Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Jumaat, 20 Julai 2018

Pejabat Peguam Negara 'Bebaskan' Taib Mahmud Dari Sebarang Pertuduhan Salahlaku.

Oleh : Malaysiakini

Yang Dipertua Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dibebaskan daripada sebarang salah laku oleh Pejabat Peguam Negara (AGC), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong.

 
Katanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menjalankan beberapa siasatan ke atas bekas ketua menteri Sarawak itu.

"Semua hasil siasatan sudah dirujuk kepada AGC untuk tindakan lanjut.

"Selepas meneliti semua bukti yang ada AGC memutuskan supaya semua kertas siasatan melibatkan isu itu ditutup pada 2013,"
katanya dalam jawatan di Dewan Rakyat hari ini.

Liew ialah menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang di Jabatan Perdana Menteri.

Untuk rekod pada 2013 AGC diketuai Tan Sri Abdul Gani Patail yang berkhidmat sebagai peguam negara.

Terdahulu Liew menjawab soalan Kelvin Yii (HARAPAN-Bandar Kuching) yang bertanya sama ada SPRM akan mengutamakan dan mula menyiasat Abdul Taib atas tuduhan salah guna kuasa dan rasuah kerana isu itu dilaporkan media asing selama beberapa tahun.

Pada Mei lalu pemimpin sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Francis Paul Siah menggesa ketua pesuruhjaya baru SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull membuka semula fail siasatan Abdul Taib.

Siah mengingatkan Mohd Shukri bahawa dia membuat laporan mengenai Abdul Taib kepada SPRM pada Mac 2011 namun tiada sebarang maklumat terkini mengenainya selepas tujuh tahun berlalu.

Awal bulan ini Mohd Shukri berkata SPRM memerlukan saksi atau bukti baru untuk membolehkan mereka membuka semula siasatan ke atas Abdul Taib.

Kata Mohd Shukri sebanyak 15 siasatan berasingan dijalankan ke atas Abdul Taib dan diserahkan kepada AGC namun pihak terbabit mendapati tiada dakwaan akan dikenakan ke atasnya.

Sejurus selepas dilantik menjadi perdana menteri untuk kali kedua Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat mengadakan pertemuan dengan Abdul Taib di Kuala Lumpur.

Dr Mahathir juga menggesa sesiapa yang mempunyai bukti mengenai dakwaan rasuah di Sarawak supaya mengemukakannya kepada pihak yang bertanggungjawab.

Abdul Taib menjadi ketua menteri Sarawak antara 1981 hingga 2014.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...