Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.
Memaparkan catatan dengan label Blog Chedet. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Blog Chedet. Papar semua catatan

Jumaat, 6 September 2019

Sampai Sekarang Melayu Tak Sedar, Enggan Bekerja & Terus Miskin - Tun Mahathir.

TUN MAHATHIR @ CHEDET.CC |TAK BEKERJA
1. Semasa saya berumur belasan tahun, saya dapat perhatikan keadaan di Alor Star. Masa itu Negeri-Negeri Melayu sedang dijajah oleh British. Negeri-Negeri Melayu terima baik penjajahan British.


2. Yang tidak dapat dinafi ialah British membawa sistem Pemerintahan yang lebih baik dan Negeri-Negeri mengalami sedikit sebanyak pembangunan.

3. British membuka ladang-ladang getah dan lombong bijih timah. Yang anehnya tidak ada orang Melayu yang bekerja dalam ladang dan lombong ini. Pekerja terdiri dari orang India dan Cina. Perniagaan kedai runcit dan aneka jenis tukang-tukang semuanya terdiri dari orang Cina.

4. Dimanakah orang Melayu? Mereka bekerja dalam sawah padi mereka, dan ada sedikit yang menjadi nelayan. Sebilangan kecil dari mereka bekerja dengan Kerajaan sebagai kerani. Lebih kecil lagi ialah bilangan mereka yang memegang jawatan tinggi dalam Kerajaan. Mereka ini semua berbangga kerana dibayar gaji tetap dan pencen.

5. Yang tidak terdapat ialah orang Melayu yang berniaga atau bekerja sebagai buruh kasar. Orang Melayu pandang hina bidang-bidang ini.

6. Oleh kerana sikap ini tidak terdapat ramai orang Melayu yang tinggal di bandar-bandar. Pada masa itu pun bandar-bandar didiri dan dipenuhi dengan kedai Cina. Tidak ada kedai Melayu. Ada beberapa buah kedai makan dan rempah cabai orang India.

7. Raja-Raja Melayu tidak iktiraf orang Cina dan India sebagai rakyat. Kepercayaan mereka ialah orang ini, akan kembali ke Negara masing-masing apabila khidmat mereka tidak diperlu lagi.

8. Orang Cina biasanya berhijrah ke Negara lain jika mereka nampak peluang mencari makan. Mereka berhijrah ke Amerika dan Australia dan ke Negara-Negara jajahan British. Melihat kestabilan pemerintahan British dan peluang kerja, mereka datang dengan ramai ke Negeri-Negeri Melayu. Mereka sanggup bekerja keras. Dikenali sebagai kuli mereka sanggup buat kerja kotor, kerja berat dan merbahaya. Mereka sanggup menarik “langca”, dan apa sahaja yang memberi pendapatan kepada mereka. Ramai perempuan Cina yang menjadi “amah” di rumah pembesar Melayu, menjaga anak dan membersih rumah.

9. Orang Melayu berasa senang kerana kerja berat, kotor dan berbahaya serta perniagaan dilakukan oleh orang asing. Jika mereka lihat kekayaan dan kemajuan orang asing ini, mereka tidak berasa khuatir sedikit pun. Kepercayaan mereka ialah Negeri mereka kekal sebagai milik mereka. Itu yang saya lihat. Semasa saya muda di zaman British timbul keinginan melihat orang Melayu berniaga juga. Di Alor Star dibina Pekan Rabu, pekan sari dimana orang kampung boleh menjual sedikit sebanyak pisang dan buah-buahan bakul dan raga anyaman mereka. Perniagaan mereka tidak menjadi besar. Mereka berniaga secara sambilan. Mereka tidak berniat pun untuk membesar perniagaan. Setakat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, itu sahaja.

10. Tetapi anggapan mereka meleset. Kerana mereka tidak sanggup bekerja kuat, tidak sanggup berniaga secara serius mereka terus miskin. Jarak antara mereka dengan kaum lain yang bekerja kuat dan berniaga menjadi semakin luas. Yang berlaku ialah yang sudah kaya menjadi lebih kaya dan orang Melayu yang miskin menjadi lebih miskin. Ini sudah ditakdir. Tak perlu buat apa-apa.

11. Sepatutnya orang Melayu sedar terhadap apa yang berlaku kepada mereka. Malangnya mereka tidak sedar. Sehingga sekarang pun orang Melayu masih tidak sedar. Mereka masih enggan bekerja. Orang Melayu masih rela serah segala kerja kepada orang asing. Dan orang asing pun membanjiri Negara kita. Tujuh juta orang asing masih berada di sini sekarang ini. Mereka bekerja. Apakah akan terjadi kepada orang Melayu. Tentulah apa yang sudah jadi dahulu kepada Negara dan orang Melayu, yang akan terus jadi. Ada yang dakwa orang Melayu adalah Tuan. Tuan apa? Orang miskin, orang yang tidak ada kebolehan, orang yang bergantung kepada belas kasihan orang lain, Tuankah.

12. Nasib kita di tangan kita. Memarahi orang lain tak akan menyelesai masalah kita. Bilangan kita dikatakan bertambah. Tetapi jumlah besar orang yang miskin tidak dapat bersaing dengan jumlah kecil orang yang kaya.

Rabu, 24 Julai 2019

Video Intim : PM Tak Rela Diperalatkan Untuk Singkir Azmin.

Tun Mahathir | 1. Saya sering ditanya berkenaan video lucah.

Ummi mengecam Tun Mahathir

2. Video ini dibuat dan diviral jelas untuk tujuan politik. Khusus untuk menghalang kejayaan politik individu tertentu.

3. Tindakan yang diharap menyusul tayangan ini ialah penyingkiran individu yang disasar.

4. Tindakan ini boleh diambil oleh saya kerana saya berkuasa.

5. Apabila saya ambil tindakan ini maka berjayalah pihak yang merancang perbuatan jahat ini.

6. Agama saya melarang sengaja mengintip mencari keburukan orang. Apa yang dilakukan lebih buruk dari mengintip.

7. Saya tidak sanggup diperalatkan. Jauh sekali oleh perancang yang berniat jahat dan mengguna politik kotor.

8. Ini bukan soal moral. Ini adalah masalah politik. Ia akan ditangani sebagai isu politik.

Jumaat, 21 September 2018

Dan Inilah Sebab-Sebabnya Saya Melawan PAS - Mahathir Mohamed.

Tun Mahathir | 1. Orang PAS amat marah kepada saya. Selain dari mendakwa saya kafir, penyokong PAS tidak langsung sanggup mendengar kritik saya terhadap PAS. Saya percaya sebarang pendapat saya tidak akan dibaca oleh orang PAS termasuklah rencana ini. Tetapi saya harap mereka yang tidak fanatik terhadap PAS akan baca. Terpulanglah kepada pembaca samada menerima atau menolak pendapat saya.


