Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Rabu, 10 Oktober 2018

Kini Pemimpin PKR Perak Pula Dilantik Pengerusi UniSZA - Satu Lagi Janji Yang PH Langgar..

THE MALAYSIAN INSIGHT | Seorang lagi pemimpin politik dilantik sebagai pengerusi lembaga pengarah universiti (LPU), kata sebuah badan mahasiswa, lantikan yang sekali lagi melanggar janji Pakatan Harapan membebaskan universiti awam daripada pengaruh politik.

Pengerusi PKR Perak Dr Muhammad Nur Manuty, yang juga senator di Dewan Negara, minggu ini dilantik sebagai pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu.


Mahasiswa Keadilan Malaysia bertanya kepada Maszlee Malek adakah lantikan itu seiring dengan usaha beliau sebagai menteri pendidikan mahu memastikan tiada lagi lantikan politik di peringkat tertinggi pentadbiran universiti.

“Apakah kriteria utama yang melayakkan beliau dilantik sebagai pengerusi LPU?” tanya Timbalan Presiden Haissazc Shuqkin Hisham dalam satu kenyataan media hari ini.

Mahasiswa Keadilan adalah badan mahasiswa di bawah PKR, sebagai wakil mahasiswa dalam parti itu.

Haissazc yang juga mahasiswa Unisza turut bertanya adakah lantikan itu mendapat sokongan dan pandangan pengurusan tertinggi Unisza, kakitangan akademik dan bukan akademik serta badan wakil pelajar.

Menurut Haissazc, pelantikan Muhammad Nur menunjukkan Kementerian Pendidikan tiada iltizam politik untuk mengubah budaya lantikan politik di universiti.Pelantikan Muhammad Nur Manuty sehingga ini tidak diumumkan secara rasmi oleh Kementerian Pendidikan, sebaliknya terpapar pada ucap tahniah di laman Facebook Pejabat Pendaftar Unisza. – Gambar Facebook, 10 Oktober, 2018.

Maszlee dalam satu wawancara selepas dilantik menteri memberi jaminan universiti tidak akan dipengaruhi oleh pimpinan politik.

“Berdasarkan rekod dan sumbangan beliau di universiti terutamanya di (Univerisiti Islam Antarabangsa Malaysia), saya boleh menganggap beliau (Muhammad Nur) juga merupakan kenalan baik YB menteri,” kata Haissazc.

Muhammad Nur pernah berkhidmat sebagai pensyarah di UIA pada tahun 1990-an dan pernah juga jadi presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Beliau juga bekas calon PKR bagi kerusi Parlimen Bagan Serai dalam Pilihan Raya Umum 2013. Pada 1999, beliau bertanding atas tiket PKR bagi kerusi Parlimen Lumut. Beliau kalah dalam kedua-dua pilihan raya itu.

“Di dalam Malaysia Baharu, kita memerlukan mereka yang benar-benar tahu membuat keputusan yang terbaik untuk kepentingan universiti, bukan sekadar melantik dan memberi jawatan tertinggi universiti atas dasar persahabatan ataupun kepentingan politik,” tambah Haissazc.

Pelantikan ini dibuat sebulan selepas timbul kontroversi pelantikan Maszleesendiri sebagai presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Pelantikan itu membangkitkan bantahan aktivis mahasiswa yang mengadakan tunjuk perasaan di perkarangan pejabat beliau di Putrajaya pada 7 September lalu.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam reaksinya ketika itu berkata pelantikan Maszlee akan dikaji semula selepas mendapat bantahan pelbagai pihak, termasuk dalam kalangan pemimpin PH.Pelantikan terbaru ini membuktikan Kementerian Pendidikan diterajui Dr Maszlee Malik tidak mempunyai iltizam untuk memisahkan universiti daripada politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2018.

Maszlee bagaimanapun mempertahankan pelantikannya itu kerana beranggapan ia tidak bercanggah dengan manifesto PH malah dilantik atas perkenan Sultan Pahang selaku ketua perlembagaan UIAM.

Maszlee turut menjelaskan pelantikannya itu adalah atas cadangan Dr Mahathir kepada Sultan Pahang. Pelantikannya itu juga akan menjimatkan duit rakyatkerana beliau tidak akan mengambil walau satu sen pun gaji atau elaun.

Menteri pendidikan itu juga baru-baru ini enggan mengulas isu lantikannya sebagai presiden UIAM kerana berpendapat ia “isu lama”.

Pelantikan Muhammad Nur sehingga ini tidak diumumkan secara rasmi oleh Kementerian Pendidikan, sebaliknya terpapar pada ucap tahniah di laman Facebook Pejabat Pendaftar Unisza.

Berdasarkan ucap tahniah itu, lantikan tersebut adalah untuk tiga tahun berkuat kuasa 1 Oktober lepas.

Selain Muhammad Nur, antara yang dilantik menganggotai lembaga pengarah Unisza termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia, Tony Fernandes sebagai wakil swasta dan Dr Zaharuddin Abdul Rahman sebagai wakil berpengetahuan dan berpengalaman. - 10 Oktober 2018.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...