Menurut sumber yang tidak dinamakan oleh portal itu, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati habuan yang diterima daripada hasil salah laku dan rasuah pemberian kelulusan tersebut bernilai besar.
“Ada ahli politik yang menerima ratusan ribu ringgit malah ada yang mencecah jutaan ringgit melalui ‘jalinan kerjasama’ itu.
Setakat ini, kami sedang mengesan bagaimana salah laku itu berlaku dan bagaimana pembayaran itu dilaksanakan.
“Namun kami percaya, itu berkemungkinan berkaitan pemberian dua lot tanah bernilai tinggi yang menjadi cara pembayaran kepada kajian projek mega itu,” katanya dalam laporan itu.
Walau bagaimanapun, sumber terbabit enggan mendedahkan identiti ahli politik yang dipercayai terlibat dalam pembiayaan itu namun tidak menolak kemungkinan mereka itu adalah individu yang berkepentingan dalam projek itu.
Menurut laporan itu lagi, SPRM kini dalam proses untuk merekod keterangan beberapa saksi penting untuk mengukuhkan siasatan.
“Saksi yang akan direkod ini mampu menjawab bagaimana salah laku dan pembayaran itu berlaku,” ujarnya
Tambahnya, beberapa individu penting yang dipercayai terlibat dalam projek itu akan dipanggil untuk memberi keterangan kepada SPRM dalam tempoh terdekat.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berhubung dakwaan itu namun memaklumkan SPRM sehingga kini sudah menyerbu 42 lokasi termasuk syarikat perunding dan agensi kerajaan di Pulau Pinang dan Lembah Klang.
“Bagi kami masa untuk siasat. Siasatan kes ini melibatkan banyak isu-isu teknikal yang perlu disiasat secara terperinci untuk melengkapkan kertas siasatan,” jelasnya dalam laporan Utusan Online semalam.
Sehingga hari ini seramai lebih 76 saksi sudah dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.
Dalam perkembangan berkaitan, Malaysiakini melaporkan kenyataan Anggota parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin (PKR) yang menyifatkan "serangan terbuka" terhadap projek yang dianggar bernilai RM6.3 bilion itu sebagai "bermotif politik" menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14. - 19 Januari 2018.