Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Jumaat, 18 Disember 2020

Lim Guan Eng, Mat Sabu Pilih Tun Mahathir Dan Mahu Singkirkan Anwar. - Shahbuddin Husin.

Shahbudin Husin | MAT SABU, GUAN ENG MAHU SINGKIR ANWAR KETUAI BLOK PEMBANGKANG?

Berselindung di sebalik gesaan perlunya PH melakukan anjakan politik baharu dengan mengangkat PH Plus sebagai wadah perjuangan blok pembangkang, kenyataan bersama Lim Guan Eng bersama Mohamad Sabu kali ini adalah jelas bertujuan untuk menyingkirkan Anwar Ibrahim.


Anwar sebenarnya mahu disingkir secara serentak sebagai Pengerusi PH dan juga Ketua Pembangkang.

Sudah tentu dengan penyingkiran Anwar itu, tujuan utamanya ialah untuk membawa Tun Mahathir Mohamad mengetuai PH Plus.

Dengan hujah bahawa PH mesti segera melakukan anjakan politik dengan menyatukan seluruh pembangkang menghadapi PRU akan datang dan melupakan kerjasama dengan Ahli Parlimen kerajaan bagi mendapatkan semula mandat rakyat, kenyataan Setiausaha Agung DAP dan Presiden Amanah itu adalah suatu benuk kata dua terhadap Anwar.

Mereka seolah-olah memberi amaran tentang usaha Anwar mahu mengambil alih kerajaan dengan sokongan segelintir Ahli Parlimen kerajaan adalah kerja sia-sia dan tak lebih seperti mengejar bayang-bayang saja.

Untuk itu, kata Mohamad Sabu dan Guan Eng lagi, masa dan sumber yang ada harus digunakan untuk mencari persamaan dalam kalangan rakan dan sekutu PH untuk menggerakkan perjuangan bersama rakyat berdasarkan nilai demokrasi yang utuh, tadbir urus yang baik, anti rasuah, kemajuan ekonomi dan keadilan sosial.

“PH harus berdepan dengan realiti ini dan perlu ada suatu anjakan politik semula dengan tumpuan kepada menyatukan rakan-rakan kita di kalangan Ahli Parlimen pembangkang yang berdiri bersama dalam pengundian menolak Belanjawan 2021 pada Selasa baru-baru ini.

“PH seharusnya tidak membuang masa dengan Ahli Parlimen kerajaan oportunis yang hanya memperalatkan PH demi kepentingan peribadi mereka sendiri agar memperolehi tawaran yang lebih lumayan daripada kerajaan PN,” tambah mereka.

Apa yang harus disedari, kenyataan bersama Guan Eng dan Mohamad Sabu ini dikeluarkan tidak lama selepas Parti Pejuang dan Warisan menyuarakan perlunya blok pembangkang membentuk gabungan baharu serta PH harus menukar kepimpinannya.

Timbalan Presiden Pejuang, Marzuki Yahya berkata, gabungan baharu itu tidak harus terhad kepada parti politik semata-mata, tetapi mesti turut merangkumi Ahli Parlimen dan Adun lain yang tidak boleh menerima kerajaan yang ada sekarang.

Beliau berkata, kredibilti Anwar dan beberapa Ahli Parlimen PH juga telah tercalar teruk apabila tidak meminta undi belah bahagi pada pengundian peringkat dasar Belanjawan 2021.

Presiden Warisan, Shafie Apdal pula tanpa berselindung menegaskan tentang perlunya PH menukar kepimpinan jika mahu memenangi PRU akan datang.

Beliau berkata, PH sebagai pembangkang akan gagal pada PRU akan datang jika masih diketuai oleh kepimpinan yang sama.

Sehubungan itu, kata bekas Ketua Menteri Sabah itu, perubahan perlu dilakukan secara menyeluruh terhadap kepimpinan PH yang ketika ini tidak menyatukan dan tiada arah tuju.

Bersekali dengan saranan tersebut, Shafie turut mengumumkan bahawa Warisan akan berubah menjadi parti nasional, tidak lagi semata-mata untuk Sabah seperti sekarang ini.

Sama seperti Marzuki dan Shafie yang diketahui merupakan penyokong setia Tun Mahathir, Mohamad Sabu dan Guan Eng juga bukan rahsia lagi lebih terlekat hatinya kepada bekas Perdana Menteri itu, khususnya selepas diberikan jawatan menteri kanan dalam kerajaan era PH.

Selain itu, kes mahkamah Guan Eng juga digugurkan tidak lama selepas Tun Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 2018 lalu.

Melalui gesaan agar PH perlu melakukan anjakan politik baharu dengan menggabungkan seluruh parti pembangkang, ini bermakna Pejuang, Warisan, Muda dan sebagainya akan berada di bawah satu bumbung atau lebih tepatnya di bawah PH Plus.

Ia dengan sendirinya bermakna PH tidak lagi berperanan sebagai blok pembangkang yang sebenar, sebaliknya digantikan dengan PH Plus.

Fasa kedua anjakan poliitik baharu yang seterusnya selepas PH Plus diwujudkan tidak lain ialah melantik siapa yang harus mengetuai gabungan tersebut.

Dengan Pejuang dan Warisan sudah berada dalam PH Plus, ditambah dengan Mohamad Sabu dan Guan Eng sendiri yang menyarankan anjakan politik baharu dilakukan, Anwar tidak mungkin terpilih lagi untuk mengetuai gabungan tersebut, walaupun beliau Pengerusi PH sebelumnya.

Sebagaimana Pejuang dan Warisan menolak Anwar sebagai calon Perdana sebelum ini, mereka juga pasti tidak akan setuju Presiden PKR itu untuk mengetuai PH Plus.

Dengan demikian, tambahan lagi Amanah dan DAP juga pasti senada serta bersatu hati dengan Pejuang dan Warisan, Tun Mahathir, kalau pun dibuat undian, secara majoritinya akan dipilih mengisi kedudukan sebagai Pengerusi PH Plus atau mengetuai blok pembangkang yang baharu.

Selepas itu, Tun Mahathir juga dengan sendirinya akan dicadangkan oleh PH Plus untuk mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang menggantikan Anwar.

Akhirnya, tercapailah agenda bersama yang dirancang sekian lama untuk menyingkir dan membenam masa depan politik Anwar.

Soal sama ada PH Plus mampu menang atau tidak pada PRU15 akan datang, ia bukan lagi persoalan utama kerana perkara yang lebih penting ialah Anwar sudah berjaya diketepikan dan tidak lagi dalam posisi untuk menjadi Perdana Menteri. - 18 Disember 2020.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...