2. Sesungguhnya orang Melayu dahulu tidak bermasalah berkenaan pegangan mereka kepada agama Islam yang semua mereka anuti. Mereka semuanya berpegang kepada tafsiran dan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah (Sunni) dan berimam dengan Imam Shafie.

3. Mereka juga tidak menolak ajaran tiga lagi Imam Sunni, iaitu Maliki, Hambali dan Hanafi.

4. Oleh kerana semua orang percaya dan pegang kepada ajaran dan tafsiran yang sama, mereka tidak berpecah dan berpuak-puak. Sudah tentu mereka tidak bermusuh sesama mereka seperti yang berlaku antara Sunni dan Syiah di beberapa negara Islam. Di banyak negara Islam permusuhan disebabkan tafsiran yang berlainan berlaku sepanjang masa sehingga mereka berpuak-puak dan kerapkali mereka berperang pun.

5. Tetapi di Malaysia, walaupun dahulu ada ajaran yang berlainan, umpamanya kaum muda dan kaum tua, kumpulan Hj. Ahmad Matahari, dan lain-lain, tetapi tidaklah sampai kepada permusuhan dan perpecahan yang teruk. Sesungguhnya orang Melayu Islam bersaudara dan mengamalkan ajaran Islam yang sama. Mereka bersatu padu sebagai orang Islam sehingga bangsa Melayu dikaitkan dengan agama Islam. Dalam perlembagaan pun tafsiran orang Melayu ialah orang yang berbahasa Melayu, beradat istiadat Melayu dan beragama Islam. Jika seseorang itu tidak Islam maka ia tidaklah Melayu, walaupun bahasa ibunda mereka adalah bahasa Melayu.

6. Keadaan persaudaraan orang Melayu Islam ini kukuh sehingga dengan mudah mereka bersatu padu diwaktu menentang rancangan British untuk menakluk negeri-negeri Melayu secara langsung melalui Malayan Union. Demikianlah rapatnya perpaduan orang Melayu sehingga British yang baru sahaja menang perang, terpaksa tunduk kepada tuntutan orang Melayu. British mengakui kekuatan orang Melayu dan mengiktiraf parti yang mengalahkan Malayan Union dengan memberi hak kepada pemimpin mereka, Tunku Abdul Rahman menamakan calon-calon badan perundangan seperti Federal Legislative Council dan State Council (Dewan Undangan Negeri-negeri) dalam Persekutuan Tanah Melayu yang mengganti Malayan Union pada 1948.

7. Dalam parti UMNO pada masa itu terdapat semua aktivis Melayu dari yang berpelajaran Melayu, Inggeris dan yang berpelajaran agama. Mereka yang berpelajaran agama dikenali sebagai “ulama UMNO”.

8. Apabila British memberi hak kepada Tunku Abdul Rahman, Yang DiPertua UMNO menamakan calon, Tunku telah pilih pemimpin UMNO yang berpengalaman dalam bidang pentadbiran. Hampir semua dari mereka ini berpelajaran Inggeris. Yang berpelajaran agama, “ulama” hampir tidak dipilih sama sekali.

9. Maka kecewalah pemimpin yang berlatar belakang agama. Hasilnya ialah desakan untuk keluar UMNO dan menubuh Pan Malayan Islamic Parti (PMIP). Kemudian namanya dialih kepada PAS, Parti Islam SeMalaya.

10. Orang Melayu semuanya memang kuat pegangan mereka kepada agama Islam. PAS berharap dengan kaitan parti kepada agama Islam maka akan berjayalah PAS dalam pilihan raya.

11. British mencadang diadakan PRU pada 1955 untuk 52 dari 98 kerusi Federal Legislative Council. Bantahan oleh UMNO supaya semua 98 kerusi ditandingi ditolak. Pendapat British ialah tidak mungkin mana-mana parti memenangi lebih dari separuh, iaitu 50, untuk mengambil alih Kerajaan dari British.

12. Dalam PRU itu isu utama ialah kemerdekaan. Sementara UMNO dalam Perikatan tuntut kemerdekaan selepas PRU, PAS mendakwa Malaya belum layak mendapat kemerdekaan.

13. Hasilnya ialah kemenangan besar Perikatan. Dengan Perikatan mendapat 51 kerusi, British terpaksa beri kepada Perikatan, pimpinan Tunku Abdul Rahman, home rule atau Pemerintahan Dalaman. Hanya Kementerian Luar dan Pertahanan sahaja dikuasai oleh British. Maka bermulalah perjuangan untuk kemerdekaan secara bersungguh-sungguh.

14. PAS memenangi hanya satu kerusi. Jelas penolakan kemerdekaan merugi PAS. Maka bermulalah Agama Islam diperalatkan sepenuhnya untuk menarik sokongan orang Melayu.

15. PAS mendakwa bahawa orang yang bekerjasama dengan orang kafir menjadi kafir. Oleh kerana UMNO bekerjasama dengan orang Cina (Buddhist) dan India (Hindu) dalam Perikatan, maka PAS mendakwa orang UMNO tidak Islam, orang UMNO kafir.

16. Akibatnya ialah orang Melayu bukan PAS yang semuanya beragama Islam dan mengikut ajaran yang sama, iaitu ajaran Ahlul Sunnah Wal Jamaah, berimam dengan Imam Shafie, tiba-tiba dikafirkan. Perpecahan yang teruk dan mendalam berlaku.

17. Orang PAS tidak pun boleh bersama dengan orang UMNO, kenduri orang UMNO diboikot oleh orang PAS. Perkahwinan antara orang PAS dan UMNO tidak boleh diadakan. Mereka tidak boleh sembahyang bersama, tidak boleh diimamkan dengan imam yang sama. PAS sembahyang dengan lain imam di masjid dan mendirikan masjid berasingan dari orang UMNO.

18. Ada juga yang berpendapat perkahwinan ibu bapa mereka tidak sah dan ibu bapa mereka yang tidak jadi ahli PAS adalah kafir.

19. Kemudian Hj Hadi sebagai seorang dari pemimpin PAS telah mengeluarkan “Amanat” yang secara langsung mendakwa bahawa pemerintahan Barisan Nasional pimpinan UMNO adalah kafir. Pejuang-pejuang yang melawan Kerajaan UMNO/BN, jika mati, mereka mati syahid.

20. Dengan kepercayaan kepada amanat Hadi, pengikut Ibrahim Libya telah serang dan membunuh empat orang anggota polis. Dalam pertempuran antara polis dan pengikut Ibrahim Libya, 14 orang pengikutnya dan dia sendiri terbunuh.

21. Maka PAS pun dakwa pengikut Ibrahim yang mati adalah syahid. Mereka dikebumi sebagai syahid tanpa dimandi.

22. Adalah jelas bahawa PAS memecah belah orang Melayu Islam dengan amat mendalam. Sehingga ke hari ini masih ada sembahyang berjemaah berasingan di masjid yang sama.

