Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Selasa, 17 Julai 2018

Jangan Kutip Derma Tabung Harapan Di Sekolah Melalui Surat Rasmi Kata NUTP.

Oleh : Free Malaysia Today

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) hari ini menegaskan mana-mana sekolah yang ingin mengutip derma daripada murid untuk Tabung Harapan Malaysia (THM), mesti membuatnya secara lisan tanpa perlu membuat surat kepada ibu bapa atau penjaga.

 
Presidennya, Kamarozaman Abdul Razak berkata, sekiranya permintaan itu dibuat secara lisan, murid mempunyai pilihan sama ada mahu menderma ataupun tidak.

“Bila bersurat, ada kalangan murid ini, ayah dia, mak dia mungkin berpolitik. Itu sahaja isunya.

“Isu ini sepatutnya tidak berlaku kalau guru besar dan pengetua profesional secara mengurus. Saya mohon pengetua dan guru besar serta guru-guru ambil sikap profesional. Kalau nak buat juga mesti secara lisan, jangan bersurat,”
katanya ketika dihubungi FMT semalam.

Beliau mengulas perkara itu selepas tular di media sosial mengenai sebuah sekolah di Shah Alam yang mengeluarkan surat kepada ibu bapa mengenai aktiviti yang dibuat murid pada Julai dan Ogos.

Dalam surat itu, antara aktiviti yang dilakukan adalah pelancaran THM pada 9 Julai lalu yang disasarkan kepada murid tahap 1 dan 2, selain semua murid digalakkan memberi sumbangan ikhlas kepada tabung berkenaan.

Mengulas lanjut, Kamarozaman berkata, pihaknya juga mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan Maszlee Malik berhubung perkara berkenaan.

Kamarozaman berkata, Maszlee turut menyatakan derma berkenaan bukan satu paksaan.

“Yang penting, patutnya yang menderma adalah orang yang berpendapatan, murid-murid ini kita jangan ganggu. Kalau dia (sekolah) nak menerangkan tak apa. Tapi kalau dia buat surat ini tak berapa eloklah. Sebab nanti orang kata berat sebelah kepada politik dan sebagainya,” katanya.

Beliau turut menggesa agar sekolah berkenaan menarik balik semula surat yang dikeluarkan sebelum ini.

“Sebab dia akan menganggu emosi penjaga, ibu bapa dan murid-murid itu sendiri. Kalau anda nak buat, anda terangkan pada perhimpunan secara lisan, kutip derma itu tak ada masalah. Secara lisan, bukan secara bertulis,”
tegasnya.

Mengulas isu sama, Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Bagi Pendidikan Malaysia (PAGE) Noor Azimah Abdul Rahim pula berkata pihak sekolah tidak sepatutnya mengutip derma untuk THM di sekolah.

“Tidak payah sampai ke sekolah. Saya rasa murid-murid bukannya ada duit pun. Biasanya mereka bawa duit pun cukup-cukup untuk makan.

“Saya rasa ini kewajipan orang dewasa, ada cara lain untuk menderma dan korporat-korporat semua bagi duit,”
katanya.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...