Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Isnin, 25 Februari 2019

Pensyarah Nafi Kalah Saman Fitnah Dalam Kes DS Mujahid.

Kamarul Yusoff | TIADA YANG KALAH DALAM KES SAYA DAN DATUK SERI DR MUJAHID

Saya dihadapkan dengan pertanyaan dari pelbagai pihak sehubungan dengan laporan meluas media massa ke atas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, bahawa mana-mana pihak yang memfitnah Lembaga Tabung Haji (TH) dengan menuduh institusi itu kini di bawah cengkaman DAP pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih akan dikenakan tindakan undang-undang.

Ini kerana dalam kenyataan Datuk Seri Dr Mujahid tersebut terkandung satu rujukan spesifik terhadap diri saya bilamana beliau menyebut “(beliau) menang dalam kes (saman RM5 juta beliau ke atas saya atas penerbitan sebuah artikel di Facebook peribadi saya bertajuk "Dr Mujahid antara kuda tunggangan terbaik DAP") dan (saya) mohon maaf serta tarik balik artikel” yang menyebabkan banyak pihak merumuskan bahawa saya kalah dalam kes ini.

Perlu diakui bahawa Datuk Seri Dr Mujahid memang betul bila beliau menyebut beliau menang dalam kes tersebut dan saya mohon maaf serta tarik balik artikel. Ini kerana dalam kenyataan saya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 November 2018 memang terdapat dua perenggan dalam mana saya menyebut perkara ini, iaitu:


(1) Saya kesal dengan penerbitan artikel tersebut dan saya dengan rendah diri dan suci hati tanpa sebarang paksaan memohon maaf kepada YB Datuk Seri Dr Mujahid bin Yusof di atas penerbitan artikel tersebut.


(2) Saya dengan ini juga menarik balik artikel tersebut dan berjanji untuk tidak menerbitkan kembali artikel tersebut mahupun apa-apa kenyataan yang seumpama dengannya.


Bagaimanapun, rumusan banyak pihak bahawa kemenangan Datuk Seri Dr Mujahid membawa makna bahawa saya kalah dalam kes ini adalah tidak selari dengan penyelesaian yang dicapai di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang sebenarnya menghasilkan kemenangan kepada kedua-dua belah pihak. Malah, Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad yang menghakimi kes ini memuji kedua-dua belah pihak kerana mencapai penyelesaian yang tidak menjejaskan kedua-dua belah pihak sekali gus menjimatkan masa mahkamah.

Persetujuan untuk membuat penyelesaian di luar mahkamah ini pun saya capai adalah kerana pada fikiran saya ia tidak menjejaskan saya bila Datuk Seri Dr Mujahid bersetuju dengan permintaan saya bahawa kenyataan saya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 November 2018 ini tidak memerlukan saya menyebut “saya mengakui bahawa semua kenyataan-kenyataan yang saya terbitkan di dalam artikel tersebut adalah tidak benar dan ditulis dengan niat yang tidak baik terhadap beliau” seperti yang diminta pada awalnya.


Di dalam kata lain, saya memohon maaf di atas penerbitan artikel tersebut dan saya menarik balik artikel tersebut tetapi persoalan sama ada kenyataan-kenyataan yang saya terbitkan di dalam artikel tersebut adalah benar atau tidak benar bukan merupakan satu isu.

Penyelesaian ini juga adalah selaras dengan “tuntutan “mudah”” yang dibuat oleh Datuk Seri Dr Mujahid dalam proses mediasi yang berlaku antara kami sebelumnya yang diakui oleh kenyataan pihak peguam Datuk Seri Dr Mujahid sendiri pada 15 Mac 2018.

Terima kasih dan selamat maju jaya saya ucapkan kepada Datuk Seri Dr Mujahid. - 25 Februari 2019.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...