Itulah kenyataan Mukhriz ketika memberikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Tahunan pertama BERSATU di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam hari ini.
Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Timbalan Presiden BERSATU turut berkata Mahathir paling layak kerana berpengalaman mengeluarkan Malaysia daripada krisis suatu masa dulu.
Terdahulu PKR dilaporkan meletakkan tiga syarat harus dipenuhi jika mahu parti itu bersetuju menamakan Mahathir sebagai calon Perdana Menteri bagi HARAPAN.
Syarat yang pertama ialah Anwar Ibrahim perlu dibebaskan segera andai Pakatan Harapan menang PRU ke 14. Dan Anwar juga perlu dilantik menjadi Perdana Menteri dalam tempoh enam hingga 12 bulan.
Syarat yang kedua ialah PKR perlu diberikan kerusi terbanyak daripada 165 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di Semenanjung Malaysia. PKR dilaporkan menuntut sebanyak 60 buah kerusi.
Syarat yang ketiga dan terakhir ialah Mahathir perlu bersetuju untuk melakukan reformasi ke atas institusi-institusi penting negara.
Bagaimanapun sejurus perkara tersebut dilaporkan oleh pelbagai media, PKR menerima kecaman bertubi-tubi termasuklah oleh pro pembangkang yang menyifatkan tindakan PKR meletakkan syarat adalah keterlaluan dan menuntut kerusi terbanyak juga seperti 'tidak mengukur baju dibadannya sendiri'.
Untuk rekod, ketika PRU ke 12 dan ke 13 yang lepas, PKR banyak menumpang jentera PAS. Ini kerana PAS mempunyai jentera luas yang meliputi keseluruhan semenanjung Malaysia.
Berkata tentang PAS pula, Mukhriz menegaskan BERSATU berkeyakinan boleh menang meskipun perlu berhadapan persaingan tiga penjuru dengan PAS di beberapa buah kerusi.
"Malah kita sanggup berhadapan tiga penjuru dalam PRU nanti. Kita yakin dengan usaha gigih, kita tetap boleh menang (walaupun bersaing) tiga penjuru,” katanya dalam ucapan penggulungan.
Bekas menteri besar Kedah itu turut mendedahkan rundingan BERSATU dengan PAS gagal apabila parti terbabit berkeras mendesak supaya mereka tidak menjalinkan kerjasama dengan DAP dan AMANAH. Disebabkan itu, kata Mukhriz BERSATU memutuskan hubungannya dengan PAS.