Khamis, 28 Disember 2017

Ada Apa Dengan Tanah FELDA RM200 Juta Di Jalan Semarak..

 
1. Apakah yang berlaku?

KHAMIS lepas, akhbar pro kerajaan Berita Harian mendedahkan empat bidang tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur seluas lebih 66,000 meter persegi (710,418 kaki persegi) dipercayai bertukar hak milik selepas satu transaksi diragui pada 2015.

Menurut laporan itu, Felda mungkin berisiko kehilangan hak ke atas tanah yang dianggarkan bernilai RM270 juta itu tanpa mendapat satu sen pun hasil daripada penjualan itu.
 
 
Transaksi pindah milik meragukan itu melibatkan tujuh menara, termasuk menara ikonik Felda yang kini dimajukan Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), lapor akhbar itu.

Semakan dilakukan akhbar itu di portal Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati menara ikonik Felda itu sudah diluluskan untuk dimajukan.

Dua hari selepas itu akhbar sama mendedahkan, nilai semasa tanah di Jalan Semarak yang diambil alih untuk dimajukan pembangunan bercampur projek KLVC dianggarkan mencecah kira-kira RM1 bilion.

Angka itu jauh lebih tinggi daripada harga jualan RM270 juta dalam empat perjanjian jual beli tanah (SPA) antara Felda dengan syarikat pemaju KLVC, Synergy Promenade Sdn Bhd sebelum ini.

Bekas pengerusi Felda, Isa Samad berkata beliau sedia membantu siasatan dan setakat ini masih belum dipanggil polis untuk berbuat demikian.
 
Eksekutif penilaian kanan sebuah syarikat penilaian swasta, Umran Suffian Husin berkata berdasarkan data jualan hartanah, anggaran nilai tanah di kawasan Jalan Gurney, Jalan Maktab dan Jalan Semarak adalah antara RM1,300 hingga RM1,600 sekaki persegi.

"Ini anggaran kasar memandangkan nilai hartanah di kawasan itu bergantung kepada saiz, zon kegunaan tanah dan lokasi sebenar," katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Anggaran berkenaan juga dikongsi oleh sumber rapat dalam projek KLVC itu yang menyatakan nilai semasa tanah di kawasan itu boleh mencecah sehingga RM1,950 sekaki persegi, lapor Berita Harian.
 
 
Ketika pemindahan milik tanah ini berlaku, Felda masih dipengerusikan pemimpin veteran Umno, Isa Samad. Kini Felda dipengerusikan Ahli Parlimen Johor Baru Shahrir Abdul Samad.

2. Siapa dapat tanah?

Tanah Felda di Jalan Semarak itu kini dimiliki oleh pemaju KLVC, Synergy Promenade Sdn Bhd.

Semakan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati Synergy Promenade Sdn Bhd yang beralamat di No 16, Jalan Kota Raja M 27/M, Hicom Town Centre, Seksyen 27, 40400, Shah Alam, Selangor, Malaysia, 40400 Shah Alam dimiliki oleh ahli perniagaan Abdul Rahman Soltan dan adiknya Noraini Soltan.

3. Apa status tanah?

Menurut pengamal undang-undang Salleh Buang, dari sudut undang-undang tanah negara, apabila seorang itu didaftarkan secara sah sebagai pemilik sebidang tanah, dia menikmati hak milik yang tidak boleh disangkal atau dipersoalkan, dipanggil prinsip indefeasibility – Seksyen 340 (1) Kanun Tanah Negara 1965.

Salleh bagaimanapun berkata, seandainya semasa proses pindah milik tanah itu dilakukan, wujud unsur penipuan, pemalsuan, pengaruh tidak wajar dan perkara lain yang serupa, hak milik orang itu masih lagi boleh dipersoalkan dan dipertikai di mahkamah. Ini termaktub dalam Seksyen 340 (2) Kanun Tanah Negara 1965.

Persoalan masih belum berjawab dalam isu tanah Felda ialah siapa dalang di sebalik penyerahan surat kuasa wakil hingga tanah itu boleh bertukar tangan.

Katanya, tindakan oleh mana-mana pihak mempertikai dan mencabar hak milik yang sudah didaftarkan itu mestilah dibuat sebelum tanah berkenaan dipindah milik sekali lagi kepada pihak ketiga.

