Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Khamis, 29 Jun 2017

Surat Terbuka Ahli DAP Untuk Amanah.

Parti Amanah Negara (AMANAH) ditubuhkan pada September 2015. Sejarah bagaimana ia tertubuh, semua yang mengikuti perkembangan politik sudah tahu. Tak perlu saya catatkan lagi.
Kita dapat lihat bagaimana sukarnya sesebuah parti mahu dibentuk. Bukan setakat masalah teknikal sebaliknya yang lebih sukar ialah untuk mengumpul pengaruh dan kekuatan.
Apatah lagi, AMANAH bukan diketuai oleh tokoh seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bukan soal Abang Mat Sabu tak popular, tetapi keterampilannya berbanding bekas PM dan TPM tidak ada padanya. Namun, dalam politik, itu bukan syarat mandatori untuk sesebuah parti itu berjaya.
Namun, sedikit sebanyak ia penting bagi mewujudkan faktor yang boleh menarik perhatian dan sokongan orang ramai untuk menyertai AMANAH.
Justeru, pada aspek ini AMANAH tidak perlu bersaing atau dibandingkan dengan parti seperti PKR (dengan ketokohan Anwar) atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia dengan ketokohan Dr Mahathir atau Muhyiddin.
Maka, aspek apa yang sesuai bagi AMANAH untuk menapak kukuh dalam persaingan politik hari ini?
Apa perlunya hal ini dipersoalkan? Bukankah ini hal AMANAH? Kenapa saya sebagai ahli DAP menyibuk?
Hari ini AMANAH sudah tidak boleh memaparkan diri mereka sebagai mangsa politik hubungan mesra antara PAS dan Umno. Jika setahun atau enam bulan lalu, mungkin retorik ini masih laku dijual. Tetapi sekarang dan pada masa hadapan, tidak boleh lagi.
Bergantung wala' dan retorik
Contoh terbaik, Anwar. Lebih 10 tahun imej Anwar sebagai mangsa kekejaman BN laku dijual atau berjaya mengolah sokongan rakyat. Tetapi hari ini, generasi yang lahir pada era 1990-an yang kini sudah layak mengundi, tidak dapat membeli imej tersebut.
Dr Mahathir bersama pembangkang pada hari ini, bukan kerana imej Anwar Ibrahim sebagai mangsa politiknya, tetapi sebab masalah korupsi kerajaan Umno Najib Razak. Ini relevennya.
Maka, aspek ini juga tidak boleh lagi digunakan oleh parti AMANAH. Lupakan. Hentikan retorik anda sebagai mangsa PAS demi memujuk sokongan rakyat.
Justeru apa lagi yang boleh diprojekkan untuk menarik sokongan buat AMANAH?
Dari gaya (trend) politik PAS hari ini, parti mereka hanya bergantung dengan wala’ ahli-ahlinya dan juga retorik Islam yang mesra regim kleptokrasi atau ringkasnya Islam Kleptokrasi ala PAS.
Bagi saya inilah kelemahan PAS yang boleh menjadi kekuatan bagi AMANAH jika dapat dirumuskan dengan lebih cermat.
Saya belum mendengar konsep politik AMANAH yang dikatakan Islamnya lebih progresif berbanding PAS. Saya tidak mengambil hujah-hujah di ceramahnya kerana ceramah lebih bersifat retorik. Sesiapa pun boleh beretorik jika hari-hari berlatih depan cermin.
AMANAH yang dikatakan membawa Islam progresif dengan barisan kepimpinan yang alim dalam bidang atau kepakaran tertentu, wajar sekali menerangkan dasar atau polisi kenegaraannya yang punya identiti Islam yang inklusif.
Bukan ayat dengan perkataan ‘inklusif’ tetapi polisi bersifat (konsep) Islam inklusif.
Mengapa AMANAH penting
Polisi yang boleh menyatukan rakyat pelbagai bangsa, polisi yang boleh memurnikan ekonomi dan sosial. Polisi yang praktikal dan releven.
Saya belum dengar butiran ini dinyatakan secara jelas dan konsisten. Bagi saya ini penting dalam proses membina atau membentuk imaginasi penyokong dalam memposisikan parti mereka jauh daripada politik intrik PAS.
Polisi ini tidak harus menjadi kitab yang sukar dibaca atau diterjemahkan kepada rakyat. Jangan harap rakyat mahu membaca apa yang anda tulis atau menyelidik buku-buku ilmiah anda.
Sebaliknya polisi ini harus menjadi zikir di setiap bibir pemimpin AMANAH dalam menghadapi kritikan mahupun membuat kritikan terhadap masalah negara, setiap masa.
Jika polisi-polisi ini sudah ada, ia perlu diterangkan secara lebih berkesan.
Saya tidak tahu atau tidak mampu menjawab pertanyaan rakan-rakan, mengapa kita perlu berkawan dengan AMANAH dan mengapa ia penting.
Selain daripada jawapan dan hujah saya bahawa AMANAH menolak Umno, GST dan regim kleptokrasi Najib, saya tidak mampu memberikan jawapan yang lebih jelas dan apakah selling point untuk meyakinkan pengundi atas pagar di kalangan orang Cina dan Melayu agar menyokong AMANAH kuat-kuat.
Balik kepada soalan tadi - ini adalah hal parti AMANAH dan kenapa saya sebagai ahli DAP nak menyibuk?
Naratif ini telah menjawab, mengapa saya "menyibuk" tentang hal parti AMANAH.
Dalam konteks Pakatan Harapan (HARAPAN) secara holistiknya, DAP, PKR atau BERSATU memerlukan wakil AMANAH yang kuat dan cukup untuk membentuk kerajaan baru. Tanpa kekuatan yang cukup, perimbangan politik dalam HARAPAN akan terganggu.
Maka, dasar-dasar parti AMANAH yang jelas dengan identiti politik yang jitu, sangat-sangat diperlukan ketika ini. Bukan untuk HARAPAN sahaja, sebaliknya untuk AMANAH sendiri, malah semestinya untuk para pengundi.
Tidak semua pengundi akan memangkah HARAPAN kerana kebencian mereka kepada Najib dan Umno, sebaliknya saya yakin, lebih ramai daripada mereka mengundi kerana suka dan yakin dengan dasar dan identiti serta matlamat parti politik itu. Pandangan saya tidak penting, yang penting identiti politik AMANAH harus lebih jelas.