23. Tiada ada ulama di Malaysia yang berani mendakwa bahawa pengkafiran orang bukan PAS adalah salah dan tidak menepati ajaran Islam. Pegawai-pegawai pemerintah yang bertanggungjawab berkenaan agama Islam juga membisu seribu bahasa.

24. Inilah perbuatan PAS yang tidak boleh dimaaf. Sebelum adanya PAS orang Melayu tidak berpecah kerana agama. Hanya apabila PAS ditubuh barulah orang Melayu berpecah dan terpisah kepada dua puak yang bermusuh ketat. Perpecahan ini jugalah yang melemahkan orang Melayu. Demikianlah kelemahan orang Melayu sehingga PAS juga terpaksa meminta pertolongan orang-orang kafir. Tetapi apabila PAS bekerjasama dengan parti kafir, PAS dakwa mereka tidak jadi kafir. Sebab kononnya, kerana kerjasama PAS dengan orang kafir adalah “Tahaluf Siyasi”. Apa dianya Tahaluf Siyasi jika diterjemah ke bahasa Melayu. Maknanya ialah “Kerjasama politik” dan ini adalah sama dengan apa yang dilakukan oleh UMNO apabila bekerjasama dengan MCA dan MIC. Jelaslah bahawa Bahasa Arab (Bahasa Quran) diguna untuk mengIslamkan kerjasama PAS dan orang kafir.

25. Dikalangan ahli PAS, penerimaan ajaran pemimpin dan parti lebih utama dari ajaran Islam. Sebab itu walaupun Al Quran menyebut bahawa orang Islam itu bersaudara, ahli PAS sanggup bermusuh dengan orang Islam lain kerana ajaran oleh pemimpin PAS. Kerana sikap inilah orang Islam (Melayu) di Malaysia berpecah sehingga sekarang. Bukan Islam yang memecah orang Melayu tetapi politik PAS yang membawa perpecahan kepada mereka.

26. Walaupun sebahagian dari ahli PAS sudah tinggal PAS tetapi ramai dari ahli PAS yang masih taksub dengan PAS dan ajarannya. Dan perpecahan yang mendalam dikalangan orang Melayu adalah berterusan. Dia akan berterusan selagi PAS menyalahtafsir dan menyalahguna ajaran Islam.

27. Inilah sebabnya yang saya tentang PAS.

Selasa, 17 Julai 2018

Tak Mahu Proton 2.0? Lupakanlah Sahaja Wawasan 2020 - Ini Luahan Sayu Mahathir.

Oleh : Chedet.cc / Mahathir Mohammad
1. Saya diberitahu bahawa tidak ada siapa yang ingin lihat kereta nasional kedua. Cukuplah dengan Proton yang dikatakan gagal.




2. Kita tidak layak dan tidak mampu mengada industri otomotif. Rakyat Malaysia lebih rela beli kereta import, termasuk dari Negara China. Pilihan mereka ialah kereta Jepun, dan yang ada banyak duit kereta Jerman.

3. Saya masih ingat kereta Jepun sejurus selepas perang. Kata pengguna kalau kita toreh dengan kuku, kita akan lihat tin Milo. Tetapi dari kereta tin Milo inilah datang aneka model Toyota, Nissan dan Suzuki yang kita guna sekarang.

4. Demikian juga kereta Pony buatan Hyundai. Masa berlalu dan keluaran kereta Jepun dan Korea semakin baik. Demikian di pasaran hilang kereta Austin, Morris dan lain-lain dari Eropah.

5. Tentulah ini tidak akan berlaku dengan Malaysia. Kereta kita tetap diperbuat dari tin Milo selama-lamanya.

6. Kita tidak cadang membuat kereta nasional kedua oleh Kerajaan. Swasta kita sudah mampu reka bentuk, buat model tanah liat, model ujian dan mengeluar secara besar-besaran kereta bermotor. Tetapi kerana awal-awal lagi kita sudah tolak cadangan kereta nasional kedua, maka kita akan halang segala cadangan untuk mengeluar kereta bermotor oleh swasta. Sudah tentu Kerajaan tidak akan ada industri otomotif milik Kerajaan.

7. Kita akan beli kereta yang diimport. Jika kita pergi ke negara pembuat kereta seperti Jepun, Korea kita tidak akan lihat kereta yang bukan buatan negara mereka. Di Jepun kereta Jepun, di Korea kereta Korea. Kenapa?

8. Kerana mereka tidak benar kereta asing diimport. Hasilnya kualiti kereta mereka meningkat. Dan mereka mengeksport bermillion kereta mereka. Mata wang asing pun mengalir dengan banyaknya ke negara mereka.

9. Pekerja mereka mendapat kerja dan hidup mewah. Ekonomi mereka tumbuh sehingga mereka menjadi negara maju. Industri kejuruteraan mereka maju dan mampu membantu industri kejuruteraan yang lain.

10. Tetapi tidak di Malaysia. Apa juga jenis kereta, dari mana negara, berkualiti baik atau jenis tin Milo boleh masuk Malaysia. Dikeluar oleh syarikat gergasi, mereka membolot pasar kereta Malaysia sehingga tertimbuslah Proton. Akhirnya Proton dijual kepada orang asing. Tidak ada kereta nasional lagi. Tidak ada industri otomotif lagi. Pekerja, engineer, pengurus pun tidak punyai kerja lagi. Segala-galanya merosot.

11. Malaysia menjadi negara pengguna, negara penanam padi, pemancing ikan.

12. Tak mengapalah. Ini yang kita mahu dan ini yang kita dapat.

13. Lupakanlah sahaja Wawasan 2020.

Khamis, 12 April 2018

Inilah Cara-Cara Penipuan Yang Akan Dilakukan Oleh Najib Dalam #GE14 - Mahathir Mohammad.

Oleh : Chedet.cc / Tun Mahathir Mohammad.

1. Najib berada dalam keadaan cemas. Sentimen rakyat 90% menolak Najib. Mereka tidak akan undi BN dalam PRU 14.

2. Oleh itu sudah ternampak penipuan yang dilakukan dan akan dilakukan oleh Najib.

3. Demikianlah dunia percaya Najib akan tipu sehingga “The Economist” U.K. telah siar berita bertajuk Najib akan curi PRU 14 di Malaysia.