Salleh berkata jika tanah itu telah dipindah milik kepada pihak ketiga (seorang bona fide purchaser, BFP), tindakan mencabar atau mempersoalkan pindah milik sudah terlambat.

4. Apa reaksi pihak berkuasa?

Portal Astro Awani melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam kes pindah milik tanah Felda di Jalan Semarak.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Azam Baki berkata, perkara itu lebih menjurus kepada kelemahan tadbir urus dan tertakluk di bawah siasatan polis.

Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim berkata pasukan petugas khas akan ditubuhkan untuk menyiasat kes kehilangan tanah Felda di Jalan Semarak itu.

Katanya, polis juga tidak menolak untuk memanggil bekas pengerusi Felda, Isa untuk membantu siasatan.

Isa memberitahu media beliau sedia membantu siasatan dan setakat ini masih belum dipanggil polis untuk berbuat demikian.

5. Apa reaksi Pakatan Harapan (PH)?

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar menggesa Putrajaya menghentikan “drama pendedahan bersiri” dan mengambil tindakan segera kepada mereka yang terlibat menyebabkan tanah Felda tergadai.

Menurut ahli Parlimen Lembah Pantai itu, Perdana Menteri Najib Razak wajib mengambil langkah tuntas dalam mendedahkan tahap ketenatan skandal Felda di bawah kepimpinan beliau.

Sementara Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Zahid Mat Arip mengatakan isu tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur digunakan untuk melalaikan rakyat daripada skandal besar 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas pegawai khas kepada Isa itu berkata, beliau yakin bekas bosnya akan dijadikan “kambing hitam” oleh Umno menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

6. Apa reaksi peneroka Felda?

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) menggesa Najib agar tidak lepas tangan kerana beliaulah yang bertanggungjawab melantik Isa sebagai pengerusi Felda.

Presiden Anak, Mazlan Aliman berkata walaupun dibantah ramai pihak, Najib tetap melantik Isa sebagai pengerusi Felda pada 2011.

“Konsep 'pertanggungjawaban bersama’, dengan erti kata, tidak harus Isa saja yang dipersalahkan. Maaf, Najib... Anda bertanggungjawab atas malapetaka besar yang melanda Felda!

“Perdana Menteri inilah yang mengungkapkan ‘haram jadah’ kepada peneroka yang menentang penyenaraian FGV di Bursa Malaysia,” kata Mazlan.

Presiden Anak, Mazlan Aliman berkata walaupun dibantah ramai pihak, perdana menteri tetap mahu melantik Isa Samad sebagai pengerusi Felda pada 2011.
 
7. Apa reaksi BN?

Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun berkata pergerakan itu memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada polis untuk melaksanakan siasatan.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Dr Mohd Puad Zarkashi membidas pembangkang kerana cuba membabitkan Najib dalam isu kehilangan tanah Felda di Jalan Semarak.

Beliau berkata perdana menteri sendiri yang mengarahkan agar isu tanah tersebut diselesaikan dengan membuat audit forensik yang terdiri daripada pasukan audit dari luar Felda.

"Jadi pembangkang jangan cuba berlagak hero dan menuding jari menyalahkan perdana menteri.

“Mereka sepatutnya mendesak Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali yang meletak jawatan kerana skandal pentadbiran di negeri mereka," katanya.

Sementara itu, Exco Pemuda Umno Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata Lembaga Pengarah Felda yang harus bertanggungjawab terhadap isu kehilangan tanah Felda, bukan menuding kesalahan itu kepada perdana menteri.

Beliau berkata, sangat tidak wajar melibatkan Najib dalam isu berkenaan kerana Felda mempunyai organisasi pengurusan tersendiri untuk menentukan sesuatu keputusan.

8. Persoalan belum terjawab

a) Bagaimana Felda boleh menyerahkan surat kuasa wakil (PA) kepada sebuah syarikat pemaju untuk memajukan tanah berkenaan sehingga ia kemudian ditukar tangan kepada syarikat itu sendiri?

b) Siapakah dalang di belakangnya?

c) Bagaimana tanah sebuah agensi kerajaan boleh terlepas ke tangan syarikat swasta tanpa membayar satu sen pun kerana segala urusan berkaitan semestinya melalui pelbagai agensi kerajaan juga seperti Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur?

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...