Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Selasa, 9 Oktober 2018

Mahu Anjur Oktoberfest? Ini Penjelasan Khalid Samad.

FREE MALAYSIA TODAY | Pesta arak “Oktorberfest 2018″ boleh dianjurkan jika pihak penganjur membuat permohonan bagi mendapatkan permit dan mematuhi kesemua garis panduan yang ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kata Khalid Samad.


Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, antara garis panduan yang perlu dipatuhi penganjur ialah orang Islam tidak dibenarkan terlibat dan tidak dijalankan di tempat terbuka.

“Kalau (penganjur) buat permohonan, maka kena ikutlah garis panduan yang ditetapkan. Kalau mereka dapat kebenaran, mereka mesti patuhi garis panduan.

“Garis panduan yang perlu dipatuhi ialah ia (dibuat ) di tempat terkawal, bukan tempat khalayak ramai dan tidak ada orang Islam yang hadir,”
katanya pada sidang media di Menara DBKL hari ini.

Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan penganjuran pesta arak “Oktorberfest 2018″ bertempat di Mid Valley hujung bulan ini.

Penganjuran acara sama juga didakwa akan dibuat di Kepong.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang permohonan berhubung penganjuran acara itu di Mid Valley, selain memaklumkan beliau akan membuat semakan mengenainya.

“Sebenarnya tidak ada permohonan setakat ini dibuat untuk Oktoberfest di Mid Valley.

“Kalau nak buat buat apa-apa mesti dapat permit dulu, dan kita ada garis panduan yang ditetapkan,”
katanya.

Khalid berkata beliau akan mengarahkan DBKL membuat semakan dan mengesahkan tentang kesahihan penganjuran acara itu di Mid Valley dan Kepong sebelum apa-apa tindakan susulan boleh dibuat.

“Sekarang kita sudah tahu (tentang ada penganjuran Oktoberfest), lepas ini kita akan ambil tindakan. DBKL akan lihat perkara itu, kita kena semak dulu dari mana datangnya isu ini. Sama ada betul atau tidak atau ada pihak yang sengaja nak timbulkan isu. kita akan jumpa pihak penganjur untuk pengesahan,” katanya.

Pada 17 September tahun lepas DBKL menolak permohonan penganjuran “Better Beer Festival 2017” yang dijadualkan diadakan pada 6-7 Oktober tahun itu.

DBKL dalam kenyataannya ketika itu berkata, ia menerima permohonan daripada pihak penganjur pada 28 Ogos 2017 untuk menjalankan aktiviti tersebut di Solaris Damansara dari pukul 2 petang hingga 11 malam tetapi tidak meluluskannya.

Penganjuran acara itu sebelum ini dibantah keras oleh PAS yang turut menggesa Mufti segera mengeluarkan fatwa dan pandangan khusus berhubung penganjuran aktiviti seumpama itu sebagai panduan dan arahan kepada kerajaan.

Berikutan itu, pemimpin DAP meminta agar DBKL mengkaji semula penolakan permohonan penganjuran acara tersebut. - 9 Oktober 2018.


Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...