Sabtu, 20 Januari 2018

Penjelasan Rafizi Isu Keluarga Yang Merempat Selepas Dihalau Rumah.

Oleh : Rafizi Ramli
KELUARGA DI PANDAN DI HALAU DARI RUMAH
Saya dapat banyak whatsapp yang bertanya kepada saya mengenai kes satu keluarga yang dihalau dari rumah. Mereka tidur di kaki lima beberapa hari sebelum diberikan tempat tinggal di Masjid Al-Azim, Pandan Indah.
Saya kenal keluarga ini dan mereka pun mesra dengan kami.
Sebelum TV3 menjadikan mereka sekeluarga bahan serangan, telah lama kami berkenalan dan jalankan amanah mana yang terdaya.
Saya sendiri pernah berkunjung hampir setahun lalu untuk bertanya khabar. Pada hari itu, mereka bergelap kerana tidak mampu untuk menggantikan mentol.
Kami berjaya mengusahakan bayaran sewa dari bantuan zakat dan bantuan JKM. Sewa rumah mereka sebelum ini dibayar oleh Zakat Selangor, cuma JKM kekurangan peruntukan.
Mereka dihalau bukan kerana tidak membayar sewa (kerana itu dibiayai zakat). Sebabnya tuan rumah jatuh muflis dan bank telah melelong rumah itu. Saya tidak tahu siapa yang melaksanakan arahan untuk menghalau mereka keluar dari rumah: pihak bank atau pembeli baru.
Mereka sedang mencari rumah sewa dan In Sha Allah kami bantu untuk cukupkan deposit (tanpa perlu dipanggil TV3 ha3).
Saya cukup-cukup kurang selesa menunjukkan gambar saya bersama penduduk yang miskin kerana mereka mungkin kurang selesa. Kalau saya jadi orang miskin (dan saya datang dari keluarga yang tidak berada), saya tidak mahu simpati orang (apatah lagi cemuhan orang) hanya kerana saya miskin.
Saya hanya mahu menjalani hidup saya tanpa diganggu dan berusaha mencari rezeki, yang lain saya serahkan kepada Allah. Itu cara mak ayah saya membesarkan kami dalam segala kekurangan dulu.
Membantu mereka yang dalam kesusahan adalah tanggungjawab saya dan jika saya dimaklumkan, saya akan membantu secara diam-diam. Kecualilah sudah dijadikan isu politik begini dan wajarlah saya memberi penjelasan.
Memang ramai orang susah di kalangan kita.
Bukalah jendela dan bantulah setakat yang ada - bukan untuk masuk TV3, tetapi harta kita itu ada hak orang miskin.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...