Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Ahad, 21 Oktober 2018

Isu Pingat Kebesaran : "Tinggal DAP Melaka Sahaja Yang Masih Keras Kepala" - Guan Eng.

BERITA HARIAN | DAP belum menerima permohonan maaf daripada Pengerusi DAP Melaka, Datuk Tey Kok Kiew, yang menerima pingat Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) baru-baru ini.


Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata tiga pemimpin DAP yang lain iaitu dua dari Sabah dan seorang lagi dari Melaka sudah membuat permohonan maaf secara peribadi dan terbuka kepada parti.

“Tinggal Melaka sahaja nampaknya masih keras kepala. Saya tidak suruh pulangkan (pingat), hanya minta maaf secara terbuka dan secara peribadi,” katanya pada sidang media selepas Konvensyen Biasa DAP Negeri Sembilan Penggal Ke-18 di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook dan Pengerusi BERSATU, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, pemimpin DAP perlu memahami mereka tidak sepatutnya menerima penganugerahan pingat kerana perlu fokus kepada perjuangan parti memperjuangkan nasib rakyat.

“Ini sesuatu perkara yang tidak perlu hitam putih sebab semua faham. Kalau selepas tamat karier politik, nak terima (pingat) tiada masalah,” katanya.

Kok Kiew yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Hilir bersama ADUN Bemban, Datuk Wong Fort Pin, dianugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk sempena sambutan Ulang Tahun ke-80 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.

Pengerusi DAP negeri merangkap Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Tey Kok Kiew mengadakan sidang media mengenai isu penganugerahan darjah kebesaran dan pingat yang diperolehinya ketika ditemui di Bandar Hilir. - Foto Rasul Azli Samad

Selain itu, dua menteri DAP Sabah iaitu Datuk Stephen Wong dan Datuk Frankie Poon turut dianugerahkan Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Jadi Rasmi Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Sementara itu, Siew Fook berkata, DAP di Negeri Sembilan sudah membuat usul supaya tiada ahli atau pemimpin parti mencadangkan nama sendiri untuk dipertimbangkan menerima pingat.

Katanya, pendirian untuk tidak menerima sebarang pingat itu dibuat kerana mereka berpendapat belum layak.

“Kita bukan bersikap kasar (untuk menolak pingat), tetapi kita rasa wakil rakyat yang ada sekarang belum layak menerimanya.

“Layak bagi saya (bermakna) jika seorang wakil rakyat membawa imej baik kepada parti, sudah berkhidmat selama satu atau dua penggal dan membuktikan khidmat mereka,”
katanya. - 21 Oktober 2018.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...