persoalan belum terjawab

a) Bagaimana Felda boleh menyerahkan surat kuasa wakil (PA) kepada sebuah syarikat pemaju untuk memajukan tanah berkenaan sehingga ia kemudian ditukar tangan kepada syarikat itu sendiri?

b) Siapakah dalang di belakangnya?

c) Bagaimana tanah sebuah agensi kerajaan boleh terlepas ke tangan syarikat swasta tanpa membayar satu sen pun kerana segala urusan berkaitan semestinya melalui pelbagai agensi kerajaan juga seperti Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...