Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Jumaat, 20 Julai 2018

Mahathir Patut Mohon Maaf Jika Tak Mampu Tunai Janji Manifesto - Mufti Pahang.

Oleh : Utusan Online

Lebih elok pemimpin kerajaan termasuk Tun Dr. Mahathir Moahamad memohon maaf sahaja kepada rakyat berbanding memberikan alasan yang manifesto Pakatan Harapan (PH) bukan al-Quran atau Bible sehingga perlu diikuti 100 peratus.

 
Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata, jika tempoh 100 hari untuk kerajaan PH melaksanakan semua 10 janji itu tidak mencukupi, maka Dr. Mahathir perlu jelaskan kepada rakyat kenapa memerlukan lebih masa untuk melaksanakannya.

Walau bagaimanapun dalam hal ini, katanya, kerajaan tetap berhutang dengan rakyat dan rakyat berhak menagih janji-janji itu untuk ditunaikan seperti yang terkandung dalam manifesto PH.

“Kalau tidak boleh lakukan, minta maaf sahaja, kalau masa tidak izinkan, beliau (Dr. Mahathir) perlu mohon kepada rak­yat supaya tangguhkan dahulu perkara yang dijanjikan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Dr. Mahathir yang mengaku dalam tempoh 70 hari beliau mentadbir negara, hanya dua daripada 10 janji manifesto 100 hari Pakatan Harapan (PH) telah dilaksanakan dengan enam lagi masih di peringkat pelaksanaan.

Dr. Mahathir berkata, jika berdosa kerana gagal melaksanakan manifesto itu, beliau dan PH akan menanggung dosa tersebut tetapi tidak menganggap manifesto itu sebagai al-Quran atau Bible.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, setiap manifesto yang dijanjikan kepada pengundi wajib ditunaikan oleh pemimpin terutama mereka yang beragama Islam memandangkan kegagalan berbuat demikian boleh disifatkan sebagai satu pengkhianatan terhadap rakyat.

Beliau berkata, kepentingan mengenai umat Islam untuk menunaikan janji telah disebut di dalam surah al-Maidah ayat 1, maka kewajipan untuk meme­nuhi janji adalah merupakan perintah Allah.

“Janji sama ada janji yang berkaitan dengan hal keduniaan atau akhirat wajib ditepati, sesiapa yang tidak tepati janji adalah satu pengkhianatan kepada orang lain.

“Selain itu, salah satu tanda munafik ialah manusia yang tidak tepati janji, sebagai orang Islam kita tidak boleh ada sifat munafik,”
katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Polisi Awam Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, secara moralnya kerajaan PH bertanggungjawab menunaikan janji manifesto itu bagi membentuk keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

“Kalau tidak mampu tunaikan, rakyat kena diberi makluman agar mereka faham kenapa kerajaan tidak dapat tunaikan janji tersebut,” katanya,

Tambah beliau, sewajarnya apa yang berlaku kini dijadikan pengajaran kepada setiap parti politik untuk menjalankan kajian dengan lebih mendalam sebelum mengumumkan manifesto parti masing-masing dan menjanjikan sesuatu perkara berdasarkan kemampuan selepas ini. - 20 Julai 2018.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...