Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Sabtu, 30 Jun 2018

Akar Umbi UMNO Terkejut, Kedai Emas Pun Tak Banyak Barang Macam Di Rumah Najib.

Oleh : Malaysiakini

Jumlah barangan mewah yang dirampas dari kediaman yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Razak sebelum ini telah menjejaskan imej parti itu di kalangan rakyat.

 
Ketua Umno bahagian Cheras, Syed Ali Alhabshee berkata anggota akar umbi Umno turut terkejut dengan nilai rampasan yang diumumkan pihak polis.

"Adakah kamu jangka ahli akar umbi tak terkejut dengan apa yang ditemui di rumah Najib? Sudah tentu terkejut.

"Kalau buka kedai emas pun, kedai emas pun tak banyak barang macam itu,"
katanya ketika ditemui pemberita ketika pemilihan Umno yang berlangsung di Cheras hari ini.

Polis sebelum ini merampas wang tunai, beg tangan, jam tangan mewah, cermin mata hitam dan pelbagai barangan kemas yang dianggar mencecah nilai RM1.1 bilion dari kediaman bekas presiden Umno itu.

Najib berkata barangan berkenaan adalah hadiah kepada beliau dan keluarganya, serta tidak ada kaitan dengan 1MDB.

Ditanya mengenai perkara itu, Syed Ali berkata beliau menyerahkannnya kepada pihak polis untuk melakukan siasatan.

"Dia boleh kata apa sahaja yang dia mahu, polis akan melakukan siasatan mereka. Kalau ada kes, dakwalah dia," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Syed Ali memberitahu perwakilan Umno bahawa parti itu ditolak oleh rakyat pada pilihan raya umum ke-14 lalu kerana tuduhan rasuah oleh pemimpinnya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa parti itu tidak bersalah.

"Umno adalah sebuah parti untuk orang-orang Melayu, parti yang banyak berjasa kepada orang Melayu. Yang buat kesalahan orang dalam parti iaitu pemimpin-pemimpin Umno,"
katanya.

Buat pertama kalinya sejak negara mencapai kemerdekaan, Umno dan parti gabungannya BN tewas dalam pilihan raya ke-14 (PRU) bulan lalu.

Pada PRU itu, Umno hanya berjaya memenangi 54 kerusi parlimen, manakala parti komponen lain dalam BN meraih 25 kerusi.

Namun selepas PRU, dua anggota parlimen Umno memutuskan untuk meninggalkan parti itu dan menjadi anggota parlimen bebas.

Manakala sebahagian besar parti-parti komponen BN pula meninggalkan gabungan itu menyebabkan ia kini hanya terdiri daripada Umno, MCA dan MIC.  - 30 Jun 2018.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...