4. Apakah jenis penipuan yang sedang dilakukan oleh Najib. Saya senarai dibawah penipuannya.



i. Senarai pengundi sudah diubah sehingga 4 juta tidak ada alamat yang penuh.

ii. Beratus pengundi mempunyai nama yang sama, umur sama tetapi tinggal di negeri-negeri berlainan.

iii. Hingga 70 pengundi memiliki alamat yang sama – iaitu tinggal di satu rumah – walaupun berlainan kaum. Apabila diselidik terdapat hanya 2 orang di rumah itu.

iiii. Pengundi pos dan pengundi awal bertambah hingga 1 juta. Cara mengundi pos tidak jelas dan terbuka untuk penipuan. Peti undi boleh disembunyi dari pemerhati parti lawan. Besar kemungkinan kertas undi ditambah.

v. Sempadan kawasan pilihanraya diubah supaya kaum-kaum diasingkan. Kononnya Melayu mudah disogok supaya mengundi BN. Mengikut Najib orang Cina sukar disogok. Ini dilihat dalam PRU 13.

vi. Pengundi terutama kakitangan Kerajaan ditakutkan dengan dakwaan kononnya Najib tahu siapa undi siapa. Pegawai dan kakitangan Kerajaan diberi amaran oleh Najib sendiri bahawa mereka mesti undi BN atau tindakan akan diambil terhadap mereka. Sebenarnya tiada siapa yang akan tahu siapa undi siapa apabila perkiraan dibuat.

vii. Bantuan wang kepada parti lawan disekat dengan tindakan oleh LHDN dan MACC menambah cukai atau membeku wang di bank supaya perniagaan tidak dapat diteruskan.

viii. Semua kawan-kawan pemimpin parti lawan ditegah berdekat dengan pimpinan parti lawan. Maka pemimpin parti lawan kehilangan semua kawan. Sudah tentu mereka tidak boleh bantu P.H. Kontrak mereka, perniagaan mereka, hutang bank mereka akan dihentikan jika masih berjumpa pemimpin parti lawan. Tindakan-tindakan ini menentukan parti lawan tidak ada kewangan yang diperlukan untuk biayai pilihanraya. Sebaliknya Najib memiliki banyak duit yang diselewengkan dari 1MDB dan lain-lain dana Kerajaan.

ix. Sogokan wang dan barangan kepada bakal pengundi dibuat secara terbuka oleh Najib dan UMNO sebab polis atau MACC tidak dibenar oleh Najib mengambil tindakan undang-undang.

x. Tempat mengundi ditukar tanpa diberitahu pengundi supaya apabila mereka pergi ke tempat mengundi biasa nama mereka tidak ada disitu. Tempat undi mereka dipindah jauh dari tempat tinggal pengundi. Dengan itu mereka tidak dapat mengundi. Hak mereka dicabul.

xi. Daftar pengundi baru disembunyi daripada parti lawan sehingga tidak dapat parti lawan berkempen dikalangan mereka.

xii. Pada kebiasaannya parti politik yang baru ditubuh didaftar oleh Pendaftar Pertubuhan dengan segera. Tetapi permohonan gabungan parti pembangkang yang dinamakan Pakatan Harapan tidak dijawab setelah sembilan bulan berlalu. Keadaan tidak menentu ini meletak Pakatan Harapan dalam keadaan serba salah. P.H. tidak dapat membuat persiapan sebagai sebuah parti dengan mengguna satu logo dan satu simbol baginya. Jika diketahui P.H. tidak akan didaftar maka parti-parti dalam P.H. perlu guna 4 simbol sendiri. Ini akan mengelirukan pengundi berkenaan yang manakah simbol bagi parti-parti lawan yang bergabung dalam P.H.

xiii. Kononnya P.H. tidak dilulus pendaftarannya ialah kerana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) telah tidak mengikut perlembagaannya. Ini disebut dalam ucapan ROS tetapi tidak disampaikan secara bertulis kepada PPBM. PPBM tidak dapat perbetulkan kesalahannya untuk mendapat kelulusan ROS. Arahan mahkamah kepada ROS untuk jawab surat PPBM hanya menghasil surat dari ROS meminta tambahan maklumat yang sudahpun lama diberi oleh PPBM. Di antara sebab-sebab yang banyak ialah kerana mesyuarat agung PPBM tidak mengikut perlembagaan. PPBM mesti adakan mesyuarat cawangan dahulu. PPBM parti baru dan belum ada cawangan jauh sekali mengadakan cawangan yang disahkan oleh ROS. PPBM hanya dapat tubuh bahagian dan tidak semua diluluskan oleh ROS. Sebab itu PPBM terpaksa mengadakan mesyuarat agung PPBM dengan dihadiri oleh wakil bahagian yang dilulus sahaja. Ternampak jelas ROS hendak cari salah supaya P.H. tidak didaftar. Sekarang ROS telah bubar sementara Parti Pribumi Bersatu Malaysia supaya tidak boleh bertanding dalam pilihanraya. Bermacam syarat dikenakan termasuk ditegah pamer gambar pengerusinya. Pembubaran selama 30 hari didapati sama dengan pilihanraya. Niat jahat Kerajaan dan ROS amat jelas.

Undi Pos.

5. Peraturan mengundi pos tidak jelas. Pengundi boleh undi di rumah dan hantar undinya kepada SPR. Tidak ada polling agen parti pembangkang mengawasi pengundi atau sesiapa lain semasa mengundi. Parti lawan tidak dapat mengetahui siapa yang mengundi, ke mana undi itu dihantar, siapa yang menyimpannya, di mana peti undi (jika ada) disimpan.

6. Pengundi pos juga disenarai dalam senarai pengundi biasa dan boleh mengundi secara biasa. Besar kemungkinan pengundi undi dua kali. Juga undi mungkin tidak dapat dirahsiakan; yang mana ini mendedahkan kepada ugutan tindakan tertentu oleh Kerajaan.

7. Amatlah jelas proses PRU 14 akan dipenuhi dengan aneka jenis penipuan oleh Najib. Ia tidak akan bersih. Benarlah Najib akan mencuri PRU ke -14.

8. Namun penipuan ini boleh dibantut oleh rakyat dengan keluar mengundi lebih dari 85% pengundi dalam tiap-tiap kawasan pilihanraya.

9. Dan sekarang hari mengundi ditetapkan pada hari Rabu, hari bekerja. Ini satu lagi cara Najib untuk sekat rakyat dari mengundi. Ya, semasa saya PM pernah hari mengundi ditentukan pada hari Isnin. Tetap diberi cuti pada hari itu.

10. Jangan takut.

11. Undi biasa di tempat mengundi adalah rahsia. Jika kelebihan mengatasi 10,000 bagi P.H., undi pos tidak akan mencukupi untuk disumbat ke dalam peti undi.

12. Jika disogok – ambil sahaja wang dan hadiah. Wang dan hadiah ini datang dari wang pengundi sebagai rakyat yang dicuri oleh Najib.

13. Pengundi tidak perlu terima kasih kepada Najib atau mengundi BN.

14. Jika disuruh bersumpah, bersumpahlah. Tetapi buat niat lain – niat untuk menolong P.H. Niat lebih diterima dari sumpah paksa yang dilafaz.

Ahad, 1 April 2018

Rogol Perlu 4 Saksi, Adilkah? Inilah Hudud PAS Kata Mahathir.

