Menurut Zaid Ibrahim lagi, ia adalah tanggungjawab kerajaan untuk meluaskan skop perniagaan bagi kaum melayu dan bukannya menghalangnya atas nama agama.
Petikan blog zaid.my |
Perniagaan tidak halal itu katanya juga memberikan banyak keuntungan kepada peniaga sehingga berbillion ringgit banyaknya dan jika melayu dihalang dari melibatkan diri bagaimana mereka berupaya untuk mengejar dan mengimbangi ekonomi kaum cina.
"Kenapa tidak berikan lesen kasino, termasuklah aktiviti mesin judi, penjualan arak dan pusat hiburan kepada bumiputera? Jika kek ekonomi dikuasai oleh perniagaan tidak halal yang menjana berbillion ringit dinafikan kerana mereka bumiputera, sampai bila melayu mampu menyaingi bukan-Islam dalam sudut ekonomi?," soalnya dalam kenyataan itu.
Zaid turut memetik perlembagaan artikel 153 yang tidak melarang kaum melayu dari melibatkan diri dalam perniagaan haram (disisi agama) dan berdosa.
"Aktivti-aktiviti ini berdosa, sudah tentu, tetapi sejak bila kerajaan diberikan mandat dibawah perlembagaan untuk melindungi kaum melayu daripada dosa? Artikel 153 tidak mengatakan seseorang melayu mestilah seseorang yang bebas dosa. Melayu mestilah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kepercayaan masing-masing (sendirian). Biar mereka tentukan sendiri samada ianya berbaloi untuk melakukan dosa jika perniagaan itu boleh meningkatkan taraf ekonomi komuniti mereka.
Apa yang sewajarnya dilakukan oleh kerajaan ialah membenarkan kekayaan dan hasil dinikmati semua. Bukan tanggungjawab kerajaan untuk memastikan melayu berakhir di pintu syurga," katanya.
Zaid juga mencadangkan pembukaan kasino di Labuan dan Langkawi yang dikendalikan oleh orang melayu.
"Sesetengah melayu mudah beremosi tetapi kita tidak seharusnya mentadbir negara berdasarkan emosi mereka semata-mata. Kenapa tidak kita buka kasino di Labuan dan Langkawi dan dikendalikan oleh orang melayu? Ianya tidak logik untuk bertolenrasi dengan satu kasino bertaraf dunia di Genting atas alasan 'kurang berdosa dan kemudiannya menafikan hak untuk membuka satu atau dua kasino kecil di tempat lain," tulisnya lagi.
Zaid juga berkata mana-mana melayu yang berfikiran terbuka untuk menjalankan perniagaan seperti ini harus diberikan haknya.
Bagaimanapun Zaid juga berkata kerajaan baru mungkin tidak akan membenarkan aktiviti sebegini dilakukan oleh orang melayu namun sewenang-wenangnya akan melemparkan kata-kata yang kaum melayu ketinggalan banyak berbanding kaum cina.
"Selagi mana kerajaan yang dipimpin oleh orang melayu ini merasakan mereka bertanggungjawab untuk melindungi melayu daripada melakukan dosa dan tidak memberikan hak kepada melayu untuk mengambil tanggungjawab sendiri atas kepercayaan masing-masing termasuklah menguruskan dosa-dosanya sendiri, selagi itulah hak melayu akan dinafikan untuk melibatkan diri dalam mengaut hasil kekayaan ekonomi negara.
Melayu hanya dibenarkan untuk melakukan perniagaan yang halal sedangkan orang cina boleh melakukan kedua-duanya.
Melayu mungkin menjadi lebih alim dan lebih beragama tetapi mereka akan sentiasa lebih miskin dari orang cina.
Mungkin ada seorang melayu yang mengkagumi Vincent Tan dan untuk itu dia perlu bermula dengan Sport Toto dan kemudiannya membuka rangkaian perniagaan judi. Tetapi kerajaan ini melakukan diskriminasi terhadap melayu yang bernasib malang itu dan tidak memberikan ia peluang tersebut. Jadi bagaimana mungkin melayu itu mampu menjadi seperti Vincent Tan," tulis Zaid lagi di blognya itu. - 23 Oktober 2018.