Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Isnin, 18 Mei 2020

Keputusan Melepaskan Riza Aziz Dari Pendakwaan Adalah Tidak Wajar & Ini Adalah Sebabnya.

Aidil Khalid | Saya mohon untuk berbeza pendapat.

Seperti yang telah saya katakan sebelum ini, soal siapa yang putuskan untuk melepaskan Riza Aziz — sama ada peguam negara terdahulu atau peguam negara baharu — adalah tidak relevan, dan bukan isu yang wajar dibincang.


Sebab kalaupun ia dibuat oleh Tommy Thomas sekali pun, itu tidak menjadikan perkara yang dibuat itu betul dan wajar dengan sendirinya. Sebab Tommy Thomas juga memutuskan bahawa Adib tidak mati dibunuh, tetapi kemalangan dilanggar. Tommy Thomas juga memutuskan untuk melepaskan Guan Eng. Tommy Thomas juga memutuskan untuk melepaskan suspek pengganas LTTE. Justeru persoalannya adakah kita hendak bersetuju dengan semua perkara tersebut, sebab kesemuanya diputuskan oleh Tommy Thomas juga?

Persoalan mengenai Peguam Negara mana yang memutuskan untuk melepaskan Riza Aziz hanya dibangkitkan untuk mengaburi isu sebenar: iaitu saspek jenayah melibatkan RM1.25 bilion dilepaskan begitu saja, kerana dia mampu bayar, dan (mungkin) kerana (kebetulan) kerajaan baru sudah berkuasa.

Harus kita ingat, pertuduhan terhadap Riza Aziz di bawah seksyen 4(1) Akta AMLAA memperuntukkan hukuman maksimum 15 tahun penjara bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan. Riza didakwa dengan 5 pertuduhan, jadi hukuman maksimum jika sabit bagi kelima-limanya adalah 15 x 5 = 75 tahun merengkok di penjara.

Memang berat, amat berat, tetapi demikianlah perundangan memandang serius salah laku kewangan.

Pihak pendakwaan sepatutnya memohon hukuman setimpal, dan bukannya meminta pelakunya dilepaskan hanya sekadar dengan membayar kerana dia berkemampuan. Berdasarkan rentetan fakta kes — wang korupsi yang sepatutnya adalah duit rakyat Malaysia telah digunakan untuk bikin filem tidak bermoral — seharusnya dijadikan hujah dan alasan yang ampuh untuk mendapatkan hukuman berat, sebagai satu mesej betapa rakyat Malaysia menolak tingkah laku sedemikian.

Tingkah laku Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun juga tidak wajar, apabila beliau melepas tangan dan mengatakan peguam negara terdahulu telah bersetuju. Hakikatnya, di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, kuasa dan budibicara adalah terletak kepada Peguam Negara yang memegang jawatan, jadi dia tidak terikat dengan (kononnya) “keputusan” peguam negara terdahulu.

Adakah selepas ini Tan Sri Idrus Harun juga akan mengguna-pakai alasan sama, dan mengatakan, bahawa beliau juga bersetuju dengan segala tindak-tanduk Tommy Thomas dalam kes Adib, dalam kes Guan Eng, dalam kes Siti Kasim, dalam kes LTTE, hanya sebab Tommy Thomas telah putuskan, maka ia perlu dianggap betul dan tidak boleh dipersoalkan? Tommy Thomas juga sebelum ini memutuskan untuk menandatangani ICERD, jadi adakah Tan Sri Idrus Harun juga akan mengatakan dia bersetuju untuk Malaysia menandatangani konvensyen tersebut, sebab Tommy Thomas telah bersetuju?

Ayuhlah, keluar dari belenggu kepartian sempit yang membinasakan. - 18 Mei 2020.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...