Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Rabu, 8 Januari 2020

Rakaman Audio Patut Jadi Bahan Bukti Mahkamah, Bukannya Perbicaraan Media, SPRM Ditegur.

SHAHBUDIN HUSIN | KP SPRM MALUKAN DIRI SENDIRI, RAKAMAN AUDIO SEPATUTNYA DIJADIKAN BUKTI DI MAHKAMAH, BUKAN UNTUK HEBAHAN MEDIA

Pertama-tamanya ingin ditegaskan bahawa artikel ini bukan bertujuan untuk membela atau mempertahankan Najib Razak, Rosmah Mansor atau sesiapa yang lain berkaitan rakaman audio yang didedahkan oleh SPRM pagi tadi.

Malah, sejak 2011 sehinggalah PRU14 lalu, sayalah antara pengkritik Najib paling kuat melalui tulisan dalam blog ini, buku dan pelbagai penerbitan yang lain.

Tetapi, apa yang dilakukan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya pagi tadi iaitu mendedahkan 9 rakaman audio yang didakwa sebagai konspirasi peringkat tertinggi, pembocoran maklumat dan salah guna kuasa melibatkan Najib dan beberapa pegawai tinggi kerajaan dalam usaha menutup skandal 1MDB, adalah sesuatu yang salah dan tidak boleh diterima.

Apa lagi pendedahan itu dilakukan ketika Najib sedang berdepan perbicaraan di mahkamah berkaitan SRC International, sebuah anak syarijat 1MDB dan sewaktu kempen PRK Kimanis sedang berjalan.

Ia dengan sendirinya menjadikan niat mengapa pendedahan itu dilakukan boleh dipertikaikan.

Walaupun rakaman-rakaman audio itu boleh dianggap menunjukkan adanya kesalahan di pihak Najib dan mereka yang lain, termasuk bekas KP SPRM, Dzulkifli Ahmad, namun membuat pendedahan kepada media bagi tujuan hebahan umum bukanlah cara yang betul.

SPRM adalah agensi penguatkuasa dan sebarang bukti berlakunya pelanggaran undang-undang hendaklah disiasat dan seterusnya dibawa ke mahkamah untuk didakwa dan diadili.

SPRM bukanlah parti politik atau alat kepada parti politik untuk kepentingan mereka yang memegang kuasa.

Untuk itu, SPRM mesti bertindak berlandaskan undang-undang untuk menegakkan keadilan tanpa memilih bulu atau memihak kepada sesiapa.

Walaupun SPRM sebelum ini, terutama di era Dzulkifli sebagai KPnya, badan itu banyak dituduh sebagai alat kepada Najib, tetapi dengan tindakan mendedahkan rakaman audio tersebut, apakah bezanya SPRM sekarang dengan dulu?

Jika KP SPRM dahulu didakwa alat kepada pemimpin politik BN, tidakkah dengan mendedahkan rakaman audio melibatkan Najib itu menunjukkan KP SPRM sekarang juga seolah-olahbtelah menjadi alat politik kepada PH?

Jika bukan bermotifkan politik, untuk apakah rakaman audio itu didedahkan kepada umum, sedangkan penyiasatan dan rakaman tersebut juga baru hendak diserahkan kepada pihak polis?

Tidakkah sepatutnya siasatan dijalankan terlebih dahulu dan jika cukup bukti – Najib, Rosmah, Dzulkifli dan lain-lain hendaklah dibawa ke pengadilan untuk didakwa serta rakaman audio itu boleh dijadikan bukti di mahkamah?

Mengapakah bukti didedahkan kepada umum terlebih dahulu, sedangkan penyiasatan belum bermula dan pendakwaan pula tak tahu bila tarikhnya?

Apakah pada tanggapan KP SPRM, mahkamah media lebih penting daripada mahkamah sebenar?

Dalam hal ini, Latheefa yang merupakan seorang lulusan undang-undang jelas telah memalukan dirinya sendiri dan keberadaannya mengetuai SPRM telah dah menimbulkan tanggapan umum beliau juga, sama seperti KP SPRM sebelumnya, dengan mudah menjadi atau dijadikan politik sepihak, walhal SPRM adalah agensi bebas untuk membanteras rasuah bersasaskan keadilan.

Ternampak di sini, Latheefa yang pernah aktif dalam politik sebelum memegang jawatan KP SPRM, gagal memisahkan naluri politik dan berpihak dalam tugasnya mengetuai agensi tersebut.

Selain itu, wujudnya rakaman audio secara haram melibatkan Najib ketika beliau memegang jawatan Perdana Menteri ini juga dengan sendirinya membuktikan negara kita tidak lagi selamat dan diancam bahaya.

Kalau Perdana Menteri pun boleh dirakam suaranya secara haram, apatah lagi menteri, ahli perniagaan dan rakyat biasa.

Soalnya, siapakah yang melakukan rakaman itu?

Apakah ini menunjukkan perbualan Perdana Menteri sekarang juga boleh diintip secara haram dan bakal didedahkan kepada umum setelah beliau tidak lagi berkuasa nanti?.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...