Peralatan Radar Tentera Berteknologi Tinggi Bernilai Jutaan Ringgit Hilang Dari Tanjung Pelepas.

Peralatan radar tentera berteknologi tinggi bernilai jutaan ringgit yang perlu mendapat kelulusan khas daripada Putrajaya didapati hilang daripada Pelabuhan Tanjung Pelepas, lapor portal Free Malaysia Today yang memetik laporan akhbar The Star

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Nor Hashim Mohamad mengesahkan laporan polis diterima mengenai perkara itu, manakala Penolong Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Datuk Paddy Abd Halim berkata jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyiasat kes tersebut. Kehilangan barangan itu dikesan ketika pemeriksaan audit baru-baru ini. 
  
Ia tiba dalam sebuah kontena dari Australia tetapi menunggu permit khas.
Laporan itu turut memetik sumber kastam sebagai berkata peralatan itu tiba dalam sebuah kontena dari Australia bulan lalu, dan bakal menuju ke Belanda melalui Johor. 

Bagaimanapun, ia ditahan pihak kastam disebabkan ketiadaan permit khas dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010

Akta tersebut mewajibkan permit kementerian ke atas beberapa barangan “sensitif” termasuk barangan ketenteraan, bahan nuklear, kimia, toksin, di samping alat navigasi dan teknologi sensor. Ia dipercayai bagi mengelak peralatan seperti itu daripada jatuh ke tangan pengganas atau anasir ekstremis.

Surat Terbuka Zaid Untuk Nik Abduh Dan Air Asia.

Oleh : Zaid Ibrahim
Saya anggap Nik Abduh sebagai orang Islam yang sombong dan menganggap dirinya alim, dan orang lain jahil; satu penyakit lama dikalangan ahli PAS. Dia dengan sombong bertanya samada saya pernah berdoa. Isu ini timbul kerana dia tidak faham kandungan tweet saya tempoh hari mengenai tindakan juruterbang AirAsia. Sebenarnya ini tidaklah mengejutkan, kerana Nik Abduh juga tidak memahami 1MDB, satu perkara yang mudah dia fahami.
Ramai juga orang Islam yang menghentam saya kerana kenyataan saya mengenai juruterbang Air Asia yang meminta para penumpang membaca doa ketika mengalami kecemasan di Perth, baru-baru ini. Mereka yang menegur ini juga tidak faham apa yang saya katakan.
Nik Abduh dan penyokongnya kata saya larang membaca doa, atau tidak mahu berdoa. Itu silap sama sekali. Saya selalu berdoa dan bukan hanya semasa kecemasan. Bila enjin pesawat bergegar nak tercabut atau mengalami masalah, saya percaya semua penumpang telah pun berdoa melalui cara masing-masing ketika itu. Tak payahlah juruterbang menambahkan lagi kerisauan mereka. Penumpang yang rasa mereka akan mati mesti dengan sendirinya akan berdoa, dan Nik Abduh sendiri mengakui bahawa ini “lumrah maanusia”. Jadi apa pula perlunya juruterbang menambahkan lagi kebimbangan mereka. Untuk Pengurusi AirAsia, saya katakan disini isunya bukan apakah baik meminta “divine intervention” tetapi apakah wajar juruterbang meminta penumpang berbuat demikian.
Saya ada mengatakan bahawa juruterbang tak payahlah meminta penumpang membaca doa kerana tindakan itu boleh dianggap menunjukkan keadaan sudah tidak boleh diselamatkan. In juga boleh diertikan bahawa beliau tidak ada keyakinan untuk mengatasi masalah pada ketika itu. Bila juruterbang berbuat demikian meminta orang membaca doa, apakah perasaan orang di belakang dalam pesawat tersebut? Penumpang di belakang tidak tahu banyak hal dalam keadaaan itu, dan mereka hanya mengharapkan juruterbang memberi mereka keyakinan dan panduan. Apa perlunya menambah lagi beban kepada mereka.
Bukankah kerja dan tugas juruterbang ialah memberi harapan dan keyakinan kepada penumpang dan melakukan apa saja untuk menyelamatkan pesawat? Maut tidak sekali-kali harus melintas fikirannya. Itulah yang kita harapkan dari juruterbang AirAsia.
Katakan anda dibedah oleh seorang pakar jantung, tiba-tiba semasa pembedahan, dia terus meminta semua keluarga termasuk anda sendiri untuk membaca doa. Bukankah itu menunjukkan anda dalam keadaaan tenat dan mungkin mati? Apakah ini yang kita mahu dari juruterbang dan pakar bedah kita?
Nik Abduh membuat banyak tuduhan lain yang menghina saya dalam facebook beliau, dan saya tidak mudah lupa. Saya akan membuat tindakan susulan yang lain dimasa depan. Buat masa ini, saya sekali lagi menjelaskan, isunya bukan kita tidak boleh berdoa atau tidak wajar berdoa; tetapi mereka yang menjagga keselamatan penumpang ketika pesawat di udara usahlah memberi petanda yang membimbangkan semasa pesawat dalam keadaaan tenat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...