Menteri itu memberi tempoh 24 jam kepada akhbar tersebut untuk membuat permohonan maaf atau dia akan mengambil tindakan “lebih tegas”.
Setiausaha akhbarnya Siti Zulaikha Zulkifli, dalam satu kenyataan malam tadi mengulangi bahawa tidak wujud kenyataan seperti yang dilaporkan semasa wawancara itu dijalankan
Siti Zulaikha berkata dia telah meneliti wawancara tersebut dan “selepas penelitian dibuat, saya juga mendapati YB Menteri langsung tidak menyebut perkataan seperti yang ditulis dalam berita berkenaan pada perenggan pertama laporan itu “.
Laporan 6 Oktober The Star dengan tajuk utama : ‘Tiada Lagi Polis Moral’ sementara versi dalam talian adalah: ‘Tidak ada lagi serbuan khalwat malam atau pencerobohan ke dalam kehidupan peribadi orang Islam, kata Mujahid’ mencetuskan perdebatan dan kemarahan di kalangan konservatif Muslim, pemimpin agama, kumpulan masyarakat dan ahli politik.
“Ekoran tajuk yang disensasikan perenggan pertama yang ditulis berdasarkan interpretasi wartawan tersebut, berita ini menjadi tular sehingga menyebabkan salah faham terutamanya terhadap umat Islam di negara ini,” kata Siti Zulaikha.
Berikut adalah teks kenyataan yang mengundang kontroversi itu;
Saya akan memberi panduan kepada kesemua agensi di bawah saya, terutamanya pegawai penguatkuasa, jangan masuk campur ruang peribadi seseorang.-----------
Isu berkaitan penguatkuasaan terhadap khalwat, yang anda rasakan sering disalahgunakan, tidak kesemuanya. Tetapi ada beberapa ketika ia telah dieksploitasi dan disalahguna.
Penguatkuasaan ke atas aktiviti khalwat terletak di bawah institusi kehakiman di bawah negeri, dan ia bukan di bawah kementerian saya, tetapi kami mempunyai platform di mana kita akan bertemu kesemua pengarah negeri jabatan Hal Ehwal Islam, serta berkongsi pandangan dari sudut Kerajaan Persekutuan berhubung isu ini.
Dalam perkembangan berkaitan, netizens dilihat mula 'menyerang' wartawan yang melaporkan berita itu.
Wajah dan identiti wartawan ditularkan oleh penyokong-penyokong Mujahid sejak malam tadi.
Malahan serangan peribadi seperti menghina bangsanya, namanya dan kaitkan hubungannya dengan Latheefa Koya turut dilakukan sesetengah dari mereka.
Setakat ini The Star belum mengeluarkan apa-apa kenyataan balas berhubung amaran yang dikeluarkan oleh wakil Mujahid itu.
The Star juga tidak memberikan respon mengenai serangan yang dihadapi oleh wartawan mereka di laman sosial. - 8 Oktober 2018.