Menurutnya, Amanah sepatutnya bersyukur dengan pemberian kerusi tersebut walaupun tindakan itu sememangnya membayangkan pelbagai dakwaan, terutamanya apabila masyarakat melihat Amanah sebagai parti serpihan semata-mata.
“Sepatutnya, kalau ikutkan kekuatan, Amanah dapat hanya 10 kerusi sahaja. Apa pun, itu sahajalah yang mampu Amanah dapat PRU nanti. Bersyukur sajalah,” katanya kepada Sinar Harian di sini.
Menurutnya, tindakan Harapan memberikan kerusi yang sedikit itu boleh dianggap sebagai bayangan sebenar yang Amanah akan menjadi parti yang akan diketepikan dalam komponen pembangkang itu.
Ketua Pemuda Pas Kelantan itu juga memberitahu, malah perkara tersebut pernah dilaungkan Pas sebelum ini kepada Amanah, dengan niat untuk menyedarkan mereka kedudukan sebenar Amanah dalam Harapan.
“Itulah yang kami beritahu sebelum ini yang mereka tidak akan dihargai oleh Harapan. Dan ia akan menjadi kenyataan dan realiti lagi selepas PRU akan datang. Dan pada masa itu lah baru mereka dapat melihat bahawa dakwaan kita selama ini benar, takziah kepada Amanah di atas tragedi ini,” katanya.