Sabtu, 14 Oktober 2017

Dituduh Terima 7 Juta, Anina Saman 6 Individu Termasuk Kepimpinan PPBM.

Bekas Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin memfailkan saman fitnah terhadap enam individu termasuk Ahli Majlis Tertinggi (AMT) parti tersebut di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada kelmarin. 

Menurut Anina, langkah itu diambil menerusi Tetuan Abdul Aziz & Yazmin bagi membersihkan diri dan namanya yang dituduh menerima wang sejumlah RM7 juta daripada UMNO. 

"Saya menfailkan tuntutan fitnah ini di mahkamah setelah berpuas hati bahawa semua proses dalaman parti telah dilakukan oleh pihak saya. Saya telah menghantar aduan ke jawatankuasa disiplin PPBM pada 2 Ogos 2017, tetapi tiada sebarang siasatan dan tindakan diambil," katanya dalam satu sidang media.

"Terdahulu dari itu, saya juga telah membuat laporan kepada pihak PDRM, SKMM dan SPRM. Malangnya fitnah tersebut masih berlegar di media sosial, dan masyarakat umum malah masih berterusan sehingga sidang media saudara Syed Saddiq nama saya turut dipalitkan sekali lagi. 

Saya percaya sehingga ke saat ini  Syed Saddiq mahupun mana-mana pihak PPBM masih lagi belum membuat laporan kepada SPRM tentang dakwaan berkaitan usaha sebagai rangkaian dedak rancang tersebut. Kenapa ia tidak dilaporkan? Buktinya ada bukan? Tidakkah menyembunyikan bukti jenayah juga merupakan satu kesalahan," katanya lagi.

Beliau yang enggan mendedahkan nama enam individu berkenaan turut memberitahu, dua daripada mereka merupakan ahli biasa manakala empat lagi adalah barisan kepimpinan PPBM Bahagian Langkawi, Kedah yang diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad. 

“Saya memfailkan tuntutan fitnah ini selepas memberi peluang beberapa kali terhadap enam individu terbabit sejak Jun lalu supaya memohon maaf, seterusnya membuat beberapa laporan kepada polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Julai lalu,” ujarnya.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...