Oleh : Chedet.cc / Mahathir

1. Bukan sahaja saya terlalu tua untuk jadi Perdana Menteri, sekarang saya diberitahu saya tidak layak kerana pemikiran Islam saya tidak betul.

2. Kenapa tidak betul? Kerana rekod-rekod saya tidak mempunyai kefahaman Islam yang betul berasas pada sebutan oleh Almarhum Datuk Dr Harun Din. Saya dikatakan dalam golongan “muktazilah” yang utamakan akal, iaitu saya guna akal fikiran.



3. Tetapi Al-Quran menyebut berkali-kali akan mustahaknya mengguna akal fikiran.

Sila rujuk :


Surah Al-Baqarah Ayat 164, 179
Surah Al Imran Ayat 7, 65, 190
Surah Al Maidah Ayat 100,103
Surah Hud Ayat 51
Surah Yusuf Ayat 111
Surah Ar-Rad Ayat 3, 4,19
Surah Taha Ayat 54
Surah Az-Zumar Ayat 9
Surah Al-Hasyr Ayat 2

 
Tidak disebut dalam Al-Quran larangan berfikir dan terima sahaja semua pendapat dari pakar Islam bahawa fahaman Islam kamu tidak betul. Ia lebih tidak betul kerana tidak menerima bulat-bulat hadith Nabi.

4. Hadis Nabi termasuk dalam bahagian sunnah dalam Islam. Mengamal sunnah adalah baik dan mendapat pahala untuk akhirat. Tetapi jika tidak mengamalnya tidak berdosa. Tidak ada larangan jika diutamakan Al-Quran apabila ada kelainan antara hadis dengan Al-Quran.

5. Saya dapati hukum hudud Islam berbeza dengan hukum hudud PAS. Mengikut Al-Quran yang diutamakan dalam Islam ialah keadilan. Terdapat lebih 40 ayat yang menegas apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil.

Sila rujuk :


Surah Al Maidah Ayat 8, 42
Surah Al-Araf Ayat 29
Surah Yunus Ayat 54
Surah Yusuf Ayat 26, 27
Surah An-Nahl Ayat 90
Surah Sad Ayat 22, 26
Surah Az-Zumar Ayat 29,75
Surah Al-Ghafir Ayat 20,78
Surah Asy-Syura Ayat 40
Surah Ar-Rahman Ayat 7, 8
Surat Al-Hadid Ayat 25
Surah Al-Mumtahanah Ayat 8
Surah At-Tin Ayat 8


6. Tetapi Hudud PAS utamakan empat saksi dan hukuman yang terberat, termasuk rejam dengan batu dan pancung kepala.

7. Jika seorang wanita lapor ia dirogol oleh sipolan-sipolan, oleh kerana tidak ada empat saksi yang tidak menanggung dosa besar, maka laporannya dianggap palsu. Ia akan dihukum sebat. Jika ia mengandung dan lahir anak maka ia akan dituduh berzina dan sekali lagi akan dihukum rejam dengan batu oleh orang ramai sampai mati.


8. Perogol walaupun dikenali oleh mangsanya tidak akan didapati bersalah dan akan bebas dari sebarang tuduhan.

9. Adilkah apabila mangsa dihukum dan pencabul bebas dari dituduh kerana tidak ada empat saksi. Jika dianggap tidak adil, maka ia tidak Islam. Islam tidak zalim.

10. Tetapi inilah hudud PAS. Ternampak terlalu ghairah untuk menunjuk betapa kuatnya pegangan mereka kepada kononnya ajaran Islam. Dengan ini Islam mendapat imej yang amat buruk.

11. Hudud PAS ini akan dikenakan kepada orang Islam sahaja. Jika orang Islam mencuri tangannya akan dipotong.

12. Tetapi jika orang bukan Islam mencuri, ia akan dipenjara dua bulan.

13. Dalam masyarakat berbilang agama di Malaysia, adilkah perbezaan hukum yang ketara ini?

14. Pendapat saya yang kerdil ini, hukuman ini tidak adil. Oleh kerana ia tidak adil maka ia bukan Islam. Ia adalah hudud PAS.

15. Hukum tanpa saksi empat. Dalam Surah Yusuf, terkoyaknya baju Yusuf disebelah belakang diterima dalam Quran sebagai bukti yang mengejar ialah Zulaikha dan bukan Yusuf seperti yang didakwa oleh Zulaikha.

16. Apakah pengajaran bagi orang Islam dalam cerita Yusuf dengan Zulaikha. Yang jelas ialah empat orang saksi tidak selalu perlu. Hanya kerana baju Yusuf koyak dari belakang, maka ini diterima sebagai bukti bahawa yang mengejar ialah Zulaikha.

17. Cerita ini adalah diantara ayat mutasyabihat, iaitu ayat Al-Quran yang tidak khusus seperti ayat muhkamat. Ayat mutasyabihat memberi panduan yang tidak kurang penting bagi cara hidup Islam. Terpulanglah kepada orang Islam mengguna akal fikiran untuk mendapat panduan dirinya.

18. Keghairahan sesetengah pentafsir menunjuk betapa kerasnya hukum Islam sehingga tidak mengendah keadilan menjadikan agama Islam agama yang tidak berperikemanusiaan. Walhal Islam adalah agama yang adil, bertimbang rasa dan suka bermaaf-maafan dan mengampun dalam menghukum.



19. Berhubung dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong para 39 berkata “Kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, bolehlah dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, tetapi Parlimen boleh, melalui undang-undang, memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain”. Para 40 berkata “Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat”

1. Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seorang Menteri yang bertindak dibawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini: tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.

1(A). Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

2. Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak mengikut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi berikut, iaitu:


a. melantik seorang Perdana Menteri;


b. tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran parlimen;


c. meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu.


Kuasa memelihara pada setiap masa Agama Islam ada pada Yang di-Pertuan Agong. Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai dimana-mana bahagian Persekutuan.



Hadis, Sunnah Nabi

20. Di waktu Al Bukhari mengkaji hadis, terdapat 600,000 hadis. Dari 600,000 ini Bukhari mengesahkan hanya 7000. 593,000 adalah tidak sahih. Pendapat Tarmizi Muslim dan lain-lain pengkaji juga demikian walaupun ada yang tidak sama yang disahkan oleh seorang dan tidak oleh pengkaji lain.

21. Mereka ini adalah manusia biasa dengan kelemahan-kelemahan manusia.

22. Al-Quran adalah catitan wahyu Allah Subhanahu Wataala. Semua Al-Quran adalah sama. Salahkah jika kita pegang kepada wahyu Allah yang disampaikan kepada Muhammad untuk disampaikan kepada umat manusia.

23. Dalam Al-Quran jika hukum sebat hendak dikenakan tentukan dahulu kesalahan. Jika tidak, ada kemungkinan ketidakadilan akan berlaku.

Perdana Menteri

24. Perdana Menteri diberi ramai penasihat, diantaranya ialah penasihat agama, bukan seorang tetapi ramai. Yang rasmi dan tidak rasmi.

