Najib membuat kenyataan itu ketika hadir dalam satu program ceramah anjuran BN bersempena PRK Semenyih.
"Tak logik buat tol percuma ketika orang masuk tidur. Kita mahukan tol percuma ketika orang sedar, bukan ketika tidur.
Siapa yang masih berjaga pada pukul 11 malam hingga 5 pagi? Hanya hantu, pemabuk, LGBT dan mereka yang sedang mencari pelanggan, barangkali.
Semasa era saya, saya mansuhkan 11 tol walaupun saya tak pernah janji apa-apa. Bila saya kata mansuh, ia bermakna percuma. Mansuh, batal, tutup," katanya ketika menyampaikan ceramah di Kampung Sungai Lalang.
Bagaimanapun Najib bertindak menarikbalik kenyataan tersebut dan membuat permohonan maaf menerusi Facebooknya petang tadi.
Berikut adalah kenyataan maafnya;
"Bukan niat saya untuk mempersendakan sebarang kumpulan masyarakat yang bekerja pada waktu malam atau yang menggunakan lebuhraya tol selepas jam 11 malam.
Jika anda tonton klip video ini dari sesi sembang santai saya malam semalam, saya hanya mengulangi apa yang diteriak oleh penonton yang berada di ceramah itu sebagai jawapan kepada soalan saya.
Saya akui, saya telah terikut-ikut dengan jawapan dan respon diberikan penonton semalam.
Saya dengan rendah hati mohon maaf jika ada yang berasa tersinggung.
Apapun, perkara pokok yang saya utarakan mengenai isu ini di ceramah berkenaan adalah jelas.
Apa yang saya utarakan adalah mengenai janji bertulis dalam hitam-putih serta diulang-ulang PH untuk menghapuskan tol patutlah bermaksud tol akan dihapuskan dan bukan sekadar pada masa tengah malam sahaja.
Ataupun bukanlah dengan alasan baru PH seperti menjenamakan semula "caj tol" itu kepada nama lain seperti "caj kesesakan".
PH dan media seharusnya tidak menggunakan sepatah dua kata saya dari sembang santai saya semalam sebagai cubaan untuk memesongkan fakta sebenar iaitu kegagalan PH untuk menunaikan janji manifesto dan hakikat bahawa mereka telah cuba sekali lagi untuk menipu rakyat dengan alasan baru," jelas Najib di Facebook siang tadi. - 26 Februari 2019.