Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Sabtu, 8 Disember 2018

Daripada Komen 'Kencing, Hancing' Merata, Jadilah Pembangkang Yang Buat Kerja, Rafizi Tegur Pimpinan PAS & UMNO.

RAFIZI RAMLI | KELAS PERCUMA MENGIRA HARGA MINYAK:
UNTUK PAS & UMNO


Sejak Mei 2018, penyokong-penyokong PAS dan UMNO telah berjaya mempopularkan beberapa istilah baru dalam politik : hancing, kencing dan yang sewaktu dengannya.

Antara perkara yang paling diulang ialah kononnya janji untuk menurunkan harga minyak sejurus selepas PH berkuasa. Padahal itu bukan pun janji manifesto PH dalam 2018.



Soal menurunkan harga minyak ini adalah popular dalam PRU2008 kerana keputusan kerajaan BN pada ketika itu memotong subsidi sehingga harga minyak melambung, sedangkan kerajaan juga memperolehi keuntungan luar biasa dari lonjakan harga minyak itu. Kekayaan itu akhirnya dibelanjakan berterusan antara tahun 2008 hingga 2017, malah saya pernah menobatkan Dato’ Seri Najib Razak sebagai pemenang tempat pertama pertandingan membelanjakan wang minyak negara.

Antara yang paling banyak mengulangi hancing dan kencing adalah penyokong PAS. Mereka tidak sedar yang paling banyak menjaja janji untuk menurunkan harga minyak dalam PRU2008 dan PRU2013 adalah pimpinan PAS dan penyokong mereka.

Tetapi pada ketika itu mereka belum lagi bersekedudukan dengan UMNO, yang pada satu ketika dahulu pernah dikafirkan oleh segelintir pimpinan mereka.

Begitulah resam politik: mana-mana parti politik pun, tujuannya ialah untuk mendapat kuasa.

Semasa PAS yakin boleh mendapat kuasa melalui jalan berkawan dengan DAP, maka nama DAP tidak lekang di bibir pimpinan mereka. UMNO dituduhnya perkauman, asobiyah dan tidak Islam. Ada yang menghukum pimpinan DAP itu lebih Islam dari pimpinan UMNO.

Kini PAS melihat UMNO pula sebagai jalan mereka untuk mendapat kuasa. Maka ada pula hujahnya yang meyakinkan mereka bahawa kumpulan yang mereka pernah lawan itu, sebenarnya lebih baik dari kumpulan-kumpulan lain yang mereka pernah berkawan.

Demikianlah politik.

Musuh berkawan dengan lawan, lawan menjadi kawan dan kahwin bersilang-silang, kerana semua itu dilihat sebagai strategi mendapatkan kuasa.

Saya tidak ada masalah dengan strategi politik PAS – mahu berkawan dengan UMNO, atau mahu memeluk DAP. Atau pernah menjemput Tun Mahathir menyertai Gagasan Sejahtera, kemudian memaki Tun Mahathir apabila BERSATU menyertai Pakatan Harapan.

Tetapi janganlah mengaku suci bahawa semua tindak tanduk yang tidak konsisten itu demi mengangkat Islam. Saya menghormati kaedah PAS mendapatkan kuasa sebagai parti politik yang mengambil imej Islam, tetapi janganlah bersifat suci seolah-olah tindak-tanduk mereka bukan bermotifkan kuasa (seperti parti-parti lain juga).

Sewajarnya kita perlu sentiasa mencermin diri.

Penyokong UMNO yang berkempen berterusan dengan hamburan “kencing” dan “hancing” ini lupa bahawa mereka juga yang bermati-matian mahu harga minyak yang tinggi. Semasa Dato’ Seri Najib menjadi Perdana Menteri, pentadbiran beliau menghapuskan terus subsidi minyak hingga harga minyak naik setiap minggu.

Apabila saya membentangkan hujah bahawa kerajaan ada kemampuan untuk meringankan beban dengan mengekalkan harga minyak (untuk menstabilkannya, agar tidak dijadikan alasan peniaga menaikkan harga), penyokong UMNO ini juga yang menyerang saya kononnya saya mendidik rakyat menjadi pemalas. Kononnya ikut cara saya, rakyat mahu semua percuma.

Maka, apabila penyokong UMNO ini menjerit-jerit meminta subsidi dan harga minyak diturunkan, ia satu lawak yang memalukan mereka. Hidup ini biarlah ada maruah, jangan seminggu lepas kamu maki subsidi minyak, minggu ini (selepas kalah) kamu yang menagih subsidi minyak.

Begitu juga dengan penyokong PAS. Ingat-ingatlah bahawa kamu juga yang paling kuat mengusung kempen turun harga minyak semasa kamu bersama Pakatan Rakyat. Kamu juga yang menyerang UMNO ketika itu mengenai harga minyak kerana UMNO tidak mahu memberikan subsidi.

Sekarang kamu cuba mencari modal politik dengan mempersenda Pakatan Harapan kononnya menjanjikan sesuatu yang tidak boleh ditunaikan (sedang kamulah yang paling galak buat janji itu semasa kamu bersama Pakatan Rakyat).

Sebagai pembangkang, sewajarnya tugas mengawasi keputusan dan tindak-tanduk kerajaan ini adalah tugas pembangkang (iaitu PAS dan UMNO).

Jadi, jika sistem harga minyak yang ada sekarang ini boleh diperbaiki, sepatutnya PAS dan UMNO yang wajar melakukan kira-kira, kajian lalu membentangkan idea itu kepada rakyat.

Termasuklah tugas memantau harga minyak yang ditetapkan oleh kerajaan.

Itu tugas saya sebagai Ahli Parlimen pembangkang dahulu. Saya kira, saya bentangkan, saya berhujah.

Saya bagi bukti bagaimana sistem minyak bersubsidi boleh dikembalikan.

Hasil dari pembentangan saya itu, ramai rakyat yang bersetuju. Bila Pakatan Harapan menang, sebahagian dari saranan saya mengenai harga minyak diterima pakai.

Saya tidak menjadi Ahli Parlimen untuk mengajar penyokong-penyokong saya menjerit “hancing” dan “kencing” sepanjang masa.

Saya akan meneliti harga runcit yang ditetapkan sekarang berbanding dengan harga minyak mentah di pasaran dunia dan dibandingkan dengan jumlah subsidi yang telah dibelanjakan setakat ini untuk mengekalkan harga minyak pada ketika harga minyak mentah melambung tinggi.

In Sha Allah saya akan siarkan dalam sehari dua.

Tetapi sepatutnya ini tugas Ahli-Ahli Parlimen PAS dan UMNO.

Tidakkah ada seorang pun dari Ahli Parlimen PAS dan UMNO yang boleh menjalankan tugas ini? Supaya penyokong-penyokong mereka boleh bergantung harap kepada mereka, bukan datang menulis “hancing” dan “kencing” di mana-mana?

Saya sanggup mengadakan kelas percuma mengajar Ahli-Ahli Parlimen PAS dan UMNO ini bagaimana memantau harga minyak, supaya mereka tidaklah menjadi PASU di dalam Parlimen sementara penyokong mereka kencing di merata-rata.

Selepas itu, barulah pembangkang boleh melaksanakan tugas mereka dengan lebih baik, kerana mereka mengambil gaji untuk tujuan itu.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...