25. Nampak penulis berpendapat bahawa Perdana Menteri sekarang sedang mengamal maarof, menolak yang mungkar apabila ia anggap “Cash is King” “Wang itu Raja” dan terus guna wang bermillion untuk sogokan dan beli undi. Ya. Sembahyang didirikan dan zakat diberi dari wang yang disamun.

26. Bagi penulis yang menyoal kebetulan Islam saya, tentulah ia anggap kebetulan Najib lebih betul dan beliau lebih layak jadi Perdana Menteri.

Khamis, 25 Januari 2018

Jika Memilih Antara Pepsi Dan Coke Pun Gagal, Tak Hairanlah #UndiRosak Tak Mengundi Kata Mahathir.

Oleh : Chedet.cc / Mahathir Mohamed

1. Terkejut saya apabila diberitahu pemilihan dalam PRU 14 ini tidak lebih dari pemilihan antara Pepsi Cola dengan Coca Cola. Oleh itu apa perlunya kita mengundi.

2. Begitu rendahkah kebolehan kita berfikir dan membuat bandingan? Jika ditanya antara Proton dengan Rolls Royce, yang mana satu yang nak dipilih? Mana-mana sahajalah. Apa bezanya antara Proton dengan Rolls Royce. Kedua-duanya kereta bermotor, tak lebih dari itu.



3. Keputusan yang dibuat ialah untuk tidak membeli Proton atau Rolls Royce. Kereta bermotor boleh terlibat dengan kemalangan. Adalah lebih baik berjalan kaki.

4. Tetapi semasa melintas jalan sahabat ini tergilis dengan sebuah kereta – kereta Rolls Royce.

5. Dia tak tahu kerana dah maut. Sebenarnya Rolls Royce itu dipandu pencuri kereta itu.

6. Ini cerita dongeng. Tetapi cerita ini sama dengan membuat pilihan antara Pepsi Cola dengan Coca Cola.

7. Samada cerita ini dapat difahami atau tidak bergantung kepada kebolehan pembaca. Jika kebolehan rendah maka terjadilah tafsiran seperti yang dibuat terhadap soalan saya berkenaan daging babi.

8. Maju mundurnya sesuatu bangsa bergantung kepada daya fikir bangsa itu. Dalam Al Quran berkali-kali terdapat ayat yang menyentuh daya-fikir manusia. Setelah diperdengar wahyu dari Allah, ada yang masih tidak faham dan tidak percaya. Ayat menyoal, tidakkah kamu berfikir, mengguna akal fikiran.

9. Puak yang tidak dapat fikir ini dikenali sebagai puak jahiliah. Jika kita tergolong dalam puak ini, tak mungkin kita bezakan antara yang bertanding. Dan mustahil kita akan maju. Tak hairanlah jika kita tidak akan undi dalam pilihan raya 14. Jika memilih antara Pepsi dengan Coca pun kita tak dapat, apatah lagi antara BN dengan PH. Tentu terlalu berat bagi kita.

10. Oleh itu jangan pilih. Selamatlah kita.

Selamatkah?

Tepuk dada

Tanya selera.

Selasa, 23 Januari 2018

Halal Kah Duit Curi Digunakan Untuk Umrah Dan Haji Soal Mahathir.

Oleh : Mahathir Mohamad / Chedet.cc

1. Saya dipesan, bahkan dilarang oleh kawan dan musuh supaya tidak berkata apa-apa berkenaan agama Islam, agama saya.



2. Mereka berkata bahawa saya tidak berpelajaran agama dan tidak faham bahasa Arab. Dan saya tidak ternampak sebagai seorang ulama iaitu saya tidak berserban dan berjubah dan tidak pula berkasut selipar.

3. Saya dinasihat supaya dengar sahajalah ajaran dan sharahan yang disampaikan oleh orang yang layak, iaitu orang agama yang terlatih dan berpelajaran agama walaupun setakat pondok di kampung.

4. Saya terima baik nasihat mereka. Saya tidak akan bercakap atau bersyarah.

5. Tetapi saya tidak dilarang bertanya jika ada perkara-perkara yang saya perlu penjelasan dari orang alim dalam agama Islam. Sesungguhnya banyaklah perkara yang mengelirukan saya berkenaan agama Islam.

6. Di antaranya ialah berkenaan haram halal. Saya sejak kecil lagi diberitahu bahawa daging babi haram dimakan oleh orang Islam.

7. Bolehkah saya tanya jika babi disembelih dengan menyebut nama Tuhan, haram lagikah daging babi itu?

8. Susulan dari itu ingin saya tanya lagi. Duit yang dicuri haram atau tidak? Jika haram bolehkah duit itu dihalalkan dengan menggunakannya untuk ibadah haji atau umrah.

9. Jika kita tidak tahu duit itu dicuri salahkah jika duit itu diguna untuk buat ibadat haji? Jika kita tahu bahawa duit itu dicuri, halalkah duit itu jika diguna untuk kerja haji.

10. Semasa saya masih budak-budak, ada fatwa bahawa mayat tidak boleh dimuat atas kereta bermotor. Di waktu jenazah Tunku Ibrahim, regent Kedah dibawa dari Anak Bukit ke Makam diRaja di Langgar, jenazah dimuat di atas sebuah kereta yang ditarik dengan dua tali oleh beberapa orang. Ini saya lihat dengan mata kepala saya sendiri. Saya diberitahu adalah haram memuat jenazah di atas kereta bermotor. Sebabnya ialah kerana motor adalah buatan orang kafir. Tetapi sekarang kereta jenazah semuanya bermotor. Apakah telah jadi kepada fatwa dahulu?

11. Teringat saya kepada sebuah amanat yang mendakwa Kerajaan Malaysia kafir kerana ia mengamal sistem kafir. Sehingga sekarang pihak yang bertanggungjawab berkenaan agama Islam tidak menolak amanat ini. Benarkah Kerajaan Malaysia ini kafir dan perlu tentangan jihad, dan kematian semasa berjuang adalah syahid.

12. Ya banyak lagi dari ajaran Islam dan amalannya yang mengeliru saya. Saya akan tanya sedikit-sedikit.

13. Saya harap saya tidak dinasihat supaya jangan tanya. Saya dengar banyak tazkirah dan syarahan agama oleh “ulama”. Tetapi soal-soal yang saya keliru ini tidak pernah disentuh melainkan oleh orang tertentu yang mempunyai kepentingan lain dari agama Islam.

Rabu, 1 November 2017

Hadi Kafirkan Orang, Hadi Berdosa Besar, Melayu Berpecah, Maka Hadi Yang Perlu Bertaubat - Mahathir.

