Malah, ada antara mereka berkata menyesal mengundi Pakatan Harapan (PH).
Dalam sepucuk surat terbuka kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, Justin Chin Jing Ho,28, seorang jurutera projek berkenaan berkata beliau bimbang kehilangan kerja dan tidak tahu bagaimana hendak menenangkan rakan sekerjanya yang lain.
Chin menulis tentang salah seorang mandurnya, serta seorang ibu tunggal anak tiga serta seorang lagi rakan sekerja yang bertanya nasib mereka selepas pengumuman kerajaan Ahad lalu.
“Apa yang dikongsi tiga orang ini? Mereka mengundi awak. Mereka mengundi Malaysia Baharu yang lebih baik.
“Dan hari ini mereka balik ke rumah, menyalahkan diri masing-masing kerana mengundi awak kerana mungkin esok, mereka akan hilang kerja dan tak mampu lagi menyara keluarga mereka. Ini pastinya bukanlah apa yang mereka undi,” tulis Chin di Facebook.
“20,000 kerja, 20,000 keluarga dan harapan dan impian menggunung. Saya dengar orang kata mesti susah sebelum senang. Tetapi bukan kesusahan ini, ini adalah ketidakadilan kepada 20,000 orang yang tidak buat salah dan hanya berikan kehidupan serta masa mereka untuk berkhidmat kepada negara tercinta ini. Kesengsaraan ini puncanya anda,” tambahnya.
Ahad lalu, Kementerian Kewangan mengumumkan langkah menamatkan kontrak MMC-Gamuda untuk menjimatkan RM5.22 bilion. Sebelum pengumuman itu, konsortium dan kerajaan sudah melakukan rundingan penjimatan kos sejak dua bulan lepas.
Pekerja projek MRT2 lain juga menggunakan hashtag #prayforMRT di media sosial untuk meluahkan kebimbangan tentang masa depan mereka.
“Aku down giler, menangis memikirkan masa depan anak aku. Aku ada lah sebahagian dari mereka yang inginkan perubahan pada Malaysia dan berwajah baru… Tapi bukan untuk meragut kegembiraan anak aku,” tulis ibu tunggal Hasnah Ahmad.
Pekerja lain turut meluahkan kekecewaan mereka kerana pengorbanan mereka dalam kerja terowong bawah tanah itu bersama Gamuda yang dianggap terbaik di Malaysia kini sia-sia.
“Pengalaman buat terowong tak datang dengan mudah, Malaysia diberikan peluang untuk buat sendiri, saya sangat berharap perkara ini dipertimbangkan semula supaya kemahiran ini tidak dibazirkan,” tulis Lim Td.
Chin, jurutera projek tersebut juga meluahkan kekecewaan kerana menolak pekerjaan bergaji lumayan di luar negara selepas menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan awam untuk kembali ke Malaysia dan bekerja di projek MRT2.
“Saya buat keputusan tak guna logik dan ikut kata hati untuk kembali berkhidmat kepada negara tercinta Malaysia dan terlibat dalam pembangunan negara yang saya panggil rumah ini. Saya pilih untuk tidak jadi sebahagian jumlah kehilangan bakat Malaysia,” katanya pada surat ditujukan kepada Dr Mahathir itu.
Beliau turut mengecam cadangan kereta nasional ketiga, berkata Malaysia wajar membuktikan kemampuan kejuruteraan tempatan bertaraf antarabangsa dengan projek MRT.
Kerja yang dilakukan pasukan pekerja Malaysia termasuklah “perkara menakjubkan” dan menerima pengiktirafan dan anugerah antarabangsa daripada kumpulan pakar terowong dunia, tambahnya.
“Semua pencapaian dan kemajuan kejuruteraan ini berlaku kerana peluang diberika kepada pasukan rakyat muda Malaysia yang bekerja dalam projek mencabar dan sangat rumit. Ia memberikan peluang kepada kami untuk berkembang, membina, berinovasi, berharapan. Dan tidak lama lagi, semua ini dirompak daripada kami.
“Saya tak boleh faham logik bagaimana tender semula baki kerja dan memberikannya kepada kontraktor asing boleh membawa nilai lebih besar kepada negara atau untuk duit pembayar cukai mengambil kira kos pembatalan, kos sedia ada, pampasan, dan lain-lain serta faktor lain yang juga perlu dipertimbangkan seperti pengangguran dan pengaliran keluar modal.
“Jadi sekarang saya memilih untuk merayu bukan kepada logik anda tetapi kemanusiaan anda dan rasa cinta anda kepada rakyat Malaysia. Jangan hancurkan harapan, impian, masa depan dan kehidupan 20,000 pekerja Malaysia yang selama ini bergelumang untuk membina negara ini,” kata Chin. – 9 Oktober 2018.