Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Jumaat, 26 Oktober 2018

Isu ICERD, ARMADA Sound Menteri Perpaduan P.Waytha Moorthy Kaw-Kaw.

Kenyataan Media Exco ARMADA, MOHD ASHRAF MUSTAQIM BIN BADRUL MUNIR | AMARAN KEPADA P. WAYTHA MOORTHY ISU ICERD.

ARMADA selaku sayap Parti Pribumi BERSATU Malaysia (BERSATU), sebuah parti yang juga merupakan salah satu komponen dalam koalisi Pakatan Harapan, biarpun ditubuhkan sebagai sebuah parti berasaskan kaum, namun tetap jelas bahawa Parti BERSATU berpegang kepada asas yang menjadi pegangan Pakatan Harapan (PH) malah asas kepada tertubuhnya Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan bersatu-padu dan pasti tunjangnya adalah Perlembagaan Persekutuan, maka BERSATU sekerasnya menolak segala bentuk fahaman rasisme demi agenda integrasi nasional!


Pun begitu, selaku Exco ARMADA Malaysia, dalam pada kami (ARMADA) menolak faham rasisme, namun berbalik kepada asas, kita tidak boleh pandang mudah tentang sentimen masyarakat pribumi yang dalam masa sama menjadi tunjang silang budaya masyarakat majmuk di Malaysia, apatah lagi Hak Orang Melayu dan Bumiputera yang selama ini terpelihara dan dipelihara oleh Perlembagaan Persekutuan jelas menjadi asas pada keharmonian tanahair. Maka selaku Exco ARMADA Malaysia, saya menyelar kenyataan Waytha Moorthy yang juga samar dalam hasrat beliau untuk meratifikasikan ICERD (International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination)

Menteri, P. Waytha Moorthy perlu memberi kenyataan dengan jelas apabila menyebut bahawa beberapa klausa dalam perlembagaan mungkin perlu dirombak, agar ianya tidak memberi kerisauan kepada masyarakat Bumiputera. Namun mewakili ARMADA, saya memberikan amaran awal kepada P. Waytha Moorthy supaya janganlah menyentuh artikel atau perkara yang sensitif dan selama ini menjadi tunjang keharmonian negara.

Perkara 3, Perkara 153, 160 dan sewaktu dengannya perlu kekal biarpun kita maklum bahawa selagi ada langit dan bumi dan selama mana Majlis Raja-Raja tidak menghancurkan mereka sendiri, perihal ini tidak mampu diganggu-gugat,tetapi jangan ada sedikitpun cubaan untuk menyentuh perkara-perkara tersebut walau apa cara sekalipun!

Benar orang Melayu tidak boleh bersikap defensif dan senantiasa berselindung disebalik hak-hak yang memelihara kedudukan orang Melayu, kerana orang Melayu perlu bangkit dalam segenap hal dan lebih berdaya saing dengan memainkan peranan lebih unggul dalam memajukan Malaysia agar bangsa Melayu lebih disegani bukan kerana polisi yang memelihara Bumiputera, namun kerana upaya bangsa Melayu itu sendiri.

Namun tidak kira siapa, asas yang membentuk Perlembagaan Negara yang menjadi natijah kontrak sosial dan akar penyatuan setiap bangsa tetap perlu dipelihara. Jangan sekadar kita mengejar kulit tetapi isinya kosong! Tidak guna kita mengejar sesuatu yang dikatakan ‘polisi’ tetapi hakikatnya kita telah ‘trigger button’ yang boleh menyebabkan lagi perpecahan!

Banyak negara di barat termasuk US kononnya mempunyai polisi yang memberi kesaksamaan dan tidak menggalakkan rasisme, namun lihat adakah Malaysia sama seperti US dan Eropah sehingga ada yang sanggup bunuh-membunuh kesan dari perkauman melampau? Kita memerlukan acuan kita sendiri! bukan hanya mengikut telunjuk ‘orang luar’ yang nak mengajar kita tentang sesuatu dan merasakan mereka lebih baik dari kita!

Mengambil contoh Demokrasi, Barat sering melaungkan merekalah demokrasi terpimpin, namun PRU 14 membuktikan peralihan kuasa di Malaysia cukup matang tanpa sedikitpun pertumpahan darah! Maka kenapa kita masih lagi ingin membiarkan dunia luar mengajar kita tentang baik buruk? Ya kita perlukan contoh dan idea(polisi) yang baik dari sesiapapun (dunia luar), namun ACUAN SENDIRI adalah teras utama dengan menilai upaya setiap isi dalam Malaysia.

Mewakili Biro Pendidikan juga, saya ingin bertanya kepada P Waytha Moorthy, adakah beliau bersedia untuk memastikan semua sekolah vernakular ditutup? Dan adakah dasar afirmitif untuk membantu kaum tertentu selain Bumiputera perlu diabaikan? Jika kita mampu menjadikan pendidikan dengan menutup semua sekolah vernakular sebagai asas integrasi nasional dan wadah 'Ratifikasi ICERD' terlebih dahulu, maka semestinya kita mampu melihat jangkauan lebih besar. Jika tidak, kembalilah kepada realiti dan fokus kepada acuan kita! Memastikan keharmonian terbela dan rasisme terhakis!

MOHD ASHRAF MUSTAQIM BIN BADRUL MUNIR
Exco ARMADA Nasional, Parti Pribumi BERSATU Malaysia.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...