Oleh : Chedet

1. Hadi suruh saya bertaubat.

2. Sebenarnya yang mesti bertaubat ialah Hadi sendiri.

3. Allah melarang dalam Al Quran umat Islam berpecah-belah dan berpuak-puak. (Ayat 159 Surah Al An’am, Ayat 103 Surah Ali Imran, Ayat 107 Surah Al Anfal, Ayat 32 Surah Ar Rum, Ayat 94 Surah An Nisaa).

4. Hadi mengkafirkan orang Islam di Malaysia. Allah SWT melarang perbuatan mengkafir dan berjanji sesiapa yang mengkafirkan orang Islam, kafir itu akan kembali kepada mereka. Inilah yang terjadi kepada Hadi dan PAS apabila bekerjasama dengan DAP.


5. Kerana Hadi kafirkan pemerintahan Malaysia dalam Amanatnya, maka empat orang anggota polis dibunuh oleh pengikut Ibrahim Libya kerana percaya mereka sedang berjihad dan mati mereka apabila diserang balas oleh polis adalah mati syahid.

6. Apa hak Hadi dan apa hak PAS mengkafirkan orang yang tidak menyertai parti mereka. Di mana dalam Quran atau hadith yang berkata hanya dengan menjadi ahli PAS sahaja barulah seseorang itu beragama Islam. Apakah 1.7 billion orang Islam diseluruh dunia bukan Islam kerana mereka tidak masuk parti PAS.

7. Perpecahan yang berlaku dikalangan orang Melayu Islam di Malaysia amat mendalam. Ada yang menafi keIslaman ibubapa mereka. Ada di antara orang PAS yang menidakkan keIslaman isteri, yang berkahwin sekali lagi.

8. Ada yang sembahyang berasingan, dengan imam lain; yang tidak sanggup dikebumi di kubur biasa kerana kononnya kubur itu kubur orang kafir.

9. Ada yang bangun masjid berasingan sehingga sekarang ini pun.

10. Inilah hasil Amanat Hadi. Ia adalah satu dosa besar. Kerana ini sahaja pun ia perlu bertaubat.

11. Allah tegah perbuatan kerosakkan.

12. (Surah Al Baqarah Ayat 11, Ayat 60, Ayat 205, Surah Al A’raaf Ayat 59, 85, 86)

13. Sesunguhnya Hadi melakukan banyak kerosakan terhadap agama Islam dan orang Islam di Malaysia. Perpecahan yang disebabkan Hadi telah melemahkan orang Islam.

14. Saya sedar ramai pengikut Hadi telah bai’ah kepadanya. Mereka taksub kepadanya sehingga ajaran Al Quran dan hadith yang sahih pun diketepikan. Mereka sudah jadi puak assabiah yang terima sahaja apa yang didakwa oleh Hadi tanpa soal.

15. Sekarang Hadi sedang mempertahankan rasuah dan seleweng wang oleh Najib. Sekaligus Hadi berusaha untuk memberi kemenangan kepada Najib dan UMNO walaupun dimasa yang sama PAS akan kalah.

16. PAS bersendirian tidak pernah menang selain dari peringkat negeri. Diperingkat pusat PAS hanya mampu jadi rakan kecil di antara pembangkang.

17. Tetapi PAS akan terus peralatkan Islam. Tuntutan terhadap hudud PAS sudah digugur. Sekarang kononnya PAS akan bawa usul RUU 355. Berkali-kali usul ini ditangguh. Tetapi PAS masih mengguna usul ini untuk menarik sokongan politik bagi dirinya.

18. Inilah PAS. Sebelum adanya PAS orang Melayu bersatu dan bersaudara sebagai dituntut oleh agama mereka – agama Islam.

19. Perpecahan dan permusuhan sesama orang Islam di Malaysia bermula dengan penubuhan parti PAS. Dianya tidaklah begitu buruk sehingga Hadi keluar Amanatnya.

20. Sesungguhnya Hadi berdosa besar dan Hadi perlu bertaubat dan batalkan Amanatnya.

Jumaat, 20 Oktober 2017

Industrial Park Kuantan Tak Guna Duit Ringgit?

Oleh : Chedet

1. Najib sedang meningkat usaha untuk menipu Pilihanraya.

2. Kali ini Najib mengarah SPRM menangkap pemimpin-pemimpin Parti lawan (Warisan) di Sabah. Matlamatnya ialah untuk melumpuh Warisan dengan menangkap Datuk Seri Shafie Apdal dan menakutkan penyokongnya.


3. Pegawai SPRM diugut untuk melaksana arahan Najib. Jika mereka tidak patuh kepada arahan Najib maka tindakan tertentu akan diambil terhadap mereka. Mereka mungkin diturun pangkat, ditukar ke jawatan lain yang lebih rendah, dimansuh hak pencen dan bermacam lagi.

4. Pegawai Tinggi Polis, pegawai di Jabatan Pendakwa Raya, Pengarah Syarikat dalam Khazanah semua ditakutkan supaya menyokong perbuatan salah oleh Najib untuk menang PRU.

5. Demikian juga pegawai-pegawai dari berbagai pejabat yang akan dilantik mengurus PRU. Mereka akan disuruh tipu untuk memberi kemenangan kepada Najib dalam PRU 14.


6. Kami dalam Pakatan Harapan sedar kami akan menang jika tidak ada penipuan dalam PRU. 90% dari pengundi yang berdaftar sudah pun nyatakan mereka tolak Najib.

7. Kami berjanji jika kakitangan Kerajaan yang akan mengurus PRU diugut dan didera oleh Najib dan kehilangan gaji, atau pangkat atau jawatan kami akan pulih balik mereka dan pendapatan mereka. Mereka akan kembali pegang jawatan yang telah dilucut dari mereka. Demikian juga mereka yang memberi maklumat kepada kami akan salah cara dan penipuan Najib. Kami akan selamatkan mereka.

8. Ini janji kami. Walaupun penipuan dilakukan oleh Najib kami tetap menang. Dan kami akan tunaikan janji kami.

9. Jangan takut untuk menolak arahan salah dari Najib dan konco-konconya.

ESTET INDUSTRI

1. Saya baru ke Kuantan. Ternampak saya sebuah estet industri yang amat besar yang dikelilingi tembok simen 8 kaki tinggi dan 9 kilometer panjang.



2. Terdapat tembok tanda yang diperbuat dari simen sebesar lima buah kedai biasa. Tulisan atas tembok gergasi ini hanya dalam bahasa Inggeris dan bahasa asing. Tidak ada bahasa Kebangsaan dalam nama estet industri ini. Ini memang perkara remeh yang boleh diterima oleh Dewan Bahasa sekarang.

3. Luasnya kawasan industri ini dikatakan 3000 ekar. Bukit bukan termasuk dalam estet ini.

4. Dalam kawasan ini terdapat banyak bangunan yang berbentuk kilang.

5. Orang Malaysia tidak dibenar masuk estet industri ini. Dikatakan semua pekerja datang dari negara yang memiliki estet ini. Katanya juga jumlah pekerja lebih kurang 3000 – wallahu waalam.

