Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Isnin, 25 Februari 2019

Apa Lagi Akal PAS Untuk Tutup Skandal Makan Duit UMNO - Wan Ji.

Wan Ji | APA LAGI AKAL PAS UNTUK TUTUP SKANDAL MAKAN DUIT UMNO?

1. Pada saat ini, PAS berhadapan dengan krisis besar - krisis yang tidak pernah berlaku semenjak PAS ditubuhkan. Krisis melibatkan skandal wang dan integriti PAS yang semakin jatuh.


2. Skandal wang ini bukan semata-mata isu 90 juta, malahan melibatkan dakwaan makan duit UMNO. Semasa PAS ambil pendirian untuk saman Sarawak Report, itu tidak ketara sangat. Tetapi, selepas PAS tarik saman Sarawak Report tanpa meminta agar mereka minta maaf, atau minta mereka tarik balik artikle yang mendakwa PAS makan duit UMNO; semua ini menyebabkan moral dan integriti PAS jatuh menjunam.

3. Umpama jatuh ditimpa tangga, malah tercium pula tahi ayam di bawah tangga itu - PAS berhadapan dengan dakwaan bohong yang melibatkan Nik Abduh. Selepas SPRM mula menyiasat PAS, audio yang di peringkat awal dinafikan, kali ini bukan sekadar Nik Abduh, malah pemimpin tertinggi mereka terpaksa akui keabsahan suara audio itu adalah Nik Abduh.

4. Sebagai Presiden PAS, pasti Hadi Awang akan berfikir untuk memastikan imej parti Islam yang semakin rosak ini dapat diatasi. Jika dahulu, usaha Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Allahyarham Ustaz Fadzil Noor berjaya mendapat sokongan Non Muslim dan Non Melayu, kini sokongan itu sudah sampai tahap yang amat kritikal. Justeru, tugas utama yang perlu difikirkan adalah untuk memastikan sokongan melayu; kalau tidak bertambah, penyokong sedia ada pun tak lari.

5. Dengan itu, perkara yang paling penting dilakukan adalah; apa yang telah "kantoi", perlu ditutup. Makanya, fatwa bohong syarie pun dikeluarkan.

6. Mungkin PAS tidak sedar bahawa Bani Melayu juga bijak. Bukan semua Bani Melayu itu terima pendekatan manipulasi agama. Dakwaan bohong syarie dan Nabi Ibrahim berbohong sepertimana Nik Abduh; tujuannya untuk halalkan tindakan bohong Nik Abduh itu memakan diri PAS.

7. Kegagalan menutup kesalahan PAS itu lebih ketara, apabila pihak dalaman PAS sendiri - yang dikepalai oleh Ustaz Zaharuddin - melawan pembohongan Nik Abduh. Rakan-rakan yang bersama menantu Presiden PAS itu malah tidak berdiam diri dalam melawan projek makan duit UMNO yang cuba dihalalkan oleh Nik Abduh.

8. Memandangkan manipulasi agama ini, bukan sekadar gagal untuk menutup skandal PAS, malah memakan diri PAS sendiri, makanya, kelihatan PAS terpaksa menggunakan pendekatan yang lain. Cuma, pendekatan kali ini amat bahaya, kerana melibatkan Tun M yang juga Perdana Menteri.

9. Menarik untuk direnung bahawa PAS yang dalam beberapa bulan lepas mengutuk, malah menghina Tun M - sehingga mengangkat isu Memali dan sebagainya, kini mengeluarkan kenyataan yang amat ganjil - memuji, malah mengangkat ketokohan Tun M.

10. Demi memastikan skandal melibatkan PAS ini tidak dijadikan bualan rakyat, PAS ambil risiko "berlutut" kepada Tun M dan menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Tun M. Menariknya, Tun M mendedahkan kandungan janji PAS kepada Tun M pada saat PAS mahu sembunyikannya. Makanya, PAS terpaksa mengadakan mesyuarat tergempar di Rusila dalam membuat kenyataan terhadap apa yang didedahkan oleh Tun M.

11. Walaupun ramai pendokong-pendokong ekstrim PAS yang mendakwa bahawa Tun M berbohong, ternyata selepas kenyataan rasmi yang dikeluarkan melalui Setiausaha Agung PAS itu membuktikan apa yang Tun M nyatakan itu adalah benar - yang tidak ada yang tidak benar kecuali benar-benar belaka. Ia menjadikan pendokong-pendokong ekstrim PAS seperti ayam berak kapur.

12. Keadaan itu, bukan sekadar isu skandal PAS tidak luput dari perbincangan awam, malah menambahkan lagi imej buruk parti Islam itu di mata-mata rakyat awam, terutama dalam kalangan masyarakat melayu yang pernah memberi sokongan kepada PAS.

13. Dalam keadaan amat terdesak, kelihatan PAS terpaksa menggunakan pendekatan lain - menyerang Anwar Ibrahim pula. Cuma, tidak diketahui serangan yang dilancarkan PAS kepada Anwar Ibrahim ini berjaya menutup wacana awam berkenaan skandal PAS atau tidak.

14. Pada saat ini, PAS sedang membina naratif, kononnya kini AMANAH bersekongkol dengan Anwar Ibrahim untuk jatuhkan Tun M. Naratif ini sebenarnya ganjil, kerana pada saat ini sokongan AMANAH kepada Tun M amat tinggi. Memandangkan Tun M sebagai PM,  Mat Sabu yang juga Presiden AMANAH pun amat terang-terangan memberikan komitmen teguh kepada Tun M berbanding Anwar Ibrahim.

15. Kita pun tahu, keterdesakan PAS itu menyebabkan pemimpin mereka terpaksa mewujudkan isu yang tidak masuk akal ini. Jika tidak, sudah pasti skandal PAS ini akan terus menjadi bualan rakyat awam. Ini sudah pasti bahaya. Apatah lagi, pada saat ini, AMANAH sedang membuka pintu selebar-lebarnya untuk menerima ahli PAS untuk masuk ke dalam Parti AMANAH Negara.

16. Kita pun masih menunggu, isu apa lagi yang PAS akan cipta untuk nak hindari skandal PAS ini dari menjadi wacana awam... - 25 Februari 2019.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...