6. Konon ada kedai dan restoran yang membekal segala-gala yang diperlukan oleh pekerja dan pegawai. Penghuni tidak perlu keluar ke Kuantan untuk membeli apa-apa keperluan.

7. Ada yang berkata wang diguna dalam estet ini bukan Ringgit Malaysia. Mereka mengguna wang negara lain.

8. Saya tertanya-tanya apakah Undang-Undang yang diguna Undang-Undang Malaysia? Apakah pejabat-pejabat Malaysia meluluskan pembangunan dalam kawasan ini? Apakah mereka bayar cukai Malaysia?

9. Bahan binaan semuanya diimport dari negara asing. Tentulah mereka dapat AP dan kebenaran-kebenaran lain.

10. Saya kagum dengan Industrial Park ini. Kenapa diadakan di Pahang sahaja. Kenapa tidak di Kedah, di Perlis dan di lain-lain Negeri. Kenapa hanya 3000 ekar. Kenapa tidak lebih besar. Sesungguhnya kita akan capai Wawasan 2020 sebelum 2020.

11. Dengan adanya Industrial Park seperti ini, Malaysia akan jadi negara maju. Tak usahlah tanya akan peluang pekerjaan bagi pekerja Malaysia, peluang kontrak, peluang berniaga oleh rakyat Malaysia. Kita perlu korbankan diri kita untuk mendiri negara maju milik orang asing.

12. Syabas Najib. Awak cukup bijak. Tidak ada cara yang lebih baik untuk bangunkan negara daripada menjualnya.

13. Lihat Singapura? Lihat betapa majunya Singapura.

CEO MAS BERHENTI

1. Tak usahlah nak bohong. Bellew berhenti kerana Najib campur tangan dalam urusan MAS tanpa rujuk kepada Pengarah dan Pengurus Syarikat.

2. Pesawat yang Najib nak beli, bukanlah pesawat yang diperlukan oleh MAS untuk penerbangan ke destinasi tertentu.

3. Saya yakin Najib tidak pun tanya MAS. Najib tidak peduli perancangan CEO atau pemilihan MAS. Biarlah MAS lingkup asalkan Najib dapat ambil gambar dengan Trump.

4. Jika boleh Najib ingin serah wang tunai sebanyak 20 Billion dollar (90 billion Ringgit) terus kepada Trump. Alangkah berkesannya jika dapat gambar Najib serah dua lori wang tunai dollar kepada Trump. Malangnya Trump tak mungkin terima dengan cara ini. Tetapi kalau kata nak beli kapal terbang ini lebih diplomatik.

5. Apa kata Bellew. Dia cuba hendak tunjuk bahawa ia bersetuju. Kononnya dakwaan saya tidak tepat. Tetapi ini tidak kurangkan perasaan malu dan kecewa kerana Najib tidak sedikit endah CEO MAS ini.

6. Apa nak buat. Kononnya perasaan patriotiknya tiba-tiba menyedar dirinya akan pentingnya ia kembali ke Ireland.

7. Syabas dan Tahniah kepada Najib. Belilah kapal terbang untuk perhiasan negara.

Selasa, 10 Oktober 2017

Oktoberfest - Orang Melayu Jaga Tepi Kain Sendiri Nasihat Mahathir.

Oleh : Chedet

1. Saya diberitahu ramai yang marah saya kerana tidak menyatakan sokongan saya terhadap bantahan perayaan beer (beer festival – Oktober Fest) oleh orang bukan Islam.

2. Bagi saya kalau orang bukan Islam yang tidak haramkan minum alkohol atau beer hendak minum beer sampai pengsan, itu masalah mereka. Yang penting mereka jangan timbul masalah kepada orang lain, atau memandu kereta di waktu mabuk.

3. Yang saya amat dukacita ialah penyalahgunaan dadah oleh anak orang Islam sehingga menyebabkan kematian 23 murid sekolah tahfiz apabila mereka membakar asrama sekolah.

4. Ternampak seolah-olah orang Islam menerima pembunuhan murid ini sebagai perkara biasa. Ya. Memang ada mereka yang berpendapat ini semua takdir. Oleh itu terima sahajalah. Seperti yang telah dinyatakan oleh guru tahfiz, anak yang mati setelah ke sekolah tahfiz akan menunggu ayah dan emak di pintu syurga kelak.

5. Tetapi bagi saya soal yang timbul ialah kenapa ada anak orang Melayu / Islam yang terlibat dengan dadah. Kenapa tidak didengar anak Cina dan India terlibat dengan dadah. Apakah ini juga takdir. Tidak adakah apa-apa yang boleh dibuat untuk menentu anak Melayu / Islam menolak dadah?

6. Allah SWT berfirman dalam Al Quran bahawa Allah tidak akan memperbaiki keburukan yang menimpa manusia melainkan manusia itu sendiri cuba memperbaikinya terlebih dahulu.

7. Penagihan dadah disebabkan kurang kawalan anak oleh ibu bapa di zaman ini. Tanggungjawab menyemai sikap menolak dadah sepatutnya diletak di bahu guru agama dalam sekolah.

8. Tetapi di sekolah, selain dari mengajar ibadat tertentu untuk pahala tidak ada tekanan yang cukup terhadap pengajaran budi pekerti Islam; terhadap dosa pahala, baik buruk, amalan hidup dalam Islam. Dengan itu anak mudah terjebak dengan yang tidak baik, termasuk penggunaan dadah.

9. Jika kerana disemai dengan kawalan diri mencegah yang buruk dan mengamal yang baik (amal ma’aruf nahi mungkar) sebagai sebahagian dari tuntutan agama Islam, kemungkinan perlakuan perkara-perkara yang dilarang akan berkurangan. Tetapi setakat yang saya tahu tidak ada latihan dan pengajaran secara sistematik dalam bidang ini di sekolah-sekolah.

10. Ilmu sahaja tidak berguna jika tidak dikawal oleh budaya yang baik. Saya amat malu membaca laporan berkali-kali akan perlakuan yang tidak baik oleh orang Islam, terutama anak muda. Saya berpendapat perkara ini perlu diberi perhatian lebih oleh orang Islam dan bukan melarang orang bukan Islam minum beer.

 
11. Ini adalah pendapat saya. Jika nak kecam dan nak marah saya kerana tidak memecah botol beer di hadapan pejabat MB, marahlah.

12. Oktober Fest, perayaan minum beer pada bulan Oktober adalah tradisi budaya orang Jerman.

13. Jerman menerima satu juta pelarian Islam dari Syria. Apakah balasan pelarian ini kepada orang Jerman sebagai tuan rumah ialah dengan melarang mereka dari minum beer dalam Oktober Fest mereka.

14. Orang Melayu berkata jaga tepi kain sendiri. Tentukan kita jangan minum beer dan kita tak makan dadah. Itu lebih baik dari pecah botol beer.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...